Category Archives: Reformasi

Kemenangan Pakatan Harapan PRU14: Jangan Ambil Jalan Mudah, Jangan Cepat Membuat Kesimpulan

 

Kongres Nasional KEADILAN kali ke-12 yang berakhir dua hari lalu banyak menampilkan kelainan berbanding perhimpunan agung tahunan parti-parti lain. Kongres nasional KEADILAN hanya sehari, ucapannya pendek dan masanya singkat. Masa yang singkat bermakna tidak banyak ruang untuk memuji-muji pimpinan di atas. Tempoh bersidang sehari bermakna belanja menganjurkan kongres hanya sekitar RM150,000 yang tidak membebankan parti sehingga perlu mencari derma dari hartawan Arab.

Ramai yang mungkin tidak sedar itu budaya politik yang berlainan di bawah oleh KEADILAN. Budaya yang lebih menumpukan kepada pencapaian kerja dan membuang amalan-amalan politik feudal yang penuh dengan keraian dan protokol.

18 tahun lalu, sebagai anak muda berumur 21 tahun yang sedang bekerja di London, saya menyertai KEADILAN dari jauh. Saya terus dilantik menjadi EXCO Pemuda KEADILAN (ketika itu) dari London sedangkan saya tidak pernah berjumpa dengan pimpinan KEADILAN yang ada. Saya menyertai KEADILAN dari London kerana saya percaya parti ini menongkah arus dan akan berjaya membawa budaya baru.

Mendahului Pendapat Umum (“Conventional Wisdom”)

Kongres Nasional KEADILAN setiap tahun adalah pertemuan yang merayakan kepelbagaian Malaysia. Ada Melayu, ada Cina, ada India, ada Iban, Bidayuh,Kadazan,Murut; malah ada Orang Asal. Tidak ada satu parti pun di Malaysia yang mempunyai dan mewakili semua bangsa dan agama seperti KEADILAN.

Namun, 18 tahun lalu semasa parti ini ditubuhkan, pendapat umum (atau “conventional wisdom”) pada ketika itu mengatakan bahawa parti berbilang bangsa yang melangkaui batas perkauman (dan tidak hanya memperjuangkan nasib satu kaum) tidak akan kekal lama. Hari ini, KEADILAN adalah satu-satunya parti; dan parti yang pertama dalam sejarah Malaysia yang diterima semua bangsa dan ada wakil rakyat di setiap negeri dari Perlis ke Sabah dan Sarawak.

Selepas Pilihanraya Umum (PRU) 2004, KEADILAN tinggal hanya satu kerusi Parlimen. Kami diejek sebagai parti nyamuk yang akan terkubur. Maka apabila tiga tahun kemudian, Anwar Ibrahim mengatakan pembangkang ada peluang merampas beberapa buah negeri dan menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional dalam PRU 2008, semua memperlekehkan keyakinan Anwar dan KEADILAN itu. Dalam PRU 2008, KEADILAN membuktikan pendapat umum (“conventional wisdom”) ketika itu salah apabila pembangkang menidakkan majoriti dua pertiga dan sejak itu pakatan pembangkang berjaya mentadbir Selangor dan Pulau Pinang.

Apabila Anwar Ibrahim menubuhkan Pakatan Rakyat selepas PRU 2008, ramai pula yang tidak yakin pakatan pembangkang itu boleh kekal lama. Kata mereka ini gabungan “tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain”. Namun, Pakatan Rakyat (yang pada mulanya tidak diyakini oleh juru komen politik) ini jugalah yang mencipta sejarah sebagai pakatan pembangkang pertama dalam negara ini yang memenangi undi popular menewaskan BN dalam pilihanraya umum.

Apabila Presiden KEADILAN, Dr Wan Azizah Wan Ismail menubuhkan Pakatan Harapan tanpa penyertaan PAS, pendapat umum ketika itu mengatakan pakatan pembangkang tanpa PAS tidak mempunyai harapan. Malah ada yang mengkritik, termasuk dari kalangan pimpinan NGO dan media yang cenderong kepada pembangkang, kononnya tindakan Presiden KEADILAN itu gopoh dan cuai.

Hari ini, seluruh Malaysia meyakini bahawa pakatan pembangkang yang berpotensi untuk mengalahkan BN adalah Pakatan Harapan, bukannya Gagasan Sejahtera. Sebab itu persoalan siapa calon Perdana Menteri hanya diajukan kepada Pakatan Harapan kerana keyakinan menang itu hanya ada kepada Pakatan Harapan (dan bukannya Gagasan Sejahtera).

Saya sebut semua ini untuk menunjukkan bahawa selama 18 tahun, kesemua keputusan besar yang diambil KEADILAN mendahului pendapat umum atau “conventional wisdom” tetapi lama kelamaan kami dibuktikan benar. Anjakan besar yang dibawa oleh KEADILAN sememangnya bermula dengan diperlekehkan oleh cerdik pandai masyarakat, NGO dan media ketika itu sebelum anjakan itu benar-benar berlaku (dari wujudnya parti berbilang bangsa nasional yang pertama, wujudnya pakatan pembangkang nasional yang pertama yang kekal melebihi tiga PRU, menidakkan majoriti dua pertiga hinggalah berpotensi besar menewaskan Barisan Nasional dalam PRU akan datang).

Sebabnya ialah kerana KEADILAN adalah parti reformasi, memang idea dan pandangan kami banyak mendahului pendapat umum ketika itu (yang dibentuk oleh budaya politik masyarakat yang telah lama berakar) kerana kami membawa idea yang menongkah pemikiran ketika itu.

Persoalan Calon Perdana Menteri Reformasi

Begitu juga dengan persoalan siapa Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang: jawapan kami adalah jelas, Perdana Menteri setelah Pakatan Harapan menang adalah Anwar Ibrahim. Sudah tentu pendapat umum sekarang (dari pemerhati politik, media, pimpinan NGO, juru komen di portal berita) akan berkata “KEADILAN syok sendiri” dan “KEADILAN gila” kerana Anwar Ibrahim masih dipenjara.

Sedar tidak sedar, idea-idea yang menarik sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan banyaknya bermula dari kelantangan Anwar menentang sistem kerajaan satu parti di bawah Barisan Nasional sejak 1998 lagi. Tuntutan supaya kerajaan menghormati rakyat, kehendak supaya kerajaan lebih bertanggungjawab menguruskan wang negara, kebencian kepada rasuah yang mengkayakan elit penguasa di dalam masyarakat – ini semua adalah idea-idea reformasi yang dicetuskan dan dibawa secara besar-besaran oleh Anwar Ibrahim dan KEADILAN.

Maka sokongan kepada idea-idea ini bermakna sokongan besar kepada Anwar Ibrahim atas kecekalan beliau membawa idea-idea reformasi ini yang menjadikan rakyat sebagai “tuan” dan kerajaan hamba kepada rakyat.

Saya berani menulis sebegini kerana kenyataan di perenggan atas (bahawa sokongan kepada tuntutan berubahnya kerajaan berkadar langsung dengan sokongan peribadi kepada Anwar Ibrahim oleh sebahagian besar rakyat Malaysia) telah dibuktikan benar secara fakta melalui satu kajiselidik besar yang dijalankan INVOKE Malaysia selama tiga bulan sejak Februari 2017.

Kajiselidik yang melibatkan 18,000 pengundi itu menunjukkan, dari kalangan pimpinan pembangkang, tokoh yang mendapat sokongan terbesar untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan menang ialah Anwar Ibrahim. Lebih penting lagi, Anwar Ibrahim adalah satu-satunya tokoh politik pembangkang yang mendapat sokongan dari semua kaum di negara ini, menjadikan beliau satu-satunya tokoh politik pembangkang yang mempunyai keabsahan moral (“moral legitimacy”) sebagai Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia.

Kajiselidik itu akan disiarkan sepenuhnya hari ini.

Saya sebut terlebih dahulu untuk mengingatkan pembaca bahawa soal Anwar Ibrahim menjadi calon pilihan tertinggi rakyat Malaysia (dari kalangan pembangkang) bukanlah soal pandangan atau citarasa saya (seperti mana ada rakan-rakan pembangkang yang lain mempunyai citarasa dan kecenderongan masing-masing), tetapi adalah kehendak majoriti rakyat yang menyokong Pakatan Harapan yang mahukan perubahan seperti yang diperjuangkan Anwar Ibrahim sejak dua dekad yang lalu.

Sebab itu, sedang saya faham setiap parti dan pemimpin Pakatan Harapan ada calon masing-masing, saya berpendapat menidakkan kehendak majoriti rakyat itu atas perkiraan politik kerana Anwar Ibrahim berada di dalam penjara, sudah tentu akan meminggirkan majoriti penyokong Pakatan Harapan sendiri.

Kaedah Pengampunan Diraja Ada Walaupun Nampak Sukar

Tetapi rakyat tahu ada kaedah pengampunan diraja yang boleh digunakan dan membolehkan Anwar Ibrahim dibebaskan segera dan bertanding segera dalam pilihanraya kecil. Kaedah ini ada digunakan dalam kes-kes ehsan untuk membebaskan pesalah, apatah lagi dalam kes Anwar Ibrahim ia satu kes fitnah yang jelas oleh musuh politik beliau yang mahu menghentikan kemaraan rakyat menuntut perubahan.

Sebab itu walaupun pendapat umum (di kalangan kelas pertengahan, juru komen politik, NGO dan media) mungkin masih tidak dapat menerima, KEADILAN tahu bahawa apabila Pakatan Harapan menang PRU14, seorang pemimpin kanan boleh memangku jawatan Perdana Menteri (sebagai Perdana Menteri interim) dan dengan segera mengusahakan pengampunan diraja untuk Anwar Ibrahim.

KEADILAN juga tahu sahabat-sahabat di dalam DAP dan AMANAH pernah bersetuju agar Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Dr Wan Azizah menjadi Perdana Menteri interim (mewakili Anwar Ibrahim) yang dengan segera akan mengusahakan pembebasan Anwar Ibrahim melalui kaedah pengampunan diraja. Saya yakin dalam masa sebulan dari tarikh kemenangan PRU14 Anwar Ibrahim boleh dibebaskan dengan cara ini dan sebulan kemudian terus bertanding dalam sebuah pilihanraya kecil sebelum mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri.

Memang ia bukan perkara yang mudah.

Saya baca ada yang berpendapat rancangan itu terlalu bergantung kepada “jika” – jika menang, jika dibebaskan, jika boleh bertanding, jika menang dalam PRK dan lain-lain. Kesemua “jika” itu adalah keputusan politik yang berada di dalam bidang kuasa sebuah kerajaan persekutuan dan boleh dilaksanakan secara sah mengikut undang-undang dan dalam tempoh yang singkat setelah Pakatan Harapan memenangi Putrajaya.

Sebelum ini pun, ada beberapa keputusan penting yang dibuat KEADILAN selepas PRU13 yang ditolak pada awalnya juga kerana dilihat banyak bergantung kepada “jika”. Contoh terbaik ialah penubuhan Pakatan Harapan dan peluang menewaskan Barisan Nasional dalam pertandingan tiga penjuru.

Ramai juru komen, pemimpin NGO dan media yang ragu-ragu dengan Pakatan Harapan semasa ditubuhkan dua tahun lalu kerana tiada penyertaan PAS. Saya perhatikan juru komen, pemimpin NGO dan media yang sama yang kini berhempas pulas cuba menekan pimpinan Pakatan Harapan untuk menamakan seorang calon Perdana Menteri, sedangkan dua tahun lalu mereka tidak yakin pun dengan Pakatan Harapan.

Mereka tidak sedar apabila mereka beriya-iya mahu mengadakan perjumpaan dengan pimpinan KEADILAN untuk mendesak dinamakan seorang calon Perdana Menteri dari kalangan pemimpin yang ada di luar (bukannya Anwar Ibrahim yang dipenjara), mereka mengakui kesilapan mereka yang menolak penubuhan Pakatan Harapan dua tahun lalu.

Begitu juga dengan persoalan peluang memenangi PRU14 apabila berlaku pertandingan tiga penjuru.

Juru komen, pemimpin NGO dan media yang sama yang lantang mengkritik konon kurangnya kesefahaman di dalam Pakatan Rakyat kerana ideologi parti-parti yang berbeza-beza, mereka juga yang tidak bersetuju dengan strategi Pakatan Harapan untuk terus mara tanpa bergantung kepada keputusan politik PAS. Mereka yakin tanpa PAS, Pakatan Harapan tidak boleh menang.

Sedangkan mereka tidak sedar bahawa lanskap politik tanahair telah berubah sepenuhnya. Ia telah dibuktikan secara empirikal bahawa hanya KEADILAN yang mendapat keuntungan jika berlaku pertandingan satu lawan satu kerana hanya KEADILAN (dari kalangan parti-parti pembangkang) yang mendapat undi yang baik dari semua kaum, sedangkan parti-parti lain lebih popular dengan satu kaum sahaja.

Jika berlaku pertandingan satu lawan satu, kajiselidik demi kajiselidik menunjukkan pola pengundian berikut:

1. Pengundi bukan Melayu (Cina dan India) tidak akan memberikan undi kepada PAS. Paling banyak PAS hanya akan mendapat sekitar 5% undi dari pengundi bukan Melayu. Di semua kerusi yang mana pengundi bukan Melayu melebihi 20%, PAS akan kalah bila berlawan satu lawan satu dengan Umno kerana pengundi bukan Melayu sama ada menyokong Umno atau tidak keluar mengundi. Dari 165 kerusi Parlimen di Semenanjung, lebih 75% adalah kerusi Parlimen yang pengundi bukan Melayu lebih dari 20%.

2. Pengundi Melayu dari Umno dan PAS tidak semestinya akan mengundi BERSATU atau AMANAH (jika pun berlaku satu lawan satu) kerana mereka menganggap kedua-dua parti itu adalah parti serpihan. Ada kemungkinan mereka membuat undi rosak, tidak keluar mengundi atau mengundi Umno! Ditambah pula dengan undi dari bukan Melayu kepada BERSATU dan AMANAH yang tidak setara dengan undi yang diperolehi DAP dan KEADILAN, maka bagi BERSATU dan AMANAH telah dibuktikan (menggunakan data-data yang telah pun diterbitkan) tidak banyak perbezaan di antara satu-lawan-satu atau tiga penjuru.

Jika saya dan pimpinan KEADILAN lain tunduk kepada pendapat segelintir wakil NGO ini dan tidak mempertahankan prinsip hanya untuk membina satu pakatan pembangkang yang melibatkan PAS (demi pertandingan satu lawan satu), ada kemungkinan kerusi yang dimenangi pakatan pembangkang tidak banyak berbeza dari apa yang ada sekarang.

Tetapi kini bila semakin kelihatan pengaruh PAS dalam pertandingan tiga penjuru semakin berkurangan kerana pengundi lebih memberi perhatian kepada pakatan politik nasional yang berpotensi memenangi Putrajaya (bukannya menang beberapa kerusi sahaja), saya yakin juru komen politik dan segelintir wakil NGO ini secara diam-diam akan menerima hakikat itu. Tambahan pula Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Zahid Hamidi sendiri mengakui pertandingan tiga penjuru tidak semestinya mudah bagi Umno/Barisan Nasional.

Secara tidak sedar, rakyat juga akan menyiapkan minda mereka bahawa pertembungan adalah di antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan. Keraguan dan kritikan yang kuat pada awalnya hasil “conventional wisdom” (pada ketika itu) juga akan menjadi keraguan terpencil sahaja.

Jangan Pilih Jalan Mudah

Saya berkali-kali merayu kepada orang ramai supaya tidak memilih jalan mudah dalam membawa perubahan. Saya sering mengingati bahawa mengubah nasib rakyat dan negara bukanlah percaturan di antara beberapa kelompok elit politik sahaja yang berbincang di dalam bilik mesyuarat tetapi terpisah dari rakyat terbanyak.

Perubahan yang berkekalan mesti melibatkan seberapa ramai rakyat biasa. Hala tujunya juga tidak boleh meminggirkan sentimen rakyat terbanyak yang turut serta di dalam gelombang perubahan itu, walaupun ia membawa ke jalan yang nampak lebih sukar kerana belum pernah dicuba.

Samalah juga dengan keputusan-keputusan strategik yang telah dan akan diambil oleh KEADILAN dan Pakatan Harapan.

Bersiap sedia untuk menghadapi pertandingan tiga penjuru dan mempertahankan parti-parti gabungan Pakatan Harapan seperti AMANAH dan BERSATU memang nampak lebih sukar berbanding jalan mudah mengorbankan AMANAH, BERSATU dan DAP untuk memenuhi kehendak PAS, tetapi itu bukan kehendak rakyat terbanyak. Jalan mudah itu tidak melambangkan matlamat sebenar reformasi yang berteraskan prinsip keadilan untuk semua dan menentang rasuah yang membebankan rakyat.

Bersetuju bahawa Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri yang akan diangkat melalui kaedah pengampunan diraja dan pilihanraya kecil dalam masa beberapa bulan selepas kemenangan Pakatan Harapan juga bukanlah jalan termudah. Tetapi itu jugalah jalan yang akan mendapat dokongan paling ramai rakyat Malaysia pelbagai kaum, jika benar kita mahu menyahkan Dato’ Seri Najib dari Seri Perdana.

Paling penting, rakyat Malaysia yang mahukan perubahan perlu sedar kita berada di kedudukan sekarang kerana ramainya rakyat Malaysia yang tidak bernama sebelum ini yang membantu. Ramai yang tidak pernah merasa kedudukan (hatta sekecil jawatan di dalam JKKK pun) yang turut serta. Mereka kekal menyokong usaha menggantikan sistem kerajaan Barisan Nasional sejak 1998 lagi kerana mereka tahu bahaya rasuah dan pemusatan kuasa kepada rakyat dan negara.

Sebab itu saya berdoa pimpinan Pakatan Harapan tidak mengecewakan rakyat dengan menjauhi perangkap rasuah dan mencari kedudukan yang kini menjatuhkan Umno/Barisan Nasional. Saya berdoa Allah SWT memberi kecekalan dan keazaman agar pimpinan Pakatan Harapan tidak terpesong dari perjuangan rakyat dan tidak tewas dengan ujian berkuasa iaitu rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan.

Saya tidak kisah sangat bila ada segelintir yang mengecam pendapat politik saya; baik dari soal penubuhan Pakatan Harapan, kepada pendirian saya mengenai PAS, kepada pendapat saya bahawa Pakatan Harapan boleh menang pertandingan tiga penjuru; dan pendapat saya Anwar Ibrahim adalah calon terbaik Perdana Menteri yang boleh diabsahkan secara mudah melalui pengampunan diraja.

Saya tidak alpa bahawa Dato’ Seri Najib sendiri sudah berlatih menjeritkan “Lawan Tetap Lawan” kepada aktivis tentera maya Umno baru-baru ini seolah-olah beliau sedang bersedia menjadi pembangkang, kerana Dato’ Seri Najib pun sedar pertandingan tiga penjuru bukan jalan mudah untuk beliau.

Adam Rosly Wajar Bercuti Dari Jawatan, Lalui Proses Disiplin Di Peringkat Parti

Skrin TV, telefon dan dada akhbar hebat membincangkan kes yang melibatkan Ketua Angkatan Muda KEADILAN Ampang, Saudara Adam Rosly yang didakwa di mahkamah atas beberapa pertuduhan.

Media yang rapat dengan Umno/Barisan Nasional dan penyokong parti-parti yang tidak sehaluan dengan KEADILAN/Pakatan Harapan hebat mengkritik KEADILAN dan menggunakan pertuduhan terhadap Saudara Adam Rosly ini sebagai bukti bagaimana KEADILAN pun terpalit dengan rasuah dan penyelewengan seperti mana sering saya dedahkan berlaku di dalam Umno/Barisan Nasional.

Sebenarnya KEADILAN amat tegas mengenai perkara-perkara yang bersabit dengan tata kelola dan keamanahan. Sebab itu setahun yang lalu, saya sendiri sebagai Setiausaha Agung KEADILAN pada ketika itu dengan diiringi pimpinan-pimpinan lain membuat laporan mengenai dakwaan salah guna kuasa dan rasuah yang diadukan kepada saya yang didakwa berlaku di Selangor.

Malah, saya secara berterusan di dalam saluran rasmi dan tidak rasmi parti mengingatkan pimpinan dan aktivis parti bahawa gerak geri kita diperhatikan oleh rakyat. Saya konsisten menegaskan bahawa piawai moral dan keamanahan yang perlu kita buktikan kepada rakyat adalah lebih tinggi dari parti-parti lain kerana KEADILAN dihargai rakyat hasil dari perjuangan berterusan kita menentang rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan pentadbiran sedia ada.

Sebab itu semasa kekayaan Saudara Adam Rosly mula-mula menarik perhatian ramai, saya dengan serta-merta menasihatkan beliau supaya mengisytiharkan harta. Ada perbezaan di dalam parti apabila ada yang beranggapan beliau tidak perlu mengisytiharkan harta kerana tidak menjawat sebarang jawatan kerajaan.

Saya telah menyatakan bahawa saya tidak bersetuju dengan pandangan itu kerana piawai moral dan keamanahan (“moral dan integrity standards”) yang dipegang KEADILAN mestilah lebih tinggi dari parti-parti lain. Sama ada seseorang itu menjawat jawatan awam atau tidak, seseorang yang memegang jawatan parti tidak boleh dilihat mengumpul kekayaan yang tidak boleh diterangkan kepada rakyat. Maka, jika kekayaan itu dikumpul secara sah dan tanpa melibatkan kepentingan awam, saya yakin mana-mana pimpinan dalam parti ini boleh mengisytiharkan harta dengan mudah.

Pendirian saya itu tidak berubah. Saya masih berpendapat Saudara Adam Rosly boleh menjernihkan keadaan supaya tidak mengheret KEADILAN ke dalam kemelut peribadi beliau dengan mengisytiharkan harta secepat mungkin. Keadaannya berbeza sekarang kerana keengganan beliau mengisytiharkan harta telah mengheret nama baik KEADILAN sehingga dijadikan bahan serangan oleh musuh-musuh politik KEADILAN.

Oleh sebab itu juga saya dan rakan-rakan pimpinan yang lain akan mengusulkan supaya satu tindakan diambil yang boleh menjarakkan kemelut peribadi beliau dari mengheret KEADILAN dan Pakatan Harapan, sama ada melalui keputusan bersama kepimpinan KEADILAN untuk membolehkan beliau (Saudara Adam Rosly) “bercuti” dari jawatan parti sehingga kes beliau selesai, atau melalui kaedah Lembaga Disiplin seperti yang disuarakan oleh Dato’ Seri Azmin Ali, Timbalan Presiden.

Apa pun, saya berharap seluruh kekuatan parti dari akar umbi ke peringkat pimpinan mengambil langkah untuk menjarakkan parti dari kemelut peribadi seperti ini.

Ada yang bimbang jika sebarang langkah yang meminta beliau “bercuti” akan menetapkan satu teladan bahawa mana-mana pimpinan yang didakwa di mahkamah perlu juga “bercuti” dari jawatan.

Saya menyeru rakyat supaya membezakan di antara kes-kes yang jelas ia satu perancangan jahat untuk menutup mulut lawan (seperti pendakwaan ke atas Dato’ Seri Anwar Ibrahim), kes-kes yang melibatkan pembelaan rakyat dan tidak bersifat kepentingan peribadi (contohnya pendakwaan kes OSA yang melibatkan kebajikan veteran tentera); berbanding dengan kes-kes peribadi seperti ini bila mana seorang penjawat jawatan di dalam parti tidak dapat menerangkan kekayaan beliau sehingga didakwa berbohong.

Saya yakin kepimpinan dan aktivis parti dapat membezakan dan menangani setiap kes mengikut kepentingannya kepada parti.

Saya tetap percaya rakyat dapat membezakan kes-kes yang melibatkan setiap pimpinan dan penjawat jawatan di dalam KEADILAN. Pun begitu, KEADILAN mesti dilihat tegas dan berpegang kepada piawai moral dan keamanahan yang jauh lebih tinggi berbanding parti-parti lain.

Oleh itu, satu tindakan yang menjarakkan KEADILAN sebagai parti dari kemelut peribadi Saudara Adam Rosly ini perlu diputuskan segera terutamanya dalam keadaan PRU14 boleh dipanggil pada bila-bila masa.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Catatan Dari Kandang Mahkamah


Banyak masa saya dihabiskan di mahkamah bermula minggu ini untuk melalui perbicaraan bagi 3 kes berturut-turut: kes NFC (minggu ini dan depan), kes menghina Umno (minggu depan), kes kedudukan kewangan Tabung Haji (minggu satu lagi).
Ada orang tanya apa perasaan saya turun naik mahkamah bagi kes-kes yang bertahun-tahun lamanya seperti NFC. Ada orang kata tindakan saya menumpukan usaha saya mendedahkan penyelewengan wang seperti ini adalah sia-sia kerana akhirnya yang ambil wang dilepaskan, saya pula didakwa dan rakyat pun sudah lupa.

Orang-orang PAS yang dulu ghairah menggunakan saya untuk menarik orang ke ceramah mereka semasa skandal NFC memuncak kini sudah berkata penyelewengan dana rakyat RM250 juta itu satu fitnah, kata sahabat-sahabat yang menghantar mesej kepada saya.

Saya tidak pedulikan itu semua.

Apabila saya “terjumpa” skandal wang rakyat diselewengkan (bermula dengan NFC), saya anggap itu ujian Allah kepada saya.

Pilihan saya ialah sama ada saya memalingkan muka dan tidak ambil kisah kerana hidup saya senang dan langsung tidak terkesan bila wang rakyat sebegitu hilang (gaji besar, kereta besar).

Tetapi saya rasa Allah akan murka jika pada masa Allah kurniakan saya peluang pendidikan yang lebih baik, saya lebih petah, saya lebih selesa dengan hal ehwal kewangan tetapi saya memilih untuk berdiam diri.

Maka saya bersuara kerana saya bimbang saya kufur nikmat dan saya tidak “berkongsi” kebolehan yang Allah kurniakan itu demi kebaikan orang lain.

Ada orang sedih tengok saya saban minggu duduk di dalam kandang tertuduh. Ada orang bisikkan semuanya sia-sia kerana semasa isu tengah panas ramai yang mahu saya naik pentas dan tumpang sekaki, tetapi bila duduk di kandang setiap minggu ramai yang tidak endah.

Saya langsung tidak terkesan kerana saya lega saya telah lulus ujian yang saya anggap Allah kenakan terhadap saya.

Sama juga dengan hakim-hakim (ada yang berbudi baik dengan saya, ada yang kasar dengan saya) dan pendakwaraya dan peguam (ada yang berbudi, banyak yang kasar dengan saya kerana saya orang kena tuduh).

Ada yang tanya sekiranya PH menang, adakah saya akan cari kembali semua watak-watak yang setiap minggu turun naik mahkamah mahu memastikan saya dipenjara?

Saya sebenarnya tidak ambil kisah pun perangai dan lagak setiap orang yang saya terpaksa lalui dalam saya menjalankan amanah ini. Yang berbudi baik dengan saya, saya ingat sampai bila-bila. Yang kasar dan menunjukkan kuasa kepada saya, saya lupakan terus.

Bagi saya itu ujian Allah kepada mereka bila mereka diberikan kuasa, seperti mana setiap hari saya diberi ujian dalam keadaan saya juga ada sedikit pengaruh yang terhad.

Mereka akan disoal suatu hari kelak seperti mana saya akan disoal bagi setiap perlakuan saya kerana sebesar mana kita dalam ruang hidup kita yang sempit, kita hanyalah zarah yang lebih kecil dari zarah dibandingkan kekuasaan Allah.

Sama juga bila Dato’ Seri Salleh Ismail dengan bangga menyatakan bahawa dana RM250 juta yang dibelanjakan beliau dan keluarga bagi projek itu bukanlah duit rakyat kerana ia duit kerajaan. Rakyat tiada hak untuk mengetahui apa yang dibuat dengan wang itu kerana apabila beliau meminjam dari kerajaan, itu soal peribadi beliau dan kerajaan.

Allah datangkan ujian kepada beliau dan keluarga beliau dalam bentuk wang yang melimpah ruah dan kedudukan dunia, terpulanglah kepada beliau bagaimana melaluinya kerana Allah memandang semua.

Ada orang menghantar mesej memaki saya kerana katanya padan muka kerana saya kini menjadi penjenayah turun naik mahkamah.

Mereka lupa hampir semua tokoh dunia yang membawa perubahan kepada masyarakat bermula dengan dipandang sebagai penjenayah oleh penguasa pada ketika itu: dari zaman Rasulullah SAW, kepada George Washington (bapa kemerdekaan USA), Mahatma Ghandi, Sukarno, Mandela sehinggalah kepada Erdogan.

Saya akan terus dilabel penjenayah oleh penguasa selagi mereka berkuasa kerana suara saya mengancam kekuasaan mereka.

Rafizi Ramli
Mahkamah Sesyen Shah Alam

Tindakan Saman Ke Atas Raja Petra Kamaruddin, Nik Amar Terkeliru SD Dalam Kes Fitnah Sodomi Terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim

Saya telah mengarahkan peguam saya, Saudara Saiful Izham Ramli dari Tetuan Saiful Kasri & Co untuk mengeluarkan satu surat tuntutan (“letter of demand”) terhadap Raja Petra Kamaruddin, pengendali laman Malaysia Today yang telah mengeluarkan kata-kata fitnah terhadap saya seperti berikut:

“…Rafizi should also come out and tell us about the millions that he, Saifuddin Nasution, Zaid Ibrahim, and many more in PKR received from John Soh Chee Wen. Soh, who is Tun Daim Zainuddin’s business partner, gave Zaid alone RM6 million. Rafizi and Saifuddin received about RM20 million. Anwar Ibrahim got much more than that, as did Dr Wan Azizah Wan Ismail and Nurul Izzah. In fact, Free Malaysia Today got RM12 million as well, just like The Malaysian Insider got RM13 million from Tong Kooi Ong — as Ho Kay Tat, the publisher of The Edge Media Group, revealed..

Tuduhan itu dibuat dalam satu penulisan beliau yang disiarkan pada 7 April 2017 di capaian http://www.malaysia-today.net/bahri-is-rafizis-source-about-1mdbs-money-allegedly-going-to-pas/ yang menuduh saya, (antara lainnya), menerima RM20 juta dari seorang yang bernama John Soh.

Fitnah ini diulang berkali-kali oleh pimpinan dan penyokong PAS sebagai jawapan kepada pendedahan saya mengenai aliran dana dari SRC Internasional Sdn Bhd ke akaun Dato’ Seri Najib Tun Razak yang akhirnya sampai kepada Datuk Dr. Nasharuddin Mat Isa.

Arahan ini telah dikeluarkan sejak Jumaat lagi setelah saya mendapat kesahihan status Raja Petra Kamaruddin sebagai seorang yang muflis.

Berdasarkan carian dari Jabatan Insolvensi Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, saya telah mengesahkan bahawa Raja Petra Kamaruddin adalah seorang yang muflis sejak tarikh 4 April 2001 lagi (rujuk carian Jabatan Insolvensi yang saya sertakan bersama).

Download (PDF, 149KB)

Carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia juga menunjukkan satu-satunya syarikat yang beliau mempunyai saham juga telah dibubarkan (“dissolved”) sejak 20 Ogos 2001, iaitu sejurus selepas beliau sendiri diisytiharkan muflis (rujuk carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi syarikat Raja Petra Holdings Bhd yang disertakan).

Download (PDF, 201KB)

Oleh yang demikian, saya sedia maklum bahawa saya mengambil tindakan saman ke atas seorang yang sudah pun muflis. Kalau pun saya menang, saya tidak akan mendapat apa-apa pampasan dari beliau, malah saya terpaksa membayar lagi yuran guaman dalam memfailkan saman tersebut.

Namun, saya merasakan ia telah menjadi keperluan kerana Raja Petra Kamaruddin merasakan dia dilindungi dari sebarang tindakan kerana berada di United Kingdom dan juga seorang yang muflis. Beliau tahu tindakan menyaman beliau adalah membazirkan wang kerana sebagai seorang yang muflis, beliau tiada harta untuk membayar pampasan. Segala wang dan perniagaan beliau di United Kingdom (melalui sebuah restoran yang diusahakan di Manchester) adalah menggunakan nama anak-anak dan isteri beliau (sila rujuk carian dari Companies House yang saya sertakan).

Download (PDF, 79KB)

Download (PDF, 76KB)

Tetapi saya bukan mahukan wang. Saya mahukan kebenaran.

Masyarakat tidak sepatutnya membenarkan seorang individu seperti Raja Petra Kamaruddin ini menaburkan fitnah sewenang-wenangnya demi sedikit sogokan dari individu tertentu. Setelah menjadi muflis dan disiasat pula kerana dituduh membuat satu Akuan Bersumpah yang tidak benar, beliau melarikan diri dari tindakan undang-undang ke United Kingdom sehingga kini dan terlepas dari proses undang-undang.

Malangnya fitnah beliau selalu juga digunakan oleh tokoh-tokoh masyarakat yang tidak menyelidik dahulu fakta sesuatu perkara.

Saya menegur Datuk Nik Amar Nik Abdullah, Naib Presiden PAS yang mencemar nama baik PAS apabila dilaporkan mengheret Dato’ Seri Anwar Ibrahim di dalam pertikaian dana SRC Internasional Sdn Bhd yang masuk ke dalam akaun Datuk Dr Nasharuddin Mat Isa.

Saya rujuk laporan berita Sinar Harian di capaian http://www.sinarharian.com.my/politik/kenapa-rafizi-tidak-saman-raja-petra-1.660550 yang memetik beliau berkata:

“…Mohd Amar juga membangkitkan persoalan, mengapa dalam isu ini, SD yang dilakukan Rafizi perlu diterima, walhal kes lain misalnya melibatkan SD Saiful Bukhari Azlan dan Datuk Abdul Murad Khalid (bekas Penolong Gabenor Bank Negara) tidak diterima.

“Dalam soal sumpah, Datuk Seri Anuar Ibrahim daripada awal tuduhan liwat sampai penjara tidak pernah bersumpah menafikan tuduhan tersebut.

“Jadi bagaimana itu? Kalau kita terima SD Rafizi, maka kita perlu terima juga SD Saiful dan Murad.

“Kita kena konsisten, kalau ada metologi, perlu gunakan metalogi yang sama. Jangan kita gunakan untuk diri sendiri. Tidak betul caranya,” katanya…

Datuk Nik Amar terkeliru bahawa Saiful Bukhari memfitnah Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan membuat laporan polis, bukannya dengan kaedah Akuan Berkanun kerana hukuman membuat akuan berkanun palsu adalah berat. Akuan Berkanun yang sering dirujuk di dalam fitnah sodomi oleh Saiful Bukhari adalah satu akuan berkanun oleh doktor Hospital Pusrawi bernama Dr Mohamad Osman Abdul Hamid yang mengesahkan bahawa tiada kecederaan di dalam dubur Saiful Bukhari yang menjadi bukti paling kukuh bahawa dia tidak diliwat seperti yang didakwa di dalam laporan polisnya.

Download (PDF, 196KB)

Namun, Akuan Berkanun itu dan bukti-bukti perubatan yang menunjukkan tiada kecederaan di dalam dubur Saiful Bukhari langsung tidak diendahkan oleh penghakiman Mahkamah Persekutuan yang memutuskan keterangan Saiful Bukhari sudah memadai memandangkan hakim-hakim yakin dia tidak berbohong.

Pihak polis juga tidak mengambil sebarang tindakan ke atas Dr Mohamad Osman Abdul Hamid yang menunjukkan Akuan Berkanun itu benar.

Setelah peguam saya mengeluarkan surat tuntutan dan selepas tarikh masa menjawab luput (seminggu selepas itu), saya akan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Raja Petra Kamaruddin. Walaupun beliau seorang yang muflis, saya mahu melihat beliau dibawa balik ke Malaysia pada satu hari nanti untuk menjawab semua pertuduhan terhadap beliau termasuklah saman fitnah saya terhadap beliau.

Ini adalah kali pertama saya mengambil tindakan sama terhadap sesiapa pun kerana saya tahu siapa di belakang Raja Petra Kamaruddin. Saya berharap semua pimpinan politik, baik kerajaan atau pembangkang, berhati-hati dengan sebarang berita yang dikeluarkan oleh seorang penulis upahan seperti ini.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Akuan Berkanun: Penafian Pernah Menerima Wang Dalam Apa-Apa Jumlah Dari John Soh Seperti Yang Didakwa Raja Petra Dan “Chegubard”

AKUAN BERKANUN
PENAFIAN PERNAH MENERIMA WANG DALAM APA-APA JUMLAH DARI JOHN SOH SEPERTI YANG DIDAKWA RAJA PETRA DAN “CHEGUBARD”

Download (PDF, 869KB)

Bahawa saya, MOHD RAFIZI BIN RAMLI (No Kad Pengenalan 770914-11-5025) yang beralamat di A405, Kyoto Garden Condominium, Bukit Antarabangsa 68000 Ampang dengan ini membuat akuan berkanun mengikut Akta Akuan Berkanun bagi tujuan menafikan sekeras-kerasnya fitnah yang dimulakan oleh Raja Petra Kamaruddin dan diulang oleh Badrul Hisham Shaharin (“Chegubard”) serta pihak-pihak lain.

Oleh itu, saya dengan ini mengisytiharkan perkara-perkara berikut:

1. Bahawasanya saya tidak pernah menerima satu sen pun dalam apa-apa bentuk dari mana-mana individu bernama John atau Soh atau John Soh atau Soh Chin Wen, seperti yang didakwa oleh Raja Petra Kamaruddin dan diulang oleh Badrul Hisham Shaharin serta pihak-pihak lain;

2. Bahawasanya saya telah mengisytiharkan harta, hutang, pendapatan dan perbelanjaan saya secara terperinci di dalam akuan-akuan berkanun yang dibuat dalam tahun 2015 dan 2016 yang menunjukkan kedudukan harta dan pendapatan saya sejak tahun 2010 lagi;

3. Bahawasanya saya membuat akuan berkanun ini sebagai menerima nasihat dari Setiausaha Agung PAS, YB Dato’ Takiyuddin Hassan yang mencabar saya membuat akuan berkanun menafikan pernah menerima wang sejumlah RM20 juta dari John Soh yang fitnahnya dimulakan oleh Raja Petra kemudian diulang oleh Badrul Hisham Shaharin dan penyokong akar umbi PAS di media sosial;

4. Bahawasanya saya menjemput mana-mana pihak berkuatkuasa menyiasat saya di bawah Akta Berkanun 1961 sekiranya mana-mana kenyataan saya di dalam kesemua Akuan Berkanun Pengisytiharan Harta dan lain-lain akuan berkanun adalah tidak benar; dan

5. Bahawasanya saya menjemput mana-mana pihak untuk membuat laporan polis menyiasat saya sekiranya penafian saya tidak menerima wang dari John Soh (di dalam Akuan Berkanun ini) adalah tidak benar; atau sekiranya mana-mana kenyataan saya di dalam mana-mana Akuan Berkanun sebelum ini adalah tidak benar.

Saya membuat akuan ini dengan percaya bahawa akuan ini benar dan mengikut peruntukan Akta Akuan Berkanun 1960.

Diperbuat dan sesungguhnya diakui oleh
saya, MOHD RAFIZI BIN RAMLI
di Putrajaya
di negeri Wilayah Persekutuan
pada 14 April 2017

Di hadapan saya

PESURUHJAYA SUMPAH