Tabung Haji Perlu Jelaskan Kenapa Syarikat Bersekutunya Terima RM140 Juta Dana SRC International Sdn Bhd

Saya telah menerangkan bagaimana sejumlah RM140 juta wang dari SRC International Sdn Bhd telah dipindahkan melalui beberapa buah syarikat dalam bulan Julai dan Ogos 2014 sebelum sampai kepada sebuah syarikat bernama Putra Perdana Development Sdn Bhd (“PPD”).

Putra Perdana Development Sdn Bhd adalah anak syarikat milik penuh Putrajaya Perdana Berhad (“PPB”) seperti carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang saya sertakan bersama.

Dalam bulan Disember 2014, Lembaga Urusan Tabung Haji telah membeli 30% pegangan di dalam PPB. Ini disahkan oleh paparan di laman web PPB yang disertakan bersama.

Walaupun senarai pemegang saham PPB tidak diberikan secara terperinci di dalam dokumen carian SSM yang saya sertakan bersama, perlantikan kepimpinan Tabung Haji ke jawatan-jawatan utama PPB mengesahkan bahawa Tabung Haji adalah pemegang saham utama di dalam PPB. Kepimpinan Tabung Haji yang dilantik ke Lembaga Pengarah PBB adalah:

1) Datuk Seri Azeez Rahim, Pengerusi Tabung Haji telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah PPB yang baru

2) Datuk Rozaida Omar, Ketua Pegawai Kewangan (“CFO”) Tabung Haji telah dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah PBB yang baru


Sejurus selepas Tabung Haji membeli 30% pegangan di dalam PPB, dalam bulan Disember 2014 PPD memulangkan kembali RM140 juta yang dipindahkan ke akaunnya empat bulan sebelum itu (seperti yang saya terangkan di atas).
Apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir mengesahkan bahawa Tabung Haju telah menyuntik RM193.5 juta ke dalam PPB ekoran pembelian 30% pegangan di dalam PPB (rujuk jawapan menteri di Parlimen yang saya sertakan), ia menimbulkan tanda tanya sama ada dana Tabung Haji diheret sama dalam siri pemindahan wang yang keluar masuk dari akaun SRC International Sdn Bhd.


Sebagai Ahli Parlimen yang paling rapat memantau hal ehwal kewangan Tabung Haji, saya wajar menanyakan soalan-soalan berikut kepada Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim:

1) Apa asas-asas pelaburan yang mendorong Tabung Haji menyuntik sehingga RM193.5 juta dana pendeposit Tabung Haji ke dalam PPB? Kenapa Tabung Haji memilih syarikat ini untuk melabur secara terus sedangkan syarikat ini tidak disenaraikan?

2) Adakah pelaburan sebesar RM193.5 juta oleh Tabung Haji ini telah dibentangkan dan diluluskan oleh Panel Pelaburannya? Apa keputusan Laporan Risiko Pelaburan yang dibentangkan kepada Panel Pelaburan yang menilai risiko pelaburan ini?

3) Firma mana yang dilantik untuk melakukan “due diligence” (penilaian kewangan terperinci) sebelum Tabung Haji membuat keputusan untuk menyuntik dana RM193.5 juta ke dalam PPB?

Soalan (3) adalah sangat penting kerana jika satu “due diligence” telah dibuat oleh Tabung Haji, “due diligence” itu sudah tentu dapat mengesan satu aliran tunai sebanyak RM140 juta ke dalam PPD, iaitu anak syarikat milik penuh PPB.

Maka, rakyat berhak mengetahui sama ada kepimpinan Tabung Haji membeli saham dalam PPB (yang melibatkan jumlah yang besar) dengan mempunyai pengetahuan bahawa sejumlah RM140 juta telah pun masuk ke akaun yang disatukan (“consolidated”) PPB dari SRC International Sdn Bhd?

Mana-mana firma yang mengendalikan “due diligence” dalam tahun 2014 ke atas sudah tentu sedia maklum bahawa apa-apa pelaburan yang bersabit dengan 1MDB atau SRC International Sdn Bhd adalah satu pelaburan yang sangat berisiko.

Saya menanyakan soalan-soalan ini kerana Pengarah Urusan Tabung Haji ketika itu, Tan Sri Ismee Ismail juga adalah Ahli Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd sejak hari pertama syarikat itu ditubuhkan, seperti yang dibuktikan di dalam laporan kewangan yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2012.


Semasa Tabung Haji membeli 30% pegangan di dalam PPB pada harga RM193.5 juta, Tan Sri Ismee Ismail mesti menjawab sama ada beliau ada pengetahuan mengenai RM140 juta yang dipindahkan dari akaun SRC International Sdn Bhd.

Rafizi Ramli
Ahli Parlimen Pandan
Naib Presiden KEADILAN

Wang Pencen Dari SRC International Dan Wang Tabung Haji Digunakan Untuk Membayar Jho Low

Pendedahan saya berkenaan dana SRC International Sdn Bhd yang dipindahkan ke akaun Dato’ Seri Najib Tun Razak sebenarnya mahu menumpukan perhatian rakyat kepada isu yang lebih besar iaitu bagaimana wang dari tabung pencen rakyat dan wang dari Tabung Haji akhirnya diselewengkan kepada Jho Low.

Hari ini, saya akan buktikan bagaimana Jho Low menjadi penerima terbesar aliran wang dari tabung rakyat melalui SRC International Sdn Bhd yang mendapat dana dari Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) sebanyak RM4 bilion.

Tumpukan perhatian anda kepada aliran dana dari SRC International Sdn Bhd kepada syarikat-syarikat berikut (seperti paparan carta aliran dana yang ditunjukkan secara tidak sengaja oleh Peguam Negara, Tan Sri Affandi Ali tahun lalu):

 

1. Sebanyak RM170 juta disalurkan terus dari SRC International Sdn Bhd ke Putra Perdana Construction Sdn Bhd, iaitu RM35 juta pada 8 Julai 2014, RM105 juta pada 14 Julai 2014 dan RM30 juta pada 8 Ogos 2014.

2. Pada hari yang sama iaitu 8 Julai 2014, sebanyak RM34.99 juta dipindahkan dari Putra Perdana Construction Sdn Bhd kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak (sebanyak RM27 juta) melalui sebuah lagi syarikat bernama Permai Binaraya Sdn Bhd.

3. Seminggu kemudian pada 14 Julai 2014, RM140 juta dipindahkan ke sebuah syarikat lain iaitu Putra Perdana Development Sdn Bhd iaitu RM105 juta yang dipindahkan terus dari SRC International Sdn Bhd melalui syarikat pengantara Putra Perdana Construction Sdn Bhd pada hari yang sama; dan RM5 juta dari Permai Binaraya Sdn Bhd iaitu penerima sejumlah RM34.99 juta dari SRC International Sdn Bhd seminggu sebelum itu (rujuk pemindahan wang dalam 2).

4. Sebulan kemudian pada 11 Ogos 2014, Putra Perdana Development Sdn Bhd menerima RM30 juta lagi dari SRC International Sdn Bhd melalui Putra Perdana Construction Sdn Bhd.

5. Jumlah RM140 juta yang diterima oleh Putra Perdana Development Sdn Bhd dalam bulan Julai dan Ogos 2014 kemudian dibayar kembali oleh Putra Development Sdn Bhd pada 12 Disember 2014 kepada SRC International Sdn Bhd melalui Putra Perdana Construction Sdn Bhd.

Semakan ke laman web dan carian syarikat Putrajaya Perdana Berhad (http://www.p-perdana.com/index.php) mengesahkan perkara-perkara berikut:

i. Putra Perdana Development Sdn Bhd (juga dikenali sebagai PPD) adalah anak syarikat kepada Putrajaya Perdana Berhad (rujuk carian SSM PPD dan paparan skrin dari laman web Putrajaya Perdana Berhad di bawah):

Download (PDF, 464KB)

Download (PDF, 534KB)

 

ii. Permai Binaraya Sdn Bhd adalah sebuah syarikat yang tidak aktif (“dormant”) yang mempunyai pengarah-pengarah yang sama dengan Putra Perdana Development Sdn Bhd iaitu Dato’ Shukri Dahlan dan Dato’ Rosman Abdullah;

Download (PDF, 533KB)


iii. Putra Perdana Construction Sdn Bhd adalah anak syarikat kepada Putrajaya Perdana Berhad.

Download (PDF, 464KB)

Semakan di laman web Putrajaya Perdana Berhad menunjukkan dalam bulan Mac 2014, Putra Perdana Development Sdn Bhd (syarikat yang menerima RM140 juta dari SRC International Sdn Bhd dalam bulan Julai dan Ogos 2014) telah memeterai satu urusniaga besar yang disenaraikan di bahagian “milestone” (peristiwa besar).

 

Dalam bulan Mac 2014, Putra Perdana Development Sdn Bhd telah membeli 37.5% pegangan di dalam Iskandar (Holdings) Company Limited dari Unity Capital Partners (Cayman) Limited. Kedua-dua syarikat tersebut iaitu Iskandar (Holdings) dan Unity Capital Partners adalah syarikat pesisir luar pantai yang dibuka di Kepulauan Cayman yang menyebabkan senarai pemegang saham dan pengarahnya dirahsiakan.

Walau bagaimana pun, saya berjaya menjejaki kedua-dua syarikat ini kepada Jho Low melalui satu rencana yang disiarkan oleh akhbar perniagaan The Edge bertarikh 3 April 2015 (capaiannya di http://www.theedgemarkets.com/article/jho-low-made-rm400-million-quick-flip-iskandar-land-deal).

Download (PDF, 730KB)

Rencana itu mengesahkan:

i. Jho Low mempunyai kepentingan saham di dalam Iskandar (Holdings) Company Limited
ii. Jho Low mempunyai kepentingan saham di dalam Unity Capital Partners (Cayman) Limited yang turut dimiliki oleh keluarga bekas Ketua Menteri Sarawak, Tun Taib Mahmud

Ini bermakna, dalam bulan Mac 2014, Putra Perdana Development Sdn Bhd telah membeli 37.5% kepentingan dari syarikat-syarikat Jho Low.

Beberapa bulan selepas itu iaitu dalam bulan Julai dan Ogos 2014, Putra Perdana Development Sdn Bhd yang tidak ada kena mengena dengan SRC International Sdn Bhd menerima sejumlah RM140 juta dari SRC International Sdn Bhd, iaitu syarikat milik rakyat yang menggunakan dana pencen kononnya untuk melabur.

Dalam bulan Disember 2014, seperti yang dilaporkan sendiri di laman web Putrajaya Perdana Berhad yang saya tunjukkan di atas, Tabung Haji membeli 30% pegangan di dalam Putrajaya Perdana Berhad dari Cendana Destini Sdn Bhd iaitu satu lagi syarikat yang dilaporkan dikawal oleh Jho Low.

Tahun lepas, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, YB Tony Pua telah berjaya mendapatkan pengesahan berapa jumlah yang disuntik oleh Tabung Haji ke dalam Putrajaya Perdana Berhad selepas pembelian 30% saham dari syarikat Jho Low.

Saya sertakan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir yang mengesahkan bahawa Tabung Haji telah menyuntik sebanyak RM193.5 juta ke dalam Putrajaya Perdana Berhad.

Oleh yang demikian, saya berani mengunjurkan perkara-perkara berikut:

1. Sejumlah RM140 juta telah diambil dari SRC International Sdn Bhd dalam bulan Julai dan Ogos 2014 untuk membayar Jho Low apabila Putra Perdana Development Sdn Bhd membeli pegangan di dalam Iskandar (Holdings) Company Limited

2. Sejumlah RM140 juta telah diambil dari Tabung Haji untuk membayar kembali dana SRC International Sdn Bhd dalam bulan Disember 2014 (yang digunakan terlebih dahulu untuk membayar Jho Low) melalui suntikan dana Tabung Haji ke dalam syarikat Putrajaya Perdana Berhad.

Saya menunggu maklumbalas kedua-dua orang tokoh politik Melayu dari parti Melayu terbesar iaitu Dato’ Seri Najib dan Dato’ Seri Abdul Hadi Awang apabila dana dari Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) dan Tabung Haji berkemungkinan besar telah diselewengkan untuk masuk ke poket Jho Low.

Saya akan meneruskan pendedahan dan siasatan ke atas dana ini kerana ia melibatkan dua tabung yang dimiliki rakyat keseluruhannya.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia
https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Umno Akan Terus Diserang Selagi Najib Perdana Menteri, Siapa Penerima Wang SRC Sebanyak RM23,520,010?

Saya agak tercuit dan geli hati melihat bagaimana Dato’ Seri Najib Tun Razak menyeru supaya “tentera maya” Umno berusaha dari berfikiran “bertahan” (defensive) kepada bersifat “menyerang” (attack mode).

Ucapan beliau kepada tentera maya Umno itu menjadi tular termasuklah ucapan “saya tak takut datang dari siapa: datang dari Mahathir ke, Kit Siang ke, Rafizi ke”) yang disambut dengan laungan dari tentera maya Umno yang hadir (rujuk video yang disertakan). Malah, Dato’ Seri Najib menggunakan laungan “lawan tetap lawan” untuk memberi semangat kepada tentera maya Umno.

Saya geli hati kerana Dato’ Seri Najib mungkin menarik nafas lega apabila pada pandangan beliau parti-parti pembangkang sering berbeza pendapat dan itu memberi kelebihan kepada Umno/Barisan Nasional.

Namun, beliau lupa bahawa majoriti rakyat Malaysia telah membuat keputusan untuk menolak kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri. Oleh itu, selagi Dato’ Seri Najib menjadi presiden Umno dan Perdana Menteri, Umno akan terus diserang dan akan secara berterusan berada di dalam “defensive mode”.

Ini berpunca dari beberapa skandal besar yang masih belum diselesaikan sehingga kini yang turut mengheret nama beliau.

Apabila saya membuat akuan bersumpah mengenai aliran dana dari SRC Internasional Sdn Bhd ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib yang akhirnya sampai kepada Datuk Dr Nasharuddin Mat Isa, saya ingin membawa tumpuan kembali kepada siasatan terhadap Dato’ Seri Najib.

Pada 5 Mac 2016, Sarawak Report memuatnaik satu laporan bertajuk “Matching Sums of $170m Left SRC And Arrived In Najib’s Account” (http://www.sarawakreport.org/2016/03/170m-went-out-of-1mdb-and-170m-went-into-najibs-account-all-in-late-2011-exclusive/)

Laporan itu (dan laporan-laporan lain) memaparkan satu helaian kertas yang dipegang oleh Peguam Negara, Tan Sri Affandi Ali mengenai aliran dana dari akaun SRC Internasional Sdn Bhd ke akaun beberapa syarikat yang kemudiannya sampai ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib di Ambank.

Dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib bernombor 2112022011906, sejumlah RM23,520,010 telah dibayar kepada 17 penerima seperti yang ditunjukkan di dalam helaian rasmi yang dirujuk oleh Peguam Negara itu.

Walaupun pelbagai berita dan siasatan telah dibuat ke atas aliran dana 1MDB dan SRC International Sdn Bhd, sehingga kini tiada sebarang berita atau laporan mengenai 17 orang yang menerima dana yang berasal dari Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) ini? Siapa yang menerima dana ini? Untuk apa mereka menerima dana ini? Kenapa mereka menerima dana dari Dato’ Seri Najib? Kenapa Dato’ Seri Najib mengambil wang dari syarikat yang meminjam dari wang pencen rakyat untuk dibayar kepada pihak ketiga?

Saya akan memberi tumpuan dalam masa seminggu dua ini untuk mendapatkan jawapan dari Dato’ Seri Najib dan pihak berkuasa berkenaan pemindahan-pemindahan wang ini.

Oleh itu, saya akan membuat beberapa pendedahan bersiri mengenai skandal ini dan diakhiri dengan satu laporan polis baru terhadap Dato’ Seri Najib dalam tempoh seminggu dari sekarang agar siasatan dibuka kembali terhadap penglibatan Dato’ Seri Najib dalam aliran dana ke akaun peribadi beliau.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia
https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Harga RON95 Patut Kekal Pada RM2.24 Seliter, Apa Sudah Jadi Dengan Wang RM1.6 Bilion Pendapatan Luar Jangka

Saya sertakan laporan harga minyak mentah Brent mengikut laporan Bloomberg bagi tempoh seminggu sehingga hari ini:

Menggunakan semua data-data harga minyak mentah dan kadar tukaran wang asing berbanding dengan harga minyak mentah Brent, saya telah mengusahakan satu model matematik yang boleh meramalkan harga RON95 dengan berpandukan harga minyak mentah Brent (tanpa perlu menyemak harga MOPS95 yang diterbitkan Platts kerana laporan itu mahal dan tidak boleh disemak orang ramai).

Harga bagi minggu lepas adalah seperti yang ditunjukkan di dalam jadual berikut:

Oleh yang demikian, harga RON95 yang akan disemak esok sepatutnya dikekalkan pada harga RM2.24 seliter.

Memandangkan harga minyak mentah terus kekal pada paras yang jauh lebih tinggi (iaitu ~USD55 setong) berbanding harga yang digunakan untuk Bajet 2017 (iaitu USD45 setong), saya mengunjurkan Kerajaan Persekutuan telah mengumpul RM1.6 bilion pendapatan luar jangka dari kenaikan harga minyak mentah ini.

Oleh yang demikian, saya mengulangi desakan saya supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak membentangkan bagaimana jumlah ini diagihkan secepat mungkin untuk mengelakkan ia digunakan bagi perbelanjaan yang membazir dan tidak menguntungkan rakyat.

Saya mengutuk perangai beliau yang berterusan berdiam diri mengenai perkara ini sedangkan harga minyak RON95, RON97 dan diesel terus kekal pada harga yang tinggi dan membebankan rakyat.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN


Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia
https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Tindakan Saman Ke Atas Raja Petra Kamaruddin, Nik Amar Terkeliru SD Dalam Kes Fitnah Sodomi Terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim

Saya telah mengarahkan peguam saya, Saudara Saiful Izham Ramli dari Tetuan Saiful Kasri & Co untuk mengeluarkan satu surat tuntutan (“letter of demand”) terhadap Raja Petra Kamaruddin, pengendali laman Malaysia Today yang telah mengeluarkan kata-kata fitnah terhadap saya seperti berikut:

“…Rafizi should also come out and tell us about the millions that he, Saifuddin Nasution, Zaid Ibrahim, and many more in PKR received from John Soh Chee Wen. Soh, who is Tun Daim Zainuddin’s business partner, gave Zaid alone RM6 million. Rafizi and Saifuddin received about RM20 million. Anwar Ibrahim got much more than that, as did Dr Wan Azizah Wan Ismail and Nurul Izzah. In fact, Free Malaysia Today got RM12 million as well, just like The Malaysian Insider got RM13 million from Tong Kooi Ong — as Ho Kay Tat, the publisher of The Edge Media Group, revealed..

Tuduhan itu dibuat dalam satu penulisan beliau yang disiarkan pada 7 April 2017 di capaian http://www.malaysia-today.net/bahri-is-rafizis-source-about-1mdbs-money-allegedly-going-to-pas/ yang menuduh saya, (antara lainnya), menerima RM20 juta dari seorang yang bernama John Soh.

Fitnah ini diulang berkali-kali oleh pimpinan dan penyokong PAS sebagai jawapan kepada pendedahan saya mengenai aliran dana dari SRC Internasional Sdn Bhd ke akaun Dato’ Seri Najib Tun Razak yang akhirnya sampai kepada Datuk Dr. Nasharuddin Mat Isa.

Arahan ini telah dikeluarkan sejak Jumaat lagi setelah saya mendapat kesahihan status Raja Petra Kamaruddin sebagai seorang yang muflis.

Berdasarkan carian dari Jabatan Insolvensi Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, saya telah mengesahkan bahawa Raja Petra Kamaruddin adalah seorang yang muflis sejak tarikh 4 April 2001 lagi (rujuk carian Jabatan Insolvensi yang saya sertakan bersama).

Download (PDF, 149KB)

Carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia juga menunjukkan satu-satunya syarikat yang beliau mempunyai saham juga telah dibubarkan (“dissolved”) sejak 20 Ogos 2001, iaitu sejurus selepas beliau sendiri diisytiharkan muflis (rujuk carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi syarikat Raja Petra Holdings Bhd yang disertakan).

Download (PDF, 201KB)

Oleh yang demikian, saya sedia maklum bahawa saya mengambil tindakan saman ke atas seorang yang sudah pun muflis. Kalau pun saya menang, saya tidak akan mendapat apa-apa pampasan dari beliau, malah saya terpaksa membayar lagi yuran guaman dalam memfailkan saman tersebut.

Namun, saya merasakan ia telah menjadi keperluan kerana Raja Petra Kamaruddin merasakan dia dilindungi dari sebarang tindakan kerana berada di United Kingdom dan juga seorang yang muflis. Beliau tahu tindakan menyaman beliau adalah membazirkan wang kerana sebagai seorang yang muflis, beliau tiada harta untuk membayar pampasan. Segala wang dan perniagaan beliau di United Kingdom (melalui sebuah restoran yang diusahakan di Manchester) adalah menggunakan nama anak-anak dan isteri beliau (sila rujuk carian dari Companies House yang saya sertakan).

Download (PDF, 79KB)

Download (PDF, 76KB)

Tetapi saya bukan mahukan wang. Saya mahukan kebenaran.

Masyarakat tidak sepatutnya membenarkan seorang individu seperti Raja Petra Kamaruddin ini menaburkan fitnah sewenang-wenangnya demi sedikit sogokan dari individu tertentu. Setelah menjadi muflis dan disiasat pula kerana dituduh membuat satu Akuan Bersumpah yang tidak benar, beliau melarikan diri dari tindakan undang-undang ke United Kingdom sehingga kini dan terlepas dari proses undang-undang.

Malangnya fitnah beliau selalu juga digunakan oleh tokoh-tokoh masyarakat yang tidak menyelidik dahulu fakta sesuatu perkara.

Saya menegur Datuk Nik Amar Nik Abdullah, Naib Presiden PAS yang mencemar nama baik PAS apabila dilaporkan mengheret Dato’ Seri Anwar Ibrahim di dalam pertikaian dana SRC Internasional Sdn Bhd yang masuk ke dalam akaun Datuk Dr Nasharuddin Mat Isa.

Saya rujuk laporan berita Sinar Harian di capaian http://www.sinarharian.com.my/politik/kenapa-rafizi-tidak-saman-raja-petra-1.660550 yang memetik beliau berkata:

“…Mohd Amar juga membangkitkan persoalan, mengapa dalam isu ini, SD yang dilakukan Rafizi perlu diterima, walhal kes lain misalnya melibatkan SD Saiful Bukhari Azlan dan Datuk Abdul Murad Khalid (bekas Penolong Gabenor Bank Negara) tidak diterima.

“Dalam soal sumpah, Datuk Seri Anuar Ibrahim daripada awal tuduhan liwat sampai penjara tidak pernah bersumpah menafikan tuduhan tersebut.

“Jadi bagaimana itu? Kalau kita terima SD Rafizi, maka kita perlu terima juga SD Saiful dan Murad.

“Kita kena konsisten, kalau ada metologi, perlu gunakan metalogi yang sama. Jangan kita gunakan untuk diri sendiri. Tidak betul caranya,” katanya…

Datuk Nik Amar terkeliru bahawa Saiful Bukhari memfitnah Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan membuat laporan polis, bukannya dengan kaedah Akuan Berkanun kerana hukuman membuat akuan berkanun palsu adalah berat. Akuan Berkanun yang sering dirujuk di dalam fitnah sodomi oleh Saiful Bukhari adalah satu akuan berkanun oleh doktor Hospital Pusrawi bernama Dr Mohamad Osman Abdul Hamid yang mengesahkan bahawa tiada kecederaan di dalam dubur Saiful Bukhari yang menjadi bukti paling kukuh bahawa dia tidak diliwat seperti yang didakwa di dalam laporan polisnya.

Download (PDF, 196KB)

Namun, Akuan Berkanun itu dan bukti-bukti perubatan yang menunjukkan tiada kecederaan di dalam dubur Saiful Bukhari langsung tidak diendahkan oleh penghakiman Mahkamah Persekutuan yang memutuskan keterangan Saiful Bukhari sudah memadai memandangkan hakim-hakim yakin dia tidak berbohong.

Pihak polis juga tidak mengambil sebarang tindakan ke atas Dr Mohamad Osman Abdul Hamid yang menunjukkan Akuan Berkanun itu benar.

Setelah peguam saya mengeluarkan surat tuntutan dan selepas tarikh masa menjawab luput (seminggu selepas itu), saya akan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Raja Petra Kamaruddin. Walaupun beliau seorang yang muflis, saya mahu melihat beliau dibawa balik ke Malaysia pada satu hari nanti untuk menjawab semua pertuduhan terhadap beliau termasuklah saman fitnah saya terhadap beliau.

Ini adalah kali pertama saya mengambil tindakan sama terhadap sesiapa pun kerana saya tahu siapa di belakang Raja Petra Kamaruddin. Saya berharap semua pimpinan politik, baik kerajaan atau pembangkang, berhati-hati dengan sebarang berita yang dikeluarkan oleh seorang penulis upahan seperti ini.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

%d bloggers like this: