Category Archives: Reformasi

YB Marang Hanya Sebut Perkataan 1MDB Sekali Dalam Parlimen

Saya memerhatikan gelagat pimpinan Umno dan jentera propaganda mereka lintang pukang menyerang saya apabila saya menimbulkan isu dana 1MDB yang dipindahkan dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak dan sampai kepada seorang tokoh yang rapat dengan pimpinan PAS.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, YB Dato’ Irmohizam Ibrahim mengeluarkan kenyataan menyerang saya kononnya menaburkan “fitnah”.

Lebih menarik, serangan pertama terhadap saya ialah dari Raja Petra Kamaruddin, pelarian politik yang lari dari undang-undang negara dan berselindung dengan hidup yang mewah di Manchester, United Kingdom. Seperti biasa, Raja Petra menerbalikkan isu yang saya timbulkan dengan menuduh saya menerima RM20 juta dari seorang yang bernama John Soh.

Berita temberang dari Raja Petra selama ini tidak dihiraukan oleh orang terpelajar dan pengundi atas pagar, sebab itu saya tidak pernah melayan Raja Petra sebelum ini. Saya cukup kenal perangai Raja Petra kerana semasa beliau mengendalikan laman “Free Anwar Campaign”, saya adalah pengendali laman itu yang kedua sebagai langkah kelangsungan jika beliau ditahan. Saya jugalah orang yang mengusahakan agar dua orang anak lelakinya dipindahkan ke United Kingdom dan kami (reformis Malaysia di UK ketika itu) sama-sama menjaga dan membiayai anak-anak Raja Petra pada ketika itu.

Tetapi sementara berita Raja Petra itu tidak perlu dipedulikan, arah serangan Raja Petra itu menggambarkan strategi propaganda penyokong Dato’ Seri Najib kerana umum mengetahui Raja Petra menerima arahan dari penyokong Dato’ Seri Najib.

Apabila Raja Petra lebih cepat menyerang saya dari pimpinan PAS sendiri memberi reaksi kepada isu yang saya timbulkan, itu mengesahkan bahawa UMNO-lah yang paling bimbang jika saya buktikan kelak bahawa memang benar ada wang 1MDB dari akaun peribadi Najib yang akhirnya sampai kepada tokoh yang rapat dengan pimpinan PAS. Ini kerana strategi “memegang” PAS adalah satu-satunya strategi yang Najib ada untuk kekal berkuasa.

Strategi “memegang” PAS ini juga yang mengekalkan Najib sebagai presiden UMNO kerana pimpinan-pimpinan Bahagian UMNO (yang ramainya adalah wakil rakyat) cukup menyokong strategi pertandingan 3 penjuru yang dibawa Najib kerana mereka yakin itu akan memberi kemenangan mudah kepada mereka dalam keadaan mereka (dan UMNO) cukup tidak popular. Bagi mereka, pemimpin UMNO yang boleh menjamin perut mereka kekal kenyang, itulah pemimpin yang wajar dikekalkan.

Sebab itu mendedahkan muslihat Najib “memegang” PAS melalui RUU355 ini cukup penting kerana RUU355 telah disalahgunakan untuk mengekalkan kekuasaan Najib. Tindakan menghalang perbahasan di Parlimen bertujuan mempengaruhi penyokong PAS dan pengundi atas pagar kononnya Pakatan Harapan anti Islam kerana mengikut telunjuk DAP.

Buktinya dalam 3 hari lepas, serangan yang mengkafirkan saya dan menuduh saya penentang Islam menghujani saya di laman Facebook saya dan Twitter. Saya sedikit pun tidak terkesan kerana saya tahu jumlah yang bersetuju dengan saya (melalui “like” dan “share”) adalah jauh lebih tinggi berbanding pentaksub yang memaki hamun berkali-kali secara berjemaah di ruang komen.

Namun pimpinan PAS sepatutnya sedar mereka sudah terperangkap sekali lagi dengan muslihat Najib. Apabila pengundi atas pagar melihat sendiri ghairahnya penyokong akar umbi PAS mengkafirkan saya dan mengulangi fitnah yang dimulakan oleh UMNO (misalnya menidakkan skandal NFC seolah-olah keluarga Shahrizat Jalil tidak pernah membeli kondominium dengan wang rakyat), pengundi atas pagar akan melihat UMNO dan PAS kini sudah tidak banyak berbeza: mereka sudah senada.

Itulah kehendak Najib dan muslihatnya: supaya PAS terkalih dan tidak memberi tumpuan kepada isu yang lebih besar mudharatnya kepada rakyat iaitu skandal 1MDB dan kesan kewangannya kepada rakyat, dengan menjadi parti satu isu iaitu RUU355 semata-mata.

Sebab itu semakan saya kepada semua ucapan YB Marang di Parlimen sejak Parlimen ini dibuka selepas PRU13 menunjukkan YB Marang hanya pernah menyebut perkataan 1MDB sekali sahaja. Saya sertakan di dalam Lampiran analisa ucapan YB Marang di Parlimen sejak Jun 2013 sehingga kini untuk menunjukkan bagaimana beliau seolah-olah mengelak dari memberi komen kepada isu 1MDB.

Download (PDF, 56KB)

Setelah hampir 4 tahun bersidang dan Parlimen ini kian sampai ke penghujungnya, YB Marang hanya pernah menyebut 1MDB hanya sekali sahaja sedangkan punca utama masalah negara sejak tahun 2011 lagi adalah 1MDB.

Akibat sikap YB Marang yang tidak mahu menyentuh isu 1MDB yang disabitkan dengan Najib ini, UMNO nampak yakin menang dalam PRU14 sedangkan ia berada pada tahap paling tidak popular sejak 1946 lagi.

Saya akan mendedahkan nama tokoh yang menerima dana 1MDB dari akaun Dato’ Seri Najib yang disiasat oleh SPRM itu dalam masa terdekat.

Mengenai serangan media propaganda dan blogger UMNO seperti Raja Petra konon saya menerima RM20 juta dari seorang tokoh Cina, saya hanya perlu memberi reaksi berikut:

1. Jika saya menerima dana itu, saya telah lama ditangkap oleh polis dan SPRM kerana ada bukti saya menerima rasuah

2. Harta saya diisytiharkan secara telus setiap tahun yang menunjukkan simpanan saya semakin sedikit. Harta saya tidak pernah mencecah RM20 juta seperti yang difitnahkan oleh Raja Petra

3. Saya akan membuat akuan berkanun minggu ini menafikan pernah menerima apa-apa wang dari sesiapa seperti yang dituduh oleh Raja Petra. Jika penafian melalui akuan berkanun itu tidak benar, pihak berkuasa boleh menahan saya serta merta dan didakwa kerana melanggar Akta Akuan Berkanun

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

RUU355 Kekal Mainan Politik UMNO Jika Pun Ahli Parlimen Marang Dibenarkan Bentangkan Usul

Keputusan Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk tidak membentangkan sendiri cadangan pindaan kepada Akta 355 untuk menaikkan had hukuman Mahkamah Syariah adalah pukulan maut (“total knock-out/TKO”) kepada sebarang usaha untuk menghidupkan usul itu.

Saya telah menulis dengan panjang lebar tahun lepas menerangkan Peraturan Dewan 49 yang secara jelas menyebut bahawa sebarang rang undang-undang persendirian (rujuk http://rafiziramli.com/2016/10/rang-undang-undang-355-dato-seri-najib-tun-razak-mesti-isytihar-pendirian-pentadbiran-beliau/), jika pun dibenarkan dibaca, dibahas dan menang undian di Dewan Rakyat, tidak akan pergi ke peringkat yang lebih jauh kecualilah Kerajaan bersetuju untuk menerima cadangan RUU itu dan diambil alih untuk dibentangkan semula di Dewan Rakyat bagi bacaan kali kedua.

Ini bermakna, seperti yang saya tegaskan berkali-kali, kuasa sebenar untuk memperkasakan Mahkamah Syariah terletak di tangan Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri. Dalam keadaan RUU persendirian yang dibawa YB Marang itu dipulangkan kembali kepada beliau, kesemua keputusan bersabit kebenaran pembentangan dan diluluskan terletak di tangan Dato’ Seri Najib (seperti berikut):

1) Keputusan untuk menukar aturan mesyuarat supaya semua akta kerajaan yang disenaraikan lebih awal digugurkan untuk memberi laluan kepada pembacaan RUU persendirian YB Marang terletak di tangan Dato’ Seri Najib (kerana urusan kerajaan perlu disudahkan terlebih dahulu sebelum RUU persendirian boleh dibaca)

2) Keputusan untuk melangkah giliran untuk mendahulukan pembacaan RUU persendirian YB Marang mengatasi semua urusan kerajaan yang telah disenaraikan lebih awal (seperti yang pernah berlaku sebelum ini) juga keputusan Dato’ Seri Najib sebagai ketua kerajaan

3) Jika pun (1) atau (2) dibenarkan untuk membolehkan RUU persendirian YB Marang dibaca, dibahas dan diundi, keputusan untuk mengarahkan ahli parlimen Barisan Nasional menyokong RUU persendirian itu adalah keputusan Dato’ Seri Najib

4) Jika pun (1) atau (2) dibenarkan dan Dato’ Seri Najib bersetuju mengarahkan ahli parlimen Barisan Nasional menyokong RUU persendirian itu (seperti (3)), keputusan sama ada Kerajaan akan mengambil alih cadangan pindaan itu untuk dibentangkan kembali bagi bacaan kedua adalah keputusan Dato’ Seri Najib

Akhirnya, jika pun Dato’ Seri Najib boleh bermain politik dengan membenarkan (1), (2) dan (3), saya yakin cadangan RUU persendirian YB Marang itu akan terhenti di peringkat bacaan pertama (setelah pengundian dibuat) kerana Dato’ Seri Najib tidak mungkin akan bersetuju mengambil alih cadangan pindaan tersebut untuk dibentangkan kembali sebagai rang undnag-undang kerajaan (seperti kehendak Peraturan Dewan).

Kenapa saya begitu pasti?

Kerana jika benar Dato’ Seri Najib ikhlas, sudah tentu beliau meneruskan janjinya yang dibuat di Perhimpunan Agung UMNO yang lalu bahawa pihak Umno (dan Kerajaan Persekutuan) sendiri yang akan membentangkan perkara ini dan melalui proses Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat.

Kalau Kerajaan Persekutuan menolak untuk membentangkannya pada bacaan pertama dan dipulangkan kepada YB Marang yang tertakluk kepada semua keputusan Dato’ Seri Najib bagi kelulusan di peringkat (1), (2) dan (3) di atas, kenapa pula di langkah (4) tiba-tiba Dato’ Seri Najib akan mengambil alih RUU persendirian itu?

RUU355 kekal permainan politik Umno untuk memastikan berlaku pertembungan 3 penjuru dalam PRU14.

Dato’ Seri Najib nampaknya yakin beliau bakal mencipta sejarah sebagai Perdana Menteri yang paling tidak popular tetapi kekal berkuasa melalui adu domba politik yang melaga-lagakan rakyat dengan bermain isu agama dan kaum. Beliau lupa rakyat sedang menonton sandiwara ini dan jangan perkecilkan kecerdikan rakyat membaca yang tersirat di sebalik permainan politik ini.

Sama ada RUU355 dibenarkan dibentang atau tidak, saya telah buat pendirian kerana telah cukup maklumat dengan menilai keikhlasan Dato’ Seri Najib dalam hal ini. Bentanglah secepat mungkin supaya kita boleh kembali kepada isu-isu rakyat yang lebih tinggi keutamaannya untuk diselesaikan berbanding permainan politik Umno ini.
RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Dapatan Kajiselidik RUU355

(Keputusan kajiselidik yang disertai 43,030 orang pengundi Melayu/ Bumiputra Islam mengenai pengaruh RUU355 ke atas pilihan undi)

[Sila rujuk laporan penuh “Kajiselidik Sentimen Pengundi Mengenai RUU355” yang disertakan bersama]

Download (PDF, 306KB)

LATAR BELAKANG KAJISELIDIK

 Polemik politik mengenai usul Rang Undang-undang 355 (RUU355) untuk menaikkan had hukuman yang boleh dijatuhkan oleh mahkamah syariah telah menjadi isu politik nasional.

 Banyak keputusan politik yang telah dan akan dibuat oleh ahli politik, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat umumnya berkisar kepada pendirian menyokong/tidak menyokong RUU355.

 Kajiselidik ini bertujuan menentukan secara kuantitatif sejauh mana pengaruh RUU355 dalam menentukan undi pengundi Melayu/ Bumiputra Islam dalam pilihanraya umum akan datang (PRU14).

KAEDAH KAJISELIDIK YANG DIGUNAKAN

 Seramai 1.1 juta pengundi Melayu/Islam Bumiputra ditelefon secara rawak menggunakan sistem interaktif suara (lebih dikenali sebagai “Interactive Voice Response” sistem atau IVR) yang dibangunkan sendiri oleh I-CPI.

 Responden akan ditanya soalan dan pengundi akan menekan butang telefon untuk merekodkan jawapan. Contoh – “Tekan 1 untuk “Ya”, Tekan 2 untuk “Tidak”. Jawapan yang diberikan oleh responden akan direkodkan terus oleh sistem IVR di dalam server I-CPI.

 Sistem IVR telah diprogram untuk menelefon pengundi yang melambangkan pecahan pengundi di setiap negeri. Sekiranya kadar jawapan di satu negeri itu rendah, sistem IVR akan mendail lebih banyak pengundi di negeri itu agar jumlah responden dari negeri itu sama dengan peratusan pengundi keseluruhan di negeri itu.

 Keputusan yang telah direkodkan oleh server I-CPI kemudian boleh dianalisa dari data awal seperti yang berikut (rujuk laporan penuh):

 Responden turut memasukkan maklumat seperti jantina, umur dan poskod kawasan. Keseluruhan kajiselidik mengambil masa satu setengah minit.

KEPUTUSAN KAJISELIDIK

 Hanya 10.4% pengundi Melayu/Bumiputra Islam yang akan mengundi berpandukan kepada keputusan RUU355

 54.3% dari pengundi Melayu/Bumiputra Islam yang berhasrat mengundi PAS tidak tahu mengenai RUU355

 70.1% atau 30,173 orang pengundi Melayu/Bumiputra Islam langsung tidak tahu mengenai RUU355

 19.5% pengundi Melayu/Bumiputra Islam, walaupun tahu mengenai RUU355, merasakan ia bukan isu penentu undi dalam PRU14

Laporan penuh boleh dimuatturun di:

 

Laman I-CPI di https://cpi.invokemalaysia.org/

Dikeluarkan oleh:

Rafizi Ramli
23 Mac 2017

Bagi pihak INVOKE

Akuan Bersumpah Pengisytiharan Harta, Hutang, Pendapatan dan Perbelanjaan 2016

113016_rafizi_isytihar_harta_1_copy_2

Disertakan Akuan Bersumpah Pengisytiharan Harta, Hutang, Pendapatan dan Perbelanjaan 2016 yang telah saya tandatangani di hadapan Pesuruhjaya Sumpah pada hari ini.

Saya berharap lebih ramai Ahli Parlimen, wakil rakyat dan penjawat awam lain mengisytiharkan harta dengan kaedah ini.

Rafizi Ramli
Ahli Parlimen Pandan

30 November 2016

Download (PDF, 6.62MB)

Kajiselidik Buktikan Rakyat Mahu Ahli Politik Isytihar Harta

Berikutan polemik mengenai cadangan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk menguatkuasakan satu akta mengawal sumbangan kepada parti politik, saya telah membuat satu kajiselidik atas talian.

Latar belakang 727 responden yang menyertai kajiselidik ini adalah seperti berikut:

1 – 60% adalah dari kalangan responden yang memperkenalkan diri sebagai penyokong parti-parti pembangkang iaitu Pakatan Harapan, PAS dan Bersatu

2 – Sekitar 40% adalah dari kalangan responden yang memperkenalkan diri sebagai atas pagar atau tidak mahu menyatakan mereka menyokong parti mana. Sebahagian dari mereka yang tidak mahu menyatakan kecenderongan mengundi adalah penyokong Barisan Nasional

Dapatan-dapatan yang jelas menunjukkan sentimen umum mahukan pengisytiharan harta oleh ahli politik dan penjawat awam berpangkat tinggi secara langsung membuktikan rakyat tidak percaya dengan tindakan Dato’ Seri Najib memperkenalkan akta untuk mengawal sumbangan kepada parti-parti politik.

Paling ketara, sekitar 60% responden mengakui pemgisytiharan harta mempengaruhi keputusan mengundi calon lain.

Saya sertakan dapatan penuh untuk diteliti oleh orang ramai.


Oleh itu, saya akan mengisytiharkan harta bagi tahun 2016 esok jam 12 tengahari di INVOKESpace dalam satu sidang media yang boleh juga ditonton secara LIVEFB di laman page Rafiziramli.

Saya menyeru seberapa ramai wakil rakyat supaya mula mengisytiharkan harta secara sukarela selepas ini.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN