Pemegang Konsesi UiTM Kota Samarahan Juga Dianugerahkan Konsesi Lebuhraya

Pemegang konsesi penswastaan UiTM yang terakhir mengikut jawapan bertulis Perdana Menteri kepada soalan Parlimen saya ialah Rekajaya Projek Sdn Bhd yang dianugerahkan konsesi penswastaan UiTM Kota Samarahan. Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan syarikat ini dikuasai oleh pasangan ahli perniagaan bernama Dato’ Mohamed Raffe b K. Chekku dan isterinya Datin Nilufar Yusupova melalui Rafulin Holdings Sdn Bhd.

(Sila semak carian SSM bagi Rekajaya Projek Sdn Bhd dan Rafulin Holdings Sdn Bhd)

Download (PDF, 200KB)

Download (PDF, 200KB)

Sementara saya tidak mempersoalkan kebebasan ahli-ahli perniagaan seperti Dato’ Mohamed Raffe untuk menjalankan perniagaan masing-masing, kaedah rundingan terus yang digunakan oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak dengan berselindung di sebalik alasan pendekatan “private finance initiatives” (PFI) begitu mudah disalahgunakan atau dipengaruhi yang membuka ruang kepada rasuah yang merugikan rakyat.

Melalui kaedah rundingan terus ini, ahli perniagaan yang mempunyai akses dengan pimpinan Umno dan pegawai tinggi kerajaan berpeluang mendapat konsesi-konsesi yang diikat dalam tempoh yang lama dan boleh merugikan rakyat.

Selain konsesi penswastaan UiTM kampus cawangan Kota Samarahan, syarikat yang dikawal oleh Dato’ Mohamed Raffe juga dianugerahkan konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur Kuala Selangor (atau LATAR) melalui satu konsortium Kuala Lumpur Kuala Selangor Expressway Berhad. Konsesi lebuhraya LATAR ini adalah selama 40 tahun.

Syarikat-syarikat yang dikawal oleh Dato’ Mohamed Raffe boleh diibaratkan sebagai pakar perunding konsesi yang berurusan dengan Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan konsesi-konsesi sebegini sementara pembinaannya diberikan kepada syarikat bukan Bumiputra sama ada melalui perkongsian (joint venture) atau sub-kontrak.

Di dalam kes pembinaan Lebuhraya LATAR dan UiTM cawangan Kota Samarahan, pembinaannya dikendalikan oleh Binapuri Holdings Berhad, sebuah syarikat pembinaan bukan bumiputra yang disenaraikan di Bursa Kuala Lumpur.

Semakan ke atas carian syarikat SSM dan laman web syarikat-syarikat terbabit menunjukkan bahawa kos pembinaan kedua-dua konsesi yang dianugerahkan kepada syarikat Dato’ Mohamed Raffe dibiayai melalui pinjaman dengan Bank Pembangunan Berhad, sebuah bank milik penuh kerajaan.

Saya mengambil contoh konsesi penswastaan UiTM cawangan Kota Samarahan ini untuk menunjukkan bagaimana kaedah PFI yang dijadikan alasan untuk memberi anugerah konsesi kepada ahli-ahli politik Umno dan rakan perniagaan mereka sebenarnya samalah dengan Kerajaan Persekutuan menanggung sendiri kos pembiayaan tanpa perlu diikat dengan perjanjian konsesi 23 tahun yang membebankan rakyat; atas pertimbangan berikut:

1. Kontraktor akhir yang membina kampus-kampus ini atau lebuhraya adalah syarikat pembinaan sedia ada seperti Binapuri Holdings. Syarikat-syarikat ini boleh sahaja turut serta dalam satu tender terbuka pembinaan kampus tanpa perlu melalui syarikat konsesi seperti sekarang. Akhirnya projek dikendalikan kontraktor bukan bumiputra walaupun Umno memberi alasan ia perlu dianugerahkan melalui konsesi untuk memberi peluang kepada kontraktor Bumiputra

2. Projek sebenarnya dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan sendiri melalui Bank Pembangunan milik penuh Kerajaan Persekutuan. Sekiranya kampus-kampus ini dibina sendiri tanpa diswastakan, Kerajaan Persekutuan boleh sahaja meminjam dari Bank Pembangunan tetapi kos yang ditanggung rakyat adalah jauh lebih murah

Siri penswastaan UiTM menjadi bukti bagaimana nama Melayu dan Bumiputra disalahgunakan untuk mengkayakan kroni Umno. Saya akan terus bersuara mendesak kebertanggungjawaban dan ketelusan di dalam kaedah PFI supaya Umno tidak sewenang-wenangnya menganugerahkan konsesi yang akan membebankan rakyat kelak.

Saya juga sertakan jawapan bertulis Perdana Menteri yang mengesahkan syarikat-syarikat yang memenangi anugerah konsesi penswastaan UiTM ini sebagai bukti fakta sepanjang pendedahan.

Download (PDF, 34KB)

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

25 Jun 2014

Penasihat Pendidikan Dan Latihan JPA Di Australia Tertakluk Kepada Undang-Undang Australia

Berikut adalah pengalaman dan kenyataan saya berkaitan tindakan kerajaan untuk mengenakan hukuman ke atas sdr Aslam Abdul Jalil, seorang pelajar Malaysia yang menuntut di Australian National University (ANU) kerana telah mengambil bahagian dalam satu forum baru-baru ini.

Pada Oktober 2013, saya telah dijemput oleh sekumpulan pelajar-pelajar Malaysia di ANU untuk mengadakan pertemuan di universiti tersebut bagi membincangkan isu semasa Malaysia terutamanya Laporan Ketua Audit 2012 sebagai wakil daripada National Oversight & Whistleblowers (NOW).

Saudara Aslam yang hadir ke pertemuan tersebut telah menerima surat tunjuk sebab daripada Encik Shahrezan Md Sheriff, Penasihat Pendidikan dan Latihan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Australia yang sekarang ini sekali lagi ingin mengambil tindakan terhadap Sdr Aslam. Saya sertakan salinan surat melalui emel bertarikh 1 November 2013 dan 6 November 2013 yang jelas menunjukkan intimidasi oleh En Shahrezan.

Download (PDF, 109KB)

Sekatan hak bersuara ini jelas menunjukkan sikap double standard kerajaan yang membenarkan kelab-kelab UMNO Luar Negara menjalankan aktiviti-aktiviti sedangkan pertemuan diskusi dan perbincangan pelajar-pelajar Malaysia luar negara secara terbuka disekat dan dikenakan tindakan. Sebagai Ketua Pemuda UMNO, Saudara Khairy Jamaluddin seharusnya mempunyai kesediaan politik (political will) untuk mendesak kerajaan mengotakan janji transformasi demi memberi kebebasan kepada pelajar hak bersuara dan berpolitik.

Tindakan kerajaan menyekat kebebasan pelajar Malaysia di luar negara untuk menyertai diskusi dan perbincangan terbuka juga tertakluk dari sudut undang-undang negara Australia yang menjamin kebebasan bersuara dan memberi pandangan.

Saya percaya Encik Shahrezan memegang Visa Australia (pas bekerja) bagi membolehkan beliau berkhidmat di Australia. Mengikut Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan Kerajaan Australia, seseorang warga asing yang memegang Visa pas berkerja wajib memenuhi semua syarat visa dan mematuhi undang-undang Australia.

Terdapat dua jenis undang-undang yang menjamin hak kebebasan bersuara dan memberi pandangan iaitu Perlembagaan Australia (Constitutional Law) dan juga International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR) iaitu Perkara 19 dan Perkara 20 (rujuk lampiran) – setiap orang mempunyai hak untuk mengutarakan pendapat tanpa sebarang tekanan/gangguan.

visa

visa2

Walaupun Saudara Shahrezan berkhidmat dengan kerajaan Malaysia, keghairahan beliau untuk menyekat hak kebebasan bersuara pelajar Malaysia di Australia sebenarnya tertakluk kepada undang-undang Australia. Beliau berkemungkinan boleh disiasat sekiranya ada pihak yang melaporkan tindakan beliau ke pihak berkuasa Australia.

Saya menyeru kepada pelajar-pelajar Malaysia di luar negara yang menerima ugutan dan tekanan daripada pihak tertentu termasuk daripada pegawai terhadap hak kebebasan bersuara untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa negara berkenaan bagi memastikan hak mereka terjamin.

AKMAL NASIR
Ketua Cabang KEADILAN Johor Bahru

25 Jun 2014

Timbalan Menteri Pertanian Adalah Pemegang Minoriti Konsesi Penswastaan UiTM Cawangan Tapah

Hari ini saya boleh mengesahkan bahawa Dato’ Tajuddin Rahman, Ahli Parlimen Pasir Salak yang juga Timbalan Menteri Pertanian and Industri Asas Tani adalah pemimpin Umno yang mempunyai pegangan minoriti di dalam konsesi penswastaan UiTM kampus cawangan Tapah. Ini mengulangi perkara yang sama di dalam konsesi-konsesi penswastaan kampus cawangan UiTM yang lain apabila setiap syarikat konsesi turut mempunyai kaitan dengan pemimpin Umno atau ahli perniagaan yang rapat dengan Umno.

Konsesi penswastaan UiTM cawangan Tapah dianugerahkan kepada UniTapah Sdn Bhd dengan konsesi selama 23 tahun untuk membina dan menyewakan kembali kampus itu kepada UiTM. Salah seorang pengarah UniTapah Sdn Bhd ialah Sri Rahayu Tajuddin, iaitu anak kepada Dato’ Tajuddin Rahman. Sri Rahayu juga pernah menjadi Setiausaha Umno Bahagian Pasir Salak yang diketuai oleh Dato’ Tajuddin Rahman.

Download (PDF, 200KB)

Seorang lagi pengarah di dalam UniTapah Sdn Bhd yang mempunyai hubungan dengan Dato’ Tajuddin Rahman adalah Vignesh Naidu a/l Kuppusamy Naidu melalui usahasama perniagaan bersama di antara mereka. Selain UniTapah Sdn Bhd, Dato’ Tajuddin Rahman dan Vignesh Naidu mempunyai hubungan melalui sebuah syarikat pembinaan iaitu Everfine Resources Sdn Bhd yang mana Dato’ Tajuddin Rahman adalah pengerusinya dan Vignesh Naidu pengarah syarikat itu.

Kepentingan Dato’ Tajuddin Rahman di dalam syarikat konsesi ini dipegang melalui sebuah syarikat iaitu Detik Utuh Sdn Bhd. Syarikat itu mempunyai kepentingan sebanyak 9.8% di dalam UniTapah Sdn Bhd manakala saham selebihnya dipegang oleh sebuah syarikat pembinaan yang disenaraikan di Bursa Kuala Lumpur iaitu Crest Builder Holdings Berhad (melalui Crest Builder International Sdn Bhd).

Download (PDF, 199KB)

Dato’ Tajuddin Rahman memiliki 450,000 saham di dalam Detik Utuh Sdn Bhd, menjadikan beliau pemegang saham terbesar. Saham-saham selebihnya dimiliki oleh Vignesh Naidu (150,000 saham) dan Obata-Ambak Holdings Sdn Bhd (400,000 saham). Obata-Ambak Sdn Bhd adalah sebuah syarikat yang dikawal oleh keluarga isteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pengarah-pengarah di dalam Detik Utuh Sdn Bhd adalah individu-individu yang rapat dengan Dato’ Tajuddin Rahman iaitu anaknya sendiri (Sri Rahayu) dan kenalan perniagaan beliau iaitu Vignesh Naidu dan Haniff Mahmood.

Walaupun pegangan Dato’ Tajuddin Rahman tidaklah sebesar pegangan ahli-ahli politik Umno yang lain dalam konsesi yang telah saya dedahkan sebelum ini, ia mengesahkan bahawa setiap konsesi penswastaan kampus cawangan UiTM menguntungkan sekurang-kurangnya ahli politik Umno dengan bayaran sewa yang cukup membebankan rakyat.

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

24 Jun 2014

Teh Tarik Bersama Rafizi @ Setiap Rabu

Saya selalu didatangi oleh ramai anak muda terutamanya golongan professional mengenai peluang dan cara untuk menyumbang kepada KEADILAN.

Ada yang mendaftar menjadi ahli tetapi tidak pernah tahu bagaimana menyertai aktiviti.

Ada yang mahu menyumbang buah fikiran tetapi tidak tahu melalui saluran mana.

Ada yang tidak tahu pun bagaimana menyertai KEADILAN.

Golongan professional selalunya berhadapan dengan kesukaran untuk bergiat aktif dalam mana-mana parti politik kerana pandangan sinis bahawa mereka mahu naik cepat dan tidak sanggup bersusah payah.

Jika saudara/i mahu menyumbang kepada KEADILAN tetapi tidak tahu bagaimana atau mahu tahu selok belok menjadi orang politik muda di dalam KEADILAN, saya jemput saudara/i untuk minum teh tarik dan bersembang mengenai perkara-perkara ini.

Setiap hari Rabu kedua dan keempat tiap-tiap bulan, saya akan luangkan dua jam di antara 9 malam hingga 11 malam untuk berbual dengan 6 hingga 8 orang yang mendaftar untuk menyertai program ini. Saya harap ia memberi ruang kepada saudara/i golongan muda bersuara dan menyumbang pandangan, sementara saya berpeluang mendengar maklumbalas orang muda.

Saudara/i yang berminat untuk menyertai sessi teh tarik (kurang manis) bersama saya setiap Rabu ini boleh mendaftar di:

Daftar untuk Sertai Teh Tarik Bersama Rafizi @ Setiap Rabu

TehTarik-Rafizi-BM-01

Continue reading Teh Tarik Bersama Rafizi @ Setiap Rabu

Skandal Penswastaan UiTM: Kritikan Bukan Kepada Model PFI, Perjanjian Konsesi Dengan Kroni Yang Tidak Telus

Saya mengalu-alukan jawapan rasmi dari pengurusan UiTM mengenai projek-projek penswastaan UiTM kampus-kampus cawangan Pasir Gudang, Jasin, Seremban III, Puncak Alam, Tapah dan Kota Samarahan. Kenyataan media UiTM semalam merupakan jawapan rasmi yang pertama setelah seminggu saya mendedahkan bagaiman kroni Umno yang akhirnya mengaut keuntungan dari dasar penswastaan kampus-kampus baru UiTM yang sedang dilaksanakan.

Walau bagaimana pun, pihak pengurusan UiTM tidak sedikit pun menyangkal pendedahan saya mengenai siapa kroni-kroni Umno yang berada di belakang syarikat-syarikat konsesi ini. Pengurusan UiTM juga tidak menyangkal kos sewa tahunan yang terpaksa ditanggung bagi setiap kampus seperti yang saya dedahkan.

Ini bermakna pengurusan UiTM membantu mengesahkan bahawa kesemua fakta yang saya kemukakan selama ini mengenai siapa kroni di belakang setiap syarikat konsesi dan pertambahan kos 5 kali ganda yang akan membebankan UiTM itu adalah benar dan tepat belaka.

Akhirnya, pengurusan UiTM hanya mampu menjawab bahawa pendekatan menswastakan kampus-kampus cawangan UiTM kepada syarikat-syarikat konsesi ini menguntungkan UiTM kerana wang didahulukan oleh syarikat konsesi melalui kaedah “private finance initiatives” (PFI).

Saya ingin mematahkan hujah pengurusan UiTM mengenai baiknya kaedah PFI ini dengan menimbulkan perkara-perkara berikut:

1. Saya tidak pernah mempersoalkan kaedah PFI sekiranya ia dibuat secara telus dan terbuka. Negara-negara lain turut mengamalkan kaedah PFI dalam beberapa projek tetapi tender dibuka kepada semua. Akhirnya, syarikat yang menawarkan harga dan nilai terbaik kepada kerajaan yang akan terpilih. Dalam kes konsesi penswastaan kampus-kampus cawangan UiTM, konsesi dianugerahkan kepada syarikat-syarikat kroni secara rundingan terus.

2. Apabila konsesi penswastaan dianugerahkan kepada syarikat-syarikat kroni secara rundingan terus, ini menimbulkan banyak masalah. Pertamanya, syarikat-syarikat kroni ini tidak ada pengalaman dalam menguruskan projek sebesar itu kerana kebanyakan mereka hanyalah pemimpin Umno yang tidak mempunyai perniagaan besar sebelum itu dan syarikat mereka hanya ditubuhkan semata-mata untuk mendapatkan konsesi. Akhirnya, pelaksanaan projek mengalami banyak masalah termasuklah kemudahan yang tidak mengikut spesifikasi, khidmat penyenggaraan yang tidak baik kelak dan lain-lain.

3. Masalah terbesar apabila konsesi penswastaan dirunding terus dengan syarikat-syarikat kroni, terma perjanjian konsesi adalah berat sebelah dan hanya menguntungkan pemegang konsesi. Dalam kes konsesi penswastaan UiTM, kos keseluruhan menanggung bayaran sewa tahunan kepada syarikat konsesi sebanyak RM8.6 bilion adalah lima kali lebih tinggi berbanding kos membina sendiri kampus-kampus ini iaitu RM1.8 bilion.

Rakyat Malaysia telah lama terbeban dengan bayaran tahunan kepada pemegang konsesi akibat dari perjanjian berat sebelah yang ditandatangani oleh Barisan Nasional dan syarikat kroni. Beban itu sekarang dirasakan terus oleh rakyat, misalnya kadar elektrik yang lebih tinggi akibat perjanjian konsesi penjanaan bebas (IPP) yang membebankan Tenaga Nasional Berhad dan kadar tol yang terus menguntungkan syarikat tol sedangkan rakyat bergelumang dengan kenaikan harga barang.

Malah di Selangor sendiri, kerajaan Pakatan Rakyat terpaksa mewarisi perjanjian konsesi dengan syarikat kroni di dua institusi pendidikan tinggi iaitu Unisel dan KUIS. Kedudukan kewangan Unisel dan KUIS terjejas kerana bayaran sewa yang hanya menguntungkan syarikat kroni milik wakil rakyat Umno dan pelajar pula terbeban dengan kenaikan sewa kampus mengikut perjanjian konsesi.

Sebab itu, saya tekad untuk terus menentang penswastaan kampus-kampus cawangan UiTM ini kepada syarikat konsesi. Bagi tahun 2014 sahaja, bayaran sewa (yang hanya merupakan sebahagian saja sewa tahunan) kepada syarikat konsesi telah mencecah 14% dari peruntukan keseluruhan UiTM. Apabila siap sepenuhnya dan lebih banyak kampus diswastakan dengan cara ini, bayaran sewa kepada syarikat konsesi akan menjadi belanja paling besar yang ditanggung oleh UiTM setiap tahun – seperti mana bayaran kepada syarikat IPP menjadi tanggungan paling besar TNB setiap tahun.

Pada ketika itu, UiTM mula terpaksa mengikat perut dan memotong peruntukan untuk perkara-perkara lain yang lebih penting. Kebajikan pelajar akan terabai apabila sewa bilik di kampus akan naik kerana UiTM perlu membayar sewa. Peruntukan melanjutkan pelajaran kepada pensyarah-pensyarah terpaksa dikecilkan kerana peruntukan digunakan untuk membayar sewa. Program-program naiktaraf kampus akan dihentikan kerana kampus bukan lagi milik UiTM tetapi milik syarikat konsesi.

Dan pelbagai kesan lain yang hanya merugikan pelajar dan warga UiTM.

Maka, saya menyeru semua warga UiTM dulu dan kini untuk bersatu menentang penswastaan kampus cawangan UiTM ini demi kelangsungan UiTM sebagai institusi pengajian tinggi utama untuk rakyat terbanyak.

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

20 Jun 2014

%d bloggers like this: