Penswastaan UiTM Melalui Sistem Konsesi Menguntungkan Kroni Dan Merugikan Rakyat

Salah satu belanja besar yang dimasukkan di dalam Belanjawan Tambahan kali ini ialah bayaran sewa tahunan kepada pemegang konsesi bagi enam kampus cawangan UiTM di seluruh negara. Pada tahun 2014, pemegang-pemegang konsesi ini akan menerima bayaran sewa sebanyak RM234 juta seperti yang dipohon di dalam Belanjawan Tambahan yang sedang dibahaskan.

Saya telah membidas kaedah pembiayaan melalui sistem konsesi untuk membina kampus-kampus cawangan UiTM dalam sesi-sesi perbahasan yang lepas. Dalam jawapan Parlimen sebelum ini yang bertarikh 10 April 2014, Perdana Menteri mengakui bahawa:

1. Di antara tahun 2009 hingga 7 Mac 2014, 6 syarikat telah dilantik sebagai pemegang konsesi untuk membina 6 kampus cawangan UiTM di Pasir Gudang (Johor), Jasi (Melaka), Seremban II (Negeri Sembilan), Puncak Alam (Selangor), Tapah (Perak) dan Kota Samarahan (Sarawak).

2. Kos untuk membina setiap kampus ini hanyalah di antara RM280 juta ke RM315 juta.

3. Walau bagaimana pun, kerajaan telah menandatangani perjanjian konsesi selama 23 tahun dan bersetuju membayar sewa tahunan di antara RM56 juta sehingga RM69 juta setiap satu.

Ini bermakna, Kerajaan Persekutuan selepas ini terpaksa menanggung bayaran konsesi tahunan yang dianggarkan berjumlah RM375 juta setahun (mengambil sewa tahunan purata setiap kampus sebanyak RM62.5 juta untuk 6 kampus cawangan) selama 23 tahun.

Jumlah keseluruhan bayaran konsesi tahunan ini kepada 6 syarikat terbabit selama 23 tahun adalah RM8.6 bilion yang akan ditanggung oleh rakyat.

Sedangkan kos untuk membina 6 kampus cawangan ini dianggarkan hanyalah sebanyak RM1.8 bilion sahaja (mengambil kos purata iaitu RM298 juta setiap kampus untuk 6 kampus cawangan) sekiranya Kerajaan Persekutuan membinanya tanpa diswastakan kepada syarikat-syarikat melalui sistem konsesi.

Ini bermakna, sistem konsesi yang sedang rancak digunakan oleh Barisan Nasional untuk membina kampus-kampus UiTM adalah penerusan kepada sistem penswastaan yang memberi keuntungan besar kepada syarikat kroni dan menjadi bebanan besar kepada rakyat. Dalam kes 6 kampus cawangan ini, rakyat terpaksa menanggung bebaban kos sebanyak hampir 5 kali ganda lebih mahal (iaitu kos pembinaan kampus hanyalah RM1.8 bilion tetapi rakyat terpaksa membayar sewa tahunan sebanyak RM8.6 bilion kepada syarikat konsesi).

Saya juga khuatir kerana bayaran sewa tahunan kepada syarikat konsesi ini bakal menjadi salah satu perbelanjaan terbesar yang bakal ditanggung oleh pengurusan UiTM. Contohnya, bagi tahun 2014, bayaran sewa konsesi sebanyak RM234 juta adalah 11% dari keseluruhan peruntukan kepada UiTM tahun ini iaitu sebanyak RM2.15 bilion.

Bermula Isnin depan, saya akan perincikan siapakah sebenarnya yang memiliki syarikat-syarikat konsesi yang menerima konsesi penswastaan 6 kampus UiTM ini. Mereka adalah pemimpin-pemimpin Umno sendiri atau kroni terkenal mereka yang rapat atau memegang jawatan di dalam Umno.

Barulah rakyat dapat memahami bahawa Umno tidaklah membela UiTM seperti yang selalu dilaungkan, malah sekarang Umno menggunakan UiTM dengan cara membebankan UiTM dengan bayaran konsesi untuk mengkayakan pimpinan-pimpinan Umno dan kroni mereka.


RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

12 Jun 2014

Skandal MOSTI: Projek Diunjurkan Mendapat Perolehan RM70 Juta Setahun Tetapi Dibiayai Oleh Geran Percuma

Sebuah syarikat iaitu NSE Resources Corporation Sdn Bhd (“NSE”) telah berjaya mendapatkan geran sebanyak RM100 juta untuk membiayai projek komersilnya untuk membekalkan stim air (steam) kepada sebuah projek industri di Kerteh.

Bersama-sama ini saya sertakan dokumen dari NSE sendiri yang dihantar ke Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan pejabat Perdana Menteri di dalam proses untuk mendapatkan geran tersebut yang memperincikan kos projek dan unjuran perolehan/keuntungan yang bakal diperolehi.

Download (PDF, 1.69MB)

Projek membekalkan stim air ini menelan kos sebanyak RM130 juta (rujuk dokumen).

Apabila projek ini beroperasi sepenuhnya dalam tahun 2015, perolehan tahunan adalah sebanyak RM68 juta setahun dan akan terus meningkat hingga mencecah kepada RM78 juta menjelang tahun 2023. Keuntungan operasi tahunan pula adalah diunjurkan sebanyak RM27 juta dalam tahun 2015 dan dijangka mencecah RM31 juta setahun menjelang 2023.

Maknanya, dengan geran berjumlah RM100 juta itu yang saya simpulkan tidak perlu dibayar balik kerana ia satu geran dan bukan pinjaman – syarikat NSE ini akan mendapat untung besar setiap tahun dari projek komersilnya tanpa perlu mengeluarkan modal kerana kos projek dibiayai oleh rakyat melalui geran kerajaan.

Sebab itu, saya mendesak Perdana Menteri menerangkan bagaimana beliau dan Menteri MOSTI boleh meluluskan geran sebanyak RM100 juta untuk membiayai projek komersil yang keuntungannya hanya mengkayakan kroni sedangkan beribu-ribu pensyarah yang mengusahakan kajian berhempas pulas untuk mendapatkan geran yang jumlahnya jauh lebih kecil setiap tahun.

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

12 Jun 2014

Mustahil Barisan Nasional Belum Memutuskan Mengenakan GST Ke Atas Petrol Dan Diesel

Jumaat lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Ahmad Maslan dipetik sebagai berkata Barisan Nasional masih belum memutuskan sama ada mengenakan GST atau tidak ke atas petrol dan diesel. Beliau membayangkan perkara itu hanya akan diumumkan bersama-sama keputusan rombakan sistem subsidi petrol dan diesel yang dijadualkan September ini.

Saya telah menunjukkan bagaimana kutipan GST dari petrol dan diesel ini sekurang-kurangnya akan mencecah RM3 bilion setiap tahun, berdasarkan jumlah penggunaan petrol dan diesel tahunan. Jawapan-jawapan kerajaan di Dewan Rakyat setakat ini mengesahkan bahawa kerajaan Barisan Nasional mensasarkan kutipan di antara RM21 bilion hingga RM26 bilion setahu apabila GST dilaksanakan kelak.

Ini bermakna kutipan GST dari petrol dan diesel adalah di antara 12% hingga 14% dari jumlah kutipan tahunan yang disasarkan oleh Barisan Nasional. Saya berpendapat kutipan pada 12% hingga 14% dari jumlah keseluruhan GST menjadikan kutipan GST dari petrol dan diesel adalah kutipan paling besar berbanding dengan barang dan perkhidmatan lain.

Sebab itu, saya merasakan mustahil Dato’ Seri Najib Tun Razak dan kabinet beliau tidak mengambil kira kesan kepada kutipan jika GST dilaksanakan tanpa dikenakan ke atas petrol dan diesel kerana itu mungkin menyebabkan kutipan yang tidak mencukupi bagi menampung defisit belanjawan.

Telahan saya ialah Dato’ Seri Najib ingin mengelakkan bantahan awal daripada rakyat dan mengumumkan GST ke atas petrol dan diesel ini bersama-sama pengumuman rombakan subsidi petrol dan diesel yang dirancang secara senyap-senyap.

Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat dan pimpinan Pakatan Rakyat untuk menyedarkan rakyat bahawa Barisan Nasional merancang untuk mengenakan GST ke atas petrol dan diesel bersama-sama dengan rombakan sistem subsidi petrol dan diesel yang akan diumumkan dalam beberapa bulan lagi.

Tindakan ini akan menaikkan beban kos bahan api kepada rakyat dan memburukkan lagi masalah kenaikan harga barang yang sudah pun menyusahkan rakyat.

Saya berpendapat bahawa salah satu cara mengekang inflasi daripada melonjak apabila GST dilaksanakan ialah dengan mengenakan kadar sifar ke atas bahan api utama yang digunakan rakyat seperti petrol, diesel dan elektrik.

Pendirian saya juga adalah tegas bahawa sebarang rombakan sistem subsidi petrol dan diesel hanya boleh dilaksanakan selepas pelbagai perjanjian berat sebelah yang membebankan rakyat dan ketirisan perbelanjaan negara dihentikan dahulu kerana ini akan menyumbang merendahkan kos sara hidup rakyat. Selepas itu, barulah usaha merombak sistem subsidi boleh dikaji dengan lebih mendalam untuk dilaksanakan.

Keengganan Barisan Nasional mengesahkan sama ada GST akan dikenakan ke atas petrol dan diesel sebenarnya meyakinkan rakyat bahawa Barisan Nasional merancang untuk menaikkan harga petrol dan diesel melalui cukai GST dan rombakan sistem subsidi petrol dan diesel.

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

11 Jun 2014

Skandal Geran MOSTI: Perdana Menteri & Menteri Enggan Jawab Di Parlimen, Sahkan Kesahihan Surat

Sebelum ini, saya telah mendedahkan bagaimana geran di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang sepatutnya digunakan untuk memacu aktiviti R&D telah disalahgunakan untuk membiayai projek komersil yang tidak pasti nilai R&Dnya.

Ini berikutan satu surat yang diminitkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak kepada Menteri MOSTI, Datuk Dr Ewon Ebin yang memberi sokongan agar dana sebanyak RM100 juta diberikan kepada sebuah syarikat iaitu NSE Resources Corporation Sdn Bhd.

Oleh kerana Perdana Menteri enggan memberi sebarang maklum balas seperti lazimnya, saya pernah menggesa supaya kedua-dua Perdana Menteri dan Menteri MOSTI membuat akuan bersumpah bahawa surat-surat itu adalah palsu, seperti berikut:

1. Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak membuat akuan bersumpah (statutory declaration) bahawa surat yang diminitkan beliau itu palsu dan beliau tidak pernah melihat atau meminitkan sesuatu mengenai perkara itu;

Download (PDF, 1.19MB)

2. Menteri MOSTI Datuk Dr Ewon Ebin membuat akuan bersumpah (statutory declaration) bahawa surat yang ditandatangani beliau bertarikh 21 Januari 2014 itu palsu dan beliau tidak pernah melihat atau menandatangani surat itu.

Download (PDF, 83KB)

Seperti lazimnya juga, kedua-dua Perdana Menteri dan Menteri MOSTI mendiamkan diri dan tidak memberi sebarang maklumbalas kepada desakan saya itu.

Oleh sebab itu, saya telah mengajukan dua soalan mengenai perkara ini untuk mengesahkan sama ada Perdana Menteri dan Menteri MOSTI ada menandatangani kedua-dua surat yang saya dedahkan sebelum ini yang membongkarkan skandal geran MOSTI ini.

Saya menerima jawapan dari Setiausaha Dewan semalam bahawa soalan-soalan itu ditolak atas alasan seperti yang diberikan di dalam surat dari Setiausaha Dewan seperti yang dilampirkan bersama.

Download (PDF, 609KB)

Download (PDF, 603KB)

Saya merumuskan bahawa ini mengesahkan bahawa kedua-dua surat itu adalah sahih dan memang betul Perdana Menteri memberi sokongan agar dana RM100 juta dari geran MOSTI diberikan kepada sebuah syarikat yang mengusahakan projek komersil yang tidak mendapat sokongan institusi kewangan.

Keengganan Dato’ Seri Najib Razak dan Datuk Dr Ewon Ebin membuat akuan bersumpah dan enggan menjawab di Dewan Rakyat menjadi bukti bahawa kesemua surat dan dokumen yang saya tampilkan selama ini adalah benar dan sahih.

Dalam tempoh sidang Parlimen minggu ini dan minggu depan, saya akan terus mendedahkan beberapa dokumen lain yang mengesahkan bagaimana syarikat ini tidak layak untuk menerima geran sebanyak RM100 juta dan menguatkan lagi kenyataan saya bahawa berlaku salahguna di dalam pentadbiran pemberian geran apabila geran-geran diberikan kepada syarikat atau projek yang tiada nilai tambah R&D.

Malah, saya berpendapat bahawa penyelewengan geran seperti ini selama ini tidak disiasat dan dihalusi oleh rakyat sehingga telah berlaku ketirisan yang wajar disiasat secepat mungkin.

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

11 Jun 2014

Barisan Nasional Bakal Mengutip RM3 Billion Cukai GST Dari Pembelian Petrol & Diesel Oleh Rakyat

Sehingga ke hari ini, Barisan Nasional masih berdiam diri dan mengelak dari menjawab soalan saya sama ada GST akan dikenakan ke atas pembelian petrol dan diesel oleh rakyat. Semakan ke atas senarai barangan dan perkhidmatan yang dikenakan kadar cukai sifar (zero-rated) dan dikecualikan (exempt) secara jelas menunjukkan bahawa Barisan Nasional akan mengenakan GST ke atas petrol dan diesel.

TheMinyakRises-01

Ini sudah tentu akan menaikkan lagi harga petrol dan diesel tanpa disedari oleh rakyat, seperti yang saya jelaskan dalam kenyataan akhbar sebelum ini. Satu lagi siri kenaikan harga petrol dan diesel akan melonjakkan lagi inflasi dan membebankan rakyat dengan kenaikan harga barang.

Saya membuat kesimpulan bahawa Barisan Nasional akan mengenakan GST ke atas petrol dan diesel. Oleh yang demikian, Barisan Nasional akan mengutip setiap tahun sekurang-kurangnya RM3 bilion dari rakyat dalam bentuk cukai GST yang dikenakan ke atas petrol dan diesel seperti kiraan di bawah:

Jumlah penggunaan petrol setahun bagi 2013 (seperti jawapan Parlimen kepada soalan saya) 14.05 bilion liter
Jumlah penggunaan diesel setahun bagi 2013 (seperti jawapan Parlimen kepada soalan saya) 9.64 bilion liter
Jumlah penggunaan petrol dan diesel setahun 23.69 bilion liter
Harga bersubsidi petrol dan diesel setiap liter RM2.10 untuk petrol

RM2.00 untuk diesel

GST pada kadar 6% bagi setiap liter  13 sen seliter untuk petrol

12 sen seliter untuk diesel

Jumlah kutipan GST ke atas petrol dan diesel setiap tahun  RM3 bilion

Bebanan cukai tambahan sejumlah RM3 bilion setahun yang dikenakan ke atas rakyat hanya dari pembelian petrol dan diesel adalah satu jumlah yang besar dan mengejut yang semestinya mempunyai kesan berganda ke atas harga barang.

Tindakan mengenakan GST ke atas pembelian petrol dan diesel ini samalah dengan menaikkan harga petrol dan diesel sebanyak 13 dan 12 sen seliter.

Oleh yang demikian, saya menggesa Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan segera bahawa pembelian petrol dan diesel tidak akan dikenakan GST.

Jika beliau enggan mengumumkan pengecualian pembelian petrol dan diesel dari GST, maka beliau perlu menjelaskan segera bagaimanakah Barisan Nasional akan membelanjakan RM3 bilion yang dikutip dari rakyat melalui GST ke atas petrol dan diesel.

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

6 Jun 2014

%d bloggers like this: