Category Archives: LTAT

Serah Senarai Nama Pesara Kepada LTAT Dan LTAT Perlu Menjawab Soalan-Soalan Yang Ditimbulkan

31 MAC 2016

Saya kesal membaca kenyataan Tan Sri Laksamana (B) Mohd Anwar Mohd Nor, Pengerusi LTAT yang akhirnya memberi maklumbalas setelah hampir seminggu saya mendedahkan bagaimana 1MDB mempunyai hutang tertunggak berjumlah RM396.41 juta kepada PPHM (anak syarikat LTAT) serta sejumlah RM288 juta yang sepatutnya dibayar kepada PPHM telah digunakan oleh 1MDB bagi tujuan kewangannya sendiri.

Kenyataan beliau langsung tidak menjawab kedua-dua perkara penting yang saya dedahkan tersebut. LTAT juga tidak menjawab gesaan saya supaya disenaraikan nama-nama dan jumlah pesara tentera yang bayaran caruman mereka tertunggak.

Sebaliknya kerja itu kini dipulangkan kepada saya untuk menghantar senarai nama pesara yang bayaran caruman mereka tertunggak menjelang jam 5 petang hari ini dan disertakan dengan ugutan saman jika saya gagal menghantar senarai nama tersebut. Ini bukan kali pertama LTAT mengugut untuk mengambil tindakan saman terhadap saya malah minggu lepas pun LTAT telah membuat ugutan yang sama.

Pejabat saya akan menghantar secara rasmi senarai nama pesara-pesara yang telah membuat aduan rasmi kepada saya dan YB Laksamana (B) Imran Abdul Hamid menjelang jam 5 petang ini melalui faks ke ibu pejabat LTAT. Senarai ini mengandungi maklumat 110 pesara.

Saya dan YB Laksamana (B) Imran Abdul Hamid juga dengan ini mempelawa mana-mana pesara tentera yang masih belum menerima sepenuhnya bayaran persaraan (dalam apa-apa bentuk) untuk mendaftar dengan kami supaya kami boleh mengambil tindakan terus dengan LTAT dan pihak-pihak berwajib yang lain. Pesara-pesara tentera boleh memberi maklumat dengan mengisi borang di capaian bit.ly/pesaratentera

Walaupun saya benar-benar kesal dengan sikap Pengerusi LTAT itu yang nampaknya lebih berminat bermain politik, beliau juga tidak boleh lari dari menjawab perkara-perkara penting mengenai keterlibatan LTAT (melalui PPHM) dengan 1MDB seperti berikut:

i. Menurut LTAT, ia tidak terkesan dengan bayaran yang diterima PPHM dari 1MDB dalam memenuhi tanggungjawab kewangannya membayar caruman. Namun begitu, kedudukan tunai LTAT berdasarkan Laporan Kewangan LTAT 2014 menunjukkan baki tunai LTAT pada 31 Disember 2014 adalah RM561 juta. Jumlah ini jauh lebih rendah dari baki pada 31 Disember 2013 iaitu RM1.117 bilion (berkurangan hampir separuh).

Jumlah tunai yang diperlukan untuk membayar pengeluaran caruman pesara tentera bagi tahun 2014 adalah RM1 bilion. Sudah tentu jumlah tunai RM561 juta bukanlah jumlah yang selesa memandangkan jumlah yang diperlukan untuk membayar pengeluaran caruman adalah RM1 bilion. Maka, sebarang kelewatan dalam bayaran kepada LTAT (atau anak syarikatnya) pada jumlah yang besar seperti RM396.42 juta mempunyai kesan kepada aliran tunai LTAT.

ii. Dalam tahun 2014, LTAT memberi pendahuluan kepada PPHM sebanyak RM48 juta bagi tujuan membiayai keperluan modal projek PUKL. Dalam tahun 2015, LTAT menambah lagi pendahuluan kepada PPHM sebanyak RM150 juta menjadikan jumlah pendahuluan kepada PPHM adalah RM198 juta menjelang akhir 2015. Pendahuluan dari LTAT kepada PPHM ini mengesahkan kesan kelewatan pembayaran 1MDB kepada LTAT sehinggakan LTAT terpaksa mendahulukan dana yang memberi lebih tekanan kepada kedudukan tunainya yang sudah pun berkurangan dalam 2014 berbanding 2013.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Arulkanda Kandasamy Tidak Menafikan Dakwaan Bayaran RM288 Juta Dibuat Tanpa Kelulusan Lembaga Pengarah

31 MAC 2016

Saya ambil maklum bahawa kenyataan 1MDB yang dikeluarkan semalam selepas saya membuat satu laporan polis terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Arulkanda Kandasamy dan pengurusan kanan 1MDB.

Yang menariknya, kenyataan 1MDB itu langsung tidak menafikan dakwaan saya bahawa 1MDB telah membuat satu bayaran berjumlah RM288 juta yang tidak dimaklumkan dan tidak mendapat kelulusan Lembaga Pengarah. Ini adalah satu kesalahan jenayah yang perlu dijawab oleh Arulkanda Kandasamy sebagai Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB.

Kenyataan 1MDB semalam itu cukup berbeza dengan kenyataan-kenyataan sebelum ini yang kebiasaannya menafikan terus sebarang isu yang ditimbulkan. Saya mengambil pendirian bahawa kenyataan 1MDB yang tidak menafikan dakwaan saya itu (seperti kebiasaan amalan 1MDB) secara tidak langsung mengiyakan bahawa dakwaan saya itu ada asas.

Oleh yang demikian, 1MDB tidak boleh bermain politik dengan menuduh saya kononnya cuba mensensasikan siasatan Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Negara. Keseluruhan kenyataan balas 1MDB semalam adalah kenyataan politik apabila menuduh saya campur tangan di dalam siasatan Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Negara.

Hakikatnya ialah ada asas yang kukuh untuk menyiasat satu perlakuan jenayah yang mungkin telah dilakukan oleh pengurusan kanan 1MDB yang diketuai oleh Arulkanda Kandasamy. Bila perlakuan jenayah berlaku, ia tidak tertakluk kepada siasatan-siasatan lain yang sedang berjalan di Parlimen atau di peringkat Ketua Audit Negara.

Siasatan segera oleh pihak berkuasa yang berkenaan mengikut akta yang berkenaan perlu dijalankan dan boleh berjalan selari dengan siasatan dan semakan lain yang telah pun bermula.

Saya telah menerima panggilan dari Pengawai Penyiasat IPD Dang Wangi untuk diambil keterangan dan saya berharap siasatan terhadap Arulkanda Kandasamy ini boleh berjalan mengikut kaedah undang-undang yang sewajarnya.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Laporan Polis Terhadap Arulkanda Kandasamy

30 MAC 2016

Hari ini saya telah membuat satu laporan polis terhadap Arulkanda Kandasamy, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB dan pasukan pengurusan beliau di 1MDB supaya satu siasatan dibuka untuk memastikan tidak berlaku sebarang pecah amanah atau apa-apa pelanggaran undang-undang (mana-mana akta) apabila sejumlah RM288 juta dana 1MDB digunakan bagi tujuan membayar faedah pinjaman 1MDB tanpa dimaklumkan terlebih dahulu kepada Lembaga Pengarah.

Maklumat ini diketahui umum apabila satu mukasurat dari Laporan Ketua Audit Negara ke atas 1MDB yang telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Negara didedahkan. Intipati utama dari Laporan Ketua Audit Negara itu membayangkan bahawa satu kesalahan iaitu menggunakan harta syarikat (iaitu 1MDB) tanpa kebenaran dan pengetahuan Lembaga Pengarah telah berlaku; berdasarkan penemuan-pemenuan berikut oleh siasatan Ketua Audit Negara:

1. Lembaga Pengarah 1MDB dalam mesyuarat pada 17 Ogos 2015 telah mengarahkan Encik Azmi Tahir, Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB untuk memberikan penjelasan mengenai sejumlah RM288 juta yang telah dibelanjakan oleh 1MDB
2. Perbelanjaan sejumlah RM288 juta tidak dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah 1MDB
3. Pengurusan 1MDB hanya menjelaskan kepada Ketua Audit Negara pada 9 Disember 2015 bahawa RM288 juta itu digunakan untuk membayar faedah pinjaman 1MDB

Di dalam mana-mana syarikat, kelulusan tertinggi adalah Lembaga Pengarah dan bukannya CEO. Malah, untuk memindahkan wang di antara dua akaun yang berlainan bagi satu syarikat yang sama, ia memerlukan tandatangan ahli-ahli Lembaga Pengarah dan tidak memadai dengan tandatangan CEO.

Perbelanjaan berjumlah RM288 juta ini adalah satu perbelanjaan yang besar dan sudah tentu melangkaui apa-apa tahap kelulusan (“limits of authority” atau LOA) yang diberikan kepada seorang CEO. Oleh yang demikian, sebarang perbelanjaan dan pemindahan wang sejumlah ini perlu mendapatkan kelulusan Lembaga Pengarah sebanyak dua kali:

i. Pertama; untuk meluluskan perbelanjaan sebanyak RM288 juta itu bagi tujuan khusus yang dibentangkan kepada Lembaga Pengarah
ii. Kedua; untuk mengarahkan bank memindahkan wang sebanyak RM288 juta memerlukan tandatangan sekurang-kurangnya 2 orang ahli Lembaga Pengarah yang diberikan kuasa oleh Lembaga Pengarah untuk menandatangi arahan kepada bank

Penemuan Ketua Audit Negara bahawa Lembaga Pengarah 1MDB tidak tahu menahu mengenai perbelanjaan RM288 juta sehingga Lembaga Pengarah mengarahkan CFO memberi penjelasan menunjukkan bahawa proses mendapatkan kelulusan tidak dipatuhi. Secara amnya, ini adalah satu kesalahan jenayah dan sebab itu saya membuat laporan polis agar Arulkanda Kandasamy dan pasukan pengurusannya disiasat secepat mungkin.

Selama ini Arulkanda sering memberi alasan bahawa beliau tidak terbabit di dalam segala masalah 1MDB kerana urusniaga-urusniaga itu berlaku sebelum beliau menjadi CEO. Kali ini, bukti dari Laporan Ketua Audit Negara secara jelas menunjukkan bahawa di bawah pengurusan beliau, 1MDB masih terus melanggar undang-undang kerana tidak mendapatkan kelulusan Lembaga Pengarah.

Saya bersedia memberi keterangan mengenai siasatan OSA tetapi saya mahu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi jawapan sama ada siasatan dan layanan yang sama akan dikenakan terhadap Arulkanda Kandasamy. Jika saya ditahan reman dengan tidak berselipar, Arulkanda Kandasamy juga boleh ditahan di sebelah sel saya di Tahanan Berpusat Jinjang minggu ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Laporan Ketua Audit Negara Ke Atas 1MDB Mengesahkan Kesan Masalah Kewangan 1MDB Ke Atas LTAT

Saya telah menimbulkan isu kelewatan pembayaran caruman Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kepada pesara-pesara tentera yang baru tamat tempoh perkhidmatan sejak seminggu lalu. Ada pesara yang terpaksa menunggu sehingga berbulan-bulan lamanya.

Semasa saya mula-mula menimbulkan perkara ini, 1MDB dan LTAT dalam kenyataan pertama mereka menafikan sekeras-kerasnya bahawa ada perkaitan di antara masalah kewangan 1MDB dengan kelewatan pembayaran caruman LTAT kepada pesara tentera. Malah, Pengerusi LTAT dengan terburu-buru mengugut untuk menyaman saya. 1MDB dan LTAT juga menafikan bahawa ada sebarang kelewatan pembayaran oleh 1MDB kepada LTAT dan semua bayaran adalah mengikut jadual.

Saya sertakan satu mukasurat dari Laporan Ketua Audit Negara ke atas 1MDB yang kini masih beum dibentangkan kepada rakyat. Mukasurat ini secara khusus menunjukkan bahawa pengurusan 1MDB dan LTAT telah cuba menyembunyikan maklumat sebenar apabila saya mula-mula menimbulkan perkara ini.

Download (PDF, 147KB)

Untitled-2

Secara khusus, Laporan Ketua Audit Negara berkenaan 1MDB dan keterlibatan LTAT di dalam 1MDB mengesahkan perkara-perkara berikut:

1. 1MDB RE (anak syarikat 1MDB yang membangunkan Bandar Malaysia) mempunyai masalah untuk membayar kontraktor penempatan semula (iaitu anak syarikat LTAT)

2. 1MDB RE telah menggunakan sejumlah RM288 juta yang diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk dibayar kepada anak syarikat LTAT bagi tujuannya sendiri iaitu membayar faedah pinjaman

3. Keputusan pengurusan 1MDB menggunakan peruntukan kerajaan sebanyak RM288 juta untuk membayar faedah pinjamannya tidak dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah 1MDB

4. Pembayaran tuntutan oleh PPHM kepada 1MDB bagi kos pembangunan lima lokasi penempatan semula iaitu Pengkalan Udara Subang, Pengkalan Udara Sendayan, Pengkalan Udara Polis Subang, Rejimen Artileri Diraja Kem Kajang dan Pengkalan Udara Kuantan telah tertunggak sejak bulan Disember 2014 hingga September 2015. Nilai bayaran tertunggak dari 1MDB kepada PPHM sehingga September 2015 adalah berjumlah RM396.41 juta

Laporan Ketua Audit Negara yang saya tunjukkan pada hari ini jelas membuktikan bahawa keterlibatan LTAT di dalam projek 1MDB dan masalah kewangan 1MDB telah membawa kesan kepada kedudukan LTAT.

Saya mengulangi desakan saya sebelum ini supaya LTAT menyelesaikan tunggakan bayaran caruman kepada pesara-pesara tentera secepat mungkin.

Saya juga mendesak supaya tindakan diambil ke atas Arulkanda Kandasamy, CEO 1MDB yang mengeluarkan kenyataan yang cuba menyembunyikan perkara sebenarnya dari pesara-pesara tentera dan rakyat apabila saya menimbulkan isu ini minggu lalu.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

1MDB Guna RM288 Juta Wang (Yang Sepatutnya Dibayar Kepada Anak Syarikat LTAT) Untuk Membayar Faedah Pinjaman 1MDB

Berbeza dengan sebelum-sebelum ini, 1MDB dan LTAT masih tidak memberi sebarang maklumbalas kepada kenyataan saya semalam bahawa sejumlah RM396.41 juta bayaran yang sepatutnya dilunaskan kepada PPHM (anak syarikat LTAT yang menjadi “turnkey” kontraktor kepada 1MDB bagi kerja-kerja pemindahan dan naiktaraf 8 pengkalan udara) masih lagi tertunggak setakat September 2015. Selalunya 1MDB dan LTAT akan mengeluarkan kenyataan balas sepintas kilat selain dari mengugut untuk mengambil tindakan saman.

Saya percaya 1MDB dan LTAT masih tidak memberikan sebarang kenyataan balas kepada pendedahan saya kerana kedua-dua syarikat dan tabung milik kerajaan ini tahu saya mempunyai dokumen sebagai bukti kepada dakwaan saya itu.

Salah satu sebab utama kepada berlakunya tunggakan sehingga mencecah RM396.41 juta jumlah yang 1MDB berhutang kepada PPHM (setakat September 2015) ialah kerana dana yang diberikan kepada Kerajaan Persekutuan kepada 1MDB untuk membayar PPHM digunakan bagi tujuan yang lain.

Untuk memahami bagaimana tempangnya kedudukan kewangan 1MDB dalam perkara ini, saya nyatakan fakta-fakta berikut yang dipetik dari kenyataan-kenyataan 1MDB sendiri:

1. Projek pemindahan dan naiktaraf 8 pengkalan udara telah dianugerahkan kepada 1MDB oleh Kerajaan Persekutuan pada harga RM2.7 bilion. Keseluruhan projek ini kemudiannya diserahkan oleh 1MDB kepada Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM) iaitu anak syarikat LTAT

2. Dana yang digunakan oleh 1MDB untuk membayar PPHM jumlah RM2.7 bilion ini datang dari 2 sumber: sebanyak RM1.0865 bilion adalah geran yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada 1MDB (lihat petikan Laporan Ketua Audit Negara di bawah) dan RM1.5 bilion dari terbitan sukuk. Maknanya, dana yang diambil adalah mencukupi untuk membiayai projek ini.

1MDB Development GRant

3. Setakat September 2015, ada tunggakan bayaran kepada PPHM sebanyak RM396.41 juta yang bermakna sebahagian dari dana yang diberikan kerajaan iaitu RM1.0865 juta telah digunakan bagi tujuan-tujuan lain

Berdasarkan dokumen rahsia Kerajaan Persekutuan yang saya ada, saya boleh mengesahkan pengurusan 1MDB mengakui bahawa sejumlah RM288 juta yang diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk bayaran penempatan semula telah digunakan oleh 1MDB untuk membayar faedah pinjaman 1MDB sendiri (bukannya untuk membayar PPHM seperti yang sepatutnya).

Apabila geran Kerajaan Persekutuan yang sepatutnya digunakan untuk membayar anak syarikat milik LTAT telah dibelanjakan bagi tujuan menutup kepincangan kewangan 1MDB (dengan membayar faedah pinjaman), sudah tentu itu akan mengheret LTAT ke dalam masalah 1MDB. Akhirnya untuk memastikan kerja-kerja terus berjalan, LTAT berkemungkinan besar telah mendahulukan dananya terlebih dahulu.

Tindakan yang kurang pintar oleh pengurusan LTAT inilah yang saya khuatiri telah memberi kesan kepada kelancaran pembayaran caruman oleh LTAT kepada pesara tentera yang baru tamat perkhidmatan.

Saya menunggu jawapan dari 1MDB dan LTAT kepada pendedahan ini. Saya juga masih menunggu LTAT mengemukakan senarai jumlah pesara tentera yang bayaran caruman persaraan mereka masih tertunggak.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN