SPRM Sudah Ada Kertas Siasatan Pemindahan Wang Dari Akaun Peribadi Dato’ Seri Najib

Saya sedia maklum jawapan rasmi Setiausaha Agung PAS, YB Datuk Takiyuddin Hassan kepada kenyataan saya mengenai dana berkaitan 1MDB yang dipindahkan dan sampai kepada seorang tokoh yang rapat dengan pimpinan PAS sekarang. Beliau menyeru supaya saya menyerahkan bukti yang saya ada kepada SPRM supaya SPRM boleh segera menyiasat.

Saya ingin memaklumkan kepada rakyat bahawa SPRM sudah pun menyiasat aliran dana dari akaun-akaun yang disiasat berhubung dana 1MDB yang dipindahkan ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak. Dari siasatan itu, satu aliran dikesan sampai kepada tokoh yang rapat dengan pimpinan PAS itu.

Oleh itu, tidak timbul soal segera menyerahkan bukti kepada SPRM seperti yang dinyatakan oleh Datuk Takiyuddin itu. Namun, saya akan mendedahkan nama tokoh tersebut dalam masa beberapa minggu ini dan selepas itu, saya akan membuat laporan SPRM supaya SPRM dapat merujuk kembali kepada kertas siasatannya sendiri.

Setelah saya menamakan tokoh tersebut, ia akan menjadi ujian besar kepada UMNO dan PAS seperti berikut:

1. Pimpinan UMNO akan bergelut sekali lagi dengan isu campur tangan dalam pentadbiran keadilan negara sekiranya Peguam Negara sekali lagi menutup kes walaupun kertas siasatan telah selesai dan bukti telah dikumpul oleh SPRM;

2. Pimpinan PAS di segenap peringkat perlu menyemak sama ada mereka pernah sekali-kali menerima bantuan kewangan, derma, infaq atau dana (dalam apa jua bentuk dan bagi apa jua tujuan) dari tokoh yang saya namakan itu kerana ada kemungkinan besar ia dana dari wang rakyat yang dibelanjakan melalui 1MDB. Sebagai sebuah parti yang mengaku mengangkat Islam, setiap pemimpin PAS perlu lebih teliti dari semua parti lain mengenai asal usul sumber kewangan mereka untuk mengelakkan sumber yang disifatkan syubhah (diragui).

Saya pada mulanya tidak berniat untuk membawa isu ini tetapi episod di Parlimen semalam mengesahkan bagaimana isu penambahbaikan mahkamah syariah telah dimainkan lebih dari setahun demi memberi ruang bernafas kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Setelah ditangguhkan 3 kali, jelas bahawa isu yang dibawa oleh PAS melalui rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta 355 (RUU355) akan terus dijadikan umpan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak. Sementara saya bersedia untuk berbahas sepenuhnya dan memberikan pandangan bagaimana cara terbaik menambahbaik mahkamah syariah, persetujuan di luar dewan di antara Dato’ Seri Najib dan PAS (seperti yang disahkan oleh Dato’ Seri S Subramaniam, presiden MIC bahawa keputusan itu telah dipersetujui lebih awal di Majlis Tertinggi Barisan Nasional) menunjukkan Dato’ Seri Najib tidak berniat pun untuk menambahbaik mahkamah syariah.

Isu RUU355 telah dijadikan umpan untuk memastikan PAS kekal berkecuali sebagai blok ketiga dan tidak bersuara dalam isu-isu penting seperti 1MDB. Jika Parlimen bersidang untuk Belanjawan 2018 dalam bulan Oktober, saya yakin PAS sekali lagi akan berkecuali semasa pengundian belanjawan kerana bimbang akan menjejaskan persefahamannya dengan Dato’ Seri Najib yang berkisar mengenai RUU355.

Oleh itu, selagi polemik isu RUU355 ini tidak diselesaikan, selagi itulah kelebihan berada di tangan Dato’ Seri Najib untuk bermuslihat politik dari semasa ke semasa dengan menggunakan PAS.

Setelah saya bersangka baik lebih setahun dan berharap agar RUU355 ini dapat dibahaskan sama seperti semua rang undang-undang yang lain, saya yakin segala yang berlaku di Parlimen, bila diambil kira pula soal dana 1MDB yang mengalir ke tokoh yang rapat dengan pimpinan PAS, mewajarkan saya memutuskan bahawa PAS akan terus “dipegang” Dato’ Seri Najib selagi isu RUU355 ini dibenarkan berpanjangan.

Oleh sebab itulah, saya berpandangan adalah menjadi tanggungjawab saya berdepan terus dengan PAS dan UMNO sekaligus mengenai kedua-dua isu ini supaya rakyat boleh kembali kepada isu yang paling penting iaitu kebajikan rakyat yang terlalu terbeban dengan pelbagai kenaikan harga barang, peluang pekerjaan yang sempit dan gaji yang berkurangan.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

RUU355 Kekal Mainan Politik UMNO Jika Pun Ahli Parlimen Marang Dibenarkan Bentangkan Usul

Keputusan Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk tidak membentangkan sendiri cadangan pindaan kepada Akta 355 untuk menaikkan had hukuman Mahkamah Syariah adalah pukulan maut (“total knock-out/TKO”) kepada sebarang usaha untuk menghidupkan usul itu.

Saya telah menulis dengan panjang lebar tahun lepas menerangkan Peraturan Dewan 49 yang secara jelas menyebut bahawa sebarang rang undang-undang persendirian (rujuk http://rafiziramli.com/2016/10/rang-undang-undang-355-dato-seri-najib-tun-razak-mesti-isytihar-pendirian-pentadbiran-beliau/), jika pun dibenarkan dibaca, dibahas dan menang undian di Dewan Rakyat, tidak akan pergi ke peringkat yang lebih jauh kecualilah Kerajaan bersetuju untuk menerima cadangan RUU itu dan diambil alih untuk dibentangkan semula di Dewan Rakyat bagi bacaan kali kedua.

Ini bermakna, seperti yang saya tegaskan berkali-kali, kuasa sebenar untuk memperkasakan Mahkamah Syariah terletak di tangan Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri. Dalam keadaan RUU persendirian yang dibawa YB Marang itu dipulangkan kembali kepada beliau, kesemua keputusan bersabit kebenaran pembentangan dan diluluskan terletak di tangan Dato’ Seri Najib (seperti berikut):

1) Keputusan untuk menukar aturan mesyuarat supaya semua akta kerajaan yang disenaraikan lebih awal digugurkan untuk memberi laluan kepada pembacaan RUU persendirian YB Marang terletak di tangan Dato’ Seri Najib (kerana urusan kerajaan perlu disudahkan terlebih dahulu sebelum RUU persendirian boleh dibaca)

2) Keputusan untuk melangkah giliran untuk mendahulukan pembacaan RUU persendirian YB Marang mengatasi semua urusan kerajaan yang telah disenaraikan lebih awal (seperti yang pernah berlaku sebelum ini) juga keputusan Dato’ Seri Najib sebagai ketua kerajaan

3) Jika pun (1) atau (2) dibenarkan untuk membolehkan RUU persendirian YB Marang dibaca, dibahas dan diundi, keputusan untuk mengarahkan ahli parlimen Barisan Nasional menyokong RUU persendirian itu adalah keputusan Dato’ Seri Najib

4) Jika pun (1) atau (2) dibenarkan dan Dato’ Seri Najib bersetuju mengarahkan ahli parlimen Barisan Nasional menyokong RUU persendirian itu (seperti (3)), keputusan sama ada Kerajaan akan mengambil alih cadangan pindaan itu untuk dibentangkan kembali bagi bacaan kedua adalah keputusan Dato’ Seri Najib

Akhirnya, jika pun Dato’ Seri Najib boleh bermain politik dengan membenarkan (1), (2) dan (3), saya yakin cadangan RUU persendirian YB Marang itu akan terhenti di peringkat bacaan pertama (setelah pengundian dibuat) kerana Dato’ Seri Najib tidak mungkin akan bersetuju mengambil alih cadangan pindaan tersebut untuk dibentangkan kembali sebagai rang undnag-undang kerajaan (seperti kehendak Peraturan Dewan).

