Category Archives: LTAT

Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin Perlu Letak Jawatan Dari LTAT; Minta Maaf Kepada Pesara Tentera

Lodin-Letak Jawatan-01

Pendedahan hari ini bahawa kedudukan kewangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) turut terkesan akibat skandal 1MDB kerana 1MDB gagal membayar Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM) mengikut jadual bukanlah satu perkara kecil yang boleh dimaafkan. Sehingga September 2015, tunggakan bayaran dari 1MDB kepada PPHM adalah RM396.41 juta yang sudah tentu akan mempunyai kesan kepada keupayaan kewangan LTAT membayar caruman pencen kepada pencarum yang tamat perkhidmatan tepat pada masanya.

Penglibatan Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin sebagai Pengerusi 1MDB dan juga Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) adalah satu konflik kepentingan (“conflict of interest”) yang terlalu jelas. Dalam keadaan LTAT yang diketuainya terheret sama di dalam kemelut 1MDB sehingga menyebabkan kesukaran kewangan kepada ratusan (jika tidak ribuan) pesara-pesara tentera, kesesuaian beliau untuk terus mengetuai LTAT boleh dipersoalkan.

Tanggungjawab paling utama yang sepatutnya beliau perlu laksanakan ialah menjaga kebajikan pesara-pesara tentera dan mempertahankan hak mereka mengatasi kepentingan perniagaan lain. Apabila ada keluarga pesara tentera yang terpaksa menjual kenderaan, menggunakan simpanan dan lain-lain; saya berpendapat Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin perlu mengambil tanggungjawab di atas masalah yang berlaku ini.

Saya akan berunding dengan persatuan-persatuan bekas perajurit seperti PAHLWAN, persatu veteran dan lain-lain untuk menggerakkan satu kempen mendesak supaya Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berundur dari LTAT dan meminta maaf secara terbuka dengan pesara-pesara tentera dan keluarga mereka.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Penafian LTAT Dan 1MDB Tidak Benar, 1MDB Lewat Bayar Kepada PPHM Sepanjang 2015

LTAT-Salah-01

Saya terkejut dengan kenyataan media dari Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor yang menafikan bulat-bulat beberapa isu yang saya timbulkan berhubung kelewatan pembayaran caruman (gratuiti) pesara tentera oleh LTAT kebelakangan ini. Malah, beliau dengan kasarnya mengugut untuk menyaman saya kerana menanyakan beberapa soalan berhubung kelewatan itu bagi pihak pesara tentera.

Saya tidaklah mahu melayan penafian 1MDB kerana seluruh Malaysia sudah mengetahui rekod 1MDB dalam isu-isu ketelusan dan tata kelola korporat. Ini bukanlah kali pertama 1MDB menafikan sesuatu perkara yang ditimbulkan kemudiannya dibuktikan bahawa penafian itu tidak benar.

Walau bagaimana pun, saya terkejut dengan sikap Pengerusi LTAT kerana sebagai bekas pegawai tertinggi angkatan tentera, beliau wajar menginsafi bahawa tanggungjawab beliau yang paling utama ialah mempertahankan kebajikan anggota tentera yang masih berkhidmat dan pesara-pesara tentera yang bergantung kepada LTAT.

Tindakan beliau menafikan bulat-bulat bahawa ada kelewatan di dalam pembayaran caruman (gratuiti) kepada pesara tentera adalah amat dikesali. Saban hari saya menerima aduan baik melalui media sosial, email atau whatsapp tentang kelewatan ini. Saya sertakan beberapa aduan yang saya terima agar beliau menginsafi bagaimana kelewatan ini telah memangsakan pesara-pesara tentera:

phone1

phone2

phone3

Saya telah mendapat bukti kukuh dalam bentuk dokumen rasmi Kerajaan Persekutuan yang mengesahkan bahawa penafian-penafian 1MDB dan LTAT dua hari lalu adalah salah. 1MDB dan LTAT membuat kenyataan bahawa kononnya semua bayaran dari 1MDB kepada PPHM (anak syarikat milik penuh LTAT yang menjadi kontraktor 1MDB dalam projek pengkalan-pengkalan udara) adalah tidak tertunggak dan telah menepati jadual pembayaran seperti di dalam kontrak.

Saya boleh nyatakan fakta berikut (berdasarkan dokumen rasmi Kerajaan Persekutuan yang ada dengan saya):

“Pembayaran tuntutan oleh PPHM kepada 1MDB bagi kos pembangunan lima lokasi penempatan semula iaitu Pengkalan Udara Subang, Pengkalan Udara Sendayan, Pengkalan Udara Polis Subang, Rejimen Artileri Diraja Kem Kajang dan Pengkalan Udara Kuantan telah tertunggak sejak bulan Disember 2014 hingga September 2015. Nilai bayaran tertunggak dari 1MDB kepada PPHM sehingga September 2015 adalah berjumlah RM396.41 juta.”

Adalah jelas bahawa tunggakan bayaran dari 1MDB sehingga mencecah RM396.41 juta sehingga September 2015 (iaitu 6 bulan lalu) sudah tentu mempunyai kesan besar kepada aliran tunai LTAT. Berdasarkan Laporan Tahunan LTAT 2014, jumlah pencarum yang tamat perkhidmatan (telah bersara) adalah 7,030 orang dengan bayaran caruman sebanyak RM982.9 juta. Jika angka yang sama digunakan untuk menganggarkan jumlah pencarum yang tamat perkhidmatan dan bayaran caruman terlibat bagi 2015; anggaran jumlah pencarum yang bersara setiap bulan (di antara September 2015 hingga kini) ialah sekitar 590 orang sebulan dan bayaran caruman RM140,000 setiap seorang.

Maka, bagi tempoh 5 bulan (iaitu dari Oktober 2015 hingga Februari 2016), jumlah tunai yang diperlukan LTAT untuk membayar caruman pesara tentera yang baru tamat perkhidmatan adalah RM413 juta. Jika LTAT tidak dibayar oleh 1MDB dan jumlah tunggakan adalah RM396.41 juta sehingga September 2015, sudah tentu LTAT akan mempunyai masalah untuk membayar caruman pesara tentera tepat pada waktunya.

Saya menyeru supaya LTAT dan 1MDB bersikap telus dan menyiarkan sepenuhnya senarai pembayaran dan tunggakan (dari 1MDB kepada PPHM) di antara 2013 hingga 2016 dan senarai pesara tentera yang belum dibayar caruman oleh LTAT mengikut bulan bermula 2014. Saya tidak akan teragak-agak mendedahkan dokumen rasmi Kerajaan Persekutuan itu jika senarai-senarai ini tidak disiarkan sepenuhnya kepada rakyat.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Geran Kerajaan Berjumlah RM1.0865 Bilion Kepada 1MDB Bagi Kerja-Kerja Pemindahan Dan Naiktaraf Pengkalan Udara, Kini Skandal Mencecah RM3.4865 Bilion

Sehingga hari ini 1MDB masih belum memberikan penjelasan ke mana perginya dana berbaki dari terbitan sukuk RM2.4 bilion yang kononnya dipinjam untuk membiayai kerja-kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan udara.

1MDB juga tidak menafikan kenyataan-kenyataan saya bahawa berdasarkan angka-angka yang dikeluarkan oleh 1MDB, hanya RM800 juta dari keseluruhan kos projek RM2.7 bilion yang telah dibayar oleh 1MDB. Sebab itu baki tanggungan RM1.9 bilion untuk menyiapkan kerja-kerja itu kini mengundang kontroversi apabila ia melibatkan syarikat berkaitan Kerajaan China yang boleh mendedahkan negara kepada risiko keselamatan dan pertahanan.

Saya yakin ada sesuatu yang disembunyikan 1MDB kerana angka-angka yang diketahui umum tidak masuk akal.

Mengikut Laporan Ketua Audit Negara 2014 bagi Aktiviti Kementerian/Jabatan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan bagi perkara penyaluran geran kepada syarikat dimiliki Menteri Kewangan Diperbadankan di mukasurat 523 (petikan di bawah), 1MDB sebenarnya telah diberikan geran kerajaan berjumlah RM1.0865 bilion bagi tujuan “pembinaan bagunan gantian dan perolehan peralatan susulan pembangunan semula Sungai Besi”.

1MDB Development GRant

Ini bermakna 1MDB telah menggunakan dana awam dalam bentuk geran Kerajaan Persekutuan untuk membiayai kos kerja-kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan tentera udara yang sebenarnya adalah tanggungjawab 1MDB.

Lebih teruk lagi, berdasarkan angka-angka ini, jelas bahawa jumlah dana yang telah diperolehi oleh 1MDB dalam bentuk terbitan sukuk sebanyak RM2.4 bilion dan geran Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1.0865 bilion (menjadikan jumlah keseluruhan dana yang diambil bagi tujuan ini mencecah RM3.4865 bilion) adalah jauh melebihi kos keseluruhan projek yang diumumkan iaitu RM2.7 bilion.

Malangnya, 1MDB sendiri mengakui bahawa hanya RM800 juta yang telah dibayar setakat ini dan RM1.9 bilion masih berbaki.

Maka, skandal pembiayaan kerja-kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan udara yang melibatkan 1MDB kini menjadi lebih rumit dan Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri perlu menjelaskan perkara-perkara berikut:

1. Kenapa Kerajaan Persekutuan meluluskan geran kepada 1MDB sebanyak RM1.0865 bilion untuk membiayai sebahagian kerja-kerja tersebut sedangkan itu adalah tanggungjawab kewangan 1MDB mengikut perjanjian dengan Kerajaan Persekutuan sebagai pertukaran 1MDB mendapat tanah-tanah Pengkalan TUDM Sungai Besi pada harga yang rendah?

2. Jika geran sebanyak RM1.0865 bilion telah dibayar oleh Kerajaan Persekutuan kepada 1MDB tetapi hanya RM800 juta yang diagihkan kepada kontraktor, ke mana baki geran sebanyak RM286.5 juta?

3. Jika keseluruhan bayaran kepada kontraktor sebanyak RM800 juta kini ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan melalui geran ini, ke mana pula keseluruhan dana RM2.4 bilion dari terbitan sukuk yang sepatutnya digunakan bagi menanggung kos projek ini?

Jumlah RM3.4865 bilion yang terbabit di dalam skandal ini telah melebihi jumlah RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak. Beliau wajar meminta maaf kepada rakyat kerana mengumumkan dengan bongkaknya bahawa masalah kewangan 1MDb diselesaikan tanpa melibatkan dana rakyat, sedangkan Ketua Audit Negara sendiri telah mengesahkan bahawa RM1.0865 bilion dana rakyat telah disalurkan kepada 1MDB bagi menanggung kos yang sepatutnya dibayar oleh 1MDB.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

1MDB Tidak Menjawab Soalan, Berikan Perincian Bagaimana Sukuk RM2.4 Bilion Dibelanjakan

Kenyataan 1MDB semalam sebagai maklumbalas kepada isu-isu yang saya timbulkan tidak menjawab soalan dan cuba mengelirukan orang ramai.

Saya bertanya soalan berdasarkan fakta-fakta yang jelas seperti berikut:

  1. 1MDB mengakui kos keseluruhan pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan udara adalah RM2.7 bilion
  1. IMDB mengakui bahawa baki bayaran untuk menyempurnakan kerja-kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan udara adalah RM1.9 bilion
  1. Ini bermakna 1MDB mengakui bahawa dari keseluruhan kos RM2.7 bilion, hanya RM800 juta telah dibayar sekarang. Oleh sebab itu, baki yang perlu dilangsaikan adalah RM1.9 bilion
  1. 1MDB mengakui bahawa liabiliti RM1.9 bilion ini kini perlu ditanggung oleh konsortium yang membeli 60% pegangan dalam Bandar Malaysia (yang turut membabitkan syarikat berkaitan Kerajaan China)
  1. 1MDB mengakui bahawa pihaknya juga sedang merundingkan dengan konsortium tersebut agar hutang sukuk RM2.4 bilion turut ditanggung oleh konsortium itu
  1. 1MDB mengakui ia menerbitkan hutang sukuk sebanyak RM2.4 bilion dalam tahun 2014 yang tujuannya untuk membiayai kerja-kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan udara itu

Oleh itu, berdasarkan fakta-fakta di atas, saya bertanyakan soalan yang mudah dan jelas seperti berikut:

  1. Jika hanya RM800 juta dari sukuk berjumlah RM2.4 bilion itu yang telah dibelanjakan untuk membiayai kerja-kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan udara, bagaimanakah baki sukuk selebihnya dibelanjakan?
  1. Jika sebahagian besar sukuk itu dibelanjakan bagi kerja-kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan udara, tidak timbul soal membabitkan konsortium pembeli untuk menanggung baki bayaran RM1.9 bilion kerana itu mempunyai risiko melibatkan syarikat asing di dalam keputusan-keputusan strategik pertahanan negara.
  1. Jika 1MDB kini merundingkan agar bayaran sukuk itu turut ditanggung oleh konsortium pembeli ini, maknanya dana yang diperolehi dari terbitan sukuk itu telah tiada. Oleh kerana ia tidak dibelanjakan bagi tujuan kerja-kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan udara, bagi tujuan apa ia dibelanjakan?

 

1MDB memberikan satu kenyataan umum bertujuan mengelirukan orang ramai dengan menyatakan bahawa kesemua dana dari terbitan sukuk dibelanjakan seperti yang ditetapkan oleh perjanjian. Tetapi 1MDB tidak menjawab soalan yang paling utama: ke manakah baki RM1.6 bilion dari terbitan sukuk tersebut?

Secara umumnya, 1MDB menyatakan bahawa dana tersebut dibelanjakan antara lainnya untuk membiayai kerja-kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan udara, mematuhi syarat rizab simpanan seperti di dalam perjanjian, yuran dan belanja pengurusan menerbitkan bon serta memenuhi keperluan modal 1MDB RE iaitu anak syarikatnya.

Oleh itu, saya cuba menganggarkan jumlah perbelanjaan bagi setiap kategori perbelanjaan yang disebut oleh 1MDB seperti berikut:

PEMBIAYAAN KERJA-KERJA MEMINDAHKAN DAN MENAIKTARAF PENGKALAN-PENGKALAN UDARA

Dari maklumat yang diberikan oleh 1MDB sendiri, anggaran yang munasabah ialah RM800 juta telah dibayar kepada kontraktor.

MEMATUHI SYARAT RIZAB SIMPANAN

Saya sertakan cabutan Perjanjian Sukuk mengenai syarat menyimpan rizab minima oleh 1MDB pada satu-satu masa di dalam Lampiran A.

Download (PDF, 927KB)

Mengikut perjanjian, 1MDB perlu menyimpan rizab minima (dipanggil FRSA) bersamaan bayaran keuntungan kepada pemegang bon bagi enam bulan seterusnya ke atas baki sukuk yang belum dibayar.

Kadar keuntungan tidak dimuktamadkan di dalam perjanjian ini seperti cabutan di Lampiran A.

Saya mengandaikan bahawa kadar keuntungan adalah sekitar 6% ke atas baki iaitu kadar yang lebih tinggi dari bon-bon bersabit kerajaan (yang selalunya dikenakan kadar keuntungan sekitar 4%).

Oleh itu, jumlah rizab minima yang perlu disimpan pada sesuatu masa adalah (6% X RM2.4 b) dibahagi dua (kerana bayaran keuntungan adalah setiap 6 bulan) iaitu RM72 juta. Jumlah RM72 juta ini ialah jumlah FRSA yang maksimum pada sesuatu masa kerana saya mengandaikan baki bon masih RM2.4 bilion.

YURAN DAN BELANJA MENERBITKAN BON

Penerbitan bon atau sukuk memang melibatkan bayaran yuran kepada perunding, institusi kewangan dan penasihat. Walau bagaimana pun, jumlah ini bukanlah besar dan pada kebiasaannya tidak melebihi kadar 1% – 2% dari jumlah terbitan bon/sukuk.

Mengambil bayaran yuran dan perunding yang maksimum pada kadar 2% dari terbitan sukuk, kita boleh andaikan bahawa jumlah yang dibelanjakan adalah RM48 juta.

 

Oleh yang demikian, berdasarkan kenyataan 1MDB sendiri semalam, saya boleh simpulkan bahawa pecahan perbelanjaan yang menggunakan dana sukuk itu adalah seperti berikut:

1) Membiayai kerja-kerja memindahkan dan menaiktaraf pengkalan-pengkalan udara RM800 juta
2) Memenuhi syarat perjanjian menyimpan rizab simpanan minima RM72 juta
3) Yuran dan belanja menerbitkan bon RM48 juta
BAKI: Digunakan bagi memenuhi keperluan modal 1MDB RE RM1,480 juta
Sukuk yang diterbitkan RM2,400 juta

 

Maka, 1MDB perlu menjawab bagi tujuan apakah sebanyak RM1,480 juta telah digunakan oleh anak syarikatnya iaitu 1MDB RE dari dana sukuk ini sedangkan 1MDB RE tidak mempunyai aktiviti perniagaan selain sebagai pemaju hartanah di Tun Razak Exchange dan Bandar Malaysia. Malah, dari tahun 2014 hingga sekarang kedua-dua projek pembangunan hartanah ini belum bermula dan peranan 1MDB RE setakat ini seumpama sebagai broker hartanah yang menjual tanah-tanah di Jalan Tun Razak dan Sungai Besi.

Mustahil sebuah syarikat yang fungsi utamanya menjual tanah-tanah memerlukan RM1,480 juta untuk membiayai operasinya.

Oleh sebab itulah saya masih bertegas bahawa 1MDB masih belum memberi penjelasan yang boleh diterima akal mengenai baki dari sukuk RM2.4 bilion yang diterbitkan.

Saya mencabar 1MDB untuk mendedahkan perincian perbelanjaan yang menggunakan dana sukuk itu terutamanya perbelanjaan terperinci 1MDB RE bagi menjelaskan ke mana keseluruhan dana sukuk telah dibelanjakan.

Perkara ini penting kerana jika dana sukuk itu digunakan untuk membiayai kerja-kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan udara seperti yang sepatutnya, 1MDB tidak perlu membawa masuk pelabur asing dari China untuk menanggung hutang-hutang itu sehingga mendedahkan negara kepada risiko pertahanan dan kedaulatan negara.

 

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

 

Ke Mana Dana RM2.4 Bilion Dari Sukuk Bandar Malaysia Yang Sepatutnya Digunakan Untuk Membiayai Pemindahan Dan Naiktaraf Pengkalan-Pengkalan Tentera?

Dedah 1.6B-01

Saya merujuk kepada kenyataan 1MDB bertarikh 6 Januari 2016 yang jelas cuba mematahkan soalan-soalan yang saya tanya khusus mengenai perkara-perkara berikut:

1. Pembiayaan untuk memindahkan dan menaiktaraf pengkalan-pengkalan tentera udara sebagai sebahagian dari tanggungjawab 1MDB setelah dianugerahkan tanah kerajaan di Sungai Besi

2. Kesan kepada keselamatan negara akibat dari penjualan pegangan di dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) milik 1MDB kepada satu konsortium yang dianggotai oleh syarikat berkaitan Kerajaan China

Jawapan 1MDB pada 6 Januari 2016 sebenarnya mengesahkan kebimbangan saya mengenai (2) iaitu keterlibatan syarikat berkaitan Kerajaan China di dalam projek pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan tentera udara.

Kenyataan 1MDB tempoh hari mengakui bahawa bahawa salah satu pilihan struktur urusniaga yang sedang dibincangkan ialah pembelian ekuiti di dalam BMSB. Ini selari dengan pengumuman 1MDB sebelum itu bahawa ia telah menjual ekuitinya di dalam BMSB sebanyak 60% kepada konsortium yang dimiliki bersama oleh syarikat berkaitan Kerajaan China itu. Apabila ini dipadankan dengan pengumuman yang difailkan di Bursa Hong Kong, ia mengesahkan bahawa struktur urusniaga melalui kaedah penjualan ekuiti telah dilaksanakan kerana syarikat berkaitan Kerajaan China itu memfailkan nilai urusniaga ekuiti (bukannya nilai tanah seperti yang diumumkan oleh 1MDB).

Namun yang lebih merunsingkan, penjualan ekuiti kepada konsortium itu sebenarnya mendedahkan satu lagi perkara yang lebih besar – kenapa bebanan kewangan untuk memindahkan dan menaiktaraf pengkalan-pengkalan tentera masih lagi berbangkit sehingga menjadi sebahagian dari urusniaga jual beli ekuiti BMSB; sedangkan 1MDB/BMSB telah meminjam RM2.4 bilion dalam tahun 2014 untuk membiayai kerja-kerja tersebut?

Saya sertakan lampiran-lampiran yang mengandungi terma-terma utama Perjanjian Sukuk Murabahah RM2.4 Bilion yang diterbitkan oleh 1MDB dalam tahun 2014. Saya rujuk kepada mukasurat-mukasurat penting seperti berikut:

Download (PDF, 2.45MB)

1. Mukasurat 6 mengesahkan bahawa BMSB (anak syarikat milik penuh 1MDB) menerbitkan Sukuk Murabahah bernilai RM2.4 bilion

2. Mukasurat 10, 11, 12 mengesahkan bahawa kontrak-kontrak pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan tentera udara/polis udara Sendayan, Ipon, Butterworth, Gong Kedak, Kuantan, Subang (2 kontrak bagi 2 pengkalan berbeza) dan Kajang yang merupakan bayaran balik 1MDB kepada Kerajaan Persekutuan telah dicagarkan sebagai tukaran kepada tanah-tanah yang dianugerahkan

3. Mukasurat 13 dan 14 mengesahkan bahawa dana RM2.4 bilion yang diperolehi 1MDB hasil dari terbitan Sukuk Murabahah ini hanya boleh digunakan untuk 2 tujuan sahaja; iaitu membiayai pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan udara di atas dan membiayai aliran tunainya.

Dalam kenyataannya bertarikh 6 Januari 2016, 1MDB sendiri mengakui bahawa nilai keseluruhan kontrak pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan tentera ini adalah RM2.7 bilion dan sehingga kini, baki pembiayaan yang perlu dikeluarkan 1MDB untuk membayar kontraktor adalan RM1.9 bilion.

Secara mudahnya, mengambil kira bahawa 1MDB telah menerbitkan Sukuk Murabahah berjumlah RM2.4 bilion untuk membiayai kerja-kerja itu – maka persoalan yang paling besar: adakah ini bermakna dari jumlah RM2.4 bilion yang diperolehi itu, hanya RM800 juta yang dibelanjakan bagi kerja-kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan tentera (iaitu jumlah projek keseluruhan RM2.7 bilion tolak jumlah baki bayaran RM1.9 bilion)?

Ini bermakna sejumlah RM1.6 bilion dari Sukuk Murabahah yang sepatutnya digunakan untuk membiayai kerja-kerja itu TIDAK DIGUNAKAN bagi tujuan itu. Ke mana dana berjumlah RM1.6 bilion ini dan bagi tujuan apa ia telah digunakan?

Oleh sebab itulah, maka 1MDB tiada pilihan lain kecuali melibatkan pihak swasta di dalam urusniaga melibatkan BMSB sedangkan BMSB telah pun mencagarkan kontrak-kontrak itu sebagai sebahagian dari terbitan Sukuk Murabahah. Apabila pihak swasta itu pula melibatkan syarikat berkaitan Kerajaan China, sudah tentu ini menimbulkan pertanyaan sejauh mana keterlibatan mereka di dalam keputusan-keputusan mengenai pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan tentera kerana mereka (syarikat China itu) kini adalah pemilik bersama BMSB yang dipertanggungjawabkan dengan kerja-kerja tersebut.

1MDB tidak boleh lari dari soalan-soalan ini dan saya akan terus menyelidik supaya perkara ini dibawa ke pengetahuan umum.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN