Category Archives: Skandal @ NFC

Hartanah Di Mont Kiara: Keluarga Dato’ Seri Shahrizat Terus Dapat Manfaat Kewangan Dari Dana Rakyat

Walaupun Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa aset NFC telah dibekukan, hakikatnya keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil masih lagi mendapat bayaran bulanan yang lumayan dari harta-harta yang dibeli menggunakan dana NFC.

Selain dari pelbagai kondominium yang telah didedahkan kini, keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil juga mendapat kutipan sewa dari hartanah-hartanah yang dibeli dengan dana NFC dan kemudiannya disewakan kembali kepada NFC dan syarikat-syarikat bersekutu yang lain.

Bukti yang paling kukuh ialah dua premis utama operasi NFC iaitu pejabatnya di alamat L-3A, No. 2, Jalan Solaris, Solaris Mont Kiara dan restoran mewah Meatworks di alamat 2G 3A, Jalan Solaris 5, Solaris Month Kiara.

KEADILAN berjaya mendapatkan rekod hakmilik dan nilaian kedua-dua hartanah dari carian rasmi dengan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (sila rujuk dokumen carian harta JPPH yang disertakan bersama).

4 unit ruang pejabat yang digunakan oleh NFC dan syarikat bersekutu di Tingkat 3A, Jalan Solaris dimiliki bersama oleh Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail dan anaknya Wan Izanur Izran. Salah satu unit iaitu Unit L-3A-3A berjaya dipadankan dengan carian harta di JPPH atas nama Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail yang dibeli pada harga RM814,550.

Semakan pembayaran dari rekod kewangan NFC pula menunjukkan bahawa pada setiap bulan, NFC akan membuat dua pembayaran sewa pejabat seperti berikut:

RM28,000 setiap bulan kepada Wan Shahinur Izran
RM8,240 setiap bulan kepada Dato’ Seri Mohamad Salleh

Ini menimbulkan beberapa kesimpulan dan persoalan besar seperti berikut:

1. Dua orang pengarah NFC telah menyalahgunakan wang syarikat dengan mendapatkan pinjaman bank bagi hartanah yang kemudiannya disewakan kembali kepada syarikat;

2. Adakah urusniaga pembelian hartanah atas nama peribadi tetapi dibayar menggunakan kutipan sewa dari NFC dan syarikat bersekutu ini mendapat kelulusan Lembaga Pengarah? Jika tidak, Dato’ Seri Salleh Ismail dan Wan Shahinur Izran perlu disiasat atas kemungkinan pecah amanah wang syarikat;

3. Bayaran sewa yang dikutip oleh Dato’ Seri Salleh Ismail iaitu RM8,240 sebulan bagi ruang pejabat bernilai RM814,550 adalah terlalu tinggi. Jika pembelian ini dibiayai dengan pinjaman selama 25 tahun pada kadar faedah semasa, bayaran bulanan dianggarkan sekitar RM4,800 sebulan. Ini bermakna Dato’ Seri Salleh Ismail membuat keuntungan 72% setiap bulan; iaitu kadar keuntungan yang terlalu tinggi dari wang rakyat.

4. Jika ini keadaannya dengan unit L-3A-3A yang dimiliki oleh Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail, sudah tentu kadar keuntungan serupa juga dibayar oleh NFC kepada Wan Shahinur Izran bagi ruang-ruang pejabat lain yang dimiliki beliau.

Kaedah membeli hartanah atas milikan peribadi dan dibiayai oleh bayaran sewa oleh NFC dan syarikat bersekutu turut digunapakai dalam hartanah-hartanah lain.

Ruang niaga restoran yang disewa oleh RFC bagi operasi Meatworks di Mont Kiara pula dimiliki oleh Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh.

Carian rasmi di JPPH menunjukkan beliau mempunyai dua ruang kedai iaitu unit 2 dan 3. Unit 2 berharga RM8.4 juta sementara unit 2 berharga RM5.7 juta. Ruang ini disewakan kepada RFC yang membayar sewa bulanan kepada Wan Shahinur Izran menggunakan dana RM250 juta yang dibiayai oleh rakyat.

Walaupun saya tidak mempunyai rekod kewangan terperinci bagi RFC dan syarikat-syarikat bersekutu yang lain, saya percaya Wan Shahinur Izran turut mendapat bayaran sewa yang lumayan dari dua ruang restoran yang dimilikinya. Saya menganggarkan beliau memperolehi pendapatan sewa RM150,000 sebulan dari dua unit hartanah bernilai RM14.1 juta ini, mengambil kira kadar keuntungan sama yang diperolehi Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail.

Ini membuktikan sekali lagi bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak mengambil sebarang tindakan untuk menghentikan penyelewengan wang rakyat walaupun pelbagai pendedahan telah dibuat. Beliau berharap dengan pengunduran sementara Dato’ Seri Shahrizat Jalil dari jawatan kabinet, skandal ini akan reda sementara beliau membiarkan keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil terus bermewah dengan wang rakyat sebanyak RM250 juta.

KEADILAN akan membuat laporan polis susulan berikutan pendedahan ini agar Wan Shahinur Izran dan Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail disiasat atas kemungkinan pecah amanah dalam urusan sewa beli hartanah-hartanah yang digunakan oleh NFC dan syarikat bersekutunya di Mont Kiara.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

24 APRIL 2012

 

Kerajaan Tidak Beku Harta Pemilik NFC, Urusniaga Melupuskan Harta Terus Berjalan

Saya telah menegaskan berkali-kali bahawa semua transaksi yang melibatkan aset dan kepentingan pemilik NFC perlu dibekukan kerana ada kemungkinan besar harta-harta ini diperolehi dengan menggunakan dana awam sebanyak RM250 juta yang diselewengkan dari tujuan asalnya.

Aset dan kepentingan pemilik NFC yang saya maksudkan adalah seperti berikut:

  1. Semua pegangan syarikat, saham dan pelaburan di dalam apa-apa entiti yang dibuat selepas tahun 2007, iaitu selepas NFCorp dianugerahkan kontrak RM250 juta untuk mengusahakan Pusat Fidlot Kebangsaan;
  1. Semua hartanah, plot tanah dan pelaburan di dalam bidang hartanah yang dibuat selepas tahun 2007, sama ada pembelian di buat atas nama NFC, syarikat-syarikat yang dikuasai oleh pemilik NFC atau pun atas nama mereka sendiri;
  1. Sebarang pemindahan wang kepada syarikat atau individu selain dari bayaran operasi biasa NFC; dan
  1. Sebarang pertukaran kepentingan melibatkan aset lain, termasuklah kereta, dana, kelengkapan dan lain-lain.

 

Setakat ini, telah terbukti bahawa pemilik NFC telah menggunakan sebahagian dari dana awam berjumlah RM250 juta untuk tujuan yang tidak ada kena mengena dengan penternakan lembu, terutamanya pelbagai pelaburan di dalam bidang hartanah.

Persoalan yang paling kritikal ialah bagaimanakah kesemua RM250 juta ini akan dapat dipulangkan kembali kepada rakyat, apabila ia terikat di dalam pelbagai bentuk pelaburan hartanah dan harta-harta lain. Tambahan pula, tidak seorang pun pemilik NFC memberikan jaminan peribadi (personal guarantee) bahawa liabiliti mereka kepada rakyat Malaysia tidak sahaja terhad kepada modal yang dilaburkan di dalam NFC; bahkan kerajaan boleh mengambil alih harta mereka yang lain untuk mendapatkan kembali RM250 juta yang telah dipinjamkan.

Oleh sebab itulah, KEADILAN telah mendesak berkali-kali supaya kerajaan mengambil langkah segera dan tegas untuk membekukan semua harta dan transaksi melibatkan NFC dan pemiliknya, termasuklah harta-harta peribadi yang telah didedahkan selama ini kerana ia adalah cagaran balik untuk mendapatkan kembali dana awam berjumlah RM250 juta itu.

Malangnya, perkara ini tidak berlaku.

Saya boleh mendedahkan bahawa ruang masa yang mengalihkan pandangan rakyat dari skandal NFC kepada isu perletakan jawatan Dato’ Seri Shahrizat Jalil telah digunakan untuk mengatur urusniaga yang melupuskan hartanah-hartanah yang sepatutnya dibekukan.

Pemilik-pemilik NFC, iaitu Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail dan anak beliau, Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh kini dalam proses memuktamadkan penjualan tiga aset hartanah kepada sebuah syarikat, Insun Development Sdn Bhd.

Tiga aset hartanah ini dibiayai oleh bank yang sama yang sebelum ini membiayai pembelian 8 unit hartanah mewah di KL Eco City, lalu menimbulkan persoalan sama ada pembiayaan ketiga aset hartanah ini juga adalah berasaskan simpanan deposit dana NFC yang ditempatkan di bank tersebut.

Maklumat hartanah tersebut adalah seperti berikut:

 

Hartanah 1  
Alamat

:

B-00-22Plaza Damas 3No 63, Jalan Sri Hartamas 1

Taman Sri Hartamas

50480 Kuala Lumpur

 

Jenis

:

Tingkat bawah, kedai pejabat 3 tingkat
Harga dilupuskan kepadaInsun Development Sdn Bhd

:

RM1.5 juta

 

Hartanah 2  
Alamat

:

B-01-22Plaza Damas 3No 63, Jalan Sri Hartamas 1

Taman Sri Hartamas

50480 Kuala Lumpur

 

Jenis

:

Tingkat 1, kedai pejabat 3 tingkat
Harga dilupuskan kepadaInsun Development Sdn Bhd

:

RM759,000

 

Hartanah 3  
Alamat

:

B-02-22Plaza Damas 3No 63, Jalan Sri Hartamas 1

Taman Sri Hartamas

50480 Kuala Lumpur

 

Jenis

:

Tingkat 2, kedai pejabat 3 tingkat
Harga dilupuskan kepadaInsun Development Sdn Bhd

:

RM741,000

Urusniaga berjumlah RM3 juta boleh disahkan oleh pengurusan Insun Development Sdn Bhd yang beralamat di 15-5, Signature Office The Boulevard, Midvalley City, 59200 Kuala Lumpur atau pun peguam yang bertindak bagi pihak pembeli iaitu Heng & Co, No 30 Lorong Maarof, Bangsar Park, 59000 Kuala Lumpur. Harga pasaran ketiga-tiga hartanah ini dianggarkan berjumlah RM4 juta, maka pelupusan ini dibuat pada diskaun sebanyak 25%.

Saya membidas sekeras-kerasnya kecuaian pihak berkuasa yang membolehkan urusniaga sebegini terus berlaku terutamanya apabila pelupusan harta dibuat pada harga yang lebih rendah. Ini menjejaskan kemungkinan pihak berkuasa dapat merampas kembali sebarang harta yang dibeli dengan menyalahgunakan dana awam RM250 juta untuk mendapatkan kembali pembayaran dana tersebut kelak.

Jika ini boleh berlaku tanpa sebarang pengawasan, ini bermakna perkara yang sama boleh juga berlaku dengan aset-aset lain yang dimiliki oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil tetapi dibeli menggunakan dana awam (atau pun melalui transaksi melibatkan dana awam) iaitu:

  1. Kondominium One Menerong berjumlah RM14 juta
  2. 2 plot tanah di Putrajaya berjumlah RM3 juta
  3. Kondominium di Orchard Scotts berjumlah RM10 juta
  4. 2 kondominium di Marina Bay Suites berjumlah RM34 juta
  5. 8 unit rumah kedai pejabat di KL Eco City dianggarkan berjumlah RM12 juta

Urusniaga yang melupuskan harta-harta milik keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil seperti ini membuktikan bahawa Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak telah berbohong kepada rakyat apabila beliau mengumumkan bahawa aset NFC telah dibekukan pada 14 Januari 2012 yang lalu.

Sehingga kini, segala urusniaga dan operasi berjalan seperti biasa termasuklah yang melibatkan pelupusan harta yang menjejaskan pengambilan semula dana awam RM250 juta.

 

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI KEADILAN

5 APRIL 2012 

KEADILAN Tidak Akan Tunduk Kepada Ugutan Tindakan Undang-Undang

Saya dimaklumkan bahawa NFC telah membuat satu laporan polis mensabitkan saya, YB Nurul Izzah Anwar dan YB Zuraida Kamaruddin dengan kesalahan di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA) yang memperuntukkan hukuman penjara 3 tahun dan denda RM3 juta.

Kesalahan itu kononnya dilakukan apabila kami mendedahkan pembelian 8 unit rumah kedai mewah dan keterlibatan Dato’ Seri Shahrizat Jalil dan keluarga beliau di dalam pembangunan KL Eco City dalam satu sidang akhbar bulan lalu.

Sementara saya menghormati hak NFC dan pengurusan kanan mereka menggunakan ruang undang-undang untuk mendakwa kami, saya juga mengingatkan NFC supaya tidak cuba untuk menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia yang kini semakin aktif mendedahkan penyelewengan di kalangan pimpinan dan golongan elit.

Maqassid undang-undang di dalam sesebuah masyarakat adalah untuk menjamin keadilan dan mencegah kezaliman, bukannya untuk melindungi penyelewengan dan memberi ruang kepada si pesalah melepaskan diri.

Saya sedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak penyiasat yang dipertanggungjawabkan mengendalikan kes ini. Sekiranya ada pendakwaan, saya juga yakin untuk berhadapan dengan NFC di dalam mahkamah kerana semangat rakyat yang mahukan penyelewengan yang berlaku di dalam NFC dibongkar wajib dihormati.

Saya juga boleh mengesahkan bahawa laporan polis oleh NFC ini tidak sedikit pun mengganggu perancangan KEADILAN untuk meneruskan siri pembongkaran baru minggu depan, seperti yang diumumkan sebelum ini.

 

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI KEADILAN

31 MAC 2012 

Tender Baru Untuk Mengendalikan NFC Bertujuan Menutup Kesalahan Perdana Menteri

KEADILAN membantah sekeras-kerasnya tindakan Barisan Nasional seperti yang diumumkan oleh Dato’ Seri Noh Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani untuk menjemput bidaan baru bagi memilih kontraktor mengambil alih operasi Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Kebelakangan ini, tindakan-tindakan Barisan Nasional secara jelas bertujuan untuk menutup secepat mungkin skandal ini tanpa merungkai soal pertanggungjawaban semua pimpinan tertinggi Barisan Nasional yang terbabit. Beberapa contoh tindakan yang diumumkan tetapi tidak dilaksanakan termasuklah:

– Pengumuman pembekuan aset oleh Perdana Menteri; tetapi operasi, perbelanjaan dan penstrukturan aset di dalam NFC dan syarikat-syarikat berkaitan terus berjalan seperti biasa; bertujuan untuk menghapuskan bukti penyelewengan;

– Pengumuman perlantikan juruaudit bebas oleh Timbalan Perdana Menteri; tetapi sehingga kini skop audit, kepada siapa juruaudit akan bertanggungjawab dan bilakah laporan audit akan dibentangkan kepada Dewan Rakyat tidak diketahui rakyat. Saya khuatir audit yang dijalankan ini hanyalah untuk mengenalpasti segala penyelewengan yang berlaku agar bukti-bukti penyelewengan dapat dihapuskan secepat mungkin.

 

Persoalan pokok dalam skandal NFC ialah keterlibatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak yang bertanggungjawab menganugerahkan projek bernilai RM250 juta secara terus kepada NFCorp yang beliau sedia maklum tidak mempunyai pengalaman dan dimiliki keluarga rakan karib beliau, Dato’ Seri Shahrizat Jalil.

Tindakan itu mencerminkan kecuaian Perdana Menteri dan memungkinkan berlakunya penyelewengan dan pecah amanah.

Perkara ini masih belum dijawab oleh Perdana Menteri. Malah, tindakan beliau mahu membuka bidaan baru jelas membuktikan hasrat beliau untuk menutup kesalahan beliau yang menganugerahkan kontrak kepada pihak yang tidak layak.

KEADILAN berpendirian bahawa selagi segala persoalan bersabit pertanggungjawaban Perdana Menteri dan pegawai-pegawai tertinggi tidak disiasat dan dirungkai, kerajaan tidak boleh membuka bidaan baru kerana ini cubaan memadamkan kesalahan Perdana Menteri.

Oleh kerana niat Perdana Menteri untuk menutup kesalahan beliau itu adalah jelas, saya tidak ada pilihan lain kecuali menumpukan kembali fokus untuk membongkar penyelewengan-penyelewengan lain yang telah dan masih berlaku di dalam NFC.

Hanya dengan desakan rakyat yang memuncak barulah Perdana Menteri akan menerima pertanggungjawaban, seperti mana yang telah dibuat oleh Dato’ Seri Shahrizat Jalil.

Siri pembongkaran akan diteruskan bermula minggu depan.

 

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI KEADILAN

28 MAC 2012 

Saman Balas Ke Atas Dato’ Seri Shahrizat Jalil Untuk Pastikan Kes NFC Terus Masuk Mahkamah

Peguam-peguam saya dan YB Zuraida Kamaruddin pada hari ini telah pun memfailkan pembelaan berhubung saman RM100 juta yang dikemukakan oleh Dato’ Seri Shahrizat Jalil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Kertas pembelaan yang telah difailkan itu juga telah dihantar ke peguam Shafee & Co yang mewakili Dato’ Ser Shahrizat Jalil petang ini.

Pendirian saya adalah konsisten sejak dari awal mengenai keperluan membicarakan kes ini di mahkamah bagi merungkai sedalam-dalamnya penyelewengan yang berlaku di dalam NFC.

Saya khuatir bahawa pihak plaintiff mungkin mengambil keputusan untuk melengah-lengahkan perbicaraan ini atau menarik balik saman dalam masa terdekat untuk mengelakkan dokumen-dokumen penting dan pimpinan tertinggi Barisan Nasional diseret ke mahkamah memberi keterangan.

Demi kepentingan nasional dan setelah berbincang dengan peguam-peguam, saya mengambil keputusan untuk mengemukakan saman balas kepada Dato’ Seri Shahrizat Jalil atas kata-kata berbau fitnah yang diucapkan di dalam ucapan pembukaan beliau di Perhimpunan Wanita Umno pada 30 November 2011.

Saman balas ini memberi ruang kepada saya untuk memastikan bahawa kes NFC ini akan terus dibawa ke mahkamah dan dokumen-dokumen penting dapat dikemukakan di mahkamah bagi pengetahuan umum.

Dato’ Seri Shahrizat Jalil dan keseluruhan pimpinan Barisan Nasional tidak lagi boleh berdolak dalih dari berdepan dengan rakyat dalam hal ini. Walaupun Perdana Menteri dan pimpinan kanan Barisan Nasional tidak serius dalam memastikan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka keadilan, saya yakin jalan mahkamah memberi lebih ruang agar penyelewengan-penyelewengan lain yang belum didedahkan di bawa ke pengetahuan umum.

Tuntutan saman balas itu telah difailkan bersama-sama dengan pembelaan pada pagi ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

 

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI KEADILAN

9 MAC 2012 

 

Kenyataan Pembelaan & Saman Tuntutan Balas ke Atas Dato’ Seri Shahrizat Jalil