Penurunan Harga Kereta: Barisan Nasional Tidak Boleh Bermuka-Muka

Saya merujuk kepada laporan The Star bertarikh 21 Ogos 2012 bertajuk “Car Prices In Malaysia To Drop Gradually?”. Laporan itu memetik sumber dalaman yang rapat dengan kerajaan berhubung cadangan rombakan Dasar Automotif Kebangsaan (NAP2012) untuk mengurangkan harga kereta.

Saya mengalu-alukan perkembangan ini kerana ia jelas mengesahkan pendirian KEADILAN selama ini bahawa penurunan harga kereta melalui pengurangan cukai eksais secara berperingkat-peringkat adalah sesuatu yang mampu dilakukan. Ia juga membuktikan bahawa kajian KEADILAN mengenai kesan buruk harga kereta yang tinggi turut dipersetujui oleh pakar-pakar dan pegawai kerajaan.

Pun begitu, ia membayangkan sikap bermuka-muka dan hipokrasi pimpinan Umno/Barisan Nasional yang secara berterusan mengkritik cadangan KEADILAN tersebut atas alasan ia akan memufliskan negara. Pemimpin seperti Saudara Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Yaakob telah membuat kenyataan rasmi menolak cadangan mengurangkan harga kereta seperti yang dibawa KEADILAN.

Oleh kerana adanya pertembungan maklumat yang disampaikan oleh pimpinan Umno/Barisan Nasional setakat ini, saya menyeru supaya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dato’ Seri Mustapha Mohamad yang bertanggungjawab merombak Dasar Automotif Kebangsaan (NAP2012) supaya berterus terang kepada rakyat apakah sebenarnya dasar kerajaan Umno/Barisan Nasional berhubung penurunan harga kereta?

Sekiranya beliau bersetuju dengan cadangan KEADILAN untuk mengurangkan cukai eksais secara berperingkat dan menurunkan harga kereta, beliau wajar memanggil kepimpinan Pakatan Rakyat untuk mengadakan rundingan meja bulat membincangkan pelaksanaan dasar ini kerana penurunan harga kereta adalah satu-satunya isu nasional yang mendapat konsensus di kedua-dua belah pihak (Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional).

Saya juga menyeru supaya Saudara Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Nor Yaakob menarik balik kenyataan mereka sebelum ini mengkritik cadangan KEADILAN.

Malah, saya mengalu-alukan Saudara Khairy untuk turut serta bersama-sama mempromosikan kempen #turunkanhargakereta dengan menaiki kereta rasmi Cheapmobile ke tempat-tempat strategik di sekitar Kuala Lumpur dan mengedarkan pelekat kereta kempen.

Saya masih yakin bahawa penurunan harga kereta melalui pengurangan cukai eksais secara berperingkat adalah langkah pertama untuk menyelesaikan pelbagai masalah berhubung ekonomi rakyat, pengangkutan, keselamatan dan pencemaran alam sekitar.

KEADILAN percaya dengan harga kereta yang murah:

1. Beban hutang isi rumah rakyat akan diringankan dan wang lebihan boleh digunakan untuk pelaburan lain yang lebih penting seperti rumah, pendidikan, kesihatan dan lain-lain;

2. Liberalisasi pasaran kenderaan di Malaysia memaksa kerajaan meningkatkan kapasiti dan mutu pengangkutan awam di negara ini bagi mengimbangi risiko kesesakan jalan raya;

3. Harga kereta yang lebih murah memungkinkan dasar tempoh umur kereta (car scrap policy) dilaksanakan untuk mengurangkan jumlah kenderaan persendirian yang telah mencecah 10 juta;

4. Harga kereta yang lebih murah membolehkan rakyat memiliki kereta yang lebih berkualiti dan selamat, seterusnya mengurangkan kemalangan jalan raya;

5. Kereta yang lebih berkualiti dan berteknologi hijau mampu dimiliki rakyat dan mengurangkan pencemaran alam sekitar; dan

6. Lebih banyak kereta berteknologi hijau dan lebih berkualiti akan mengurangkan penggunaan petrol dan seterusnya mengurangkan beban subsidi bahan api negara.

Oleh kerana dasar harga kereta yang lebih rendah ini mempunyai kesan yang besar kepada negara seperti yang dijelaskan di atas, KEADILAN akan bekerjasama dengan rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat untuk membawa kempen ini ke bawah tanpa mempedulikan tindakan Umno/Barisan Nasional yang seterusnya kerana saya yakin Umno/Barisan Nasional tidak ikhlas untuk menurunkan harga kereta.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

22 OGOS 2012

KEADILAN Lancar Kempen “Turunkan Harga Kereta”

Kempen “Turunkan Harga Kereta” akan mengambil kesempatan cuti balik kampung sempena Hari Raya Aidilfitri agar maklumat mengenai cadangan KEADILAN menurunkan harga kereta melalui penghapusan cukai eksais secara berperingkat akan sampai ke seluruh pelosok negara.

Bagi tujuan ini, KEADILAN telah mencetak 50,000 pelekat kereta “Turunkan Harga Kereta” yang akan diagihkan mulai hari ini di sekitar Lembah Klang dahulu. Pelekat ini akan diagihkan di tol-tol oleh wakil rakyat dan petugas-petugas KEADILAN. Selepas cuti Hari Raya Aidilfitri, pelekat kereta ini akan dicetak dan diagihkan ke seluruh negara melalui pejabat-pejabat KEADILAN setempat.

KEADILAN juga melancarkan laman Facebook Turunkan Harga Kereta di alamat facebook.com/turunkanhargakereta.

Kami menyeru seberapa ramai rakyat menyokong laman ini dan menyebarkan logo “Turunkan Harga Kereta”.

Selain dari pelekat kereta, KEADILAN juga telah mengubahsuai sebuah kereta Proton Tiara berusia 15 tahun menjadi kereta rasmi kempen. Kereta ini akan dilancarkan hari ini oleh YB Zuraida Kamaruddin yang mendermakan kereta ini bagi tujuan kempen.


Bermula 24 Ogos 2012, pasukan “Turunkan Harga Kereta” dari KEADILAN akan mula menjelajah tempat-tempat terpilih di Lembah Klang dan seluruh negara sebagai sebahagian dari Jelajah Turunkan Harga Kereta. Selain mengedarkan risalah dan pelekat kereta kempen di tempat-tempat ini, pimpinan KEADILAN akan turut sama menaiki kereta rasmi ini dan menyampaikan penerangan kaedah menurunkan harga kereta yang dicadangkan KEADILAN.

KEADILAN juga akan mengadakan forum “Turunkan Harga Kereta” yang melibatkan pimpinan Pakatan Rakyat di Lembah Klang, Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bharu, Alor Setar, Kota Kinabalu dan Kuching bermula 2 September 2012 untuk menerangkan dengan lebih terperinci mekanisme menurunkan harga kereta. Maklumat lanjut bagi setiap forum akan diumumkan dari semasa ke semasa di laman Facebook kempen.

KEADILAN yakin desakan menurunkan harga kereta adalah satu tuntutan yang disokong sebahagian besar rakyat Malaysia.

Logo kempen yang dipilih dipastikan tidak melambangkan unsur politik supaya semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dan kepercayaan politik boleh bersatu dan bersetuju bahawa masanya telah tiba untuk memastikan harga kereta di Malaysia tidak membebankan rakyat.

Kami menyeru semua rakyat Malaysia membantu promosi kempen ini dengan menghiasi laman Facebook dan Twitter mereka dengan logo “Turunkan Harga Kereta” bermula hari ini.

YB NIK NAZMI NIK AHMAD
PENGARAH KOMUNIKASI KEADILAN

YB SIM TZE TZIN
TIMBALAN KETUA PENERANGAN KEADILAN

15 OGOS 2012

Tender Semula NFC: Umumkan Syarat Dan Butiran Perjanjian

Saya memandang berat kenyataan yang dibuat Dato’ Seri Noh Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada 13 Ogos 2012 bahawa proses tender semula NFC sedang berjalan memandangkan kekusutan dan liabiliti kewangan membabitkan NFCorp yang dimiliki keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil masih belum diselesaikan.

Sehingga kini, Dato’ Seri Najib Tun Razak masih belum mengesahkan perkara-perkara berikut:

1. Bahawa pembekuan aset yang diumumkan pada 14 Januari 2012 dahulu telah berjaya mengutip kembali semua perbelanjaan yang melanggar tujuan asal pemberian dana oleh kerajaan dari NFCorp, termasuklah memindahmilikkan aset-aset kondominium yang dibeli;

2. Dapatan dari audit oleh sebuah pasukan audit bebas yang diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga kini masih belum dibentangkan kepada rakyat;

3. Bahawa NFCorp akan membayar setiap satu sen dari RM250 juta dana rakyat yang digunakan sebelum ini apabila projek tersebut diberikan kepada kontraktor baru yang dilantik kerajaan.

Saya berkeras bahawa kerajaan tidak boleh melantik kontraktor baru sehinggalah ketiga-tiga perkara yang disenaraikan di atas telah dilaksanakan, terutamanya perkara (3).

Adalah menjadi tanggungjawab ketiga-tiga orang menteri, iaitu Dato’ Seri Najib Tun Razak (sebagai individu yang mempengerusikan jawatankuasa tender yang menganugerahkan kontrak kepada NFCorp), Tan Sri Muhyiddin Yassin (sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada ketika itu) dan Dato’ Seri Noh Omar (sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika skandal dibongkar) untuk mendapatkan jaminan peribadi (personal guarantee) setiap anggota keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil bahawa dana awam RM250 juta akan dikembalikan sepenuhnya.

Melalui jaminan peribadi ini, sekiranya mereka gagal membayar dana awam RM250 juta itu apabila lantikan mereka sebagai kontraktor kepada projek ini ditamatkan, maka kerajaan wajarlah menyita apa-apa harta mereka untuk membayar balik dana tersebut.

Saya tidak yakin bahawa ketiga-tiga menteri terbabit komited untuk mengutip kembali dana awam tersebut melihatkan tindakan mereka selama ini yang berdolak-dalih.

Oleh sebab itu, saya berpendapat tindakan menjalankan proses tender kali kedua untuk melantik kontraktor baru adalah satu muslihat untuk melupuskan hutang NFCorp sebanyak RM250 juta tanpa disedari oleh rakyat Malaysia melalui satu lantikan kontraktor baru.

Saya menyeru Dato’ Seri Najib Tun Razak mengesahkan perkara-perkara berikut:

1. Bahawa tidak akan ada sebarang hutang NFCorp yang akan dilupuskan dan NFCorp perlu membayar sepenuhnya RM250 juta melalui jaminan peribadi;

2. Bahawa tidak akan ada suntikan dana baru ke dalam projek NFC ini walaupun kontraktor baru dilantik kerana dana sedia ada sebanyak RM250 juta perlu digunakan dan diperolehi dari NFCorp terlebih dahulu; dan

3. Bahawa tidak ada sebarang lantikan baru akan dibuat sehinggalah dana RM250 juta dikutip sepenuhnya.

Kegagalan Dato’ Seri Najib Tun Razak melaksanakan ketiga-tiga perkara ini mengukuhkan lagi pandangan rakyat bahawa Umno/Barisan Nasional cuba sedaya upaya melindungi Dato’ Seri Shahrizat Jalil dan keluarganya.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

15 OGOS 2012

Skandal George Kent – LRT Ampang: Hentikan Ugutan Dan Serangan Terhadap Pegawai Kanan Kerajaan

Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan blogger-blogger Umno yang menyerang dan memfitnah Dato’ Fauziah Yaacob, seorang pegawai tinggi Kementerian Kewangan yang berjawatan Setiausaha Bahagian Perolehan, Kementerian Kewangan atas dakwaan beliau membocorkan dokumen-dokumen sulit berhubung pendedahan skandal anugerah kontrak LRT Ampang kepada George Kent. Penulisan salah seorang blogger tersebut ada disertakan bersama.

Tindakan blogger-blogger Umno yang umumnya diketahui mendapat dokongan penuh pimpinan Umno membuktikan Umno tidak ada rasa hormat langsung kepada penjawat awam yang hanya menjalankan tugas mereka. Saya boleh mengesahkan bahawa Dato’ Fauziah Yaacob bukanlah individu yang bertanggungjawab menyerahkan dokumen-dokumen terbabit kepada KEADILAN.

Oleh yang demikian, tindakan blogger-blogger Umno memfitnah beliau adalah bertujuan untuk menakut-nakutkan pegawai-pegawai kerajaan agar tidak membantah sebarang keputusan melibatkan kerajaan yang diambil oleh ahli politik Umno. Mereka berharap dengan tekanan yang diberikan bertujuan mengaib dan mengasingkan Dato’ Fauziah Yaacob, ia menghantar amaran yang keras kepada semua kakitangan awam supaya hanya menurut telunjuk Umno/Barisan Nasional.

Saya merasa terpanggil untuk mengutarakan perkara ini kerana tindakan blogger-blogger Umno itu menghina kaum wanita di negara ini, apabila serangan ditujukan terhadap seorang penjawat awam wanita yang dihormati dan dikenali ramai seperti Dato’ Fauziah Yaacob. Serangan terhadap beliau samalah juga dengan serangan kepada pimpinan wanita lain di dalam perkhidmatan awam yang kini semakin ramai diketuai oleh pegawai-pegawai wanita.

Oleh itulah, saya mencabar pimpinan-pimpinan wanita di dalam Umno, termasuklah Menteri Wanita Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Ketua Wanita Dato’ Seri Shahrizat Jalil untuk tampil membela Dato’ Fauziah Yaacob dengan mengambil tindakan keras terhadap blogger-blogger Umno dan dalang yang menggunakan taktik “character assasination” seperti ini terhadap pimpinan kanan perkhidmatan awam, terutamanya dari kalangan wanita seperti yang menimpa Dato’ Fauziah Yaacob.

Sewajarnya pimpinan kanan perkhidmatan awam diberi kebebasan supaya bertindak mengikut undang-undang demi menjaga kepentingan negara. Jika benar Dato’ Fauziah Yaacob telah bertegas mempertahankan keputusan awal Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan yang menganugerahkan kontrak LRT Ampang kepada sebuah konsortium yang mendahului keputusan penilaian, maka sepatutnya beliau dinaikkan pangkat dan diberikan penghormatan kerana keberanian menentang campur tangan Perdana Menteri sendiri.

Inilah jenis kepimpinan dan integriti yang sewajarnya dipamerkan oleh pimpinan wanita di negara ini, bukanlah seperti seorang bekas Menteri Keluarga yang tidak tahu pekerjaan anaknya sendiri.

HAJJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
KETUA WANITA KEADILAN

15 OGOS 2012

Kenyataan George Kent Menghina Proses Bidaan Dan Perolehan Negara

Saya memandang berat kenyataan En Cheong Thiam Fook, Pengarah Eksekutif George Kent yang mendakwa konsortium tersebut lulus penilaian teknikal dan kewangan dalam bidaannya.

Kenyataan itu terang-terang membelakangkan laporan penilaian rasmi yang digunapakai oleh kerajaan dalam menentukan kontraktor bagi kerja-kerja tambahan sistem LRT Laluan Ampang.

Malah, En Cheong Thiam Fook dan George Kent telah berbohong apabila beliau mengeluarkan kenyataan-kenyataan berikut:

1. Bahawa Konsortium George Kent – Lion Pacific telah LULUS penilaian kewangan

2. Bahawa Konsortium George Kent – Lion Pacific telah MEMATUHI semua syarat-syarat kontrak

3. Bahawa Konsortium George Kent – Lion Pacific telah LULUS semua syarat teknikal

Pembohongan ini dibuat dengan tujuan untuk mengabui mata rakyat Malaysia. Konsortium George Kent dan rakan-rakan karib mereka dalam pentadbiran Umno/Barisan Nasional percaya dengan propaganda media yang berterusan, mereka dapat meyakinkan rakyat bahawa tidak ada unsur rasuah dan penyelewengan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam memastikan konsortium itu mendapat kontrak.

Saya sertakan fakta-fakta dan susur galur yang membuktikan bahawa Konsortium George Kent telah berbohong:

 Dalam satu surat bertarikh 20 Januari 2012, Dato’ Shahril Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana telah mengemukakan ringkasan penilaian keseluruhan bidaan (penilaian teknikal, penilaian kewangan dan pematuhan kepada syarat-syarat kontrak) kepada Kementerian Kewangan bersama-sama cadangan lantikan untuk diluluskan Kementerian Kewangan;

 Bidaan oleh George Kent dibuat melalui Konsortium George Kent-Lion Pacific yang turut melibatkan syarikat-syarikat Wijet dan Thales dari luar negara. Bidaan ini dilabelkan sebagai bidaan 3 dari 8 pembida (3/8);

 Ringkasan penilaian keseluruhan bidaan (Prasarana – Summary of Evaluation) dengan secara jelas menunjukkan bahawa Konsortium George Kent hanya mendapat markah 8.7 daripada 30 markah keseluruhan bagi penilaian kewangan. Oleh itu, Prasarana telah memutuskan bahawa George Kent GAGAL dalam penilaian kewangan;

 Ringkasan penilaian keseluruhan bidaan juga menyatakan bahawa George Kent TIDAK MEMATUHI syarat-syarat kontrak. Malah, ia membuat permohonan agar beberapa syarat seperti “bayaran ganti rugi kerosakan akibat gangguan” (atau Agreed Disruption Damages) disemak kembali;

 Pada markah teknikal 38.62 dari 70 markah keseluruhan, George Kent berada di tempat ketiga tercorot dalam penilaian teknikal. Malah, di dalam laporan penuhnya, Perunding Halcrow dengan secara jelas menyatakan bahawa ia tidak yakin Konsortium George Kent boleh melaksanakan projek itu.

Kesemua fakta ini adalah fakta yang sah dan diangkat ke peringkat tertinggi Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan yang dipengerusikan Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri. Saya telah disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi kerana mendedahkan dokumen yang sah ini.

Oleh itu, pembohongan yang dibuat oleh George Kent bahawa ia telah lulus semua penilaian dan mematuhi syarata-syarat menghina semua proses dan prosedur yang digunapakai di dalam sistem perolehan negara. Ia juga membayangkan bahawa proses dan prosedur ini tidaklah berfungsi dan berkesan sehingga ia langsung tidak dihormati oleh pembida.

Lebih merunsingkan, ia membayangkan ‘lesen besar’ yang dipunyai oleh George Kent untuk membuat kenyataan yang sewenang-wenangnya membelakangkan keputusan Kumpulan Prasarana. Ini menimbulkan persoalan dimanakah kemampuan Prasarana kelak untuk memantau dan memastikan George Kent akan mematuhi semua syarat dan jadual kerja seperti yang dipersetujui, apabila belum pun kerja-kerja bermula George Kent dengan bongkaknya membohongi keputusan bidaan yang diangkat oleh Prasarana.

Saya yakin kebongkakan George Kent ini berpunca dari sokongan padu Dato’ Seri Najib kepada syarikat itu. George Kent tahu mereka kini sudah kebal dari undang-undang kerana dilindungi sepenuhnya oleh Perdana Menteri, sebab itulah mereka tidak segan silu berbohong walaupun ada fakta dan bukti yang sahih.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
3 OGOS 2012

%d bloggers like this: