Skandal MOSTI: Projek Diunjurkan Mendapat Perolehan RM70 Juta Setahun Tetapi Dibiayai Oleh Geran Percuma

Sebuah syarikat iaitu NSE Resources Corporation Sdn Bhd (“NSE”) telah berjaya mendapatkan geran sebanyak RM100 juta untuk membiayai projek komersilnya untuk membekalkan stim air (steam) kepada sebuah projek industri di Kerteh.

Bersama-sama ini saya sertakan dokumen dari NSE sendiri yang dihantar ke Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan pejabat Perdana Menteri di dalam proses untuk mendapatkan geran tersebut yang memperincikan kos projek dan unjuran perolehan/keuntungan yang bakal diperolehi.

Download (PDF, 1.69MB)

Projek membekalkan stim air ini menelan kos sebanyak RM130 juta (rujuk dokumen).

Apabila projek ini beroperasi sepenuhnya dalam tahun 2015, perolehan tahunan adalah sebanyak RM68 juta setahun dan akan terus meningkat hingga mencecah kepada RM78 juta menjelang tahun 2023. Keuntungan operasi tahunan pula adalah diunjurkan sebanyak RM27 juta dalam tahun 2015 dan dijangka mencecah RM31 juta setahun menjelang 2023.

Maknanya, dengan geran berjumlah RM100 juta itu yang saya simpulkan tidak perlu dibayar balik kerana ia satu geran dan bukan pinjaman – syarikat NSE ini akan mendapat untung besar setiap tahun dari projek komersilnya tanpa perlu mengeluarkan modal kerana kos projek dibiayai oleh rakyat melalui geran kerajaan.

Sebab itu, saya mendesak Perdana Menteri menerangkan bagaimana beliau dan Menteri MOSTI boleh meluluskan geran sebanyak RM100 juta untuk membiayai projek komersil yang keuntungannya hanya mengkayakan kroni sedangkan beribu-ribu pensyarah yang mengusahakan kajian berhempas pulas untuk mendapatkan geran yang jumlahnya jauh lebih kecil setiap tahun.

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

12 Jun 2014

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.