Category Archives: Skandal @ NFC

Penglibatan Dana Awam Dalam Pembelian Hartanah Di KL Eco City Memperlihatkan Ketidakpedulian Umno Kepada Nasib Rakyat Termiskin

Saya telah membawa isu pembangunan sebidang tanah di dalam kawasan Parlimen Lembah Pantai yang mengenepikan kebajikan rakyat di dalam sidang Dewan Rakyat yang lepas. Projek pembangunan hartanah mewah KL Eco City bernilai RM6 billion yang melibatkan SP Setia, DBKL dan syarikat milik Pergerakan Pemuda Umno ini telah mendapat perhatian ramai berikutan nasib yang menimpa penduduk-penduduk berpendapatan rendah yang mendiami tanah tersebut asalnya.

Pendedahan terbaru pada hari ini bahawa dana awam yang disalurkan kepada NFC telah digunakan untuk membeli 8 unit hartanah mewah di KL Eco City pada nilaian semasa yang mencecah RM12 juta mengundang pelbagai persoalan baru.

Pertamanya, tindakan suami dan keluarga seorang menteri kanan yang juga Ahli Parlimen kawasan yang terbabit membeli hartanah tersebut menimbulkan persoalan pertembungan kepentingan (conflict of interest) di antara tugas seorang Ahli Parlimen dan kemahuan peribadi keluarga beliau.

Dalam kes pembangunan KL Eco City, ia melibatkan pemindahan penduduk berpendapatan rendah yang tidak diberikan pampasan yang berpatutan. Sewajarnya nasib dan hak penduduk berpendapatan rendah ini dibela oleh Dato’ Seri Shahrizat Jalil agar syarikat pemaju yang besar seperti SP Setia memberikan pampasan yang sepadan.

Dengan pendedahan terkini, Dato’ Seri Shahrizat Jalil wajar menerangkan kepada rakyat sama ada beliau memainkan apa-apa peranan yang mempengaruhi keputusan sehingga menyebabkan pemindahan penduduk berpendapatan rendah di Kampung Abdullah Hukum. Jika beliau mengambil sikap sambil lewa dalam membela nasib penduduk yang terbabit sejak sebuah syarikat usahama diwujudkan dalam tahun 2007, ia juga menimbulkan pertanyaan sama ada ini ada kena mengena dengan kepentingan keluarga beliau yang berhasrat membeli hartanah di KL Eco City.

Persoalan-persoalan moral ini adalah lanjutan dari isu yang saya bangkitkan di Dewan Rakyat berkenaan ketidakpedulian pimpinan Pemuda Umno yang mendapat durian runtuh berjumlah RM75 juta daripada projek ini, sedang rakyat berpendapatan rendah dibiarkan tanpa pembelaan.

Kepimpinan Pemuda Umno terlibat secara langsung di dalam pembangunan KL Eco City dan tindakan pemindahan penduduk melalui syarikat YGP Holdings Sdn Bhd, yang merupakan rakan kongsi awal KL Eco City Sdn Bhd (iaitu pemaju yang juga anak syarikat SP Setia).

Pengarah-pengarah YGP Holdings Sdn Bhd termasuklah Ketua Pemuda Umno, Sdr Khairy Jalamuddin dan pimpinan Pemuda Umno seperti Dato’ Abdul Rahman Dahlan dan Dato’ Megat Firdouz Megat Junid.

Saya akan menunggu jawapan dari Ketua Wanita dan Ketua Pemuda Umno mengenai penglibatan mereka di dalam sebuah projek yang meminggirkan kepentingan rakyat berpendapatan rendah di Lembah Pantai, sementara rakan-rakan pimpinan KEADILAN yang lain terus mendesak pertanggungjawaban dari keluarga menteri yang menggunakan dana awam untuk membeli harta peribadi.

 

NURUL IZZAH ANWAR

NAIB PRESIDEN KEADILAN

 

7 MAC 2012 

Resolusi SP Setia Yang Difailkan Di Bursa KL Membayar RM75 Juta Kepada Yayasan Milik Pemuda Umno

Carian Syarikat dari SSM: YGP Holdings Milik Pemuda Umno

Carian Syarikat dari SSM: Kepentingan Pemuda Umno Dalam Projek KL Eco City

KEADILAN Akan Bersemuka Dengan Pimpinan Tertinggi Barisan Nasional Di Mahkamah Untuk Merungkai Skandal NFC

Pihak saya dan Saudara Rafizi Ramli akan mengemukakan pembelaan kami terhadap tuntutan saman berjumlah RM100 juta yang dikemukakan oleh Dato’ Seri Shahrizat Jalil pada hari Jumaat ini, 9 Mac 2012 di Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Pihak saya dan Saudara Rafizi juga telah membincangkan secara mendalam mengenai strategi pembelaan kami sekiranya tuntutan saman ini diteruskan juga oleh Dato’ Seri Shahrizat Jalil, selepas mahkamah mendengar pembelaan yang akan dikemukakan Jumaat ini.

Antara lain, saya dan Saudara Rafizi bercadang untuk memanggil kesemua pimpinan kanan negara yang pernah terlibat di dalam membuat keputusan berhubung NFC atau pernah memberikan komen mengenai NFC untuk dipanggil sebagai saksi memberikan keterangan.

Saya juga yakin bahawa apabila Dato’ Seri Shahrizat Jalil dipanggil menjadi saksi dan disoalsiasat, beliau terpaksa mengaku bahawa beliau sendiri pernah menghabiskan masa di kondominium mewah yang dimiliki oleh keluarga mereka dan dibeli menggunakan dana awam. Itu menimbulkan persoalan besar sama ada beliau betul-betul tidak tahu menahu bahawa keluarga beliau telah menyalahgunakan dana awam untuk membeli harta peribadi, seperti keterangan beliau di dalam tuntutan saman.

Saya yakin rakyat Malaysia begitu teruja agar kes saman ini dapat dibicarakan secepat mungkin, supaya kesemua pimpinan kanan Barisan Nasional dapat diheret untuk memberikan keterangan.

 

HAJJAH ZURAIDA KAMARUDDIN

KETUA WANITA KEADILAN

 7 MAC 2012 

Kenyataan NFC Mempertahankan Operasi Perniagaan Di Singapura Tidak Masuk Akal

Saya merujuk kepada kenyataan Dato’ Seri Salleh Ismail, Pengerusi Eksekutif NFC yang disiarkan laman berita The Malaysian Insider bertajuk “NFCorp Justifies Its Expansion Into Singapore” bertarikh 1 Mac 2012.

Beliau dipetik mempertahankan operasi perniagaan milik keluarganya di Singapura (setakat ini melibatkan tiga buah restoran mewah dan sebuah pasaraya mewah) yang dipercayai menggunakan dana awam RM250 juta. Beliau memberikan alasan bahawa pasaran Malaysia untuk membeli daging dari NFC terlalu kecil dan tidak dapat memenuhi pengeluaran NFC. Malah, beliau turut membayangkan hasrat NFC untuk membuka operasi di Indonesia dalam masa yang terdekat.

Saya berasa kesal kerana alasan yang diberikan tidak dapat diterima akal oleh rakyat Malaysia. NFC sehingga sekarang masih gagal untuk mencapai sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan sebagai syarat untuk mendapatkan projek Pusat Fidlot Kebangsaan dan dana awam RM250 juta.

Berdasarkan sumber rasmi Jabatan Perkhidmatan Veterinar di laman web dan sasaran pengeluaran daging yang ditetapkan kepada NFC, perbandingan berikut boleh dibuat:

 

 

Sasaran Rasmi

Jabatan Perkhidmatan Veterinar

Pencapaian NFC

(2008 hingga 2010)

 

Output pengeluaran daging mentah menjelang 2009

50,000 tan setahun

Purata 400 tan setahun (berdasarkan purata 1,914 sembelihan setiap tahun, berat bersih daging 200 kg setiap sembelihan)

Peratusan pencapaian berbanding sasaran yang ditetapkan

0.8%

Jumlah lembu yang perlu disembelih oleh NFC untuk memenuhi sasaran 40% permintaan daging tempatan

800 ekor sehari

(berdasarkan berat bersih daging 200 kg setiap seekor lembu, 300 hari operasi setiap tahun)

Purata 6 ekor sehari

 

Perbezaan di antara sasaran yang ditetapkan mengikut dasar-dasar utama negara dan pencapaian NFC setakat ini jauhnya bagai langit dan bumi.

NFC tidak ada hak untuk bercakap mengenai pasaran baru diluar negara selagi ia tidak memenuhi sasaran 40% permintaan tempatan kerana itulah tujuannya NFC ditubuhkan. Malah, kenyataan Dato’ Seri Salleh Ismail bahawa pasaran tempatan terlalu kecil dan tidak mampu memenuhi pengeluaran NFC adalah satu penipuan yang menghina minda rakyat Malaysia.

Saya masih menunggu kenyataan rasmi dari NFC dan kerajaan untuk menjawab kenapa sejumlah wang rakyat dibenarkan dilaburkan dalam aktiviti perniagaan di luar negara yang tidak ada kena mengena dengan tujuan pembiayaan RM250 juta diluluskan.

 

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI KEADILAN

 

1 MAC 2012

 

Farmhouse Supermarket Beroperasi Di Rochester Mall, Bersebelahan Star Vista Di Singapura

Saya dimaklumkan mengenai penafian oleh CapitalMall bahawa kompleks membeli belah Star Vista yang sedang dimajukan tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan Farmhouse Supermarket Pte Ltd yang dimiliki keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil.

Saya memandang berat kesilapan ini dan telah berhubung dengan rakyat Malaysia di Singapura yang banyak membantu. Semakan pada pagi ini mendapati bahawa Farmhouse Supermarket akan beroperasi di Rochester Mall bersebelahan dengan Star Vista.

Farmhouse Supermarket menyewa unit-unit bernombor #02-08 hingga #02-35 di kompleks membeli belah yang dibangunkan bersama-sama kondominium mewah di alamat 35, Rochester Drive, Singapura. Projek itu dibangunkan oleh pemaju UE One-North Developments Private Limited.

Semakan di laman rasmi Rochester Mall jelas menyenaraikan Farmhouse Supermarket sebagai salah satu penyewa mereka, seperti yang dilaporkan di laman http://www.rochestermall.com.sg/#02-08to35

Maklumat di laman itu juga mengesahkan bahawa Farmhouse Supermarket adalah penyewa terbesar di tingkat 2, berbanding kedai-kedai lain.

Saya juga berpendapat oleh kerana lokasi Rochester Mall adalah bersebelahan dengan Star Vista, anggaran sewa seperti yang didasarkan kepada laporan Competition Commission of Singapore tidaklah banyak berbeza.

Oleh yang demikian, saya percaya selain dari kesilapan alamat sebenar kompleks seperti yang saya sebutkan, keseluruhan pendedahan yang dibuat semalam adalah tepat. Kenyataan Dato’ Seri Salleh Ismail yang disiarkan oleh The Malay Mail bertarikh 29 Februari 2012 juga mengesahkan bahawa NFC tidak menafikan kewujudan pasaraya mewah ini, malah masih mempertahankan hak mereka untuk menceburi apa-apa perniagaan yang mereka rasa sesuai.

Saya memohon maaf secara terbuka kepada CapitalMall dan NFC atas kesilapan fakta yang berlaku, walaupun ia tidak memadamkan pelbagai persoalan yang timbul mengenai pembabitan NFC di dalam operasi pasaraya mewah di Singapura.

 

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI KEADILAN

29 FEBRUARI 2012

 

Dana Rakyat Terdedah Kepada Risiko Kerugian Perniagaan Pasaraya Mewah Di Singapura

 

KEADILAN pada hari ini boleh mendedahkan bahawa selain dari perniagaan 3 buah restoran mewah di Singapura dan pelaburan berjumlah RM44 juta dalam 3 kondominium mewah di sana, pengurusan NFC juga terlibat di dalam perniagaan pasaraya mewah di republik itu.

 

Ia dikendalikan melalui sebuah syarikat bernama Farmhouse Supermarkets Pte Ltd yang sahamnya dimiliki bersama oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil seperti berikut:

 

Dato’ Seri Salleh Ismail                                   S$666,667

Wan Shahinur Izran Salleh                              S$666,667

Wan Izzana Fatimah Zabedah                         S$666,667

 

(Maklumat korporat syarikat seperti yang dilaporkan kepada pihak berkuasa Singapura ada disertakan. KEADILAN berjaya menjejaki syarikat ini melalui carian penglibatan perniagaan Wan Izzana Fatimah Zabedah yang menyenaraikan kesemua syarikat yang dimiliki beliau, seperti yang disertakan.)

 

Farmhouse Supermarkets Pte Ltd dipercayai dibiayai oleh Malayan Banking Berhad dan United Overseas Bank Limited, melalui kaedah yang sama yang digunapakai untuk membiayai pembelian 2 kondominium mewah di Marina Bay Suites berharga RM34 juta yang didedahkan baru-baru ini.

 

Sejak tahun 2011, syarikat ini aktif mengambil pekerja melalui pengiklanan yang dibuat (sila rujuk Lampiran A), dipercayai sebagai persediaan bila mana pasaraya itu bakal dibuka dalam tahun 2012 kelak.

 

Siasatan KEADILAN menunjukkan bahawa Farhmouse Supermarkets Pte Ltd telah pun menjadi anchor tenant kepada sebuah kompleks pasaraya mewah yang bernama Star Vista beralamat 35, Rochester Drive dan terletak di kawasan elit berdekatan dengan Nanyang Technology University. Pasaraya yang diusahakan oleh Farmhouse Supermarkets Pte Ltd ini dijangka mula beroperasi dalam suku ketiga tahun ini, apabila kompleks Star Vista siap.

 

Siasatan KEADILAN juga menunjukkan bahawa Farmhouse Supermarkets Pte Ltd telah menandatangani perjanjian sewaan (tenancy agreement) dengan CapitalMalls (pemaju) bagi 28 unit ruang kedai di tingkat 2 kompleks tersebut, dari unit #02-08 hinggalah unit #02-35.

 

Semakan dengan harga pasaran bagi ruang kedai komersil di pasaraya di Singapura menunjukkan julat kadar sewa bagi satu meter persegi adalah di antara S$350 hingga S$500 sebulan, bergantung kepada lokasi (berdasarkan kajian Competition Commission of Singapore). Oleh itu, jika keluasan 28 unit dianggarkan sekitar 3,000 meter persegi, tanggungan sewaan bulanan yang terpaksa dibayar oleh Farmhouse Supermarkets Pte Ltd adalah sekitar S$900,000 sebulan atau RM2.2 juta sebulan.

 

Sudah tentu perniagaan pasaraya ini akan dibiayai oleh dana awam yang disalurkan bagi tujuan penternakan lembu seperti yang dimandatkan oleh NFC, seperti yang berlaku di dalam pembelian-pembelian aset mewah lain sebelum ini. Kenyataan pengurusan NFC yang mempertahankan hak mereka berbelanja dana RM250 juta itu mengikut citarasa mereka memperkuatkan lagi hujah bahawa sebahagian wang tersebut bakal dibelanjakan bagi membiayai pasaraya mewah ini.

 

Oleh yang demikian, KEADILAN mendesak supaya NFC berterus terang mengenai komitmen kewangan yang telah dibuat melalui Farmhouse Supermarkets Pte Ltd ini, termasuklah perjanjian sewaan yang telah dimeterai.

 

Tindakan tegas perlu dilakukan segera untuk merampas kembali kesemua dana yang telah diselewengkan secepat mungkin dan mendakwa individu terbabit di mahkamah atas tuduhan pecah amanah dan jenayah perdagangan.

 

Jika ini tidak berlaku dalam minggu ini, KEADILAN akan melakukan pendedahan setiap minggu hinggalah Dewan Rakyat bersidang pertengahan bulan Mac ini.

 

 

 

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI KEADILAN

 

HAJJAH ZURAIDA KAMARUDDIN

KETUA WANITA KEADILAN

 

 

28 FEBRUARI 2012

 

 izzana

ACRA – Farmhouse


 

LAMPIRAN A

 


Farmhouse Supermarkets Pte Ltd

Advertised: 17-1-12 | Closing Date: 16-2-12

Operating in a highly competitive and fast moving food industry, this global group is one of the market leader in the Malaysia engaged in the manufacture, marketing and distribution of beef products.

Assistant Purchasing Manager / Purchasing Manager
Across Singapore

Responsibilities: 

  • Fully responsible for purchasing in a newly set up supermarket
  • Involved in planning, sourcing and recommending suitable materials, products, goods and services in accordance with desired purchase conditions, from local and overseas suppliers and vendors
  • Establish and conduct regular review of procurement procedures and policies in consultation with the Management
  • Implement procurement procedures and policies across the relevant business units
  • Establish inventory control procedures including inventory documentation and listing, replenishment etc
  • Conduct regular review cost effectiveness and performance of suppliers and vendors by making random checks or regular or designated supplier’s/vendor’s price with other supplier’s price
  • Ensure timely submissions of purchase order requisitions for internal approvals, co-ordinate delivery schedules & timing with suppliers/vendors, and check product quality when goods are delivered
  • Resolve any irregularities and non-compliance issues with suppliers and vendors concerning purchase orders, payments or any conditions of purchase
  • Maintain proper and complete records of purchase orders and related purchase documentation
  • Carry out ad hoc assignment as instructed by Management

Requirements:

  • Candidate must possess at least a Degree with a minimum of 5 years of relevant experience in purchasing in supermarket is a must
  • Strong negotiating and problem solving skills
  • Dynamic, resourceful and have a good knowledge in market sources
  • A self-starter and able to work in a fast paced environment and with tight deadlines
  • Good analysing and coordination skills
  • Able to commence within short notice will be an added advantage
  • Only Singaporean need to apply

Candidates interested in the above position, please forward your detailed resume in MS Word with a recent photo to [email protected] indicating

* Earliest available Date
* Current & expected salary
* Reason for leaving all employment

We regret to inform that only short-listed candidates will be notified.