Felda Perlu Jelaskan Status Pemilikan Hotel Grand Plaza Kensington – Milik Felda Dan Bukan Milik Orang Kuat Felda?

Saya berterima kasih kepada Tan Sri Shahrir Samad, Pengerusi Felda. Gara-gara beliau mengumpamakan penjualan harta dan hotel Felda di London sebagai menjual Ferrari, saya meluangkan masa untuk mengkaji urusniaga dan penyata-penyata kewangan anak-anak syarikat milik Felda yang membeli banyak harta di London.

Saya bernasib baik kerana di negara seperti United Kingdom, segala maklumat kewangan dan pemilikan harta dapat disemak secara terbuka oleh sesiapa. Maka, apa yang tersembunyi di Malaysia akan terbongkar di United Kingdom.

Nasihat saya kepada pembesar-pembesar negara, jika ada niat untuk mencuri wang rakyat – sebaiknya larikan wang itu untuk membeli tanah di Zimbabwe atau di tengah-tengah safari Afrika. Di negara-negara tersebut, harta pembesar dilindungi oleh undang-undang kerahsiaan yang tidak kurang ketatnya macam Malaysia.

Namun kebiasaan dan keangkuhan banyak yang terjebak dengan penyelewengan wang rakyat – mereka gemar membeli harta di negara-negara seperti Singapura, United Kingdom atau Amerika Syarikat. Sebab itu dengan mudah saya dapat menjejaki kondominium dan pasar raya milik keluarga menteri di Singapura semasa skandal NFC dulu.

Hari ini, saya akan mula mendedahkan satu demi satu bagaimana wang rakyat dibelanjakan sesuka hati kerana semua penyata kewangan diaudit dan penyata wajib yang perlu difailkan di United Kingdom boleh diperolehi secara percuma.

 

Fungsi Felda Investment Corporation (FIC) Sebagai Unit Pelaburan Strategik

Selama ini, Felda melaporkan bahawa pembelian hotel Grand Plaza Kensington yang menelan belanja RM330 juta dalam tahun 2014 itu dibuat melalui anak syarikatnya Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) yang menubuhkan pula sebuah anak syarikat khusus di United Kingdom untuk memegang harta hotel itu.

Ini dinyatakan oleh Felda di dalam penyata kewangannya yang diaudit bagi tahun 2014 di dalam Nota 43 yang menyenaraikan semua anak-anak syarikatnya di seluruh dunia, seperti yang saya tunjukkan:

Perhatikan bahawa penyata kewangan Felda dengan jelas menamakan FIC London Hotel Limited, sebuah syarikat yang ditubuhkan di United Kingdom dan dimiliki 100% oleh FIC Sdn Bhd (“FIC”) adalah syarikat pegangan pelaburan hartanah.

Malah, dalam laporan tahunan Felda yang terkini (tahun 2015), Felda memberi tumpuan kepada pelaburan-pelaburan FIC terutamanya Hotel Grand Plaza Kensington.

Penyata kewangan Felda yang diaudit bagi tahun 2015 turut mengambil kira pinjaman yang diambil di United Kingdom berjumlah RM111.4 juta (nilai dalam ringgit bagi pinjaman sebanyak GBP17.5 juta). Menurut penyata kewangan diaudit, pinjaman itu diambil dari bank dengan mencagarkan sepenuhnya saham-saham Felda di dalam FIC London Hotel (Private) Limited (yang memiliki hotel itu) dan Grand Plaza Kensington Limited (yang mengendalikan hotel itu bagi pihak pemiliknya).

Nota 49 dalam penyata kewangan Felda yang diaudit bagi tahun 2015 memasukkan satu nota khusus mengenai FIC London Hotel (Private) Limited yang dimiliki sepenuhnya oleh FIC.

Maka, berdasarkan penyata-penyata kewangan yang diaudit ini bagi tahun 2014 ke 2015, seluruh rakyat Malaysia (termasuklah saya) menerima bulat-bulat bahawa Hotel Grand Plaza Kensington yang memakan RM330 juta wang peneroka Felda itu adalah milik peneroka juga.

Ramai yang tidak tahu bahawa anak-anak syarikat Felda di seluruh dunia sebenarnya tidak diaudit oleh Ketua Audit Negara, seperti Nota 43 dalam penyata kewangan setiap tahun:


FIC London Hotel (Private) Limited, Syarikat UK Milik Penuh FIC TIDAK WUJUD!

Saya menghabiskan masa 48 jam lalu membina kembali aliran wang dari setiap syarikat untuk memastikan ia benar-benar kembali kepada Felda. Walaupun Felda dan pihak berkuasa di Malaysia langsung tidak memberikan sebarang maklumat kecuali laporan tahunan yang dihantar ke Parlimen, saya ada maklumat yang mencukupi dari penyata-penyata kewangan anak-anak syarikat Felda di United Kingdom.

Anak syarikat milik penuh Felda (melalui FIC) yang mengendalikan operasi Hotel Grand Plaza Kensington adalah Grand Plaza Kensington Ltd (yang ditubuhkan di United Kingdom). Saya sertakan penyata kewangan terkini yang diaudit setakat 31 Disember 2016:

Download (PDF, 404KB)

Pengarah-pengarahnya tidak lain dan tidak bukan Tan Sri Isa Samad sendiri, Dato’ Hanapi Suhada (bekas Pengarah Besar Felda) dan Mohammed Jefri (yang menjadi CEO kepada hotel itu).

 

Analisa ringkas ke atas penyata pendapatan anak syarikat Felda ini dengan mudah mengesahkan bahawa:

i. Perniagaannya untung dari aktiviti perhotelan yang dijalankan (dengan melihat “gross profit”)
ii. Keseluruhan pendapatannya datang dari aktiviti perhotelan
iii. Sebahagian besar dari kos pentadbiran (“Administrative expenses”) yang menyebabkan ia rugi adalah disebabkan oleh bayaran “sewa” kepada pemilik hotel itu iaitu FIC London Hotel (Private) Limited (seperti yang ditunjukkan dalam Nota 9)

Maka, saya pun mencari rekod korporat dan prestasi satu lagi anak syarikat Felda yang disebut sebagai syarikat pelaburan yang memiliki hotel tersebut, iaitu FIC London Hotel (Private) Ltd. Ini boleh dibuat mudah dengan menaipkan nama syarikat itu di lama Companies House (iaitu badan yang sama fungsinya seperti SSM di Malaysia).

Yang tidak mudah ialah apabila saya mula sedar bahawa syarikat itu tidak wujud. Sebuah syarikat yang dinyatakan di dalam penyata kewangan Felda yang diaudit dan diakui benar dan tepat maklumatnya di bawah satu perakuan sumpah dan dimaklumkan kepada seluruh dunia bahawa syarikat itulah yang memegang harta kebanggaan Felda iaitu sebuah hotel berharga RM330 juta di kawasan elit London – SYARIKAT ITU TIDAK WUJUD!

Saya terpaksa menyemak setiap satu mukasurat untuk memastikan bahawa syarikat itu benar-benar tidak wujud dan selepas beberapa jam di tengah malam, saya berpuas hati bahawa ada sesuatu yang benar-benar tidak kena.

Lalu saya menyemak nama penuh syarikat itu “FIC London Hotel (Private) Limited” di Google untuk mengesan di mana agaknya syarikat ini didaftarkan.

Walaupun keputusan yang diberikan Google itu sepatutnya mengejutkan, saya sudah boleh mengagak dari mana syarikat ini berasal dan ditubuhkan. Carian di Google hanya memberikan 3 keputusan: iklan untuk menempah bilik, dari portal Parlimen Malaysia yang mengesan nama syarikat itu di dalam Laporan Felda 2015 yang dimuatnaik di laman Parlimen dan satu senarai syarikat-syarikat yang ditubuhkan dan didaftarkan di British Virgin Island (BVI), iaitu kaedah menyembunyikan pemilik syarikat kerana sampai bila-bila kita tidak akan tahu siapa sebenarnya pemilik syarikat ini.

 

Felda Bayar RM330 Juta Beli Hotel, Tapi Geran Sahkan Pemiliknya Syarikat Hantu dari BVI!

Lewat malam semalam, saya sudah tahu bahawa ini bukan lagi soal Felda tiada wang dan penjualan hotel itu akan merugikan Felda. Bukan lagi soal Ferrari.

Saya dapat merasakan bahawa ada perkara yang lebih besar yang berunsur jenayah, penipuan, salah laku komersil (fraud), pengubahan wang dan pelbagai lagi jenayah yang melebihi soal mengambil untung atas angin dengan memakan wang rakyat apabila hotel dibeli pada harga yang mahal.

Perkara terakhir yang saya perlu lakukan ialah menyemak geran hak milik Hotel Grand Plaza Kensington yang menjadi kebanggaan Tan Sri Isa Samad dan Tan Sri Shahrir Samad itu. Ia juga mudah dilakukan – saya hanya perlu membayar GBP3 bagi setiap geran.

Download (PDF, 5KB)

Saya sertakan geran-geran bagi hak milik Hotel Grand Plaza Kensington yang mengesahkan perkara-perkara berikut:

i. Hotel Grand Plaza Kensington (iaitu hartanah beralamat 18, Lexham Gardens, London W8) didaftarkan hakmiliknya kepada sebuah syarikat bernama FIC London Hotel (Private) Limited yang didaftarkan di BVI (seperti semakan saya).

ii. Ada 6 geran hakmilik bagi hartanah ini iaitu geran-geran bernombor LN78344, LN68424, LN80430, LN191456, lN204984 and LN206711yang saya sertakan bersama.

iii. Hotel Grand Plaza Kensington tidak dimiliki oleh sebuah anak syarikat milik penuh Felda yang ditubuhkan di United Kingdom seperti yang diisytiharkan di dalam penyata kewangan Felda yang diaudit dalam tahun-tahun 2014 dan 2015. Syarikat itu tidak wujud langsung.

iv. Tiada siapa yang dapat sahkan siapa pemilik sebenar FIC London Hotel (Private) Limited yang didaftarkan di BVI yang bukan sahaja memiliki hotel tersebut, tetapi besar kemungkinan juga mendapat bayaran sewa bulanan dan bayaran-bayaran lain sehingga menyebabkan hotel yang ada untung kasar yang besar mengalami kerugian saban tahun.

v. Hotel itu telah digadaikan kepada sebuah bank asing bernama Bangkok Bank Public Company Limited sebagai cagaran kepada pinjaman yang diambil oleh syarikat BVI ini.

vi. Harga yang dibayar untuk membeli dan mendapat hakmilik hotel ini adalah sebanyak GBP45.9 juta pada 13 Oktober 2014, bukannya GBP 60 juta seperti yang diumumkan kepada rakyat. Ini bermakna, sebanyak RM90 juta (nilai ringgit bagi GBP15 juta) telah diselewengkan, selain dari hakmilik yang tidak didaftarkan kepada Felda.

Saya percaya dengan pendedahan pertama ini, Dato’ Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Shahrir Samad dan Tan Sri Isa Samad tahu yang saya sudah pun memiliki semua maklumat lain untuk mendedahkan transaksi yang lain.

Saya nasihatkan supaya mereka bertiga tampil memberi penjelasan dengan ikhlas, terbuka dan berhati-hati. Saya tidak akan teragak-agak membuat seberapa banyak laporan polis ke atas setiap satu kesalahan yang telah dilakukan bagi setiap transaksi supaya jika Barisan Nasional kalah dalam PRU14 nanti, bukan sahaja Dato’ Seri Najib yang bakal berhadapan dengan pelbagai siasatan, kepimpinan Felda seperti kedua-dua tokoh veteran Umno ini akan diheret sama.

Saya akan teruskan dengan pendedahan seterusnya hari Isnin ini.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.