Kenapa saya begitu pasti?

Kerana jika benar Dato’ Seri Najib ikhlas, sudah tentu beliau meneruskan janjinya yang dibuat di Perhimpunan Agung UMNO yang lalu bahawa pihak Umno (dan Kerajaan Persekutuan) sendiri yang akan membentangkan perkara ini dan melalui proses Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat.

Kalau Kerajaan Persekutuan menolak untuk membentangkannya pada bacaan pertama dan dipulangkan kepada YB Marang yang tertakluk kepada semua keputusan Dato’ Seri Najib bagi kelulusan di peringkat (1), (2) dan (3) di atas, kenapa pula di langkah (4) tiba-tiba Dato’ Seri Najib akan mengambil alih RUU persendirian itu?

RUU355 kekal permainan politik Umno untuk memastikan berlaku pertembungan 3 penjuru dalam PRU14.

Dato’ Seri Najib nampaknya yakin beliau bakal mencipta sejarah sebagai Perdana Menteri yang paling tidak popular tetapi kekal berkuasa melalui adu domba politik yang melaga-lagakan rakyat dengan bermain isu agama dan kaum. Beliau lupa rakyat sedang menonton sandiwara ini dan jangan perkecilkan kecerdikan rakyat membaca yang tersirat di sebalik permainan politik ini.

Sama ada RUU355 dibenarkan dibentang atau tidak, saya telah buat pendirian kerana telah cukup maklumat dengan menilai keikhlasan Dato’ Seri Najib dalam hal ini. Bentanglah secepat mungkin supaya kita boleh kembali kepada isu-isu rakyat yang lebih tinggi keutamaannya untuk diselesaikan berbanding permainan politik Umno ini.
RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Adakah Campur Tangan Rahman Dahlan Menyebabkan PETRONAS Membayar Harga Minyak Mentah Dari Saudi Yang Lebih Mahal?

Saya masih menunggu jawapan dari Dato’ Seri Abdul Rahman Dahlan mengenai peranan sebenar yang dimainkan serta bahagian khusus di dalam perjanjian usahasama di antara PETRONAS dan Saudi Aramco di dalam projek RAPID yang telah beliau campuri.

Dua hari lalu, media melaporkan bagaimana Dato’ Seri Abdul Rahman Dahlan mendabik dada kononnya beliaulah penyelamat projek RAPID kerana telah berjaya meyakinkan Saudi Aramco untuk menyertai projek setelah rundingan tergendala selama 2 tahun. Media propaganda Umno/BN memasang cerita mengenai kejayaan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak membawa masuk “pelaburan berjumlah USD7 bilion (RM30.98 bilion)” sebagai bukti ekonomi negara masih kukuh walaupun Perdana Menteri dikaitkan dengan pelbagai skandal besar seperti 1MDB.

Saya menyusuri perkembangan rundingan projek RAPID yang dijalankan oleh PETRONAS seperti yang dilaporkan oleh media. Ada dua kenyataan penting PETRONAS yang tidak begitu mendapat perhatian tetapi memberi isyarat besar bahawa isu campur tangan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak di dalam pengurusan PETRONAS perlu diberi perhatian yang lebih serius.

Dalam satu temuramah ekslusif dengan editor media yang dilaporkan oleh The Star (rujuk http://www.thestar.com.my/business/business-news/2017/02/22/petronas-clears-the-air-on-partnerships/#M5rs4Gy0OD6tJ4th.99 ), Presiden/CEO PETRONAS, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin menegaskan beberapa perkara berikut:

1. PETRONAS tidak pernah bergantung kepada suntikan dana dari syarikat lain atau rakan kongsi untuk menyiapkan sesuatu projek. Oleh itu, keputusan mengenai sesuatu projek tidak bergantung kepada keputusan rakan kongsi untuk menyertai sesuatu projek atau tidak

2. Apabila PETRONAS memutuskan untuk memulakan sesuatu projek, keperluan kewangan bagi keseluruhan projek telah diambil kira dan tidak timbul soal memerlukan suntikan dana untuk menyelamatkan sesuatu projek

Penjelasan Datuk Wan Zulkiflee (yang dikenali ramai di dalam industi minyak dan gas dunia sebagai salah seorang profesional yang terbaik dalam industri itu di dunia) memberi gambaran yang berbeza berbanding dengan propaganda pentadbiran Dato’ Seri Najib; bahawa seolah-olah orang-orang politik seperti beliau dan Dato’ Seri Rahman Dahlan telah “menyelamatkan” projek PETRONAS itu dengan membawa masuk “suntikan dana” dari Saudi Aramco.

Sebab itu, saya mengingatkan Dato’ Seri Abdul Rahman Dahlan supaya berhenti berkokok propaganda politik dan memainkan peranan sebenarnya sebagai menteri yang merancang ekonomi untuk menangani masalah meruncing pengangguran anak muda dan harga barang yang naik mendadak.

Satu lagi perkara yang merunsingkan saya ialah laporan sebelum “campur tangan” Dato’ Seri Najib di dalam rundingan di antara PETRONAS dan Saudi Aramco memberi gambaran ada beberapa perkara yang belum mendapat persetujuan (maka rundingan berlanjutan sehingga 2 tahun). Rujuk laporan media oleh Reuters (http://www.reuters.com/article/us-saudi-aramco-petronas-analysis-idUSKBN15B0YW) bertarikh 27 Januari 2017 iaitu beberapa hari selepas berita keputusan Saudi Aramco untuk menggantung penyertaan di dalam projek RAPID dilaporkan di seluruh dunia.

Laporan Reuters itu dengan jelas menyebut bahawa sumber Reuters dari Saudi Aramco menyatakan keputusan menggantung penyertaan Saudi Aramco dibuat setelah mereka mendapati pulangan pelaburan yang tidak mencukupi.

Ini bermakna salah satu punca utama kenapa tidak ada persetujuan di antara PETRONAS dan Saudi Aramco sebelum campur tangan Dato’ Seri Najib dan Dato’ Seri Abdul Rahman Dahlan adalah berkisar mengenai kadar keuntungan pelaburan yang ditetapkan oleh Saudi Aramco yang mungkin tidak dipersetujui oleh PETRONAS.

Rakyat perlu memahami bahawa perjanjian yang ditandatangani oleh PETRONAS dan Saudi Aramco melibatkan persetujuan Saudi Aramco untuk membekalkan minyak mentah yang menjadi bahan asas untuk ditapis dan diproses di kompleks penapisan minyak dan petrokimia RAPID yang diusahakan PETRONAS.

Ini bermakna, PETRONAS bersetuju membeli dan Saudi Aramco bersetuju membekalkan minyak mentah bagi satu tempoh jangka masa panjang pada satu harga yang formulanya telah dipersetujui terlebih awal tertakluk kepada turun naik harga minyak mentah dunia. Selalunya harga minyak mentah yang dibeli melalui perjanjian pembekalan jangka panjang sebegini melibatkan diskaun pada nilai tertentu yang ditolak dari harga rujuk minyak mentah Brent bergantung kepada mutu minyak mentah tersebut.

Oleh sebab itulah, kebimbangan saya berkisar kepada perkara-perkara berikut:

1. Laporan awal Reuters yang memetik sumber Saudi Aramco pada 27 Januari 2017 menggambarkan tidak ada persetujuan di antara PETRONAS dan Saudi Aramco mengenai harga minyak mentah yang dibekalkan kepada RAPID seperti yang dikehendaki oleh Saudi Aramco. Itu bermakna PETRONAS mempertahankan keputusannya untuk tidak membayar harga minyak mentah melebihi dari sesuatu angka yang telah diputuskannya;

2. Apabila Dato’ Seri Abdul Rahman Dahlan mendabik dada bahawa campur tangan beliau telah “menyelamatkan” penyertaan Saudi Aramco, itu berkemungkinan bermakna akhirnya Saudi Aramco telah berjaya mendapat persetujuan PETRONAS untuk membayar minyak mentah yang dibekalkan Saudi Aramco pada harga yang dituntut oleh Saudi Aramco

Bagi sebuah projek sebesar RAPID yang melibatkan pelaburan sehingga RM60 bilion oleh PETRONAS, perbezaan harga sebanyak USD1 setong pun di antara yang dipertahankan oleh PETRONAS dan yang dituntut oleh Saudi Aramco adalah bersamaan dengan berbilion ringgit setahun yang terpaksa dibayar lebih oleh PETRONAS setiap tahun.

Sebab itu saya katakan Dato’ Seri Rahman Dahlan bukanlah seorang yang ada pengalaman dengan projek-projek sebegini dan beliau tidak sedar dengan membuka mulut seperti itu, beliau memberi gambaran ada campur tangan pihak Kerajaan Persekutuan dalam rundingan komersil yang menentukan pulangan pelaburan kepada PETRONAS dan Saudi Aramco.

Maka soalan saya adalah mudah: jika sebulan sebelum perjanjian dimeterai, Saudi Aramco memaklumkan kepada Reuters bahawa ia tidak mahu turut serta kerana projek itu tidak mencapai pulangan yang dikehendaki – sudah tentu keputusannya untuk menyertai RAPID bermakna tuntutannya telah dipenuhi dan pulangan kepada Saudi Aramco telah memenuhi syarat.

Jika pulangan kepada Saudi Aramco kini lebih tinggi dari yang dipersetujui oleh PETRONAS, bermakna PETRONAS telah bersetuju untuk membayar lebih dari apa yang mula-mula dipertahankan oleh PETRONAS.

Oleh itu, saya menuntut Dato’ Seri Abdul Rahman Dahlan menjawab soalan-soalan ini:

1. Berapa dan apa formula minyak mentah yang perlu dibayar oleh PETRONAS kepada Saudi Aramco seperti yang telah dipersetujui dan bagaimanakah ia berbeza dengan harga/formula sebelum campur tangan beliau dan Dato’ Seri Najib?

2. Apakah peranan yang telah dimainkan beliau dalam merundingakn butiran pulangan pelaburan di antara PETRONAS dan Saudi Aramco sehingga projek yang sebelum itu dikira tidak memberi pulangan yang dikehendaki tiba-tiba memenuhi kriteria pelaburan Saudi Aramco?

Rakyat berhak mendapat tahu perkara ini kerana rakyat akan mempertahankan PETRONAS dari dicampuri urusannya oleh pak-pak menteri seperti Dato’ Seri Abdul Rahman Dahlan.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Kenyataan Menteri Mengenai Inflasi Memandang Rendah Masalah Harga Barang Naik

Setakat ini tidak ada apa-apa pengumuman khusus yang menghuraikan langkah-langkah segera yang akan diambil Kerajaan Persekutuan untuk menangani peningkatan mendadak kadar inflasi yang mencatatkan kadar kenaikan harga barang paling tinggi di luar kegawatan ekonomi bulan lepas.

Satu-satunya kenyataan Menteri Kewangan II adalah pendapat beliau bahawa kenaikan itu hanya sementara kerana ia dipacu oleh kenaikan harga minyak yang berlaku beberapa bulan kebelakangan ini.

Namun kenyataan itu bukan sahaja tidak tepat dalam menerangkan faktor-faktor yang mendorong kenaikan mendadak harga barang, ia juga membayangkan seolah-olah Dato’ Seri Johari Ghani tidak faham perkaitan di antara kadar inflasi (iaitu kadar betapa cepat harga barang naik dari setahun ke setahun, atau dari sebulan ke sebulan) dan harga barang yang terpaksa ditanggung oleh rakyat.

Apabila beliau dengan secara mudah membuat andaian seolah-olah kadar inflasi tertinggi 4.5% itu akan selesai dengan sendiri, beliau lupa bahawa sedang kadar inflasi boleh turun naik dari satu masa ke satu masa, di Malaysia kebiasaannya apabila harga barang telah naik maka adalah terlalu sukar untuk ia turun.

Keadaan ini digambarkan di dalam graf Indeks Harga Pengguna terkini yang diterbitkan Jabatan Perangkaan bagi menerangkan kadar inflasi dalam bulan Februari 2017, seperti berikut:

 

 

Cara membaca dan memahami graf Indeks Harga Pengguna (IHP) yang menentukan kadar inflasi adalah:

1. Harga pada tahun rujukan (iaitu tahun 2010) dijadikan harga asas pada indeks 100

2. Harga tahunan kemudian dibandingkan dengan harga setahun (atau sebulan, jika ia kadar inflasi bulanan) sebelum itu. Ini dipersembahkan dalam bentuk indeks dengan harga tahun 2010 sebagai indeks rujukan pada nilai = 100.

3. Kadar inflasi dikira dengan membandingkan indeks harga pada bulan itu berbanding dengan indeks harga setahun sebelum itu untuk memberikan kadar inflasi bagi barang itu.

Merujuk kepada graf di atas, ini bermakna (misalnya):

1. Makanan dan minuman bukan beralkohol (jalur kuning) adalah 28.4% lebih mahal dalam bulan Januari 2017 berbanding harga tahun 2010 (dikira = 128.4% – 100%)

2. Perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (jalur biru muda) adalah 16% lebih mahal dalam bulan Januari 2017 berbanding harga tahun 2010

Oleh itu, Dato’ Seri Johari Ghani sepatutnya sedar bahawa walaupun beliau meramalkan kadar kenaikan harga barang adalah lebih perlahan selepas ini kerana harga minyak mentah dunia mungkin tidak meningkat secepat yang dijangka, itu tidak membantu rakyat kerana harga barang kekal mahal setelah ia dinaikkan.

Keadaan ini menjadi lebih parah apabila gaji rakyat tidak meningkat pada kadar yang sama dengan kenaikan harga barang. Contohnya, menggunakan indeks harga dengan membandingkan 2010 dan 2017, sepatutnya gaji rakyat juga meningkat pada kadar yang sekurang-kurangnya sama dengan inflasi iaitu 20% dalam tempoh 7 tahun. Seorang pekerja yang bergaji RM2,000 dalam tahun 2010 sepatutnya mendapat gaji RM2,400 dalam tahun 2017 untuk memastikan sekurang-kurangnya gaji yang diperolehi dapat menampung kenaikan harga barang (jika pun tidak ada kenaikan gaji).

Graf Indeks Harga Pengguna yang kekal menokok dari tahun ke tahun walaupun harga minyak turun naik menunjukkan bahawa harga barang keperluan utama adalah tidak anjal berbanding harga minyak. Ini memberi gambaran ada faktor-faktor lain yang menyebabkan harga barang kekal tinggi dan sangkaan saya faktor-faktor itu termasuklah pengenalan GST, penghapusan subsidi, dasar perniagaan yang menjurus kepada monopoli yang digalakkan kerajaan, kos perniagaan yang tidak dapat dielakkan seperti kenaikan tol dan sebagainya.

Ini bermakna dasar pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak yang anti-subsidi dan terlalu pro-perniagaan besar adalah punca utama kepada kenaikan harga barang yang berlaku sejak beliau menjadi Perdana Menteri. Oleh itu, tidak memadai bagi beliau dan menteri-menteri terbabit yang secara berterusan menyalahkan rakyat dan peniaga (yang juga rakyat) tanpa ada sebarang langkah berkesan setakat ini untuk menangani kenaikan harga barang.

Jika kenaikan harga barang adalah masalah nombor satu negara yang membebankan paling ramai rakyat, tidakkah penyelesaian masalah ini perlu diberi keutamaan? Sebaliknya kita jarang mendengar Dato’ Seri Najib bercakap mengenai kenaikan harga barang dan lebih banyak menghabiskan masa mengusahakan projek-projek besar yang melibatkan hutang-hutang baru yang ditanggung rakyat dari negara asing seperti China.

Saya sedang mengusahakan satu kertas dasar yang menyeluruh mengenai cadangan-cadangan yang boleh dilaksanakan Pakatan Harapan untuk menangani kenaikan harga barang. Saya menyeru rakan-rakan politik supaya memberi sepenuh perhatian kepada usaha-usaha menurunkan harga barang kerana ini kehendak paling mendesak rakyat.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rahman Dahlan Mempolitikkan Projek RAPID Dan Pelaburan Saudi Aramco, Perlu Jelaskan Peranan Sebenar

Saya jarang campur tangan di dalam pelaburan-pelaburan PETRONAS kerana saya sedia maklum mengenai proses membuat keputusan yang panjang dan berperingkat-peringkat di dalam PETRONAS yang telah digunapakai berpuluh tahun. Saya juga tahu bahawa PETRONAS sangat berhati-hati dalam pelaburan untuk memastikan tiada campur tangan politik dan sebarang pelaburan PETRONAS mengambil kira keuntungan dan pulangan jangka masa panjang untuk negara.

Satu-satunya pelaburan PETRONAS yang saya pernah timbulkan kebimbangan ialah pelaburan di lapangan minyak batuan (“oil shales”) di Canada yang saya khuatiri terlalu berisiko memandangkan ia pelaburan terbesar PETRONAS dalam satu projek. Kebimbangan saya itu ada asasnya kerana sehingga sekarang projek itu masih berhadapan dengan beberapa keputusan yang berisiko.

Malah, disiplin ekonomi dan pengurusan yang saya gunapakai sebagai seorang ahli parlimen untuk menilai setiap pelaburan kerajaan yang telah berjaya membongkar banyak skandal kewangan adalah hasil didikan dan latihan PETRONAS.

Pun begitu, saya semakin bimbang dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan mengenai penglibatan beliau dan Dato’ Seri Najib Tun Razak di dalam memuktamadkan perjanjian di antara PETRONAS dan Saudi Aramco yang ditandatangani akhir bulan lalu.

Saya merujuk kepada laporan berita Malaysiakini bertarikh 25 Mac 2017 bertajuk “Rahman reveals role in salvaging US$7b Aramco deal (rujuk http://www.malaysiakini.com/news/377010). Berita ini melaporkan bagaimana Datuk Abdul Rahman Dahlan memberi gambaran beliau telah campur tangan di dalam rundingan di antara PETRONAS dan Saudi Aramco sehingga berjaya mendapatkan persetujuan Saudi Aramco untuk menandatangani perjanjian itu.

Kenyataan itu memberi gambaran ada campur tangan dan menimbulkan beberapa persoalan penting:

1. Adakah Datuk Rahman Dahlan memaksa PETRONAS mengubah pendirian?

2. Kenapa Saudi Aramco mengubah pendirian untuk meneruskan usahasama yang sebelum itu (menurut Datuk Rahman Dahlan) telah menemui jalan buntu?

Saya akan mengupas beberapa perkara pokok yang timbul dari pendedahan campur tangan Datuk Abdul Rahman Dahlan di dalam rundingan di antara PETRONAS dan Saudi Aramco ini; tetapi saya ingin bermula dengan mendesak beliau menerangkan sendiri apa peranan beliau dan perkara-perkara rundingan yang telah beliau campuri agar rakyat boleh menilai setakat mana ada campur tangan politik di dalam projek ini.

Saya akan menimbulkan beberapa perkara pokok tersebut dalam siri sidang media dalam minggu ini sementara saya menunggu jawapan rasmi dari Datuk Rahman Dahlan.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

%d bloggers like this: