Dasar Automotif Negara: Pertahan Hak Rakyat,Angkat Ekonomi Negara

Seperti mana yang telah digariskan dalam Buku Jingga, dasar ekonomi yang diamalkan oleh Kerajaan UMNO-BN yang tidak telus dan mengamalkan amalan pengagihan projek kepada kroni tanpa proses tender telah meningkatkan kos dan membebankan rakyat.

Kesan yang ketara dari dasar kini adalah kini adalah kesenjangan melebar di antara kelompok kecil yang maha kaya dan rakyat terbanyak. Pakatan akan mengutamakan pelaksanaan sistem pengangkutan awam yang cekap dan menyeluruh.

Kota-kota utama Malaysia terutamanya Kuala Lumpur belum menyaksikan kewujudan pengangkutan awam yang baik.

Maka kerangka dasar automatif negara yang diutarakan KEADILAN untuk pertimbangan Pakatan akan dilaksanakan seiringan dengan pengangkutan awam yang lebih cekap dengan kadar yang munasabah.

Rakyat Malaysia telah menanggung hutang dan terbeban dengan kos pengangkutan yang berganda setelah sekian lama. Masanya telah tiba untuk menghentikan ketidakadilan ini dengan merombak dasar automotif negara demi kebajikan rakyat.

KEADILAN mengakui bahawa ada perkara-perkara asas yang perlu diambil kira seperti berikut:

1. Dasar automotif negara yang baru haruslah melindungi kebajikan pekerja-pekerja sektor automotif; dan

2. Dengan menambahbaik sistem pengangkutan awam dengan kos yang munasabah; maka sasaran penggunaan kenderaan persendirian akan berkurangan dan jumlah gunapakai bahan api dijangka akan menurun.

Oleh yang demikian, dasar-dasar khusus yang bakal dicadangkan oleh KEADILAN adalah berpaksikan kepada pertimbangan-pertimbangan tersebut.

Justeru, KEADILAN akan mengemukakan untuk pertimbangan Pakatan Rakyat satu dasar automotif bersama (seperti berikut):

Matlamat 1: Meningkatkan pendapatan bolehguna rakyat

i. Komitmen untuk menurunkan harga kereta secara berperingkat dalam tempoh 5 tahun.

ii. Komitmen untuk menyemak kembali peraturan-peraturan dan kadar yang dikenakan oleh institusi kewangan bagi pinjaman kereta untuk memastikan keseimbangan di antara pembiayaan kereta yang munasabah dan mengelakkan kebanjiran kenderaan akibat penurunan harga kereta.

Matlamat 2: Menjamin nilai kereta sedia ada dan terpakai tidak jatuh merudum

i. Penghapusan cukai eksais dan penurunan harga kereta akan dibuat secara berperingkat supaya nilai kereta sedia ada dan terpakai turut turun secara berperingkat.

ii. Kadar penurunan cukai eksais akan diumumkan setiap tahun di dalam Belanjawan Kerajaan Persekutuan setelah mengambil kira pandangan institusi kewangan dan semua pihak yang terlibat di dalam perusahaan automotif dan kenderaan terpakai. Ini bertujuan supaya susutnilai kereta dan aset pinjaman yang dipegang oleh institusi kewangan adalah selari dengan penurunan harga kereta baru.

iii. Kerajaan akan mengumumkan insentif di dalam Belanjawan Kerajaan Persekutuan setiap tahun untuk menggalakkan industri pengeksportan kereta terpakai ke pasaran baru; termasuklah insentif kepada pengusaha-pengusaha kemudahan baikpulih kenderaan (reconditioning and upgrading facilities)

Matlamat 3: Mengimbangi keperluan hasil negara

i. Pengenalan sistem bidaan permit import (AP) mengikut kategori kenderaan dijangka akan membawa hasil di antara RM2 bilion hingga RM3 bilion setiap tahun sehingga 2015 apabila AP dihapuskan sepenuhnya.

ii. Penurunan cukai eksais secara berperingkat dalam tempoh 5 tahun akan memastikan hasil negara tidak jatuh merudum seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak, sebaliknya diimbangi oleh hasil baru dari bidaan AP.

iii. Suntikan sebanyak RM8 bilion ke dalam ekonomi domestik dijangka akan merancakkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan hasil cukai pendapatan dan cukai jualan kerajaan bermula dari tahun kedua selepas pengenalan dasar baru. Peningkatan hasil cukai pendapatan dan cukai jualan dianggarkan akan menambah sekitar RM1 bilion hingga RM1.5 bilion kepada pendapatan negara setiap tahun.

iv. Kerajaan akan memotong peruntukan Jabatan Perdana Menteri dan menghadkan perbelanjaan tidak terancang (ad hoc expenditure) yang diumumkan Perdana Menteri dan kabinetnya untuk mengawal perbelanjaan.

v. Industri baru iaitu pengeksportan kereta terpakai ke pasaran baru dijangka akan mewujudkan sumber pendapatan baru kepada kerajaan.

Matlamat 4: Menjamin kebajikan pekerja-pekerja industri automotif

i. Dasar automotif negara yang baru akan memastikan sasarannya adalah untuk merancakkan industri automotif secara keseluruhan, bukannya menjamin pemilikan industri automotif di tangan pihak-pihak tertentu. Ini penting supaya peluang pekerjaan dan nilai tambah sektor ini terus meningkat dengan penyertaan lebih banyak firma automotif antarabangsa.

ii. Syarikat-syarikat tempatan akan diberikan sepenuh kebebasan untuk melaksanakan strategi kerjasama dan pembangunan automotif yang menjamin peluang pekerjaan dan peningkatan penggunaan kapasiti sedia ada.

iii. Insentif khas akan ditumpukan kepada usaha meningkatkan kualiti kereta yang dikeluarkan di Malaysia agar boleh bersaing di peringkat antarabangsa. Matlamat kerajaan adalah untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan nilai tambah di dalam industri automotif agar kadar eksport kereta buatan Malaysia ditingkatkan.

Matlamat 5: Pengurangan jumlah kenderaan persendirian

i. Sistem pengangkutan awam yang paling cekap di rantau Asia Tenggara dalam tempoh 10 tahun. Tumpuan akan diberikan kepada sistem pengangkutan awam yang tidak menelan belanja yang besar tetapi dibuktikan berkesan, terutamanya rangkaian bas dalam bandar yang kini diabaikan oleh pentadbiran sedia ada.

ii. Rangkaian keretapi antara bandar yang lebih cekap dan murah agar penggunaannya boleh ditingkatkan berbanding keadaan sekarang. Penstrukturan semula KTMB dan pemodenannya akan menjadi salah satu fokus utama pentadbiran baru di Putrajaya.

iii. Insentif akan terus diberikan kepada syarikat-syarikat yang membangunkan dan mengilang kenderaan mesra alam di Malaysia dengan sasaran untuk menjadikan Malaysia mempunyai nisbah kenderaan mesra alam per kapita yang tertinggi di rantau Asia Tenggara dalam tempoh 10 tahun.

Kerangka dasar automotif negara yang baru ini adalah permulaan kepada reformasi menyeluruh sistem pengangkutan negara yang bermula dengan keutamaan mengurangkan beban hutang rakyat.

ANWAR IBRAHIM
KETUA UMUM
PARTI KEADILAN RAKYAT

2 OGOS 2012

Skandal George Kent-LRT Ampang: Suruhanjaya Diraja Untuk Menyiasat Salahguna Kuasa Perdana Menteri

Anugerah kontrak bernilai RM1.1 bilion kepada Konsortium George Kent bagi pembinaan tambahan laluan LRT Ampang mengesahkan campur tangan dan salahguna kuasa Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak seperti yang didedahkan sebelum ini.

Sehingga kini, beliau tidak menafikan bahawa:

1. Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan dalam mesyuarat bilangan 1/2012 telah memutuskan bahawa Konsortium Balfour-Beatty adalah pembida terbaik dari segi harga dan kepakaran teknikal;

2. Jawatankuasa yang sama dan dipengerusikan beliau dalam mesyuarat bilangan 5/2012 telah membatalkan keputusan tersebut dan melantik Konsortium George Kent, walaupun pembida itu diputuskan tidak layak oleh penilai pakar kerana markah penilaian teknikal antara yang tercorot;

3. Daripada 8 pembida, 3 pembida adalah syarikat yang ditunjangi oleh Thales, sebuah syarikat besar dari Perancis yang sebelum ini dikaitkan dengan dakwaan merasuah Dato’ Seri Najib dan sekutu kanan beliau; dan

4. Pemilik George Kent dilaporkan sebagai seorang kenalan rapat Dato’ Seri Najib.

Fakta-fakta yang tidak dinafikan ini secara jelas menunjukkan ada unsur-unsur salahguna kuasa dan penyelewengan apabila syarikat milik rakan karib Dato’ Seri Najib dianugerahkan kontrak besar walaupun tidak mempunyai pengalaman atau kepakaran.

Walaupun saya telah membuat laporan polis dan saya sendiri telah disiasat polis, itu tidak mempunyai apa-apa kesan kepada keputusan yang akan melibatkan nyawa jutaan rakyat dan berbilion ringgit wang rakyat. Jelas sekali bahawa pihak polis dan SPRM tidak berkuasa untuk menyiasat Dato’ Seri Najib sehinggakan anugerah kontrak tersebut terus dibuat tanpa mengira kemarahan rakyat.

Mengambil kira kegagalan pihak polis menyekat perlakuan salahguna kuasa di peringkat tertinggi kerajaan ini, saya mendesak supaya sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat peranan dan campur tangan Dato’ Seri Najib di dalam penganugerahan kontrak tersebut kepada rakan karibnya.

Lebih-lebih lagi apabila ada beberapa persoalan besar mengenai kepentingan awam yang berkait dengan kes ini:

1. Campur tangan Dato’ Seri Najib di dalam proses perolehan projek-projek negara menggambarkan kroniknya amalan rasuah dan salah gunakuasa di peringkat tertinggi negara;

2. Kemungkinan wujudnya campur tangan Dato’ Seri Najib di dalam institusi-institusi negara seperti Kamar Peguam Negara, Bank Negara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia apabila individu yang terlibat mendedahkan skandal beliau terus dihadapkan ke mahkamah kurang 24 jam dari pengumuman anugerah kontrak kepada George Kent;

3. Persoalan mengenai hubungan Dato’ Seri Najib dengan Thales yang didakwa terlibat dengan penjualan dokumen sulit pertahanan negara membayangkan penglubatan pimpinan tertinggi negara dalam kegiatan yang mengkhianati negara.

Persoalan dan tuduhan-tuduhan ini hanya boleh dirungkai melalui sebuah Suruhanjaya Diraja yang mempunyai kuasa penuh menyiasat seorang Perdana Menteri.

Jika Dato’ Seri Najib yakin beliau tidak bersalah, beliau tidak perlu gentar untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat semua dakwaan ini.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
2 OGOS 2012

Penubuhan National Oversight & Whistleblowers Centre (NOW) Untuk Melindungi Pemberi Maklumat

Negara telah menyaksikan beberapa perkembangan sihat dalam tempoh setahun yang lalu apabila ramai rakyat Malaysia tampil untuk memberi maklumat mengenai salahguna kuasa dan perlakuan rasuah yang berlaku. Individu-individu yang tampil ini berhadapan dengan risiko yang besar, termasuklah risiko kewangan, pekerjaan dan keselamatan.

Saya bersimpati dengan nasib yang menimpa Saudara Johari Mohamad yang hilang mata pencarian, diugut, disiasat dan akhirnya didakwa. Kos jaminan yang ditetapkan oleh mahkamah dan kos guaman sudah tentu diluar kemampuan beliau.

Sepanjang saya mengendalikan beberapa kes berkepentingan awam setakat ini, saya berurusan dengan ramai rakyat Malaysia yang berani seperti Saudara Johari Mohamad. Mereka juga kini menghadapi risiko yang sama.

Mereka sepatutnya dilindungi oleh kerajaan. Sebaliknya mereka diburu, diugut dan didakwa oleh kerajaan. Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (Whistleblowers Protection Act) yang digubal langsung tidak berkesan malah diragui rakyat.

Saya percaya selepas ini, pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak akan terus memburu pemberi maklumat untuk menutup mulut mereka. Pemburuan ini juga bertujuan untuk mematikan bercambahnya budaya baru dalam masyarakat kita yang menggalakkan pemberi maklumat tampil ke hadapan.

Menyedari bahawa tanggungjawab melindungi pemberi maklumat dan menjaga kebajikan mereka tidak akan dipikul oleh kerajaan, saya merasa terpanggil untuk bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan sedia ada dan seluruh masyarakat untuk menubuhkan sebuah badan khusus untuk melindungi dan menjaga kebajikan pemberi maklumat.

Saya telah menubuhkan sebuah badan yang bernama National Oversight and Whistleblowers Centre (kependekan namanya NOW) yang bermatlamat seperti berikut:

1. Berfungsi sebagai badan pemantau yang menilai secara berkala prestasi urustadbir, tata kelola (governance) dan ketelusan kerajaan dan agensinya (termasuk syarikat berkaitan kerajaan);

2. Berfungsi untuk mendedahkan skandal-skandal besar yang cuba dilindungi oleh mana-mana badan yang berkepentingan awam;

3. Melindungi dan menjaga kebajikan pemberi maklumat melalui Dana Perlindungan Pemberi Maklumat (Whistleblower Protection Fund) yang menanggung kos guaman, kos hilang sara diri dan lain-lain;

4. Menjalankan program kesedaran untuk menggalakkan lebih ramai pemberi maklumat tampil ke hadapan; dan

5. Melatih lebih ramai aktivis yang berkemahiran menganalisa skandal dan melakukan pendedahan.

Badan ini telah didaftarkan dan akan beroperasi dari pusatnya di Sungai Besi. Kelengkapan di pusat ini termasuklah kemudahan dewan latihan untuk menjalankan program latihan dan wacana yang berterusan.

NOW akan dilancarkan secara rasmi pada 30 Ogos 2012, sehari sebelum Hari Kebangsaan untuk melambangkan kebebasan baru rakyat Malaysia.

Kejayaan NOW dalam melindungi pemberi maklumat akan bergantung kepada sumbangan orang ramai untuk menampung Dana Perlindungan Pemberi Maklumat.

Oleh itu, saya mengalu-alukan sebarang bantuan dan sumbangan untuk mengisi tabung ini. Maklumat akaun bank NOW adalah seperti berikut:

Akaun Maybank bernombor 562441603039 (Oversight & Whistleblowers Sdn Bhd)

Sebarang sumbangan akan membantu menyegarkan lagi proses mematangkan masyarakat dan membina kebertanggungjawaban awam di negara ini.

MOHD RAFIZI RAMLI
2 OGOS 2012

Pengurusan Permit Import (AP) Yang Lebih Baik Jana Sumber Kewangan Negara Menggantikan Cukai Eksais

Kebimbangan yang dimainkan oleh Umno/Barisan Nasional dan sesetengah pihak bahawa penghapusan cukai eksais kereta demi menurunkan harga kereta akan mengurangkan hasil kerajaan dan menjejaskan ekonomi adalah tidak tepat.

KEADILAN telah menjelaskan bahawa jumlah cukai RM8 bilion yang dianggarkan dikenakan ke atas rakyat sekarang ini sebenarnya akan dipulangkan kepada rakyat. Jumlah ini akan dibelanjakan oleh rakyat di dalam ekonomi negara yang akan merancakkan pertumbuhan ekonomi. Pertumbuhan ekonomi ini akan meningkatkan hasil kerajaan melalui kutipan cukai pendapatan syarikat dan individu. Kesan berganda kepada ekonomi negara jika jumlah RM8 billion ini dipulangkan kepada rakyat adalah lebih tinggi berbanding jika ia berada di dalam poket kerajaan.

Malah, pengurusan permit import (AP) kereta yang lebih baik juga akan menambahkan lagi pendapatan negara. Gabungan kedua-dua langkah ini akan memastikan pendapatan negara tidak terjejas secara mendadak hasil dari penghapusan cukai eksais secara berperingkat.

Perlu diingatkan, Umno/Barisan Nasional telah mungkir janji dengan rakyat untuk menghapuskan AP seperti yang diumumkan di dalam Dasar Automotif Negara yang berkuatkuasa bermula 20 Oktober 2005. Janji untuk menghapuskan AP menjelang 31 Disember 2010 tidak ditepati, sebaliknya kini sasaran itu ditangguhkan pula ke 31 Disember 2015.

Sistem AP bukan sahaja menyebabkan harga kereta yang lebih tinggi tetapi hanya menguntungkan sesetengah pihak yang rapat dengan Umno/Barisan Nasional.

Janji Umno/Barisan Nasional supaya hasil dari AP ini akan digunakan untuk membantu usahawan Bumiputra di dalam sektor automotif juga tidak ditepati. Di dalam ucapan belanjawan 2010, Dato’ Seri Najib telah mengumumkan bahawa setiap AP akan dijual pada harga RM10,000 dan hasilnya akan dimasukkan ke dalam satu tabung untuk membantu usahawan Bumiputra.

Bagi tahun 2011, sebanyak 600,123 unit kenderaan didaftar. Dari jumlah itu, 533,515 unit dikeluarkan dan dipasang di Malaysia, bermakna sejumlah 66,608 AP telah dikeluarkan dalam tahun 2011 bagi kenderaan import. Jika benar hasil AP yang bernilai RM10,000 setiap satu ini telah dimasukkan ke dalam satu tabung untuk usahawan Bumiputra, sepatutnya pentadbiran Dato’ Seri Najib telah membelanjakan RM666 juta setiap tahun untuk membantu usahawan Bumiputra dalam sektor automotif seperti yang dijanjikan.

Sehingga kini, kita masih belum mendapat apa-apa maklumat mengenai tabung ini atau pun hasil AP yang telah dibelanjakan untuk rakyat.

Sebab itu, KEADILAN mencadangkan supaya kerajaan akan datang kekal dengan komitmen untuk menghapuskan AP menjelang tahun 2015 supaya tidak melanggar peraturan WTO dan AFTA yang telah dipersetujui.

Dalam tempoh 3 tahun di antara 2013 dan 2015, langkah-langkah berikut wajar dilaksanakan bagi mendapatkan nilai terbaik dari AP yang dikeluarkan:

1. Penjualan AP akan dibuka kepada bidaan umum bermula dengan harga-harga tertentu mengikut kategori kereta dan penggunaan bahan api, demi menggalakkan lebih banyak kereta yang menjimatkan bahan api diperkenalkan

2. Harga permulaan bidaan ditetapkan pada RM10,000 bagi kategori jimat bahan api, RM20,000 bagi kategori kenderaan biasa dan RM30,000 bagi kategori kenderaan berkuasa tinggi yang menggunakan bahan api yang lebih

3. KEADILAN percaya harga purata bagi setiap AP yang dikeluarkan boleh mencecah RM40,000 apabila penjualan AP dibuka kepada proses bidaan

4. Dengan anggaran sebanyak 70,000 AP dikeluarkan setiap tahun, ini akan membawa hasil sebanyak RM2.8 bilion setiap tahun kepada kerajaan

Walaupun harga AP akan ditentukan oleh proses bidaan untuk mendapatkan hasil terbaik kepada negara, penghapusan cukai eksais secara berperingkat bermakna harga kereta secara purata akan tetap turun.

Pendapatan tambahan dari hasil AP yang dirombak dianggarkan akan memastikan perbendaharaan negara kekal mendapat di antara RM2 bilion hingga RM3 bilion setiap tahun bagi mengimbangi penurunan kutipan cukai eksais.

Pada masa yang sama, hasil kutipan cukai yang lain juga dijangka akan meningkat apabila perbelanjaan rakyat berikutan suntikan RM8 bilion merancakkan ekonomi negara.

KEADILAN merasakan formula ini adalah lebih baik berbanding pendekatan mencekik darah rakyat melalui cukai eksais berkali ganda yang menyebabkan rakyat terpaksa berhutang untuk membayar cukai kepada kerajaan.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

YB NIK NAZMI NIK AHMAD
PENGARAH KOMUNIKASI KEADILAN

YB SIM TZE TZIN
TIMBALAN KETUA PENERANGAN KEADILAN

31 JULAI 2012

Pemotongan Cukai Eksais Kereta: Jumlah Perbelanjaan Tidak Terancang Oleh Perdana Menteri Melebihi Kutipan Cukai Eksais Setiap Tahun

KEADILAN mengalu-alukan pelbagai maklumbalas setakat ini berhubung cadangan menurunkan harga kereta melalui kaedah rombakan struktur cukai yang dikenakan ke atas kereta terutamanya cukai eksais dan cukai import. Maklumbalas yang bertalu-talu mengesahkan pandangan KEADILAN bahawa isu ini adalah isu rakyat yang perlu dibincangkan di peringkat nasional.

Kenyataan beberapa pimpinan Umno/Barisan Nasional yang cepat melatah bahawa rombakan struktur cukai ini akan menurunkan harga kereta berjenama antarabangsa setara dengan harga kereta-kereta Proton menampakkan mereka tidak memahami konsep cukai eksais.

Cukai eksais yang dikenakan terhadap pembelian kereta adalah cukai menyeluruh yang tidak membezakan di antara jenama dan model kereta tempatan atau antarabangsa. Cukai eksais adalah cukai yang dikenakan terhadap sesuatu kumpulan barangan, maka cukai eksais terhadap pembelian kereta adalah cukai yang dikenakan terhadap mana-mana pembelian kereta pada kadar yang sama.

Struktur cukai-cukai yang kini dikuatkuasakan ke atas pembelian kereta adalah seperti berikut:

 A) Kereta (termasuk station wagon, sports cars dan racing cars)

 

DUTI IMPORT

CUKAI TEMPATAN

CBU

CKD

MSP

CBU & CKD

Engine
Capacity (cc)

MFN

ASEAN 
CEPT

MFN

ASEAN 
CEPT

MFN

ASEAN 
CEPT

CUKAI EKSAIS

CUKAI JUALAN

 < 1,800

30%

0%

10%

0%

10%

n.a

75%

10%

 1,800 – 1,999

30%

0%

10%

0%

10%

n.a

80%

10%

 2,000 – 2,499

30%

0%

10%

0%

10%

n.a

90%

10%

 Above 2,500

30%

0%

10%

0%

10%

n.a

105%

10%

 

 B) Kenderaan Pacuan 4 Roda

 

DUTI IMPORT

CUKAI TEMPATAN

CBU

CKD

MSP

CBU & CKD

Engine
Capacity (cc)

MFN

ASEAN 
CEPT

MFN

ASEAN 
CEPT

MFN

ASEAN 
CEPT

CUKAI EKSAIS

CUKAI JUALAN

 < 1,800

30%

0%

10%

0%

10%

n.a

65%

10%

 1,800 – 1,999

30%

0%

10%

0%

10%

n.a

75%

10%

 2,000 – 2,499

30%

0%

10%

0%

10%

n.a

90%

10%

 Above 2,500

30%

0%

10%

0%

10%

n.a

105%

10%

 

 C) Lain-lain (MPV & van)

 

DUTI IMPORT

CUKAI TEMPATAN

CBU

CKD

MSP

CBU & CKD

Engine
Capacity (cc)

MFN

ASEAN 
CEPT

MFN

ASEAN 
CEPT

MFN

ASEAN 
CEPT

CUKAI EKSAIS

CUKAI JUALAN

 < 1,500

30%

0%

NIL

0%

NIL

n.a

60%

10%

 1,500 – 1,799

30%

0%

10%

0%

10%

n.a

65%

10%

 1,800 – 1,999

30%

0%

10%

0%

10%

n.a

75%

10%

 2,000 – 2,499

30%

0%

10%

0%

10%

n.a

90%

10%

 Above 2,500

30%

0%

10%

0%

10%

n.a

105%

10%

Ini bermakna, hampir semua kereta yang dijual oleh Proton dan Perodua dicukai sekurang-kurangnya 85% dalam bentuk cukai eksais dan cukai jualan; samalah dengan model-model yang dijual oleh Honda, Toyota dan lain-lain.

Oleh itu, jika rombakan struktur cukai dibuat dan cukai eksais dihapuskan, harga kesemua model kereta (baik Proton, Perodua, Toyota, Honda dan lain-lain) akan turun secara berkadar terus dengan jumlah cukai eksais yang dikenakan selama ini.

Maka, harga kereta Proton dan Perodua masih kekal sebagai harga kereta terendah di pasaran pada harga purata di bawah RM30,000 setiap satu model, berbanding kereta-kereta lain (seperti Honda, Toyota dan lain-lain) yang harganya akan jatuh sekitar RM50,000 setiap satu model secara purata.

Ini mengukuhkan pendirian KEADILAN bahawa rombakan struktur cukai ke arah memastikan harga kereta berada pada paras yang munasabah dan adil kepada rakyat adalah penting untuk menambahkan pendapatan bolehguna (disposable income) rakyat dan mengurangkan bebanan mereka.

Saya juga membidas reaksi awal pimpinan Umno/Barisan Nasional yang mempersoalkan sumber kewangan untuk membiayai rombakan struktur cukai kereta ini. Anggaran KEADILAN menunjukkan hasil kutipan cukai eksais dan cukai jualan dari jualan kereta setiap tahun adalah RM8 bilion.

Semakan ke atas segala perbelanjaan diluar perancangan oleh Perdana Menteri dan peningkatan mendadak perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri menunjukkan jumlahnya jauh mengatasi RM8 bilion yang diperlukan untuk membantu rakyat ini.

Contoh-contoh perbelanjaan diluar perancangan oleh Perdana Menteri termasuklah Bantuan Rakyat 1Malaysia (RM2.6 bilion), Bantuan Kembali Ke Sekolah 1Malaysia (RM530 juta), Bantuan Buku 1Malaysia (RM260 juta) dan pelbagai skim membeli undi rakyat di bawah jenama 1Malaysia; serta pelbagai pengumuman peruntukan projek segera sepanjang Jelajah Janji Ditepati (dianggarkan mencecah RM180 juta setakat ini).

Jika jumlah ini (sebanyak RM3.57 bilion) dicampur dengan pengumuman bonus terbaru kepada kakitangan awam sebanyak RM2.2 bilion, jumlah segala gula-gula yang sewenang-wenangnya digunakan oleh Perdana Menteri untuk membeli undi rakyat adalah RM5.77 bilion.

Sejak menjadi Perdana Menteri dalam tahun 2009, perbelanjaan mengurus dan pembangunan oleh Jabatan Perdana Menteri juga naik mendadak. Secara puratanya (dengan membandingkan perbelanjaan di bawah pentadbiran Tun Abdullah Badawi dengan purata perbelanjaan tahun-tahun 2009, 2010, 2011 dan peruntukan 2012), perbelanjaan mengurus Jabatan Perdana Menteri telah melonjak sebanyak RM1.4 bilion, sementara perbelanjaan pembangunan meningkat sebanyak RMRM4.6 bilion.

Ini bermakna, jumlah keseluruhan perbelanjaan diluar perancangan dan perbelanjaan tambahan sesuka hati oleh Perdana Menteri setiap tahun adalah seperti berikut:

 

Perbelanjaan diluar perancangan                     RM5.8 bilion

Peningkatan belanja mengurus JPM               RM1.4  bilion

Peningkatan belanja pembangunan JPM       RM4.6  bilion

Jumlah                                                     RM11.8 bilion

 

Sebab itu KEADILAN yakin bahawa rombakan struktur cukai ke arah memastikan harga kereta lebih murah tidak akan membebankan negara jika segala keborosan Perdana Menteri dihentikan.

Malah, KEADILAN juga telah membincangkan mekanisme rombakan struktur cukai secara terperinci untuk memastikan penghapusan cukai eksais kelak akan diganti dengan sumber pendapatan yang baru. Mekanisme ini akan diumumkan oleh Ketua Umum KEADILAN, Dato’ Seri Anwar Ibrahim minggu depan sekembalinya beliau dari mengerjakan ibadah umrah.

Perkara ini perlu diperdebatkan dengan lebih halus supaya rakyat boleh membuat keputusan mengenai kaedah percukaian kereta yang paling adil kepada mereka.

 

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

YB NIK NAZMI NIK AHMAD
PENGARAH KOMUNIKASI KEADILAN

YB SIM TZE TZIN
TIMBALAN KETUA PENERANGAN KEADILAN

 

27 JULAI 2012 

%d bloggers like this: