Category Archives: Pilihanraya

25 Petisyen Pilihanraya Parlimen Difailkan

Saya boleh mengesahkan bahawa bermula hari ini, ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat akan memfailkan petisyen pilihanraya di kawasan-kawasan Parlimen berikut:

DIFAILKAN OLEH PKR

1. P014 Merbok
2. P018 Kulim Bandar Baru
3. P026 Ketereh
4. P029 Machang
5. P053 Balik Pulau
6. P072 Tapah
7. P075 Bagan Datok
8. P075 Bagan Datok (petisyen perbelanjaan melebihi RM200,000)
9. P092 Sabak Bernam
10. P118 Setiawangsa
11. P140 Segamat
12. P144 Ledang
13. P146 Muar
14. P158 Tebrau
15. P159 Pasir Gudang
16. P168 Kota Marudu
17. P177 Beaufort
18. P182 Pensiangan
19. P220 Baram

DIFAILKAN OLEH PAS

1. P093 Sungai Besar
2. P096 Kuala Selangor
3. P119 Titiwangsa
4. P161 Pulai

DIFAILKAN OLEH DAP

1. P078 Cameron Highlands
2. P142 Labis

Ini bermakna 25 petisyen membabitkan 24 kerusi Parlimen telah dan akan difailkan bermula hari ini sehingga hari Rabu. Bagi kerusi Bagan Datok, selain petisyen pilihanraya, satu petisyen berasingan difailkan berhubung kesalahan calon BN, Dato’ Seri Zahid Hamidi melanggar had perbelanjaan RM200,000 yang dibenarkan untuk sesuatu pilihanraya.

Selain 24 kerusi Parlimen ini, Pakatan Rakyat juga memfailkan 10 petisyen pilihanraya bagi kerusi DUN di seluruh negara (9 DUN yang ditandingi PAS dan 1 DUN yang ditandingi PKR).

Serentak dengan petisyen-petisyen ini, PKR juga akan memfailkan tindakan undang-undang berikut dalam tempoh 3 minggu dari sekarang:

1. Saman terhadap Pengerusi SPR, Timbalan Pengerusi SPR dan ahli-ahli SPR diatas kegagalan melaksanakan dakwat kekal;

2. Petisyen pilihanraya menuntut mahkamah menyemak senarai pengundi yang dicemari pengundi hantu di Sabah berdasarkan keterangan yang dibuat di Suruhanjaya Diraja setakat ini dan kajian dalaman PKR;

3. Tindakan undang-undang bagi mengisytiharkan pindaan Seksyen 9A yang menghalang kesahihan daftar undi dicabar dimahkamah bertentangan (ultra vires) dengan Perlembangan. Pasukan PKR yang akan memulakan tindakan undang-undang ini akan diketuai oleh Prof Dr Aziz Bari, pakar perlembagaan.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

10 JUN 2013

Calon BN Merampas Kertas Undi Pos Untuk Dipangkah Sendiri

Dengan jumlah undi pos dan undi awal yang mencecah 500,000 di seluruh negara, ia cukup penting untuk mempengaruhi keputusan pilihanraya di seluruh negara.

Saya telah bertegas bahawa keseluruhan proses yang melibatkan pengendalian undi pos – dari senarai pemilih pengundi pos, pengedaran undi-undi pos, membuang undi pos, seliaan semasa membuang undi pos dan peti undi pos – mempunyai pelbagai kelemahan yang mengundang penipuan dan penyelewengan.

Selama ini pun, pelbagai pengakuan telah dilontarkan oleh bekas-bekas anggota tentera yang mengaku mereka memangkah kertas undi pos bagi pihak anggota tentera yang lain.

Bersama-sama ini saya tampilkan satu laporan polis yang jelas menunjukkan bahawa seorang wakil Umno dalam PRU13 telah bertindak merampas, menawarkan rasuah dan memangkah kertas undi pos petugas-petugas SPR yang kesemuanya melanggar undang-undang pilihanraya.

Laporan polis yang dibuat di Balai Polis Jerteh ini merekodkan pengakuan seorang petugas SPR (namanya dirahsiakan) yang mengaku bahawa:

1. Pada 29 April 2013, beliau bersama-sama 24 orang petugas SPR yang lain telah dipanggil masuk ke sebuah bilik mesyuarat oleh calon BN dan pintu bilik mesyuarat dikunci;

2. Beliau dan petugas SPR yang lain diarahkan menyerahkan kertas undi pos yang kosong kepada calon BN dan dibayar wang RM100 setiap seorang;

3. Keesokan harinya beliau berasa tidak senang dan telah pergi bertemu semula dengan wakil-wakil BN di bilik gerakan BN bersama-sama empat orang petugas SPR yang lain;

4. Setelah mendapat kembali kertas undi pos, mereka mendapati bahawa kertas undi pos mereka telah dipangkah;

5. Beliau juga menjadi saksi bahawa kertas undi pos sebanyak 20 lagi yang tidak dikembalikan telah dimasukkan ke dalam peti undi; dan

6. Selepas membuang kertas undi pos, jari beliau tidak dicalitkan dengan dakwat kekal seperti yang sepatutnya mengikut peraturan pilihanraya

 

spr_besut

 

Bukti-bukti ini sudah cukup menunjukkan bahawa berlaku terlalu banyak kepincangan melibatkan pengendalian undi pos dan undi awal sehingga membolehkan calon BN merampas dan membeli kertas undi, sementara dakwat kekal tidak pun digunakan seperti sepatutnya.

Saya yakin kepincangan dan penyelewengan yang sama berlaku di tempat-tempat lain yang mempunyai pengaruh yang besar ke atas keputusan undi di kawasan parlimen tertentu.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

4 JUN 2013

Laporan-Laporan Polis Mengesahkan Peti Undi Awal Dibuka, Ada Yang Hilang Sebelum Pengiraan

Integriti undi awal dan undi pos telah lama dipersoalkan dengan pelbagai tuduhan penipuan yang berlaku selama ini. Walaupun SPR berjanji akan memperbaiki keadaan dengan memperkenalkan kaedah undi awal dalam PRU13, ia memburukkan keadaan bila peti-peti undi awal ini diletakkan di dalam lokap atau tempat yang tidak dapat dipantau sepanjang masa oleh ejen calon.

Keputusan undi pos dan undi awal di seluruh negara menimbulkan kecurigaan apabila calon-calon Pakatan Rakyat hanya mendapat sekitar 10% – 15% dari undi awal dan undi pos, iaitu jauh lebih rendah dari tahap sokongan dalam PRU yang lepas (pada sekitar purata 30%).

KEADILAN mempertahankan pendirian kami bahawa integriti undi awal dan undi pos diragui dan boleh dimanipulasi. Oleh itu, di kawasan-kawasan yang mempunyai undi pos dan undi awal yang besar, ini sudah tentu memungkinkan keputusan diselewengkan untuk memenangkan calon BN.

Saya tampilkan dua contoh seperti 2 laporan yang disertakan pada hari ini untuk membuktikan bahawa integriti undi awal dan undi pos diragui, seperti berikut:

  1. Laporan Polis di Balai Masjid Tanah – laporan dibuat oleh ejen calon KEADILAN bagi DUN Machap (Ginie Lim) yang mengiringi peti undi untuk disimpan di lokap simpanan di Balai Polis Masjid Tanah. Ketika di sana, beliau mendapati ada pegawai-pegawai SPR yang sedang mengira undi dari peti undi awal lain yang sudah berada di balai, sedangkan peti undi tidak boleh dibuka. Beliau membuat laporan serta-merta untuk mendapatkan rakaman CCTV untuk memastikan penyelewengan tidak berlaku

petiundiposmachap

 

petiundiposmachap2

 

  1. Laporan polis di Balai Pengkalan Hulu, Perak – laporan dibuat oleh ejen-ejen calon KEADILAN bagi DUN Pengkalan Hulu untuk melaporkan bahawa satu peti undi awal bagi Kem 18 PGA di Pengkalan Hulu tidak sampai seperti yang dijadualkan. Ini menimbulkan keraguan bahawa berlaku manipulasi dan ejen-ejen KEADILAN menuntut supaya peti undi itu dikecualikan dari pengiraan undi (yang akhirnya dipersetujui oleh pegawai SPR). Kami dimaklumkan bahawa pada 9 Mei 2013, Pegawai Pemerintah Kem 18 PGA Pengkalan Hulu telah membuat laporan polis di balai yang sama bahawa peti undi itu pada mulanya hilang dan setelah dicari, barulah dijumpai. Oleh sebab itu, peti undi tersebut tidak sampai pada waktu yang dijadualkan bagi tujuan pengiraan undi.

petiundigrik

 

 

Kedua-dua kejadian benar yang berlaku ini membayangkan betapa longgarnya kawalan, seliaan dan integriti peti undi awal sehingga boleh hilang dan dibuka begitu sahaja.

Ini menjadi bukti kepada dakwaan KEADILAN selama ini bahawa proses undi awal dan pos penuh dengan kelemahan dan kelompongan yang membolehkan manipulasi berlaku di merata tempat, yang meruntuhkan keyakinan rakyat terhadap ketelusan dan keadilan keputusan PRU13 baru-baru ini.

 

RAFIZI RAMLI

Pengarah Strategi

 

29 MEI 2013 

43 Pengundi Tidak Dikenali Di Daftarkan Di Enam (6) Rumah Di Parlimen Kuala Kedah

Kewujudan pengundi hantu menjadi isu paling utama yang mempersoalkan perjalanan PRU13. Menurut laporan-laporan yang telah dibuat sebelum, semasa dan selepas hari mengundi, pengundi hantu ini dipercayai didatangkan dalam dua bentuk; iaitu rakyat asing yang diberikan kad pengenalan dan mengundi; serta pengundi rakyat Malaysia yang mengundi lebih dari sekali kerana didaftarkan di beberapa tempat.

Beberapa hari sebelum hari pengundian, jentera Barisan Nasional di seluruh negara giat mengedarkan slip-slip mengundi yang menyatakan tempat dan saluran mengundi dari rumah ke rumah. Slip-slip ini diambil dari daftar undi induk yang dikeluarkan oleh SPR.

Di seluruh negara, banyak berlaku kejadian slip undi yang diedarkan oleh Barisan Nasional itu menunjukkan wujudnya pengundi-pengundi tidak dikenali yang didaftarkan di alamat-alamat dalam kawasan tertentu. Banyak pemilik dan pengundi asal di alamat-alamat tersebut telah tampil membuat laporan polis mempersoalkan kenapa ada pengundi lain yang didaftar dengan ramai di alamat mereka, sedangkan mereka telah tinggal di alamat itu dari awal dan tidak pernah mengenali nama-nama yang didaftarkan.

Saya sendiri membantu membuat 2 laporan polis di Pandan berhubung kejadian ini pada hari pengundian.

Hari ini, saya tampilkan 5 laporan polis yang dibuat berasingan di Parlimen Kuala Kedah yang menunjukkan bahawa 43 orang yang tidak dikenali telah didaftarkan di 6 buah rumah di dalam satu taman, iaitu Taman Sri Putra.

 

kk1

kk2

kk3

kk4

 

kk5

Saya juga sertakan satu salinan Borang 10A yang dikeluarkan oleh SPR sendiri di Parlimen Kuala Kedah, yang mengesahkan bahawa seorang pengundi iaitu Lim Tiek Hong dinafikan hak mengundi kerana ada orang lain telah mengundi bagi dirinya.

kualakedah10a1

kualakedah10a2

Laporan-laporan polis dan Borang 10A yang dikeluarkan sendiri oleh SPR mengesahkan bahawa keraguan wujudnya pengundi hantu yang didaftarkan berkali-kali ada asasnya. Kejadian seperti ini di seluruh negara memperkukuhkan persepsi rakyat bahawa PRU13 penuh dengan penipuan dan SPR tidak mempunyai kewibawaan untuk mempertahankan satu proses pilihanraya yang adil, bersih dan telus.

Oleh yand demikian, saya menyeru kepimpinan SPR untuk memberikan penjelasan yang masuk akal mengenai kejadian-kejadian ini kerana ada laporan polis khusus yang dibuat mengenainya. Saya juga menyeru supaya pasukan polis mula membuat kenyataan mengenai pelbagai laporan polis mengenai penyelewengan pilihanraya yang telah dibuat selama ini.

Jika 43 pengundi yang diragui boleh wujud di satu taman di Parlimen Kuala Kedah hanya di 6 buah rumah, bayangkan berapa banyak pengundi hantu yang sebegini yang boleh didaftarkan di seluruh negara.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi KEADILAN
27 MEI 2013

Ada Laporan Polis Dibuat Mengenai Kejadian Terputus Bekalan Elektrik Semasa Pengiraan Undi (“Blackout”)

Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Pengerusi SPR, Dato’ Wan Ahmad Wan Omar yang memperlekehkan aduan berlakunya kejadian terputus bekalan elektrik semasa pengiraan undi (black-out) amatlah dikesali. Beliau juga mempersendakan aduan-aduan ini, kononnya dilakonkan terlebih dahulu dan mencabar sekiranya benar ada kejadian begini berlaku agar laporan polis dikemukakan kepada SPR.

Semalam, wakil rakyat Sri Serdang Puan Noor Hanim Ismail telah tampil menjelaskan bahawa gambar di internet yang berlegar benar-benar berlaku di dalam kawasan yang beliau tandingi. Dengan kenyataan balas YB Noor Hanim Ismail itu, Dato’ Wan Ahmad Wan Omar wajarlah mengemukakan asas bagaimana beliau boleh mempersendakan satu aduan serius yang dibuat mengenai kepincangan perjalanan pilihanraya, tanpa usul periksa terlebih dahulu.

Hari ini, saya tampilkan satu lagi bukti untuk menunjukkan bahawa Dato’ Wan Ahmad Wan Omar tidak pernah ikhlas untuk menangani aduan kepincangan perjalanan pilihanraya secara ikhlas. Beliau mencabar agar ditunjukkan laporan polis sekiranya benar berlaku black-out di mana-mana tempat pengiraan undi dalam PRU13.

#siasatpru13 berjaya menjejaki satu lagi insiden black-out di Parlimen Kulim Bandar Baharu yang disertakan dengan laporan polis. Laporan menyebut:

“Pada 5/5/2013 jam lebih kurang 0715 malam bekalan letrik terputus di dalam kawasan Sekolah Sri Lindungan Raja, Sedim, Karangan, Kedah. Saya sebagai ketua unit peti undi Kampung Tebuan, Sedim bagi PRU13 N35, P18 dan sebagai agen wakil calon PKR ditempat kiraan undi di sekolah tersebut. Kejadian ini mendatangkan kecurigaan kepada pihak saya berdasarkan perkara ini saya mendapat maklumat daripada pihak TNB dan tiada sebarang bekalan elektrik terputus di kawasan Sedim. Perkara ini disahkan oleh pihak TNB. Pada 5/5/2013 jam 0725 malam bekalan elektrik puih semula berdasarkan perkara ini juga pihak saya merasakan terdapat unsur penyelewengan. Kejadian ini berlaku hanya pada bangunan sekolah sahaja sedangkan saksi-saksi bagi pihak saya melihat kawasan di luar sekolah tiada terputus bekalan elektrik. Sekian repot saya.”

blackout1

Dengan adanya saksi dan laporan polis sebegini, secara langsung menjawab cabaran Dato’ Wan Ahmad Wan Omar yang mahu melihat laporan polis yang dibuat.

Kini, menjadi tanggungjawab beliau untuk menerangkan bagaimana kejadian terputus bekalan elektrik hanya di tempat mengira undi pada ketika undi sedang dikira boleh berlaku, sedangkan TNB menyatakan bahawa tiada sebarang gangguan bekalan eletrik.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi KEADILAN
27 MEI 2013