Category Archives: Kos Sara Hidup @ Barang Naik

Pentadbiran Dato’ Seri Najib Dianggarkan Meluluskan Lebih Banyak Perjanjian Konsesi

Saya merujuk kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Zahid Hamidi semalam yang menyalahkan pentadbiran Perdana Menteri terdahulu seperti Tun Mahathir Mohamad sebagai punca kerajaan terikat dengan perjanjian-perjanjian konsesi yang membebankan rakyat.

Sementara saya bersetuju dengan beliau bahawa banyak perjanjian konsesi lebuhraya dan penjana bebas (IPP) diluluskan oleh pentadbiran Tun Mahathir Mohamad, itu tidak bermakna bahawa pentadbiran sekarang di bawah Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak mampu berbuat apa-apa untuk merundingkan kembali perjanjian-perjanjian itu.

KEADILAN sebelum ini (menjelang Pilihanraya Umum 13) telah mencadangkan langkah-langkah berikut untuk melindungi kepentingan rakyat:

1. Penubuhan sebuah Suruhanjaya Perjanjian Awam (“Public Agreements Commission”) untuk menyemak kembali kesemua perjanjian dengan pihak swasta yang melibatkan kepentingan awam dan memutuskan cadangan-cadangan untuk memastikan kepentingan rakyat lebih dilindungi

2. Berdasarkan laporan dan cadangan Suruhanjaya Perjanjian Awam itu, kerajaan boleh mula merundingkan kembali dengan pemegang-pemegang konsesi ini untuk mengubah perjanjian agar lebih adil kepada rakyat. Apatah lagi sebahagian besar dari syarikat swasta pemegang konsesi ini sama ada dimiliki sepenuhnya oleh badan-badan kerajaan (seperti PLUS dan Prolintas) atau saham syarikat-syarikat ini turut dipegang oleh badan-badan pelaburan kerajaan seperti KWSP, PNB dan lain-lain; sudah tentu ada ruang untuk merundingkan kembali perjanjian-perjanjian konsesi

Cadangan ini tidak sedikit pun diendahkan oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Malah, saya khuatir sekiranya tidak dibendung, pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak sebenarnya akan menganugerahkan lebih banyak perjanjian konsesi yang membebankan rakyat di masa hadap berbanding dengan jumlah perjanjian di bawah pentadbiran Tun Mahathir Mohamad atau Tun Abdullah Badawi.

Umum mengetahui beliau telah menubuhkan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di bawah Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mempermudahkan penswastaan projek-projek kerajaan melalui konsep konsesi ini.

Saya telah mendedahkan sebelum ini bagaimana kampus-kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Kota Samarahan (Sarawak), Pasir Gudang (Johor), Selandar (Melaka), Seremban III (Negeri Sembilan), Puncak Alam (Selangor) dan Tapah (Perak) telah diswastakan melalui perjanjian konsesi selama 23 tahun. Saya juga mendedahkan mengenai rundingan penswastaan Hospital UiTM Puncak Alam melalui konsep konsesi yang dijangka menelan belanja berkali ganda lebih mahal dari kos membinanya.

Itu tidak termasuk perjanjian konsesi bagi lebuhraya-lebuhraya baru seperti EKVE, SUKE, WCE dan lain-lain serta hospital-hospital baru. Malah, kita tidak tahu berapa banyak kemudahan kerajaan seperti balai polis, hospital, markas tentera dan lain-lain yang secara sembunyi telah diswastakan melalui konsep konsesi di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Oleh yang demikian, saya menyeru supaya Dato’ Seri Zahid Hamidi mendedahkan semua penswastaan yang diluluskan sejak Dato’ Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri dan mula mengambil tindakan terhadap perjanjian-perjanjian ini untuk memastikan rakyat di masa hadapan tidak dibebankan dengan bayaran pampasan yang terlampau tinggi kepada pemegang konsesi yang rata-ratanya adalah kroni.

Jika beliau tidak berani mendedahkan perjanjian-perjanjian ini dan mengambil tindakan untuk menghentikan kegilaan menswastakan projek kerajaan melalui konsep konsesi, beliau sewajarnya tidak bercakap mengenai perjanjian-perjanjian konsesi lain yang semuanya diluluskan oleh pentadbiran Umno/Barisan Nasional (tidak kiralah siapa Perdana Menteri ketika itu).

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Pemotongan Rebat ICPT Akan Menyebabkan Bil Elektrik Naik 2% Secara Purata

   

Keputusan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk mengurangkan rebat ICPT (Imbalance Cost Pass-Through) daripada 2.25 sen/kWj sebelum ini kepada 1.52 sen/kWj sebenarnya samalah dengan menaikkan tarif elektrik kerana kesan akhirnya adalah pengguna yang menggunakan elektrik melebihi 300 kWj sebulan (atau melebihi RM77 sebulan) akan menyaksikan kenaikan 2.2% ke atas bil elektrik setiap isirumah.

ICPT adalah rebat yang dikira setiap 6 bulan untuk memastikan sebarang penjimatan atau kenaikan kos operasi penjanaan elektrik ditanggung terus oleh rakyat. Jika ada penjimatan kerana kos bahan api menurun, maka ICPT menjadi rebat yang akan menurunkan bil elektrik. Jika sebaliknya (kos bahan api naik atau kos pembelian elektrik dari penjana bebas meningkat), ICPT menjadi duti tambahan kepada tarif sedia ada.

Dalam 6 bulan yang lepas, TNB telah menyaksikan penurunan kos sebanyak RM1.32 bilion akibat dari pengurangan penggunaan gas asli cecair (LNG), harga arang batu yang lebih murah di pasaran dunia dan operasi stesen janakuasa arang batu yang lebih cekap. Malangnya, penurunan kos ini direncatkan oleh kenaikan kos gas asli sebanyak RM560 juta akibat dari tindakan kerajaan menaikkan harga gas asli yang dijual kepada TNB dari RM15.20 setiap mMBTU kepada RM18.20 setiap mMBTU.

Akibat dari kenaikan kos gas asli itu, penjimatan telah dikurangkan dan rebat ICPT juga telah berkurangan sebanyak 32% (dari 2.25 sen/kWj kepada 1.52 sen/kWj). Ini bermakna setiap unit kWj elektrik selepas ini akan menjadi lebih mahal sebanyak 0.73 sen/kWj atau kenaikan purata 2.2%.

Kedua-dua keputusan iaitu menaikkan kos gas asli dari RM15.20 setiap mMBTU kepada RM18.20 setiap mMBTU dan mengurangkan rebat ICPT sebanyak 32% kepada 1.52 sen/kWj adalah keputusan Kabinet yang dipengerusikan Dato’ Seri Najib Tun Razal sendiri.

Perlu diingatkan bahawa keputusan menaikkan harga gas asli dibuat dalam keadaan harga pasaran minyak mentah dan gas asli dunia semakin turun. Ini bermakna dalam keadaan yang sepatutnya kos penjanaan elektrik semakin turun, kerajaan mengambil keputusan menaikkan harga gas asli semata-mata untuk meneruskan pelaksanaan rasionalisasi subsidi yang menjadi tunjang pentadbiran ekonomi Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Sebab itu sehingga kini rakyat Malaysia tidak menikmati sepenuhnya kebaikan penurunan harga minyak mentah di pasaran dunia. Harga petrol dan diesel kekal mahal kerana kejatuhan matawang ringgit akibat formula penetapan harga yang didasarkan kepada dollar Amerika Syarikat. Kini, kos elektrik yang ditanggung rakyat pula naik gara-gara program penghapusan subsidi yang menyebabkan kos gas asli meningkat walaupun secara umumnya harga minyak mentah dan gas asli semakin menurun di pasaran dunia.

Saya ingin bertanya kepada Saudara Khairy Jamaluddin sama ada beliau hadir dalam kedua-dua mesyuarat Kabinet yang membuat dua keputusan yang menaikkan harga gas asli dan kos elektrik yang ditanggung rakyat. Jika beliau hadir dan bersetuju, maka beliau juga perlu bertanggungjawab dan tidak mencuci tangan kononnya beliau telah bersuara menentang keputusan-keputusan kerajaan yang menyebabkan kenaikan kos sara hidup rakyat.

Tahun 2016 akan terus menyaksikan kenaikan harga barang selagi Dato’ Seri Najib Tun Razak kekal berkuasa.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Kadar Tol Boleh Dikekalkan, Harga Minyak Boleh Diturunkan Lagi

Kenaikan kadar tol (selain dari tambang LRT) di sebahagian besar lebuhraya-lebuhraya utama yang menghubungkan Lembah Klang dengan seluruh negara bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah ia membawa risiko buruk kepada perkembangan ekonomi negara.

Tahun 2015 telah menyaksikan pelbagai dasar dan kenaikan yang meningkatkan beban sara hidup isirumah keluarga Malaysia. Pada 1 April 2015, pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak telah melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang terbukti menaikkan harga barang dan beban cukai kepada rakyat.

Mekanisme penetapan harga minyak yang menghapuskan subsidi dan menggunakan harga rujukan di dalam Dollar Amerika Syarikat (USD) juga merugikan rakyat bila mana harga minyak terus kekal mahal sedangkan harga minyak RON95, diesel dan RON97 di negara-negara lain jatuh secara berkadar dengan harga minyak mentah di pasaran. Harga minyak di Malaysia kekal mahal (malah dinaikkan bulan ini) kerana kegagalan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak mengawal kejatuhan nilai matawang ringgit berbanding USD menjadikan ringgit matawang tercorot di Asia.

Dengan kenaikan kadar tol dan tambang LRT yang bakal berkuatkuasa, setiap isirumah terutamanya di Lembah Klang akan terpaksa membayar lebih. Kos pengangkutan juga akan meningkat di seluruh negara dan akan menaikkan lagi harga barang. Kesannya, pendapatan boleh belanja (disposable income) setiap isirumah di seluruh negara akan berkurangan akibat dasar-dasar ini.

Dalam suasana ekonomi Malaysia yang kurang mendapat keyakinan pelabur antarabangsa (yang telah menarik berbilion ringgit pelaburan keluar dari Malaysia dalam tahun ini), pertumbuhan ekonomi negara lebih banyak bergantung kepada kemampuan rakyat Malaysia berbelanja. Jika kuasa beli pengguna kukuh, kegiatan ekonomi rancak dan ekonomi boleh terus berkembang walaupun sentimen pelabur antarabangsa kurang memberangsangkan.

Sebab itu, kedangkalan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak melonggokkan beban ekonomi negara kepada rakyat sebenarnya tindakan membunuh diri kerana ia membawa risiko melembapkan pertumbuhan ekonomi negara ekoran kurangnya kuasa beli pengguna.

Jawatankuasa Ekonomi Pakatan Harapan sedang memuktamadkan Belanjawan Pakatan Harapan yang akan dilancarkan di sidang Parlimen minggu depan. Salah satu teras utama pendekatan ekonomi Pakatan Harapan yang dikupas ialah langkah-langkah inovatif dan praktikal untuk mengurangkan beban sara hidup rakyat bagi mengekalkan kuasa beli pengguna.

Kami yakin bahawa kadar tol boleh dikekalkan dan harga minyak sewajarnya lebih murah dengan melaksanakan cadangan-cadangan berikut:

MEKANISME MENGEKALKAN KADAR TOL

Alasan yang selalu digunakan oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk menaikkan kadar tol adalah kononnya kerajaan tidak lagi mampu menanggung pampasan yang tinggi kepada pemegang konsesi.

Sebelum ini pun, parti-parti Pakatan Harapan konsisten menegaskan bahawa perjanjian yang berat sebelah dengan pemegang konsesi perlu dirunding semula untuk mengelakkan pampasan yang melampaui batas. Pun begitu, selagi Pakatan Harapan tidak berkuasa di Putrajaya, langkah ini tidak dapat dijalankan.

Oleh yang demikian, satu lagi langkah inovatif dan praktikal yang boleh dilaksanakan segera ialah memberi hak kepada pemegang-pemegang konsesi terbabit untuk mendapat keutamaan terbabit di dalam projek-projek lebuhraya akan datang sebagai pertukaran untuk tidak menaikkan kadar tol.

Hak untuk mendapat keutamaan (sering dirujuk sebagai “first right of refusal”) adalah amalan biasa di dalam perjanjian komersil. Dengan cara ini, pemegang konsesi sedia ada tidak perlu bimbang tentang keuntungan yang berkurangan kerana mereka mempunyai potensi untuk terus terlibat di dalam projek lebuhraya kerajaan yang akan datang dengan syarat perjanjian akan datang ditetapkan secara adil mengikut kadar keuntungan munasabah.

Pakatan Harapan menyeru supaya Menteri Kerja Raya lebih kreatif dalam membela rakyat dan merundingkan semula dengan pemegang konsesi dengan tawaran “first right of refusal” dalam projek lebuhraya akan datang pada kadar keuntungan berpatutan sebagai pertukaran mengekalkan kadar tol sedia ada.

MEKANISME MENURUNKAN HARGA MINYAK

Rakyat Malaysia terus menanggung harga minyak yang mahal akibat dari beberapa kesilapan dan kelemahan pentadbiran ekonomi Dato’ Seri Najib Tun Razak walaupun harga minyak mentah dan minyak siap diproses (“refined products”) kekal murah di pasaran antarabangsa.

Kesilapan pertama ialah apabila formula menetapkan harga bulanan RON95, diesel dan RON97 menggunakan harga rujukan di dalam USD. Formula penetapan harga secara prinsipnya adalah:

Harga RON95 = Kos minyak mentah dan memproses minyak mentah menjadi RON95 + Jaminan keuntungan kepada syarikat minyak dan stesen petrol

Sejak tahun 1980an, kerajaan Barisan Nasional menggunakan harga rujukan dari Singapura di dalam USD untuk menentukan kos minyak mentah dan memproses minyak mentah sedangkan maklumat yang lebih tepat boleh diperolehi terus dari syarikat-syarikat minyak di Malaysia.

Kelemahan kedua ialah kegagalan mentadbir matawang ringgit sehingga ia jatuh merudum berbanding USD. Oleh itu, walaupun harga minyak di dalam USD sebenarnya kekal murah, apabila ia diterjemahkan ke dalam ringgit menggunakan formula, tiba-tiba ia menjadi mahal akibat faktor matawang (bukan kerana harga minyak yang mahal).

Pakatan Harapan menyeru supaya Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan merombak kembali sistem penetapan harga minyak yang menggunakan harga rujukan di dalam USD untuk melindungi rakyat Malaysia dari kesan kejatuhan matawang ringgit akibat kelemahan Barisan Nasional sendiri.

Jawatankuasa Ekonomi Pakatan Harapan akan terus mengeluarkan cadangan-cadangan tuntas menjelang pembentangan Belanjawan Pakatan Harapan minggu depan.

 

JAWATANKUASA EKONOMI PAKATAN HARAPAN

13 OKTOBER 2015

YB Rafizi Ramli

Ahli Parlimen Pandan

YB Ong Kian Ming

Ahli Parlimen Serdang

Dr Dzulkifly Ahmad

Pengarah Strategi AMANAH

     
YB Wong Chen

Ahli Parlimen Kelana Jaya

   

 

 

Harga Minyak RON95, Diesel Dan RON97 Bagi Ogos 2015

Oleh kerana kejatuhan harga minyak mentah dunia kebelakangan ini nampaknya tidak diterjemahkan kepada harga RON95, diesel dan RON97 yang lebih murah, saya telah mengambil keputusan untuk memantau kembali harga RON95, diesel dan RON97 yang ditetapkan oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Sebelum ini di antara Oktober 2014 hingga Mac 2015, saya mengikuti dengan dekat perubahan harga pasaran dunia bagi minyak mentah dan minyak yang telah diproses mengikut gred (iaitu RON95, diesel dan RON97) seperti yang dilaporkan oleh Platts di Singapura.

Harga minyak mentah dunia mengikut harga rujukan Brent telah jatuh sehingga 15% dalam bulan Julai sahaja (iaitu dari USD62 setong di awal Julai 2015 kepada USD53 setong di akhir Julai 2015) seperti berikut:

crudejuly15

Walaupun secara umumnya pola kejatuhan harga ini turut dicatatkan oleh pasaran minyak siap diproses (RON95, diesel dan RON97) Singapura yang dijadikan harga rujukan, kejatuhan harga itu tidak dirasai oleh rakyat Malaysia kerana kejatuhan nilai ringgit. Oleh kerana harga rujukan untuk mengira harga RON95, diesel dan RON97 adalah di dalam Dollar Amerika Syarikat, harga rujukan itu perlu ditukar kepada harga di dalam Ringgit Malaysia terlebih dahulu. Semakin lemah nilai Ringgit Malaysia berbanding Dollar Amerika Syarikat, semakin tinggilah harga RON95, diesel dan RON97 yang dibayar oleh rakyat Malaysia.

Malangnya, nilai Ringgit Malaysia terus menjunam sepanjang bulan Julai 2015 seperti berikut (jatuh dari RM3.735 di awal hingga mencecah RM3.815 di akhir):

ringgit1month

Malah ini meneruskan kejatuhan nilai ringgit sejak setahun lepas seperti berikut (dari sekitar RM3.10 setahun lepas hingga jatuh kepada RM3.80):

ringgit1y

Senarai harga setiap hari mengikut formula yang ditetapkan oleh kerajaan sendiri berdasarkan harga pasaran RON95, diesel dan RON97 sepanjang Julai 2015 seperti yang dilaporkan di Singapura diperincikan di dalam Lampiran.

Download (PDF, 43KB)

Berdasarkan senarai harga harian sepanjang Julai 2015 itu, maka harga bagi RON95, diesel dan RON97 bagi Ogos 2015 adalah seperti berikut:

RON95 – kekal pada harga RM2.15 seliter

Diesel – turun 20 sen dari RM2.05 seliter kepada RM1.85 seliter

RON97 – turun 20 sen dari RM2.55 seliter (termasuk GST) kepada RM2.35 seliter (termasuk GST)

Harga Minyak Ogos-01

Sekiranya harga yang ditetapkan oleh kerajaan berkuatkuasa 1 Ogos 2015 lebih mahal dari harga-harga ini, bermakna kerajaan mengutip cukai tersembunyi dari rakyat kerana harga ditetapkan lebih mahal dari formula yang digunapakai. Sekiranya harga yang ditetapkan adalah lebih murah, bermakna kerajaan memperkenalkan kembali subsidi untuk menurunkan harga minyak.

Untuk mengenalpasti kesan kejatuhan nilai ringgit ke atas harga minyak yang ditanggung rakyat, saya telah membuat satu simulasi mudah untuk menentukan apakah harga RON95 bagi Ogos 2015 sekiranya kadar matawang ringgit berbanding dollar kekal pada paras di bulan-bulan yang lepas. Keputusannya seperti berikut:

Bulan Kadar Matawang Harga RON95
1-Aug-14 3.212 1.86
1-Jan-15 3.495 2.00
1-Feb-15 3.634 2.07
1-Mar-15 3.612 2.06
1-Apr-15 3.699 2.10
1-May-15 3.594 2.05
1-Jun-15 3.693 2.10
1-Jul-15 3.766 2.13

Ini bermakna, sekiranya kadar matawang kekal seperti 1 Ogos 2014, harga RON95 mengikut formula kerajaan sepatutnya hanyalah RM1.86 seliter (berbanding RM2.15 seliter sekarang) pada harga minyak mentah yang sama di pasaran. Tanpa perubahan harga minyak mentah, kejatuhan nilai ringgit dari RM3.212 pada 1 Ogos 2014 kepada RM3.766 pada 1 Julai 2015 telah menyebabkan rakyat terpaksa membayar RON95 pada harga RM2.15 seliter sedangkan harga sebenar hanyalah RM1.86 seliter.

Saya dengan ini menyeru Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang baru untuk melaksanakan perkara berikut dengan segera:

1. Menyiarkan jadual pengiraan harga setiap hari yang digunakan untuk menetapkan harga setiap awal bulan seperti yang saya lakukan ini untuk memastikan tiada cukai tersembunyi yang dikutip dari rakyat

2. Memperkenalkan kembali subsidi sebanyak 30 sen setiap liter yang perlu ditanggung oleh kerajaan untuk mengembalikan harga minyak RON95, diesel dan RON97 kepada harga sebenar mengikut harga pasaran iaitu RM1.85 seliter (bagi RON95). Ini penting untuk mengimbangi kesan kejatuhan nilai ringgit yang kini menjadi bebanan utama kepada rakyat

Saya akan terus memantau harga minyak dan pasaran minyak mentah dan mengumumkan harga mengikut formula pada setiap akhir bulan untuk memastikan ketelusan penetapan harga RON95, diesel dan RON97.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Harga Minyak Sepatutnya Turun, Kadar Matawang Yang Rendah Membebankan Rakyat

Keputusan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk menaikkan harga minyak sebanyak 10 sen bagi RON95 dan 20 sen bagi RON97 menunjukkan jemaah menteri yang ada sudah terpisah sepenuhnya dari suara hati rakyat di bawah. Kenaikan harga minyak ini berlaku pada kala rakyat sudah pun terbeban dengan kenaikan harga barang terutamanya akibat GST.

MinyakNaik-KembaliSubsidi-01

Semakan harga minyak mentah dunia bagi sepanjang bulan Jun 2015 menunjukkan penurunan dari harga sekitar USD66 setong pada awal Jun kepada harga sekitar USD62 setong di akhir Jun. Semakan harga RON95 yang dipadankan kepada harga minyak mentah juga menunjukkan bahawa harga RON95 ditetapkan pada RM1.70 seliter bagi Februari 2015 pada kala harga minyak mentah dunia sekitar USD60 setong.

Ini bermakna apabila harga minyak mentah dunia menurun ke arah paras USD60 setong seperti yang berlaku di akhir Jun, harga RON95 sepatutnya diturunkan ke arah paras RM1.70 seliter. Sebaliknya, pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak menaikkan harga RON95 yang bertentangan dengan paras harga minyak mentah dunia.

Saya telah berulang-ulang kali menegaskan bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak mesti menangani masalah kejatuhan nilai matawang ringgit berbanding dollar Amerika Syarikat dengan segera dan berkesan kerana kejatuhan itu membebankan rakyat melalui 2 cara iaitu:

1) Harga barang import akan meningkat terutamanya makanan mentah kerana negata masih banyak bergantung kepada import

2) Rakyat tidak akan dapat menikmati harga minyak yang murah hasil dari paras harga minyak mentah yang rendah di pasaran dunia kerana nilai matawang ringgit yang rendah

Walaupun bukan faktor yang paling dominan, kejatuhan nilai matawang ringgit menyebabkan rakyat Malaysia menjadi mangsa menanggung harga petrol dan diesel pada harga yang lebih tinggi. Kegagalan menangani kejatuhan nilai matawang ringgit ini adalah tanggungjawab Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Kewangan.

Sebagai Menteri Kewangan, Dato’ Seri Najib Tun Razak juga telah membuat beberapa keputusan percukaian yang menambah beban kepada rakyat. Saya telah dedahkan di awal tahun 2015 bagaimana pentadbiran beliau mengenakan cukai tersembunyi ke atas petrol dan diesel sehingga mengutip anggaran RM2 bilion dalam tempoh 3 bulan. Sejak 1 April 2015 pula, beliau mengenakan cukai GST ke atas setiap rakyat dan sebanyak RM6 bilion telah dikutip dalam tempoh 2 bulan. Ini bermakna cukai-cukai yang dikutip dari setiap rakyat bagi pembelian petrol, diesel dan barang keperluan bagi tempoh 6 bulan pertama tahun ini telah melebihi RM10 bilion.

Oleh sebab itu saya mengulangi gesaan saya sebelum ini bahawa kerajaan perlu mengekalkan subsidi minyak, kalau pun dalam bentuk yang berbeza dari amalan sebelum ini. Saya telah mencadangkan sebelum ini bahawa kerajaan perlu memberi subsidi sekurang-kurangnya 30 sen seliter bagi mengambil kira perubahan kadar matawang dan faktor-faktor lain. Anggaran saya jika subsidi 30 sen seliter bagi setiap pembelian petrol atau diesel ini diperkenalkan, Kerajaan Persekutuan menanggung sekitar RM7 bilion subsidi setahun. Jika ia diperkenalkan bermula Ogos 2015 ini, jumlah tanggungan Kerajaan Persekutuan bagi tahun ini hanyalah RM3 bilion berbanding lebih RM10 bilion yang telah dikutip dalam bentuk cukai petrol dan GST yang telah dikutip dalam tempoh 6 bulan pertama tahun ini.

Ini bermakna Kerajaan Persekutuan ada kemampuan kewangan untuk menampung subsidi 30 sen seliter ini dan rakyat berhak mendapatkannya kerana rakyat telah membayar cukai tambahan yang tinggi sejak awal tahun ini.

Saya juga akan memfailkan rang undang-undang persendirian untuk mewujudkan satu Tabung Penstabilan Harga Minyak di Parlimen dalam sesi akan datang. Mekanisme tabung seperti ini sudah menjadi keperluan mendesak kerana keengganan Dato’ Seri Najib Tun Razak mengekalkan subsidi minyak. Saya menyeru supaya rakan-rakan Ahli Parlimen dari Barisan Nasional juga menyokong rang undang-undang persendirian ini kerana ia menyentuh kebajikan rakyat terbanyak.

Saya juga akan duduk dengan pelbagai kumpulan termasuk NGO untuk menggerakkan satu kempen mendesak agar subsidi minyak dikembalikan. Saya yakin Dato’ Seri Najib Tun Razak hanya takut dengan gelombang bantahan rakyat dan jika bantahan itu jelas, beliau akan terpaksa mengembalikan subsidi minyak untuk meringankan beban rakyat.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN