Nasharuddin Perlu Buat Akuan Berkanun Isytihar Harta, Khairuddin Patut Siasat Lebih Mendalam Maklumat Skandal 1MDB

Saya telah menjangkakan kesemua reaksi yang bakal diberikan apabila saya mendedahkan mengenai aliran wang dari dana SRC Internasional Sdn Bhd ke akaun peribadi YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, seterusnya sampai ke akaun Datuk Dr Nasharuddin Mat Isa.

Ada pimpinan terkanan PAS yang menggelarkan saya kaki fitnah, ada yang menyuruh saya bertaubat. Seperti kebiasaannya saya dihukum dengan pelbagai gelaran dan penghinaan. Ada penyokong PAS yang tidak putus-putus menghantar mesej (melalui media sosial atau pesanan Whatsapp) menuduh saya kafir, ejen Yahudi dan pelbagai lagi.

Saya tidak sedikit pun terkesan. Saya pernah melalui semua ini setiap kali saya mendedahkan sesuatu penyelewengan wang rakyat sejak tahun 2011 lagi, iaitu kes-kes yang tidak diambil tindakan atau yang kelihatan dilindungi kerana ia melibatkan Perdana Menteri atau Menteri kanan.

Memang lumrah pihak yang terkena batang hidung akan memaki hamun saya.

Apabila saya mendedahkan mengenai dana rakyat RM250 juta yang sepatutnya digunakan untuk membantu penternak lembu miskin digunakan untuk membeli hartanah mewah oleh keluarga menteri kanan, saya dimaki hamun oleh orang-orang Umno dan seluruh kekuatan jentera media Umno.

Ketika itu, yang paling ghairah mahukan saya di pentas ceramah membawa isu ini ke kampung-kampung adalah pimpinan PAS dan jentera PAS. Permintaan untuk turun membantu kerusi-kerusi mereka membawa isu NFC ini paling banyaknya dari jentera PAS, bukan pun dari jentera KEADILAN kerana KEADILAN banyak bertanding di bandar-bandar.

Hari ini, pimpinan dan jentera PAS yang sama yang mengitar semula alasan Umno mengenai skandal NFC kononnya saya memfitnah NFC, sedangkan mereka jugalah yang paling galak mengulangi pendedahan skandal NFC dahulu. Malah, mereka mengulangi alasan Umno kononnya Dato’ Seri Shahrizat Jalil menang saman terhadap saya mengenai kes NFC, sedangkan keputusan saman itu adalah kes lain yang tidak melibatkan pembelian kondominium mewah One Menerong di Bangsar dan kondominium di Singapura. Kes saman itu melibatkan penghakiman yang banyak berkisar mengenai tafsiran perkataan “menyeleweng” yang mengikut hakim “penyelewengan” memberi makna ada niat jahat dan beliau (hakim) tidak bersetuju ada bukti yang keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil berniat jahat dalam pembelian unit-unit hartanah di Ecocity, Bangsar.

Sebab itu saya tidak sedikit pun terkesan dengan sumpah seranah sebegitu kerana itu memang risiko yang perlu saya hadapi sebagai seorang wakil rakyat, jika saya ingin menjalankan amanah saya sebagai seorang wakil rakyat. Saya ingat pesan Dato’ Seri Anwar Ibrahim 19 tahun lalu semasa gerakan reformasi tercetus iaitu “jika takut dengan risiko, usah bicara soal perjuangan”.

Sebab itu juga saya tidak memilih bulu dalam soal penyelewengan amanah rakyat.

Saya menjadi Setiausaha Agung sebuah parti utama negara yang pertama dalam sejarah negara kita mutakhir ini yang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai aduan rasuah di dalam parti saya sendiri. Apabila saya sendiri membuat aduan itu, ramai anggota KEADILAN yang mencemuh saya. Ramai penyokong pembangkang yang mencemuh saya.

Namun, rakyat boleh menilai rekod yang saya tidak berubah-ubah memilih bulu mengenai rasuah. Tangkaplah dan siasatlah sesiapa pun di dalam KEADILAN atau Pakatan Harapan, dari yang di atas sampai di bawah jika ada bukti berlaku salah guna kuasa dan saya tidak akan mempertahankan anggota KEADILAN itu selagi tangkapan itu nampak jujur, telus dan bukan permainan politik.

Oleh sebab itu, saya menyeru semua pimpinan politik supaya menunjukkan keamanahan yang jauh lebih baik dari yang ada sekarang kerana setiap gerak geri kita diperhatikan rakyat dalam dunia serba moden ini.

Maka, saya serahkan kepada kebijaksanaan rakyat untuk menilai penafian melalui kenyataan akhbar semata-mata oleh Datuk Dr Nasharuddin Mat Isa. Jika beliau ingin menyaman saya, saya akan menunggu untuk menyoal siasat beliau di dalam kandang saksi kerana orang yang menyaman adalah orang yang pertama yang perlu beri keterangan di dalam kandang saksi. Saya ada beratus-ratus soalan yang akan ditanyakan mengenai penglibatan beliau dalam melobi pimpinan PAS supaya menjadi lunak dengan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak, sehingga PAS dilihat tidak lantang memperjuangkan keamanahan Perdana Menteri dalam skandal 1MDB.

Sementara menunggu proses saman yang mungkin memakan masa, saya sarankan beliau mengambil jalan yang lebih mudah dan menunjukkan keyakinan kepada kebenaran yang kita pegang: saya sarankan Datuk Dr Nasharuddin Mat Isa membuat satu akuan berkanun mengisytiharkan semua harta, pendapatan dan sumbangan kepada beliau secara peribadi serta semua organisasi yang beliau terajui seperti Yayasan Nassar dan mana-mana projek lain. Beliau juga perlu perincikan di dalam akuan berkanun bagaimana harta, pendapatan dan sumbangan ini dibelanjakan dan kepada siapa wang yang disumbangkan kepada beliau dibelanjakan.

Saya sarankan beliau buat akuan berkanun itu bagi setiap tahun dari tahun 2012 ke atas sehingga 2017. Pengisytiharan itu tidaklah susah kerana saya melakukannya setiap tahun, tetapi beliau perlu juga sedar ada beratus akauntan dan peguam yang akan meneliti satu persatu ayat di dalam akuan berkanun itu. Jika ada maklumat yang tidak tepat, akan ada rakyat Malaysia yang membuat laporan polis terhadap beliau dan beliau boleh dipenjara.

Saya yakin dengan kebenaran maklumat yang saya terima dan harta yang saya isytiharkan, sebab itu saya menggunakan kaedah Akuan Berkanun sepanjang masa.

Kalau Datuk Dr Nasharuddin Mat Isa juga yakin beliau tidak menerima satu sen pun dari mana-mana sumber yang berasal dari SRC Internasional Sdn Bhd, beliau perlu mengisytiharkan pendapatan, harta dan semua sumbangan yang diterima beliau dalam bentuk akuan berkanun dengan segera.

Mengenai reaksi Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, Ahli Parlimen Kuala Nerus yang menghukum saya setelah saya mendedahkan beliau juga ada maklumat yang saya ada (malah lebih awal), saya hairan kenapa setelah menerima maklumat itu beliau menjadi lebih rapat dengan Umno?

Sepanjang saya mengikuti perkembangan aktiviti pelajar Malaysia di United Kingdom, saya tidak pernah tahu ada seorang AJK PAS Pusat yang lain selain dari beliau yang pernah hadir dalam program bersama anjuran Kelab Umno yang turut menampilkan seorang lagi pemimpin Umno. Namun beliau mengejutkan kami (bekas aktivis rakyat Malaysia di United Kingdom) apabila beliau hadir atas jemputan Kelab Umno di United Kingdom baru-baru ini.

Kalau pun beliau merasakan maklumat yang diperolehi mengenai siasatan 1MDB dan keterlibatan Dato’ Seri Najib itu belum sahih, bukankah menjadi tanggungjawab beliau sebagai Ahli Parlimen untuk menggunakan sepenuh ruang di Parlimen untuk mendapatkan pengesahan dan jawapan lanjut? Bukankah beliau ada ruang di Parlimen untuk mendapat penjelasan secara bersemuka dari Dato’ Seri Najib dan menteri mengenai kesahihan maklumat itu?

Sebaliknya beliau diamkan sahaja dan tidak berusaha untuk menyiasat. Beliau juga mendampingi sebuah parti yang dikhuatiri mendapat manfaat dari wang rakyat yang diselewengkan.

Rakyat bakal menghakimi kita atas perlakuan kita menangani amanah yang mereka galaskan kepada kita.

Lebih menggerunkan, Allah SWT melihat semua ini baik yang nyata dan tidak nyata.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Akuan Berkanun: Penafian Pernah Menerima Wang Dalam Apa-Apa Jumlah Dari John Soh Seperti Yang Didakwa Raja Petra Dan “Chegubard”

AKUAN BERKANUN
PENAFIAN PERNAH MENERIMA WANG DALAM APA-APA JUMLAH DARI JOHN SOH SEPERTI YANG DIDAKWA RAJA PETRA DAN “CHEGUBARD”

Download (PDF, 869KB)

Bahawa saya, MOHD RAFIZI BIN RAMLI (No Kad Pengenalan 770914-11-5025) yang beralamat di A405, Kyoto Garden Condominium, Bukit Antarabangsa 68000 Ampang dengan ini membuat akuan berkanun mengikut Akta Akuan Berkanun bagi tujuan menafikan sekeras-kerasnya fitnah yang dimulakan oleh Raja Petra Kamaruddin dan diulang oleh Badrul Hisham Shaharin (“Chegubard”) serta pihak-pihak lain.

Oleh itu, saya dengan ini mengisytiharkan perkara-perkara berikut:

1. Bahawasanya saya tidak pernah menerima satu sen pun dalam apa-apa bentuk dari mana-mana individu bernama John atau Soh atau John Soh atau Soh Chin Wen, seperti yang didakwa oleh Raja Petra Kamaruddin dan diulang oleh Badrul Hisham Shaharin serta pihak-pihak lain;

2. Bahawasanya saya telah mengisytiharkan harta, hutang, pendapatan dan perbelanjaan saya secara terperinci di dalam akuan-akuan berkanun yang dibuat dalam tahun 2015 dan 2016 yang menunjukkan kedudukan harta dan pendapatan saya sejak tahun 2010 lagi;

3. Bahawasanya saya membuat akuan berkanun ini sebagai menerima nasihat dari Setiausaha Agung PAS, YB Dato’ Takiyuddin Hassan yang mencabar saya membuat akuan berkanun menafikan pernah menerima wang sejumlah RM20 juta dari John Soh yang fitnahnya dimulakan oleh Raja Petra kemudian diulang oleh Badrul Hisham Shaharin dan penyokong akar umbi PAS di media sosial;

4. Bahawasanya saya menjemput mana-mana pihak berkuatkuasa menyiasat saya di bawah Akta Berkanun 1961 sekiranya mana-mana kenyataan saya di dalam kesemua Akuan Berkanun Pengisytiharan Harta dan lain-lain akuan berkanun adalah tidak benar; dan

5. Bahawasanya saya menjemput mana-mana pihak untuk membuat laporan polis menyiasat saya sekiranya penafian saya tidak menerima wang dari John Soh (di dalam Akuan Berkanun ini) adalah tidak benar; atau sekiranya mana-mana kenyataan saya di dalam mana-mana Akuan Berkanun sebelum ini adalah tidak benar.

Saya membuat akuan ini dengan percaya bahawa akuan ini benar dan mengikut peruntukan Akta Akuan Berkanun 1960.

Diperbuat dan sesungguhnya diakui oleh
saya, MOHD RAFIZI BIN RAMLI
di Putrajaya
di negeri Wilayah Persekutuan
pada 14 April 2017

Di hadapan saya

PESURUHJAYA SUMPAH

Akuan Berkanun: Dana 1MDB (Melalui SRC International Sdn Bhd) Mengalir Kepada Dr Nasharudin Mat Isa

AKUAN BERKANUN
DANA IMDB (MELALUI SRC INTERNATIONAL SDN BHD) MENGALIR KEPADA DR. NASHARUDDIN MAT ISA

Download (PDF, 1.84MB)

Bahawa saya, MOHD RAFIZI BIN RAMLI (No Kad Pengenalan 770914-11-5025) yang beralamat di A405, Kyoto Garden Condominium, Bukit Antarabangsa 68000 Ampang dengan ini membuat akuan berkanun mengikut Akta Akuan Berkanun bagi tujuan mendedahkan satu perlakuan yang bertentangan dengan undang-undang negara melibatkan sejumlah wang syarikat milik negara kepada seorang tokoh politik PAS yang dibayar melalui akaun peribadi YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Oleh itu, saya dengan ini mengisytiharkan perkara-perkara berikut:

1. Pada 28 Januari 2017, saya telah bertemu dengan seorang bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk bertanya khabar setelah beliau bersara dari perkhidmatan kerajaan. Itu adalah kali pertama saya mempunyai apa-apa komunikasi dengan beliau baik secara elektronik atau bersua muka.

2. Beliau adalah pegawai SPRM terkanan yang mengetuai siasatan ke atas dana 1MDB dan keterlibatan YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia di dalam skandal tersebut. Oleh itu, beliau mempunyai maklumat yang sahih dan terperinci mengenai siasatan dan aliran dana dari 1MDB ke akaun peribadi Perdana Menteri; seterusnya ke akaun-akaun tokoh politik lain.

3. Kami berkongsi maklumat dan pengetahuan sebagai rakyat biasa mengenai kes 1MDB kerana beliau kini bukan lagi kakitangan kerajaan.

4. Beliau menyebut kepada saya bagaimana siasatan SPRM turut mengesan sejumlah wang yang dibayar dalam bentuk cek dari akaun peribadi YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri kepada Dr. Nasharuddin Mat Isa, mantan Timbalan Presiden PAS.

5. Butiran lanjut mengenai bayaran tersebut seperti yang disebut secara lisan kepada saya adalah seperti berikut:

i. Siasatan SPRM ke atas SRC International Sdn Bhd mendapati sejumlah dana SRC International Sdn Bhd telah dipindahkan ke akaun peribadi YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak

ii. Dari akaun peribadi YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, terdapat bayaran kepada peguam tertentu

iii. SPRM telah menyoalsiasat peguam tersebut dan mendapatkan bukti tokoh-tokoh yang dibayar menggunakan wang SRC International Sdn Bhd yang disalurkan melalui peguam tersebut

iv. Salah seorang dari penerima bayaran dari peguam tersebut adalah Dr Nasharuddin Mat Isa, mantan Timbalan Presiden PAS

6. Saya tidak dapat mengesahkan sama ada peguam yang dimaksudkan adalah Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak yang pernah didakwa menerima sejumlah RM3.5 juta dari akaun peribadi YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, seperti yang didakwa oleh laman Sarawak Report yang turut menunjukkan butiran pemindahan wang seperti berikut :

Dipetik dari laporan Sarawak Report

7. Pegawai penyiasat terkanan SPRM itu turut memaklumkan saya bahawa seorang wakil rakyat dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS) iaitu Dato’ Dr Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali, Ahli Parlimen Kuala Nerus pernah datang berjumpa dengan beliau untuk mendapatkan kesahihan penglibatan YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam skandal 1MDB dan dakwaan pemindahan wang ke akaun peribadi Perdana Menteri.

8. Pegawai penyiasat terkanan itu memaklumkan saya bahawa beliau ada memberi maklumbalas kepada permintaan mendapatkan kesahihan dari pimpinan PAS itu.

Saya percaya maklumat ini wajar diketahui oleh rakyat terutamanya mengenai aliran dana SRC International Sdn Bhd ke akaun peribadi YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak yang kemudiannya disalurkan kepada tokoh-tokoh tertentu; terutamanya seorang mantan pimpinan tertinggi PAS, Dr Nasharuddin Mat Isa yang paling lantang memperjuangkan kerjasama UMNO dan PAS.

Perkara ini ada unsur salah guna kuasa yang boleh disiasat di bawah pelbagai undang-undang negara sekiranya bayaran kepada seorang mantan pimpinan PAS itu adalah pertukaran kepada usaha melunakkan suara PAS (sebagai parti pembangkang utama) dalam isu-isu bersabit skandal 1MDB dan pemindahan wang ke akaun YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Saya juga nekad untuk mendedahkan perkara ini kerana Dr. Nasharuddin Mat Isa juga telah dilantik oleh YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM. Sebagai seorang penerima dana rakyat 1MDB (melalui SRC International Sdn Bhd) yang telah disiasat oleh SPRM, beliau tidak layak berada di kedudukan itu dan wajar meletakkan jawatan segera.

Dengan pendedahan ini, saya berharap rakyat sedia maklum bahawa kertas siasatan SPRM ke atas dana SRC International Sdn Bhd yang dipindahkan ke akaun peribadi YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak telah siap dan lengkap dengan bukti kepada siapa bayaran-bayaran telah dibuat.

Mengambil kira kenyataan Peguam Negara bahawa siasatan ke atas SRC International Sdn Bhd masih belum ditutup, saya akan membuat satu laporan kepada SPRM untuk membuka kembali siasatan ke atas dana SRC International Sdn Bhd yang dipindahkan ke akaun peribadi YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Saya dengan ini mengesahkan kesemua kenyataan di atas adalah maklumat-maklumat mengenai pemindahan wang SRC International Sdn Bhd yang saya ada. Saya membuat akuan ini dengan percaya bahawa akuan ini benar dan mengikut peruntukan Akta Akuan Berkanun 1960.

Diperbuat dan sesungguhnya diakui oleh
saya, MOHD RAFIZI BIN RAMLI
di Sungai Besi
di negeri Wilayah Persekutuan
pada 13 April 2017

Di hadapan saya

PESURUHJAYA SUMPAH

YB Marang Hanya Sebut Perkataan 1MDB Sekali Dalam Parlimen

Saya memerhatikan gelagat pimpinan Umno dan jentera propaganda mereka lintang pukang menyerang saya apabila saya menimbulkan isu dana 1MDB yang dipindahkan dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak dan sampai kepada seorang tokoh yang rapat dengan pimpinan PAS.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, YB Dato’ Irmohizam Ibrahim mengeluarkan kenyataan menyerang saya kononnya menaburkan “fitnah”.

Lebih menarik, serangan pertama terhadap saya ialah dari Raja Petra Kamaruddin, pelarian politik yang lari dari undang-undang negara dan berselindung dengan hidup yang mewah di Manchester, United Kingdom. Seperti biasa, Raja Petra menerbalikkan isu yang saya timbulkan dengan menuduh saya menerima RM20 juta dari seorang yang bernama John Soh.

Berita temberang dari Raja Petra selama ini tidak dihiraukan oleh orang terpelajar dan pengundi atas pagar, sebab itu saya tidak pernah melayan Raja Petra sebelum ini. Saya cukup kenal perangai Raja Petra kerana semasa beliau mengendalikan laman “Free Anwar Campaign”, saya adalah pengendali laman itu yang kedua sebagai langkah kelangsungan jika beliau ditahan. Saya jugalah orang yang mengusahakan agar dua orang anak lelakinya dipindahkan ke United Kingdom dan kami (reformis Malaysia di UK ketika itu) sama-sama menjaga dan membiayai anak-anak Raja Petra pada ketika itu.

Tetapi sementara berita Raja Petra itu tidak perlu dipedulikan, arah serangan Raja Petra itu menggambarkan strategi propaganda penyokong Dato’ Seri Najib kerana umum mengetahui Raja Petra menerima arahan dari penyokong Dato’ Seri Najib.

Apabila Raja Petra lebih cepat menyerang saya dari pimpinan PAS sendiri memberi reaksi kepada isu yang saya timbulkan, itu mengesahkan bahawa UMNO-lah yang paling bimbang jika saya buktikan kelak bahawa memang benar ada wang 1MDB dari akaun peribadi Najib yang akhirnya sampai kepada tokoh yang rapat dengan pimpinan PAS. Ini kerana strategi “memegang” PAS adalah satu-satunya strategi yang Najib ada untuk kekal berkuasa.

Strategi “memegang” PAS ini juga yang mengekalkan Najib sebagai presiden UMNO kerana pimpinan-pimpinan Bahagian UMNO (yang ramainya adalah wakil rakyat) cukup menyokong strategi pertandingan 3 penjuru yang dibawa Najib kerana mereka yakin itu akan memberi kemenangan mudah kepada mereka dalam keadaan mereka (dan UMNO) cukup tidak popular. Bagi mereka, pemimpin UMNO yang boleh menjamin perut mereka kekal kenyang, itulah pemimpin yang wajar dikekalkan.

Sebab itu mendedahkan muslihat Najib “memegang” PAS melalui RUU355 ini cukup penting kerana RUU355 telah disalahgunakan untuk mengekalkan kekuasaan Najib. Tindakan menghalang perbahasan di Parlimen bertujuan mempengaruhi penyokong PAS dan pengundi atas pagar kononnya Pakatan Harapan anti Islam kerana mengikut telunjuk DAP.

Buktinya dalam 3 hari lepas, serangan yang mengkafirkan saya dan menuduh saya penentang Islam menghujani saya di laman Facebook saya dan Twitter. Saya sedikit pun tidak terkesan kerana saya tahu jumlah yang bersetuju dengan saya (melalui “like” dan “share”) adalah jauh lebih tinggi berbanding pentaksub yang memaki hamun berkali-kali secara berjemaah di ruang komen.

Namun pimpinan PAS sepatutnya sedar mereka sudah terperangkap sekali lagi dengan muslihat Najib. Apabila pengundi atas pagar melihat sendiri ghairahnya penyokong akar umbi PAS mengkafirkan saya dan mengulangi fitnah yang dimulakan oleh UMNO (misalnya menidakkan skandal NFC seolah-olah keluarga Shahrizat Jalil tidak pernah membeli kondominium dengan wang rakyat), pengundi atas pagar akan melihat UMNO dan PAS kini sudah tidak banyak berbeza: mereka sudah senada.

Itulah kehendak Najib dan muslihatnya: supaya PAS terkalih dan tidak memberi tumpuan kepada isu yang lebih besar mudharatnya kepada rakyat iaitu skandal 1MDB dan kesan kewangannya kepada rakyat, dengan menjadi parti satu isu iaitu RUU355 semata-mata.

Sebab itu semakan saya kepada semua ucapan YB Marang di Parlimen sejak Parlimen ini dibuka selepas PRU13 menunjukkan YB Marang hanya pernah menyebut perkataan 1MDB sekali sahaja. Saya sertakan di dalam Lampiran analisa ucapan YB Marang di Parlimen sejak Jun 2013 sehingga kini untuk menunjukkan bagaimana beliau seolah-olah mengelak dari memberi komen kepada isu 1MDB.

Download (PDF, 56KB)

Setelah hampir 4 tahun bersidang dan Parlimen ini kian sampai ke penghujungnya, YB Marang hanya pernah menyebut 1MDB hanya sekali sahaja sedangkan punca utama masalah negara sejak tahun 2011 lagi adalah 1MDB.

Akibat sikap YB Marang yang tidak mahu menyentuh isu 1MDB yang disabitkan dengan Najib ini, UMNO nampak yakin menang dalam PRU14 sedangkan ia berada pada tahap paling tidak popular sejak 1946 lagi.

Saya akan mendedahkan nama tokoh yang menerima dana 1MDB dari akaun Dato’ Seri Najib yang disiasat oleh SPRM itu dalam masa terdekat.

Mengenai serangan media propaganda dan blogger UMNO seperti Raja Petra konon saya menerima RM20 juta dari seorang tokoh Cina, saya hanya perlu memberi reaksi berikut:

1. Jika saya menerima dana itu, saya telah lama ditangkap oleh polis dan SPRM kerana ada bukti saya menerima rasuah

2. Harta saya diisytiharkan secara telus setiap tahun yang menunjukkan simpanan saya semakin sedikit. Harta saya tidak pernah mencecah RM20 juta seperti yang difitnahkan oleh Raja Petra

3. Saya akan membuat akuan berkanun minggu ini menafikan pernah menerima apa-apa wang dari sesiapa seperti yang dituduh oleh Raja Petra. Jika penafian melalui akuan berkanun itu tidak benar, pihak berkuasa boleh menahan saya serta merta dan didakwa kerana melanggar Akta Akuan Berkanun

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Harga RON95 Boleh Naik Sehingga 20 Sen Seliter Minggu Ini, Pengguna Perlu Bijak Memantau Harga

Keengganan Dato’ Seri Najib Tun Razak mengembalikan subsidi apabila pentadbiran beliau melaksanakan semakan harga minyak mingguan telah menjerumuskan rakyat kepada turun naik harga minyak yang tidak menentu setiap minggu.

Minggu ini, harga RON95 dijangka akan naik di antara 10 sen hingga 20 sen seliter bergantung kepada reaksi pasaran dunia kepada ketegangan geopolitik yang berlaku di Timur Tengah ekoran serangan roket Amerika Syarikat ke atas lapangan tentera udara Syria semalam.

Saya sertakan carta harga minyak rujukan dunia iaitu Brent (dalam USD setong) yang dikeluarkan Bloomberg:

Harga minyak mentah dunia melonjak dari USD53.12 setong pada permulaan minggu ini (3 April 2017) dan ditutup pada USD55.12 semalam (7 April 2017), iaitu peningkatan mendadak sebanyak 4% dalam masa seminggu. Bergantung kepada tindakbalas Russia (sekutu kuat rejim Assad) dan tentera rejim Assad, jika ketegangan geopolitik itu tidak reda, minggu depan boleh menyaksikan peningkatan mendadak harga minyak mentah.

Jika harga minyak mentah naik pada kadar yang sama iaitu 4% seperti minggu ini, harga Brent boleh mencecah USD57.20 setong. Saya lebih bimbang jika ia naik lebih tinggi dari itu dan melonjakkan harga minyak mentah melepasi USD58 setong.

Oleh kerana harga minyak di stesen minyak berubah setiap minggu, saya menyeru pengguna supaya memantau harga RON95 setiap minggu untuk membolehkan mereka mengatur pembelian minyak pada hari/minggu yang harganya lebih murah sebelum harga dinaikkan pada minggu seterusnya.

Untuk membantu pengguna, saya memutuskan untuk menerbitkan ramalan harga mingguan apabila berlaku kenaikan atau penurunan harga mendadak di pasaran dunia (atau faktor-faktor lain seperti perubahan nilai matawang Ringgit) yang membawa kesan besar kepada harga petrol dan diesel.

Bagi tujuan itu, saya menggunakan kaedah-kaedah berikut:

i. Membina pengkalan data harga minyak mentah Brent, kadar pertukaran matawang, harga RON95 dan harga mengikut kiraan formula yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan

ii. Menggunakan kaedah statistik mudah untuk menentukan perkaitan harga RON95 dengan harga minyak mentah Brent serta kadar pertukaran matawang

iii. Menggunakan perkaitan itu untuk meramalkan harga RON95 bagi minggu seterusnya

Dengan menggunakan data mingguan seperti (i) hingga (iii) bagi bulan Februari dan Mac; plot perkaitan harga RON95 dengan harga minyak mentah Brent adalah seperti berikut:

Oleh yang demikian, saya meramalkan harga RON95 mengikut harga Brent bagi minggu depan seperti berikut, iaitu:

i. Memandangkan harga Brent sudah pun mencecah USD55.12 semalam, ada kemungkinan ia akan terus naik melepas paras USD56 apabila pasaran dibuka pada hari Isnin

ii. Maka, harga RON95 minggu depan akan naik di antara 10 sen ke 20 sen seliter dari harga sekarang

Oleh itu, saya menasihati pengguna supaya bijak mengatur pembelian harga minyak mengikut harga yang diramalkan. Saya juga menyeru supaya Kerajaan Persekutuan campur tangan di dalam rundingan di antara pengendali stesen minyak dan syarikat-syarikat minyak supaya keputusan penghantaran stok tidak merugikan pengendali stesen minyak yang berkemungkinan terpaksa membeli stok pada harga yang lebih tinggi tetapi dijual pada harga yang lebih rendah.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

%d bloggers like this: