Category Archives: Pilihanraya

Cabaran Pengerusi & Timbalan Pengerusi SPR: Jangan Cuba Lari Dari Isu Kegagalan SPR Di Bawah Tanggungjawab Mereka

Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR yang kononnya mencabar saya mengulangi ucapan di dalam Dewan Rakyat dengan menyebut secara khusus nama mereka membayangkan bagaimana partisannya dan berat sebelahnya kedua-dua mereka ini. Malah, perkataan-perkataan yang digunakan seperti “anak jantan”, “menipu” dan lain-lain tidak menunjukkan sikap profesional mereka yang kini berkokok lebih bising dari ahli-ahli politik.

Saya telah ulang pendedahan mengenai pembekal dakwat kekal dan amalan perolehan yang meragukan di luar dewan. Saya telah mempersoalkan peranan dan keterlibatan pimpinan SPR di dalam proses ini yang menghakis sepenuhnya keyakinan rakyat kepada kredibiliti dan kebebasan SPR.

Sebagai pimpinan tertinggi SPR, kedua-dua mereka bertanggungjawab sepenuhnya kepada kesemua perkara ini – dari kegagalan dakwat kekal sehinggalah kepada perlantikan pembekal melalui rundingan terus yang membolot kontrak-kontrak pembekalan tetapi gagal melaksanakannya dengan baik.

Kenyataan di luar dewan yang telah saya buat adalah mencukupi untuk mereka mengambil tindakan undang-undang. Tidak timbul soal mengikut kehendak kedua-dua mereka yang cuba mengelak dari persoalan sebenar dengan menimbulkan perkara cabar mencabar, “siapa lebih anak jantan” seperti yang dimainkan oleh kedua-dua mereka sekarang.

Isu sebenarnya adalah kegagalan kedua-dua mereka mengendalikan pilihanraya dengan adil, bebas dan telus. Ini dibuktikan dengan pelbagai laporan dan dakwaan terhadap mereka, terutamanya kegagalan pelaksanaan dakwat kekal. Apabila diselidiki, didapati bahawa kegagalan dakwat kekal itu berpunca dari kontrak pembekalan yang diberikan secara terus kepada individu tertentu yang turut membolot beberapa kontrak pembekalan lain.

Sebagai pimpinan tertinggi SPR, mereka perlu bertanggungjawab di atas kegagalan ini.

Jika mereka benar-benar menjalankan tugas dengan baik, sudah tentu mereka boleh menjawab persoalan-persoalan berikut yang menurunkan lagi keyakinan rakyat terhadap SPR:

1. Kenapa syarikat-syarikat milik Mohamed Salleh Mohamed Alli dipilih secara rundingan terus untuk menjadi pembekal barang-barang pilihanraya SPR termasuk dakwat kekal?

2. Apakah penglibatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR dalam urusan perolehan dan pembekalan bahan-bahan pilihanraya, terutamanya dakwat kekal yang menjadi penambahbaikan utama yang diwar-warkan oleh SPR dalam PRU13? Apakah benar kedua-dua mereka lepas tangan sepenuhnya dalam hal ehwal pembekalan sedangkan ia adalah aspek paling utama pelaksanaan dakwat kekal yang diwar-warkan mereka?

3. Apakah Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR tidak terlibat langsung di dalam sebarang perbincangan mengenai dakwat kekal, termasuk demonstrasi, kandungan kimia, kaedah pelaksanaan dan lain-lain?

4. Semasa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR menjawab pelbagai pertanyaan media mengenai dakwat kekal, apakah Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR tidak berbincang langsung mengenai perkara ini dengan pegawai-pegawai lain? Mustahil Pengerusi dan Timbalan Pengerusi menjawab media tanpa pengetahuan dan maklumat awal mengenai pelaksanaan dakwat kekal termasuklah hal ehwal logistiknya seperti pembekalan dan lain-lain?

5. Kenapa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR beriya-iya mahu melindungi dan menyembunyikan identiti pembekal dakwat kekal sedangkan pembekal ini telah merosakkan kredibiliti SPR di mata rakyat?

Tugas kedua-dua mereka adalah untuk menjawab perkara-perkara ini, bukannya berlagak dengan cabar-mencabar. Jika pendedahan saya itu salah, kenyataan saya di luar dewan sudah cukup untuk mereka mengambil tindakan undang-undang.

Namun, kedua-dua mereka kini bersembunyi di sebalik isu cabar-mencabar kerana tidak berani untuk menjawab kelima-lima soalan yang berlegar di fikiran rakyat kini. Hakikat bahawa mereka lebih lantang cabar mencabar dari membersihkan nama SPR dengan menjawab soalan-soalan ini membayangkan ada perkara yang tidak telus yang mahu disembunyikan.

 

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi
Ahli Parlimen Pandan

25 JULAI 2013

#black505 Nafi Tuduhan Ketua Polis Kuala Lumpur

Saya terkejut dengan kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato’ Mohamad Salleh yang baru dikeluarkan sebentar tadi. Antara lain, kenyataan tersebut menuduh kononnya penganjur mengeluarkan arahan untuk melakukan provokasi terhadap anggota polis dengan tujuan mencetuskan rusuhan.

Sebagai jurucakap rasmi kesemua perhimpunan #black505 yang telah dilaksanakan setakat ini, saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut. Pihak polis boleh menilai kesemua kenyataan media saya dan laporan temuramah mengenai kesemua perhimpunan #black505. Tidak ada satu pun yang mengarahkan sebarang provokasi atau kekasaran terhadap pasukan polis.

Saya juga merupakan penganjur utama kesemua perhimpunan #black505 termasuklah yang akan diadakan esok di Padang Merbok dan terlibat di dalam kesemua perancangan. Tidak ada satu perbincangan pun yang menyentuh mengenai kekasaran terhadap pasukan polis, malah saya berhubung dengan baik dengan Ketua Polis Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad sepanjang penganjuran ini.

Oleh kerana kenyataan Dato’ Mohamad Salleh itu adalah tidak benar dan memberikan gambaran buruk terhadap saya selaku penganjur, saya telah mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang dan saman terhadap Dato’ Mohamad Salleh kerana kenyataannya itu berbau fitnah dan tidak benar.

Saya juga mempertahankan kenyataan saya petang ini bahawa penganjur telah mendapat isyarat tidak rasmi dari pimpinan atasan bahawa pihak polis akan memberikan kerjasama untuk membolehkan perhimpunan esok berjalan lancar. Saya percaya keputusan itu akan diselaraskan di peringkat pimpinan polis dan Kementerian Dalam Negeri selepas ini.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

21 JUN 2013

#black505 Sambut Baik Kerjasama Polis, Sediakan Bantuan Perubatan Yang Mencukupi

Mewakili gerakan rakyat #black505 yang menganjurkan Himpunan Aman #black505 Padang Merbok yang dijadualkan pada 22 Jun 2013, saya mengalu-alukan kenyataan Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi yang mengesahkan bahawa pihak polis akan memberi sepenuh kerjasama untuk memastikan perhimpunan esok berjalan dengan aman.

Saya telah dimaklumkan secara tidak rasmi bahawa pihak polis akan membantu penganjuran perhimpunan esok hari, selagi peserta tidak memusnahkan harta awam. Saya merakamkan sepenuh penghargaan terutamanya kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad yang banyak membantu, termasuk kesudian beliau untuk duduk berbincang dengan saya dan rakan-rakan Pakatan Rakyat (walaupun terpaksa dibatalkan akhirnya).

Kesediaan polis memberi kerjasama dan membantu penganjuran esok disahkan oleh ASP Ananthan Rajoo dari IPD Dang Wangi yang mengakui telah menerima arahan atasan untuk membantu, seperti yang dilaporkan oleh laman FreeMalaysiaToday sebentar tadi.

Pada masa yang sama, sekretariat penganjur telah duduk berbincang dengan pasukan perubatan sukarelawan untuk memperhalusi persediaan perubatan sokongan memandangkan keadaan udara yang membimbangkan.

Saya mengambil pandangan bahawa sejumlah besar orang ramai akan tetap hadir untuk menyertai perhimpunan pada esok hari tidak kira arahan yang diberikan oleh pihak sekretariat. Oleh yang demikian, keutamaan utama sekretariat dan pasukan perubatan sukarela adalah untuk memastikan bantuan perubatan sokongan adalah memadai untuk berhadapan dengan sebarang masalah, termasuklah bersabit kualiti udara yang tidak baik akibat jerebu.

Langkah-langkah berikut akan diambil oleh sekretariat dan pasukan perubatan sukarelawan bagi memastikan bantuan perubatan sokongan yang memadai:

1. Satu ibupejabat markas perubatan akan dibuka di Padang Merbok. 4 markas perubatan sokongan akan turut dibuka di sekitar laluan di Kuala Lumpur ke arah Padang Merbok, iaitu di Dataran Merdeka, Masjid Negara, Kompleks Sogo dan Dataran Maybank.

2. Sebanyak 4 buah ambulan dan 5 motorsikal perubatan akan disediakan sekiranya ada keperluan untuk memindahkan pesakit terus ke hospital. Petugas bermotosikal akan memudahkan mereka bergegas ke kawasan yang memerlukan sokongan.

3. Keseluruhan kekuatan tenaga perubatan adalah sebanyak 55 orang termasuklah doktor, jururawat dan paramedik.

4. Setiap markas perubatan akan dibekalkan dengan “automated external defibrillator” atau AED bagi operasi menyelamatkan nyawa (jika diperlukan) dan ubat-ubatan/kemudahan “drip” bagi tujuan “advanced life support” (ALS).

Orang ramai yang mempunyai apa-apa masalah perubatan dan memerlukan bantuan boleh menghantar SMS ke nombor 010 277 2072 dengan maklumat berikut:

1. Bentuk kesukaran dan kecemasan (berapa orang yang terlibat di dalam kecemasan)

2. Di mana kecemasan berlaku (pastikan lokasi yang tepat)

3. Siapa yang perlu dihubungi di tempat kecemasan dan nombor

Saya percaya segala perancangan telah dibuat untuk memastikan perhimpunan #black505 Padang Merbok berjalan dengan aman.

Dengan persediaan polis dan bantuan sukarelawan perubatan, saya menggesa seberapa ramai rakyat Malaysia untuk turun berkumpul bermula dari jam 12 tengahari esok. Sila bawa sekurang-kurangnya sapu tangan dan air mineral sebagai persiapan sekiranya masalah jerebu berpanjangan.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

21 JUN 2013

Acara Anjuran Majlis Olimpik Malaysia Pada 23 Jun 2013 Tidak Menggunakan Padang Merbok

Sekretariat Pakatan mendapat makluman bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan menggunakan Padang Merbok pada 22 Jun 2013, melalui surat yang difakskan semalam.

Melalui sidang media dan laporan berita berikutnya, saya mendapat tahu alasan-alasan kenapa permohonan itu ditolak, termasuklah alasan bahawa Padang Merbok diperlukan pada 22 Jun 2013 sebagai persiapan kepada satu acara yang dianjurkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada keesokan harinya iaitu 23 Jun 2013.

Saya telah membuat semakan seperti berikut untuk menentukan apakah acara yang akan dianjurkan oleh MOM seperti yang disebut oleh Dato’ Bandar Kuala Lumpur:

1. Menyemak kalendar acara MOM di laman rasmi MOM www.olympic.org.my seperti paparan skrin yang disertakan. Mengikut kalendar acara MOM, pada 23 Jun 2013 MOM akan menganjurkan Larian Olimpik McDonald (McDonald’s Olympic Run)

olympiccouncilcalendar

 

2. Menyemak laman Facebook MOM untuk mendapat maklumat lanjut mengenai Larian Olimpik McDonald ini. Didapati bahawa larian ini bukanlah berlangsung di Padang Merbok tetapi bermula dan berakhir di Dataran Merdeka (sila rujuk paparan skrin di bawah)

olympiccouncilfb

 

3. Untuk memastikan acara ini benar-benar diadakan di Dataran Merdeka dan bukannya Padang Merbok, saya menyemak pula laman Pacesetters Athletic Club Malaysia (PACM) yang turut sama akan terlibat di laman rasminya www.pacesetters.com.my (sila rujuk paparan skrin). Disahkan bahawa acara anjuran MOM ini akan diadakan di Dataran Merdeka, bukannya Padang Merbok.

pacesetters

 

4. Akhir sekali, saya menyemak sendiri laluan larian dari borang pendaftaran yang disertakan. Berdasarkan laluan larian seperti yang ditunjukan di paparan skrin, jelas bahawa larian tersebut tidak menggunakan Padang Merbok sebagai tapak dan ia bermula dan berakhir di Dataran Merdeka.

route

 

Saya kesal dengan tindakan DBKL yang tidak memberikan jawapan yang jelas mengenai kepenggunaan Padang Merbok pada 23 Jun 2013 semata-mata kerana terpaksa tunduk kepada tekanan politik Umno/Barisan Nasional. Jelasnya, acara pada 23 Jun 2013 tidak melibatkan Padang Merbok dan bermula/berakhir di Dataran Merdeka – maka tidak ada alasan untuk tidak membenarkan himpunan aman #black505 berlangsung di Padang Merbok pada 22 Jun 2013.

Saya juga ingin menjawab alasan-alasan lain yang diberikan oleh Dato’ Bandar Kuala Lumpur terutamanya ekoran pendedahan bahawa acara pada 23 Jun 2013 anjuran MOM tidak menggunakan Padang Merbok:

1. Pendirian pimpinan Umno/Barisan Nasional bahawa perhimpunan aman hanya boleh diadakan di tempat tertutup seperti stadium adalah tidak masuk akal dan bertentangan dengan hak berhimpun secara aman di semua tempat-tempat awam mengikut peruntukan Akta Perhimpunan Aman. Jika pendirian pimpinan Umno/Barisan Nasional ini digunapakai, maka tidak ada apa-apa majlis atau acara yang boleh dibuat di tempat terbuka dan akta perlulah ditukar namanya menjadi “Akta Perhimpunan Aman Dalam Stadium Sahaja”

2. Alasan bahawa penggunaan stadium akan memudahkan penjaja juga tidak masuk akal kerana semua perhimpunan aman yang dibuat di tempat terbuka sebelum ini berjaya menempat penjaja dengan baik. Malah, penggunaan stadium menyempit ruang untuk penjaja berniaga

3. Alasan bahawa perhimpunan di Padang Merbok akan menjejaskan perhiasan sekitar kawasan sudah tentu tidak masuk akal kerana acara Larian Olimpik McDonald mengambil ruang yang lebih besar dan melalui semua kawasan-kawasan berhampiran Parlimen

4. Alasan bahawa perhimpunan akan menyebabkan kesesakan jalan raya tidak boleh dipakai kerana Larian Olimpik McDonald akan menyebabkan jalan-jalan ditutup di sekitar kawasan. Jika pihak berkuasa boleh menutup jalan untuk mempermudahkan larian itu, saya pasti pihak berkuasa juga boleh menutup jalan untuk perhimpunan aman #black505 pada 22 Jun 2013.

 

Saya dan rakan-rakan Pakatan Rakyat akan hadir berbincang dengan Dato’ Bandar Kuala Lumpur pada 14 Jun 2013 tetapi kami tidak akan berganjak dari keputusan mengadakannya di Padang Merbok pada 22 Jun 2013, apatah lagi apabila terbukti padang itu tidak digunakan pada hari Sabtu dan Ahad minggu itu.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

11 JUN 2013

#black505 Padang Merbok Pada 22 Jun 2013, Tidak Ada Alasan DBKL Tidak Memberi Kebenaran

Pakatan Rakyat telah memberikan notis untuk mengadakan perhimpunan aman #black505 di Padang Merbok yang mulanya dijadualkan pada 15 Jun 2013 dalam tempoh 10 hari seperti yang dituntut oleh pihak berkuasa. Penganjur juga menerima nasihat kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tidak mengadakannya di Dataran Merdeka, walaupun itu adalah tempat perhimpunan yang dituntut oleh banyak pihak.

Saya mengambil kira rayuan pihak-pihak yang telah pun mempunyai perancangan program di Padang Merbok pada 15 Jun 2013. Setelah berbincang dengan IPD Dang Wangi, penganjur membuat keputusan untuk menukar tarikh perhimpunan aman #black505 Padang Merbok ke minggu yang seterusnya iaitu pada 22 Jun 2013 bermula jam 12 tengahari.

Permohonan kepada DBKL untuk menggunakan Padang Merbok pada 22 Jun 2013 telah pun dibuat pada hari Jumaat 7 Jun 2013, iaitu 2 hari selepas permohonan pertama dibuat. DBKL juga telah mengesahkan bahawa semasa permohonan dibuat pada 7 Jun 2013, tidak ada mana-mana pihak yang membuat permohonan mengadakan acara di Padang Merbok pada 22 Jun 2013.

Oleh itu, tidak ada lagi alasan untuk DBKL dan Menteri Wilayah Persekutuan bermain politik dengan melengah-lengahkan permohonan ini. Saya ingin mengingatkan Menteri Wilayah Persekutuan bahawa majoriti besar rakyat di Wilayah Persekutuan bersama-sama Pakatan Rakyat dan beliau perlulah menghormati hasrat rakyat Wilayah Persekutuan yang mahu berhimpun secara aman di Padang Merbok yang merupakan padang milik rakyat.

Notis kepada IPD Dang Wangi akan dibuat esok dalam tempoh 10 hari seperti yang dituntut oleh PDRM.

Ini adalah ketetapan akhir dan tidak akan ada sebarang perubahan selepas ini tidak kira apa alasan yang diberikan oleh DBKL.

Perhimpunan aman #black505 akan diadakan pada tarikh 22 Jun 2013 (Sabtu) bermula jam 12 tengahari di Padang Merbok. Rakyat Malaysia yang cintakan kebenaran dan menolak penipuan pilihanraya diseru turun beramai-ramai untuk menuntut 3 perkara:

1. Keseluruhan ahli SPR meletakkan jawatan serta-merta dan ahli-ahli SPR yang baru akan dilantik secara bersama dengan Pakatan Rakyat dan kumpulan civil society yang mewakili rakyat;

2. Pilihanraya semula di 30 kawasan Parlimen bila mana dibuktikan berlaku penyelewengan;

3. Hentikan sebarang usaha untuk meminda undang-undang pilihanraya atau persempadanan semula sehinggalah ahli-ahli SPR baru yang adil dilantik secara bersama seperti tuntutan (1)

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

10 JUN 2013