Category Archives: Kos Sara Hidup @ Barang Naik

Kajiselidik Taman Tugu: 95% Dari Responden Tidak Bersetuju Dengan Taman Tugu, 56 Sukarela Mendaftar

Saya sertakan hasil kajiselidik untuk mengukur sentimen awam mengenai cadangan menaiktaraf Taman Tugu yang dianggarkan bernilai RM650 juta.

survey1

survey2

survey3

survey4

survey5

survey6

Setakat hari ini, kajiselidik itu telah disertai oleh 1,049 responden dan keputusannya disertakan di lampiran. Seramai 56 orang telah mendaftar sebagai sukarelawan untuk menyertai pasukan penyelidik kos yang terdiri dari jurutera, juru ukur bahan, arkitek dan lain-lain.

Dengan 95% dari responden tidak bersetuju dengan cadangan ini dan 95% dari responden yang telah membaca penjelasan Tan Sri Azman Mokhtar juga tidak yakin dengan penerangan tersebut, saya percaya mesej itu jelas bahawa rakyat menolak projek Taman Tugu ini.

Langkah saya yang seterusnya pada hari ini adalah seperti berikut:

1. Menulis secara rasmi kepada Tan Sri Azman Mokhtar untuk mengemukakan dapatan kaji selidik ini

2. Memohon satu perbincangan rasmi di antara ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan dan wakil dari pasukan penyelidik kos

3. Menyatakan kesediaan kami untuk menandatangani non-disclosure agreement (perjanjian kerahsiaan) untuk membolehkan kami meneliti secara terperinci skop kerja untuk membuat anggaran yang bebas

4. Mendapatkan maklumbalas awam untuk membangunkan satu cadangan naiktaraf alternative yang tidak menelan belanja sedemikian rupa untuk dikemukakan kepada Khazanah

Saya percaya Tan Sri Azman Mokhtar prihatin dengan pandangan umum terhadap Khazanah dan menyampaikan perkara ini kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak, sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Khazanah.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Keputusan Benarkan Pemaju Memberi Pinjaman Perumahan: Membunuh Ekonomi, Membunuh Rakyat, Risiko Menjadi Sumber Dana PRU14 Terlalu Tinggi

090916-cadangan-noh-omar-01

Belum pun kejutan dari pengumuman membelanjakan RM650 juta untuk menaiftaraf Taman Tasik Perdana luntur, pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak membuat satu lagi kejutan baru yang lebih tidak masuk akal. Kali ini kejutan dibuat oleh Dato’ Seri Noh Omar, Menteri Perumahan dan Kesejahteraan Bandar yang mengumumkan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk meluluskan lesen memberi pinjaman perumahan kepada pemaju-pemaju besar seperti Kumpulan Sunway, EcoWorld, Mah Sing dan Glomac.

Pengumuman ini dibuat tanpa ada sebarang perbincangan awam dengan “pihak yang berhak” (stakeholders) terutamanya golongan pembeli, para ekonomi, sektor kewangan apatah lagi Ahli Parlimen. Saya tidak pernah mendengar sekali pun dalam masa setahun yang lepas pimpinan Bank Negara Malaysia membuat kenyataan mengenai perkara ini sedangkan ia membawa perubahan paling besar kepada sektor kredit perumahan yang dikawalselia oleh Bank Negara Malaysia.

Mengambil kira pengumuman sebelum ini seperti menaiktaraf Taman Tasik Perdana berjumlah RM650 juta, saya semakin cenderong mengesyaki bahawa keputusan-keputusan yang membawa risiko kewangan besar kepada rakyat dan negara ini bukanlah keputusan berhubung pertimbangan dasar (not driven by policy framework) tetapi satu skim untuk mendapatkan dana Pilihanraya Umum 14 (PRU14) Barisan Nasional.

Saya telah nyatakan secara terbuka analisa saya bahawa satu-satunya faktor yang mengekang Dato’ Seri Najib Tun Razak memanggil PRU14 lebih awal ialah kekurangan dana memandangkan apa-apa dana yang diselewengkan dari 1MDB kini dibekukan di negara-negara lain. Dengan belanja PRU yang mencecah beberapa billion ringgit, Dato’ Seri Najib Tun Razak dan kepimpinan Umno mesti mencari sumber baru.

Membenarkan pemaju besar menawarkan khidmat memberi pinjaman kepada pembeli samalah seperti memberikan lesen institusi kewangan kepada pemaju-pemaju besar ini. Kalau pada awalnya sebuah anak syarikat ditubuhkan hanya untuk memberikan pinjaman perumahan kepada pembeli rumah dari kumpulan pemaju itu, lama-kelamaan hartawan besar yang memiliki kumpulan pemaju ini boleh sahaja melobi supaya lesen mereka diperluaskan untuk berfungsi sebagai sebuah bank.

Lesen membuka institusi kewangan atau bank di negara ini adalah cukup berharga kerana selepas krisis kewangan 1997/98, dasar penggabungan institusi kewangan menghadkan bank kepada beberapa kumpulan besar sahaja demi mengelakkan risiko bank kecil yang bermasalah mencetuskan wabak kewangan yang berjangkit. Sejak proses penggabungan itu selesai lebih 15 tahun lalu, tidak ada satu kumpulan perbankan baru pun yang dibenarkan.

Saya khuatir keputusan Kerajaan Pusat ini adalah jalan belakang ke arah itu dan sebagai balasan, kumpulan pemaju besar yang diberikan lesen perlu “menderma” sejumlah yang besar kepada Barisan Nasional. Jika satu lesen menarik derma sebanyak RM100 juta (iaitu jumlah yang kecil bagi satu lesen institusi kewangan), 5 lesen mampu menarik “derma” politik sehingga RM500 juta.

Saya lebih rela dibuktikan salah dan disaman di mahkamah jika pertanyaan saya ini dianggap fitnah daripada membenarkan perkara ini diteruskan kerana kesannya (selain dari rasuah politik) adalah terlalu besar kepada rakyat.

Saya senaraikan 3 risiko terbesar yang akan membunuh rakyat dan membunuh ekonomi jika perkara ini diteruskan:

1. Risiko kewangan “sub-prime” – membenarkan pemaju untuk memberikan pinjaman perumahan kepada peminjam yang tidak layak (mengikut peraturan kredit Bank Negara Malaysia) kerana pendapatan mereka tidak padan dengan ansuran bulanan adalah satu tindakan membina portfolio peminjam tidak boleh bayar.

Apatah lagi kadar faedah yang dikenakan iaitu 12% hingga 18% adalah lebih tinggi dari kadar kad kredit dan menjadikan kebarangkalian peminjam tidak boleh membayar balik adalah terlalu tinggi. Fenomena membenarkan peminjam yang tidak layak mendapat pembiayaan perumahan pada kadar faedah yang tinggi inilah yang dirujuk sebagai “sub-prime” yang pernah berlaku di Amerika Syarikat hinggalah skim itu runtuh dalam tahun 2008.

Akibat krisis “sub-prime” di Amerika Syarikat, seluruh ekonomi dunia merudum dan kesannya belum dipulihkan sepenuhnya di beberapa negeri/bandar di Amerika Syarikat terutamanya di Detroit.

2. Melesenkan “Along” dan meluaskan riba’ – kadar 12% hingga 18% yang diumumkan oleh Dato’ Seri Noh Omar adalah kadar pinjaman yang ditawarkan oleh Along. Kadar itu juga adalah satu bentuk penghambaan kewangan kerana keuntungan yang diambil oleh pemberi pinjaman adalah berlipat kali ganda hingga membunuh kelangsungan ekonomi peminjam.

Mana-mana peminjam yang mengambil pembiayaan rumah pada kadar ini samalah seperti menjadi hamba kepada pemberi pinjaman sehingga ke akhir hayat kerana jumlah bayar balik adalah di antara 4 – 6 kali ganda dari jumlah yang dipinjam.

3. Lebih ramai rakyat yang tidak mampu memiliki rumah – Memberi lesen kepada pemaju memberi pembiayaan pada kadar along bermakna Kerajaan Persekutuan langsung tidak mengambil hirau bahawa harga rumah yang dipacu oleh pemaju-pemaju terbesar ini adalah diluar kemampuan rakyat terutamanya di bandar-bandar besar yang dimonopoli mereka.

Dengan lesen memberi pinjaman ini, lebih banyak projek perumahan diluar kemampuan rakyat yang akan dibangunkan dan pilihan rumah mampu milik semakin berkurangan dengan alasan pembeli kini boleh meminjam 100%. Akibatnya pemaju kecil akan gulung tikar kerana hanya pemaju besar yang ada lesen yang mampu bersaing dan pada masa yang sama harga rumah akan terus naik mencanak.

Sebelum ini saya jarang memberi komentar mengenai perumahan kerana ia lebih wajar dibela oleh ahli parlimen lain memandangkan saya sudah banyak mengendalikan isu-isu ekonomi lain.

Walau bagaimana pun, keputusan Kerajaan Persekutuan kali ini adalah keputusan paling gila saya mengenai perumahan dan kewangan negara yang pernah saksikan sejak saya menjadi ahli parlimen.

Oleh itu, saya akan mengikuti dengan dekat isu ini dan akan mula menghuraikan dengan terperinci mengenai masalah perumahan rakyat bermula minggu depan.

Saya juga akan berusaha agar risiko-risiko akibat dari keputusan memberi lesen pembiayaan kepada pemaju besar ini difahami rakyat secepat mungkin dan diterjemahkan menjadi bantahan segera agar keputusan tersebut dibatalkan serta merta.

Saya akan mula menyiarkan satu video ringkas menerangkan perkara ini kepada orang ramai petang ini dan sasaran saya agar ia ditonton 500,000 orang dalam masa seminggu. Video itu akan disiarkan di laman Facebook Page https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan/

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Dua Orang Menteri Mengaku Secara Tidak Sengaja Kerajaan Persekutuan Langgar Formula Penetapan Harga Minyak Dan Mengesahkan Cukai Tersembunyi

Kritikan saya mengenai kaedah penetapan harga minyak RON95, RON97 dan diesel yang dimanipulasi oleh Kerajaan Persekutuan untuk kepentingan politik akhirnya mendapat sahutan dua orang menteri sekaligus.

Saya rujuk kepada laporan Awani bertarikh 3 Ogos 2016 berikut: http://english.astroawani.com/business-news/no-hidden-tax-retail-oil-prices-112903

Dari laporan berita tersebut, kita boleh simpulkan bahawa Menteri Kewangan II Dato’ Johari Abdul Ghani mengakui bahawa sebelum ini pun Kerajaan Persekutuan tidak mengikut formula dalam menetapkan harga minyak bagi bulan Jun dan Julai 2016. Beliau berkata sepatutnya harga bagi bulan Julai 2016 dinaikkan sebanyak 10 sen hingga 15 sen tetapi Kerajaan Persekutuan hanya menaikkan sebanyak 5 sen.

Ini pengakuan terbuka bahawa memang telah menjadi amalan Kerajaan Persekutuan untuk tidak mengikut formula penetapan harga yang ditetapkan sendiri sedangkan rakyat dimaklumkan bahawa harga ditetapkan mengikut harga pasaran purata. Apabila rakyat diberitahu begitu, setiap kali kenaikan harga diumumkan Dato’ Seri Najib Tun Razak akan mencuci tangan seolah-olah beliau tidak kena mengena dengan kenaikan tersebut.

Sedangkan keputusan menaikkan harga atau mengekalkan harga pada ketika harga pasaran purata mengikut formula adalah lebih rendah (seperti bagi bulan Ogos 2016; harga mengikut formula adalah RM1.65 tetapi Kerajaan Persekutuan mengekalkannya pada RM1.75) adalah satu bentuk pencukaian secara tersembunyi yang mendatangkan hasil lumayan kepada Kerajaan Persekutuan. Anggaran saya bagi bulan Ogos 2016, Kerajaan Persekutuan akan mengutip RM142 juta dari cukai tersembunyi ini.

Manipulasi harga yang melanggar formula harga yang diumumkan sebenarnya memberi keuntungan politik kepada Barisan Nasional. Walaupun Dato’ Johari memberi alasan harga minyak tidak dinaikkan seperti yang ditetapkan oleh formula bagi bulan Julai 2016 kononnya untuk meringankan beban rakyat di bulan Ramadhan dan dalam membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri, sebab sebenarnya ialah sensitiviti rakyat akibat dua pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang berlangsung.

Harga minyak bagi Jun 2016 diumumkan pada 31 Mei 2016 iaitu pada ketika rakyat sudah tahu mengenai dua pilihanraya kecil tersebut, maka Kerajaan Persekutuan bermain politik dengan tidak mengikut formula kerana bimbang dengan kemarahan rakyat jika dinaikkan.

Harga minyak bagi Julai 2016 pula diumumkan pada 30 Jun 2016 iaitu tidak sampai dua minggu keputusan dua pilihanraya kecil itu. Menaikkan harga mengikut formula akan mengundang kemarahan rakyat kerana itu mengesahkan bahawa harga minyak sengaja tidak dinaikkan mengikut formula untuk mengelakkan kesannya kepada dua pilihanraya kecil tersebut.

Malah semakan saya dan rakan-rakan dari industri minyak yang membantu saya memantau perkara ini mengesahkan bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak pun teragak-agak menaikkan harga minyak di bulan Ramadhan 2015. Padahal keadaannya lebih buruk bagi rakyat ketika itu kerana kenaikan harga minyak itu datang berganda dengan pelaksanaan GST yang baru sebulan dilaksanakan.

Jadual berikut menunjukkan senarai harga minyak yang diumumkan sejak 2015 iaitu harga minyak tetap dinaikkan semasa Ramadhan dan Aidilfitri (Jun 2015 dan Julai 2015); lalu membuktikan bahawa Ramadhan dan Aldilfitri bukanlah pertimbangan sebenar seperti alasan yang diberikan oleh Dato’ Johari:

ron95for2016

Seorang lagi menteri iaitu Dato’ Seri Hamzah Zainuddin (Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) terus mengiyakan dakwaan beliau sendiri iaitu beliau tidak tahu apabila komen beliau hanyalah saya tidak merungut apabila harga turun. Maklumbalas begini dari seorang menteri tidak layak dilayan lagi.

Pengakuan terbuka Dato’ Johari Abdul Ghani bahawa harga minyak sebelum ini ditetapkan sesuka hati pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak mengikut keperluan politik bermakna risiko rakyat dicukai secara tersembunyi adalah besar. Jika ini berterusan, rakyat akan terus menjadi mangsa kerana pada kala rakyat beranggapan harga minyak tidak ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan, rakyat pula membayar cukai kepada kerajaan tanpa mereka ketahui.

Ini situasi “rompak-rompak” yang memberi keuntungan seratus peratus kepada Barisan Nasional.

Oleh itu, saya mendesak supaya Kementerian Kewangan menerbitkan jadual harga pasaran purata secara mingguan supaya rakyat boleh mengira sendiri harga minyak yang ditetapkan oleh formula. Hanya dengan rakyat yang ramai mengetahui berapa harga minyak sebelum ia diumumkan, barulah Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak berani menggunakan penetapan harga minyak sebagai senjata politik untuk kepentingan Barisan Nasional seperti sebelum ini.

Jika Dato’ Johari Abdul Ghani enggan berbuat demikian, saya sendiri akan menyediakan satu kira-kira harga minyak yang dikemaskini setiap minggu dengan harga pasaran terbaru untuk menjadi sumber rujukan rakyat keseluruhannya. Daripada rakyat mengambil maklumat dari saya, adalah lebih baik Kerajaan Persekutuan menyiarkan jadual harga mingguan itu untuk mengelakkan berlakunya lagi pencukaian tersembunyi seperti yang berlaku sekarang.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Rakyat Dicukai Lagi Kerana Harga Minyak Ogos 2016 Tidak Ikut Formula Yang Ditetapkan Kerajaan

080161 Tak Turun Harga Minyak_1

Sejak pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak mengapungkan harga minyak petrol (RON95 dan RON97) dan diesel mengikut harga pasaran, harga yang ditetapkan boleh dikira sendiri oleh orang ramai dengan merujuk kepada laporan harga pasaran terkini. Formula kiraan bagi RON95 contohnya adalah mudah iaitu:

mopsformula

Sejak Julai 2015, saya telah mengira sendiri harga RON95 yang sepatutnya mengikut formula apungan yang diumumkan oleh kerajaan sendiri untuk memastikan kerajaan tidak mencukai rakyat secara diam-diam. Jika harga yang ditetapkan adalah lebih tinggi dari harga apungan mengikut formula di atas, itu bermakna kerajaan mencukai rakyat secara senyap-senyap.

Saya boleh memaklumkan bahawa kiraan mengikut formula harga apungan bagi bulan Ogos 2016 (menggunakan harga pasaran purata dan kadar tukaran purata sepanjang Julai 2016) menunjukkan bahawa harga RON95 sepatutnya turun lagi sebanyak 10 sen seperti di dalam jadual di bawah:

july2016

Walau bagaimana pun, harga di stesen minyak seperti yang diarahkan oleh kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menunjukkan harga RON95 kekal pada RM1.75 seliter.

Ini bermakna sepanjang bulan Ogos 2016, rakyat Malaysia akan membayar 10 sen cukai bagi setiap liter RON95 yang dibeli. Saya percaya keadaannya sama bagi RON97 dan diesel walaupun saya tidak melakukan kiraan bagi kedua-dua jenis minyak itu.

Dengan anggaran penggunaan minyak tahunan sebanyak 17 bilion liter berdasarkan laporan Agensi Tenaga Antarabangsa (EIA) bagi tahun 2011 (iaitu anggaran yang konservatif kerana penggunaan minyak tahunan meningkat berkadar dengan jumlah kenderaan), cukai 10 sen setiap satu liter bersamaan dengan anggaran kutipan cukai RM142 juta bagi bulan Ogos 2016 ini.

Saya percaya cukai RM142 juta ini dikutip bagi menampung subsidi yang ditanggung oleh kerajaan bagi bulan Mei 2016 dan Jun 2016 apabila kerajaan menetapkan harga minyak yang lebih rendah dari harga apungan mengikut formula kerana dua pilihanraya penting yang berlaku iaitu Pilihanraya Negeri Sarawak (Mei 2016) dan Pilihanraya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar (Jun 2016).

Tindakan menetapkan harga mengikut kepentingan politik Perdana Menteri dan Barisan Nasional adalah melampau apabila Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri mengumumkan bahawa kerajaan akan menetapkan harga mengikut harga pasaran. Sebaliknya yang berlaku harga minyak ditetapkan mengikut kesesuaian dan kepentingan beliau sendiri.

Jika ini berterusan, ia bermakna rakyat boleh sahaja dicukai secara senyap-senyap pada masa ia menguntungkan Barisan Nasional dan kutipan cukai itu dibelanjakan pula pada ketika kempen pilihanraya untuk memastikan Barisan Nasional mendapat kelebihan berganda berbanding pembangkang.

Saya mendesak supaya KPDNKK menyiarkan secara terperinci jadual kiraan sejak dasar apungan harga mengikut pasaran ini dilaksanakan untuk membolehkan rakyat menilai berapa banyak cukai yang telah dikutip secara diam-diam.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

PRK Kuala Kangsar Dan Sungai Besar: Pengundi Diberi Pilihan Mengekalkan GST/Beban Hidup Atau Melaksanakan Ekonomi Rakyat; Dedah Satu Lagi Skandal Pembaziran Barisan Nasional

060716 GST & Subsidi_Sg Besar

Saya kesal dengan kenyataan Tan Sri Wahid Omar, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang pada akhir khidmatnya pun masih lagi mempertahankan dasar-dasar yang dilaksanakan Dato’ Seri Najib Tun Razak yang terbukti membebankan rakyat. Tan Sri Wahid Omar dilaporkan berkata tindakan melaksanakan GST dan memotong subsidi adalah tepat kerana ia mengukuhkan ekonomi negara.

Saya menentang pemotongan subsidi yang bermula dari tahun 2010 pada awal penggal Dato’ Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri pada ketika beliau masih popular dengan rakyat kerana tindakan itu (memotong subsidi) memangsakan rakyat termiskin. Tanggungjawab sebuah kerajaan ialah membela golongan paling dhaif (“most vulnerable group”) dengan memastikan ekonomi berkembang secara adil; bukannya memotong peruntukan orang miskin untuk membayar hutang yang gagal dibayar orang kaya.

Atas dasar ini juga saya lantang menentang GST. Cukai ini menjadi satu perkara yang zalim kerana fakir miskin dipaksa membayar cukai yang sama dengan orang kaya untuk menutup lubang hutang kerajaan dek kerakusan orang-orang kaya elit membolot kekayaan negara.

Kenyataan Tan Sri Wahid Omar mengesahkan bahawa selagi Umno/Barisan Nasional menjadi kerajaan persekutuan, dasar-dasar yang menekan orang miskin demi membela orang kaya seperti pemotongan subsidi dan GST akan terus dilaksanakan kerana Umno/Barisan Nasional telah lama menjadi parti yang dikuasai orang-orang kaya elit.

Sebab itulah pilihanraya kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar kali ini sebenarnya menjadi medan untuk rakyat memilih satu dari dua sistem ekonomi yang jelas bertentangan:

i. Memilih Barisan Nasional bermakna pengundi Kuala Kangsar dan Sungai Besar memilih untuk mengekalkan sistem ekonomi yang pro orang kaya dan menekan rakyat terbanyak melalui GST, menghapuskan subsidi, memotong pembiayaan pendidikan rakyat dan lain-lain; atau

ii. Memilih Pakatan Harapan bermakna pengundi Kuala Kangsar dan Sungai Besar memilih untuk menghapuskan sistem ekonomi Barisan Nasional tadi dan memperkenalkan sistem ekonomi baru yang pro-rakyat (bermaksud menghapuskan GST, memberi subsidi kepada yang memerlukan, mendemokrasikan pendidikan dengan menawarkan pendidikan bermutu pada kos yang minima).

Bermula dari esok (Rabu, 8 Jun 2016) sehingga hari pengundian, saya akan berada di Kuala Kangsar atau Sungai Besar setiap hari untuk memastikan pengundi Kuala Kangsar dan Sungai Besar membuat pilihan berdasarkan pertimbangan bebanan rakyat yang saya hurai tadi.

Untuk memastikan pengundi Kuala Kangsar dan Sungai Besar tidak lupa bahawa kerajaan Barisan Nasional mengutip cukai GST dari rakyat sedang pembesar negara terus bermewah, mulai esok (Rabu, 8 Jun 2016) saya akan memulakan siri pendedahan yang baru. Saya pasti apabila rakyat mendapat tahu tentang satu lagi pembaziran melampau yang berlaku, ia akan dapat meyakinkan rakyat bahawa pilihan yang ada hanyalah menukar kerajaan persekutuan dengan mengundi calon Pakatan Harapan.

Saya akan mulakan siri pendedahan bersempena dengan PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar ini pada jam 12 tengahari di Bilik Operasi Utama Amanah/Pakatan Harapan di Kuala Kangsar. Pendedahan ini akan berterusan setiap hari sehinggalah hari-hari terakhir kempen.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN