Category Archives: Kos Sara Hidup @ Barang Naik

Bayaran Gratuiti Pesara Angkatan Tentera Lewat; LTAT Perlu Dedahkan Risiko Kewangan Akibat 1MDB

Saya telah menerima banyak aduan bahawa bayaran gratuiti kepada pesara-pesara angkatan tentera yang tidak layak menerima pencen telah mengalami kelewatan yang serius berbanding sebelum ini.

Semakan saya menunjukkan bahawa ada pesara tentera yang terpaksa menunggu sehingga 6 bulan selepas tarikh persaraan sebelum mendapat bayaran gratuiti dari Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sedangkan sebelum ini proses menguruskan pembayaran hanya mengambil masa 1 bulan sahaja.

Selain dari berlaku tidak adil kepada pesara-pesara ini yang terpaksa mengalami tekanan kewangan, saya bimbang keterlibatan LTAT dengan 1MDB boleh mendedahkan LTAT kepada risiko kewangan yang membawa kesan kepada tempoh pembayaran gratuiti kepada pesara-pesara tentera.

Seperti yang kita sedia maklum, LTAT melalui anak syarikat milik penuhnya iaitu Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM) adalah kontraktor “turnkey” yang bertanggungjawab memindahkan dan menaiktaraf 8 pengkalan udara yang sepatutnya dilaksanakan oleh 1MDB. Kerajaan Persekutuan melantik 1MDB bagi kerja-kerja tersebut sebagai syarat 1MDB mendapat tanah-tanah di Pengkalan TUDM Sg Besi. 1MDB pula menganugerahkan kerja-kerja tersebut kepada PPHM dengan kontrak bernilai RM2.1 bilion seperti diumumkan 1MDB sendiri pada 3 April 2013.

Malangnya, kita sedia maklum bahawa 1MDB mengalami masalah kewangan yang teruk sehingga bermasalah untuk membayar hutangnya sendiri. Kita tidak tahu sama ada 1MDB telah melangsaikan sepenuhnya bayaran kepada PPHM yang terpaksa pula membayar sub-kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pemindahan dan naiktaraf tersebut.

Jika 1MDB lewat membayar jumlah yang besar kepada PPHM, saya khuatir LTAT terpaksa mendahulukan dananya terlebih dahulu kepada sub-kontraktornya. Jika ini berlaku bagi jumlah kontrak yang besar iaitu RM2.1 bilion, sudah tentu ia akan memberi kesan kepada kedudukan kewangan LTAT dan boleh menjejaskan kemampuannya membayar gratuiti kepada pesara tepat pada masanya.

Oleh itu, saya menyeru supaya 1MDB dan PPHM mendedahkan rekod keseluruhan kerja-kerja yang telah disiapkan dan berapa bayaran tertunggak kepada PPHM. Saya juga menyeru supaya PPHM mengumumkan berapa bayaran kepada sub-kontraktor yang telah didahulukan oleh LTAT.

Saya akan menunggu jawapan rasmi LTAT kenapa bayaran gratuiti kepada pesara –pesara tentera adalah lewat dan mendesak supaya masalah ini diselesaikan secepat mungkin.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Kembalikan Peruntukan Biasiswa JPA, MARA Dan Lain-Lain: Kutip Kembali Geran RM1.1 Bilion Dari 1MDB

Rakyat Malaysia hanya mendapat tahu mengenai pemberhentian biasiswa pendidikan JPA bagi 700 orang pelajar untuk ijazah pertama dari petikan berita yang hanya disiarkan oleh akhbar berbahasa Cina. Maknanya, Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak berani berdepan dengan rakyat untuk menerangkan sendiri keputusan-keputusan beliau yang menekan rakyat seperti ini.

Masalah kerajaan memotong peruntukan biasiswa dan peruntukan pendidikan ini bukan perkara baru. Saya telah mengemukakan soalan-soalan mengenai jumlah biasiswa dan peruntukan pendidikan yang disediakan oleh MARA sejak Jun 2015 lalu tetapi tidak pernah dijawab.

Hakikatnya, sebelum pun isu pemotongan biasiswa JPA ini timbul, beribu-ribu pelajar yang cuba mendapatkan biasiswa atau pinjaman dari MARA telah ditolak. Sehingga kini, saya difahamkan MARA masih belum membuka sistem permohonan penajaan pendidikannya. Saya juga dimaklumkan kini MARA terpaksa menjadi orang tengah kepada bank-bank yang menawarkan pinjaman kepada pelajar pada kadar komersil.

Dalam Bajet 2016, Dato’ Seri Najib Tun Razak juga telah memotong peruntukan biasiswa dan dermasiswa sebanyak sekitar RM800 juta, sementara peruntukan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin dipotong dari RM200 juta menjadi RM10 juta sahaja.

Kegilaan itu kini diteruskan dengan pemberhentian penajaan pelajar-pelajar JPA seramai 700 yang akan melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama.

Pendekatan yang diambil oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam semakan Bajet 2016 ini adalah jelas: beliau memotong perbelanjaan rakyat terlebih dahulu sebelum perbelanjaan atau projek-projek yang melibatkan kepentingan kroni. Contohnya, saya berminat untuk mengetahui sama ada kerajaan akan meneruskan pemberian pinjaman mudah (“soft loan”) kepada syarikat-syarikat yang telah dianugerahkan konsesi pembinaan lebuhraya-lebuhraya. Saya pernah dimaklumkan bahawa pinjaman mudah (“soft loan”) kepada Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB) untuk membina Lebuhraya EKVE adalah bernilai RM900 juta. Kita tidak tahu berapa banyak lagi projek-projek yang kononnya diswastakan tetapi dibiayai oleh pinjaman mudah (“soft loan”) yang ditanggung oleh kerajaan seperti ini.

Oleh itu, saya ingin menasihati Dato’ Seri Najib Tun Razak kaedah terbaik mengembalikan pembiayaan biasiswa dan dermasiswa seperti ini.

Saya gesa Dato’ Seri Najib Tun Razak mengarahkan 1MDB membayar kembali geran Kerajaan Persekutuan yang berjumlah RM1.1 bilion yang telah diambil oleh 1MDB bagi kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan tentera bersabit Bandar Malaysia. Projek tersebut adalah tanggungjawab 1MDB dan tidak sewajarnya melibatkan dana rakyat.

Jumlah RM1.1 bilion ini lebih dari cukup untuk membiayai biasiswa-biasiswa yang saya sebut di atas.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Hentikan Sebarang Niat Kerajaan Melaksanakan Harga Lantai Petrol Untuk Mencukai Rakyat

Saya terkejut membaca laporan Astro Awani semalam yang memetik kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK), Dato’ Seri Hamzah Zainuddin bahawa kerajaan sedang mengkaji untuk melaksanakan sistem penetapan harga petrol/diesel berasaskan harga lantai (“floor price”) memandangkan harga minyak mentah dunia terus menjunam.

Bagi mereka yang belum memahami, pengenalan harga lantai bagi petrol/diesel dalam keadaan harga minyak dunia terus menjunam bermaksud rakyat akan dicukai oleh kerajaan bagi pembelian setiap liter petrol/diesel. Mekanisme pelaksanaan adalah seperti berikut:

1. Harga lantai ditetapkan oleh kerajaan bagi setiap satu liter petrol/diesel, contohnya RM1.60 seliter bagi RON95

2. Setiap bulan, harga purata pasaran ditentukan dengan menggunakan kaedah yang sama sekarang, contohnya bagi bulan Januari 2016 harga purata pasaran telah jatuh ke paras RM1.50 seliter bagi RON95

3. Bila harga purata pasaran itu lebih rendah dari harga lantai yang ditetapkan, rakyat akan tetap membayar harga lantai iaitu RM1.60 sen seliter walaupun harga sebenarnya adalah lebih rendah.

4. Perbezaan di antara harga sebenar dan harga lantai (dalam kes ini 10 sen seliter iaitu harga lantai RM1.60 tolak harga purata pasaran RM1.50) dikutip oleh kerajaan sebagai cukai

Mengambil kira bahawa jumlah penggunaan petrol/diesel setiap tahun adalah sekitar 30 bilion liter, jika kadar cukai ialah 10 sen setiap liter seperti di atas, kerajaan sedang mencongak untuk mengutip sekurang-kurangnya RM3 bilion setiap tahun dari rakyat.

Tindakan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak yang secara senyap-senyap merancang untuk menghalang rakyat dari menikmati harga minyak yang rendah adalah terkutuk dan keji. Rakyat Malaysia sekarang sudah pun tidak dapat menikmati harga rendah yang sebenar kerana faktor kejatuhan nilai matawang ringgit yang menyebabkan harga minyak kekal tinggi berbanding negara-negara lain. Jika sistem harga lantai ini dilaksanakan, rakyat Malaysia akan terus dinafikan hak untuk menikmati harga minyak yang sebenar.

Saya tahu Dato’ Seri Najib Tun Razak sedang pening kepala mencari sumber kewangan untuk menampung perbelanjaan kerajaannya yang boros dan membazir. Saya beri amaran supaya pelarasan Bajet 2016 yang bakal diumumkan beliau tidak sedikit pun menyentuh peruntukan rakyat atau memperkenalkan cukai tersembunyi seperti pelaksanaan sistem harga lantai begini.

Sekiranya sistem pelarasan harga lantai ini diperkenalkan juga, saya akan berbincang dengan rakan-rakan Pakatan Harapan untuk menganjurkan demonstrasi membantah yang sudah tentu akan mendapat sokongan rakyat terbanyak.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Malaysia Terus Diancam Turun Penarafan (“Downgrading Of Rating”) Walaupun Najib Laksanakan Dasar Menekan Rakyat

Hari ini, agensi penarafan kewangan dunia Moody’s telah menurunkan prospek ekonomi Malaysia dari “positif” kepada “stabil”. Lazimnya sebarang penurunan taraf prospek ekonomi sesebuah negara oleh agensi penarafan dilihat sebagai ancaman kepada penarafan kewangan negara tersebut.

Sejak menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dalam tahun 2009, Dato’ Seri Najib Tun Razak telah menjadikan pengurangan defisit dan penghapusan subsidi sebagai jihad ekonomi beliau demi memastikan penarafan kewangan Malaysia (“sovereign rating of Malaysia”) tidak diturunkan oleh agensi-agensi penarafan seperti Moody’s. Ini berikutan kebergantungan pentadbiran beliau kepada hutang akibat keborosan kerana sebarang penurunan penarafan akan menyebabkan kadar faedah hutang Kerajaan Persekutuan menjadi lebih tinggi, lalu menyukarkan pentadbiran beliau untuk terus berhutang.

Beliau tunduk kepada tekanan agensi-agensi antarabangsa untuk melaksanakan dasar-dasar ekonomi yang anti-rakyat seperti pelaksanaan GST dan penghapusan subsidi. Demi memastikan nasihat agensi-agensi antarabangsa ini diikuti, Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak mengendahkan kepayahan yang ditanggung oleh rakyat akibat dasar-dasar yang anti-rakyat.

Hari ini, GST telah dilaksanakan selama lebih 9 bulan dan lebih RM30 bilion telah dikutip dari rakyat. Hampir keseluruhan dari subsidi yang sebelum ini dinikmati rakyat telah dihapuskan semuanya termasuklah subsidi petrol dan diesel. Beliau juga memotong peruntukan-peruntukan penting untuk pendidikan dan biasiswa di dalam belanjawan 2016 yang dibentangkan Oktober 2015 lalu.

Malangnya, kesemua dasar-dasar anti rakyat ini yang menyebabkan beban sara hidup rakyat naik berganda, mahasiswa terpaksa mengikat perut, rakyat melakukan lebih dari satu kerja untuk menampung kenaikan harga dan lain-lain kepayahan – tidak pun berjaya menghalang Moody’s dari menurunkan prospek ekonomi Malaysia dari positif kepada stabil.

Ini bermakna keputusan Dato’ Seri Najib Tun Razak yang mempertaruhkan kebajikan rakyat demi memastikan agensi penarafan antarabangsa tidak memberikan isyarat yang negatif mengenai penarafan kewangan Malaysia adalah sia-sia. Rakyat menanggung beban dan prospek ekonomi Malaysia tetap diturunkan oleh Moody’s.

Sebab itu, pendekatan ekonomi konvensional yang diambil oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak akan terus menjadi sia-sia dan tidak berkesan selagi ia tidak menangani barah utama ekonomi negara iaitu rasuah, tatakelola yang lemah dan tiadanya amanah.

Ekonomi Malaysia akan kembali mampan bila mana dasar-dasar ekonomi pro-rakyat dilaksanakan selari dengan perang besar-besaran membanteras rasuah, menguatkan tatakelola dan membina amanah di dalam pentadbiran negara.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Harga RON95 Bagi Januari 2016 Sepatutnya RM1.80 – RM1.85 Seliter; Batalkan Kenaikan Tambang & Kos Elektrik

Berdasarkan laporan-laporan berikut:

1. Laporan “Weekly Petrol Prices Report” oleh Institut Petroleum Australia yang menyenaraikan harga RON95 seperti didagangkan di Singapura mengikut laporan Means of Platts Singapore (MOPS) bagi minggu berakhir 20 Disember 2015; dan

Download (PDF, 528KB)

Download (PDF, 317KB)

2. Laporan harga minyak mentah Brent bagi bulan Disember 2015 yang diterjemahkan secara anggaran kepada harga MOPS RON95 bagi minggu terakhir Disember 2015 menggunakan kadar tukaran matawang semasa;

Saya menganggarkan bahawa harga petrol RON95 bagi bulan Januari 2016 sepatutnya ditetapkan di antara RM1.80 hingga RM1.85 seliter (iaitu penurunan sebanyak 10 sen hingga 15 sen dari harga Disember 2015).

(Perkiraan dan graf ditunjukkan di dalam Lampiran A).

Saya perlu membandingkan bagaimana penetapan harga RON95 mengikut formula yang digunakan oleh kerajaan ini tidak melambangkan pergerakan harga minyak mentah di pasaran dunia yang terus jatuh secara mendadak seperti graf yang ditunjukkan di bawah:

crudeprice2014-15

Harga minyak mentah Brent dari 2012 hingga 2015 (USD setong)

Walaupun harga minyak mentah di pasaran dunia secara puratanya telah susut sebanyak 66% sejak setahun lalu (dari harga stabil sekitar USD110 setong sehingga Julai 2014 menjadi kepada sekitar USD37 setong dalam minggu terakhir Disember 2015), harga RON95 yang ditetapkan mengikut formula kerajaan susut pada kadar yang lebih perlahan seperti berikut:

Bulan Harga minyak mentah Brent (USD/tong) % kejatuhan harga minyak mentah Harga RON95 (RM/liter) % kejatuhan harga RON95
Julai 2014 110   2.10  
Disember 2015 37 66% 1.95 7%

 

Perbezaan yang besar ini (harga RON95 hanya susut 7% berbanding 66% kejatuhan harga minyak mentah Brent) adalah disebabkan kejatuhan mendadak nilai matawang ringgit berbanding dollar Amerika Syarikat. Oleh yang demikian, harga RON95 yang ditetapkan menggunakan formula yang bergantung kepada kadar tukaran ringgit kepada dollar ini tidak lagi melambangkan kos sebenar seliter RON95 yang sepatutnya dibayar oleh pengguna kerana diherotkan (“distorted”) oleh kadar matawang ringgit yang merudum.

Saya telah mencadangkan sebelum ini supaya satu kaedah penetapan harga baru diperkenalkan dengan menggunakan maklumat kos pengeluaran sebenar loji penapisan minyak di Malaysia yang dikira di dalam ringgit bagi mengurangkan kesan ketidaktentuan kadar matawang ringgit kepada dollar. Namun, saya yakin konsep ini tidak akan difahami oleh menteri dan tidak akan dilaksanakan selagi Umno/Barisan Nasional berkuasa.

Oleh yang demikian, saya menyeru supaya kerajaan mengembalikan penjimatan harga minyak lebih besar yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat (jika tidak kerana keadaan matawang ringgit yang tidak menentu) dengan cara berikut:

1. Hentikan semua kenaikan tambang yang telah diumumkan setakat ini yang melibatkan pengangkutan awam (seperti LRT, komuter, ERL, bas dan lain-lain) untuk mengambil kira kos bahan api yang semakin murah dan telah mengurangkan kos operasi pengendali pengangkutan awam

2. Mengekalkan rebat elektrik pada kadar 2.25 sen/kWj dan membatalkan pengurangan rebat kepada 1.52 sen/kWj yang diumumkan baru-baru ini untuk memastikan kos elektrik yang ditanggung rakyat berkadar dengan kejatuhan kos bahan api

Saya juga menunggu reaksi Saudara Khairy Jamaluddin kepada cadangan ini supaya rakyat dapat menilai sama ada beliau benar-benar akan membela kebajikan rakyat dari kenaikan kos yang tidak berpatutan seperti ucapan beliau di Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

LAMPIRAN A

crudedec2015

Harga minyak mentah Brent bagi Disember 2015 (USD setong)

 

exchangeratedec2015

Kadar matawang RM kepada AUD bagi Disember 2015