Sejak diumumkan pada hari Khamis (19 Ogos 2010), ada beberapa perkara yang ditimbulkan oleh pembaca laman-laman web sosial mengenai sasaran pendapatan minima RM4,000 bagi setiap isi rumah, dalam tempoh 5 tahun Pakatan Rakyat berkuasa.
Ada 2 perkara yang perlu dikupas – pertama (seperti yang dijangka), persoalan bagaimanakah perkara ini akan dapat dilaksanakan. Maka ada sesetengah pihak yang dengan cepat menyatakan bahawa ini satu gula-gula dan retorik yang tidak akan dapat dilaksanakan.
Saya mengakui bahawa persoalan polisi dan kaedah mencapai sasaran itu perlukan penelitian dan perancangan yang besar. Komen-komen yang mempersoalkan bentuk langkah-langkah yang akan dibuat adalah komen yang berasas (cuma kadang-kadang saya khuatir sama ada komen dan keraguan sebegitu hanya diajukan kepada Pakatan Rakyat, sedangkan setakat ini semua pengumuman besar yang dibuat oleh Barisan Nasional tidak realistik dan mengenepikan hakikat bahawa semua sasaran RMK8 hingga RMK10 tidak pun dicapai).
Namun bagi saya, persoalan yang lebih penting adalah konsep yang ingin dibawa oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim berbanding pendekatan pembangunan ekonomi yang dilaungkan oleh Umno/BN.
Ilusi mengenai sasaran pegangan 30% ekuiti Bumiputra telah menjadi begitu tebal di kalangan sesetengah kita sehinggakan sebarang ulasan dan kritik membina pun dituduh sebagai mengkhianati kedudukan istimewa orang Melayu, yang turut menyentuh penglibatan ekonomi orang Melayu.
Sedangkan selepas 40 tahun, bukan sahaja sasaran 30% itu langsung tidak tercapai – jumlah orang Melayu yang mendapat nikmat secara terus dari kegilaan mencapai sasaran 30% ini terlalulah sedikit.
Hakikat ini tidak boleh dinafikan, kerana statistik yang dikeluarkan oleh kerajaan persekutuan sendiri mengakui bahawa 40% pendapatan isi rumah rakyat negara ini masih lagi berada di bawah RM2,000 sebulan – sedangkan paras pendapatan yang membolehkan sesebuah keluarga menerima bantuan di bawah Skim e-Kasih adalah RM1,000 sebulan (desa) dan RM1,500 (bandar).
Daripada sejumlah 2.4 juta keluarga ini, 75% daripadanya adalah keluarga Melayu dan bumiputra seperti yang dinyatakan oleh Prof Datuk Dr Mohamed Arif.
Beza di antara RM2,000 pendapatan purata sebahagian besar keluarga Melayu dengan aras RM1,000 – RM1,500 yang dikategorikan sebagai miskin adalah terlalu dekat. Maknanya sebahagian besar keluarga Melayu hidup tidak ubah seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Sebab itu, selama-lamanya sasaran 30% ekuiti bumiputra yang dikira keramat oleh Umno ini tidak akan dicapai dalam kerangka pelaksanaan sekarang – kerana tumpuan bukannya untuk menjamin kesejahteraan rakyat terbanyak, tetapi pegangan ekuiti yang boleh sahaja dipusatkan di tangan beberapa orang kroni sahaja.
Pendekatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa kedudukan ekonomi orang Melayu/bumiputra perlu keluar dari kerangka awangan sebegitu dan ditumpukan kepada sasaran yang benar-benar ada kesan kepada kesejahteraan ekonomi orang Melayu terbanyak – adalah pendekatan yang perlu dialu-alukan, kalau pun ada sedikit keraguan tentang kaedah pelaksanaan.
Polemik ekonomi Melayu bukanlah monopoli Umno yang bercakap dalam kerangka yang hanya mereka fahami dan langsung tidak mencerminkan realiti di bawah.
Cadangan yang Dato’ Seri Anwar Ibrahim bawa ini sepatutnya dikupas dengan baik oleh semua pihak (terutamanya Umno), sekiranya kebajikan orang Melayu terbanyak yang diperjuangkan.