Category Archives: KEADILAN

Pemilihan 2010: Adab Bersaing Dalam Jamaah

Saya diminta memberi komen mengenai beberapa perkembangan terbaru kempen pemilihan parti bagi sessi 2010 – 2013, kebetulan saya berada di Kemaman untuk majlis hari raya kecil-kecilan untuk ahli-ahli cabang Kemaman.

Pandangan saya mudah – rakyat sedang memerhatikan kita. Kita juga perlu faham bahawa musuh kita yang lebih besar adalah diluar sana, jadi tindak tanduk kita akan dimanipulasi untuk melemahkan kita. Sebab itu saya selalu meminta rakan-rakan supaya menumpukan perhatian kepada perbincangan dasar dan program, bukan yang berbentuk peribadi.

Saya juga mohon supaya kita kurangkan politiking yang berlebihan – pelbagai rundingan senyap-senyap yang kadang-kadang boleh dikira sebagai menikam kawan dari belakang (di depan kita mengaku bersama, di belakang lain katanya).

Pokoknya rakyat sedang memerhatikan kita. Kalau kita berjaya melalui pemilihan satu ahli satu undi ini dengan tenang, beradab, mencerminkan kematangan – keyakinan rakyat akan bertambah.

Tetapi kalau kita kurang berhemah dan tidak berfikir panjang dalam menyerang peribadi masing-masing, maka rakyat akan tawar hati dan musuh kita akan ambil kesempatan itu untuk menyerang kita pula.

Dalam apa-apa persaingan, adab berjamaah jangan dilupakan.

Generasi Reformasi Menjemput Semua Calon AMK Bersama-Sama Turun Padang Menyuburkan Demokrasi

Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada anggota Keadilan, pihak media dan orang ramai yang memberikan pelbagai reaksi positif sejak pengumuman kami menawarkan diri untuk jawatan-jawatan tertinggi Angkatan Muda Keadilan Pusat pada 1 September 2010.

Selepas mendapat isyarat yang jelas bahawa usaha menyuburkan demokrasi dan menguatkan parti ini diterima baik, Generasi Reformasi akan turun berjumpa ahli-ahli dan pimpinan AMK di peringkat akar umbi di setiap negeri melalui program Roadshow Generasi Reformasi.

Roadshow Generasi Reformasi yang pertama akan diadakan di Kelab Darul Ehsan, Ampang pada hari Khamis 23 September 2010 bermula jam 830 malam. Selain bertemu anggota dan menjawab pertanyaan, barisan Generasi Reformasi juga akan membentangkan manifesto dan pelan rancangan menyuntik dinanisme AMK sepanjang program-program ini di seluruh Malaysia.

Bagi menjamin proses pemilihan ini berlaku dengan adil dan tidak menindas mana-mana pihak, Generasi Reformasi memilih untuk menganjurkan sendiri keseluruhan program ini tanpa melibatkan apa-apa premis atau kemudahan parti. Jentera kami juga akan menghubungi secara peribadi seberapa ramai anggota AMK di setiap kawasan yang kami akan kunjungi untuk memastikan seramai mungkin anggota AMK turut serta dalam proses pemilihan bersejarah ini.

Oleh itu, kami mengambil kesempatan ini untuk menjemput mana-mana anggota AMK yang ingin atau telah menawarkan diri untuk bertanding jawatan-jawatan Pusat untuk menggunakan kemudahan roadshow yang telah disediakan ini dan bertemu dengan anggota-anggota akar umbi, sebagai sebahagian dari usaha kita menyuburkan demokrasi. Kehadiran calon yang ramai, walaupun berbeza pendekatan dan gaya, akan memberi peluang kepada anggota membuat pilihan yang terbaik.

Selepas Kelab Darul Ehsan, kami akan bertemu anggota-anggota di Hotel Hill City, Ipoh pada 26 September dan Hotel Grand Continental, Kuantan pada 28 September.

Jadual Roadshow Generasi Reformasi adalah seperti berikut mengikut negeri-negeri:

TARIKH NEGERI TEMPAT MASA
23 Sep Selangor Kelab Darul Ehsan, Ampang 830 malam
26 Sep Perak Hotel Hill City, Ipoh 830 malam
28 Sep Pahang Hotel Grand Continental, Kuantan 830 malam
29 Sep Selangor Shah Alam (tempat akan diumumkan kelak) 830 malam
1 Okt Melaka Bandar Hilir (tempat akan diumumkan kelak) 830 malam
2 Okt Sabah Kota Kinabalu I (tempat akan diumumkan kelak) 830 malam
3 Okt Sabah Kota Kinabalu II (tempat akan diumumkan kelak) 200 petang
5 Okt Selangor Subang (tempat akan diumumkan kelak) 830 malam
6 Okt Negeri Sembilan Seremban (tempat akan diumumkan kelak) 830 malam
13 Okt Kuala Lumpur Kelab Sultan Sulaiman (akan disahkan kelak) 830 malam
14 Okt Johor Batu Pahat (tempat akan diumumkan kelak) 830 malam
16 – 17 Okt Sarawak Kuching (tempat akan diumumkan kelak) 830 malam
18 Okt Selangor Rawang (tempat akan diumumkan kelak) 830 malam
19 Okt Perak Hutan Melintang (tempat akan diumumkan kelak) 830 malam
20 Okt Kuala Lumpur Bandar Tun Razak (tempat akan diumumkan kelak) 830 malam
22 Okt Kedah Alor Setar (tempat akan diumumkan kelak) 830 malam
23 Okt Pulau Pinang Bayan Baru (tempat akan diumumkan kelak) 200 petang
29 Okt Terengganu Kuala Terengganu (tempat akan diumumkan kelak) 830 malam
30 Okt Kelantan Kota Bharu (tempat akan diumumkan kelak) 200 petang

Tempat dan masa akan dikemaskini dari semasa ke semasa dan diumumkan kepada anggota.

Kami mengalu-alukan perdebatan yang sihat dan menyeru seluruh anggota AMK untuk hadir bersama-sama supaya calon-calon yang menawarkan diri boleh dinilai dari segi kemampuan, visi dan karisma masing-masing.

Program roadshow yang terbuka dengan jemputan kepada calon-calon lawan ini adalah satu lagi inovasi demokrasi yang cuba kami bawa dan suburkan di dalam Keadilan dan Malaysia amnya.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Saudara Saifullah Zulkifli, calon EXCO AMK Pusat yang bertanggungjawab sepenuhnya mengendalikan Roadshow Generasi Reformasi di 0133005461 atau [email protected]

MOHD RAFIZI RAMLI

Calon Ketua Angkatan Muda

Parti Keadilan Rakyat

22 September 2010

Bagi pihak Generasi Reformasi

YB AMIRUDIN SHARI, CALON TIMBALAN KETUA

YB SIM TZE TZIN, CALON NAIB KETUA

YB KESAVAN SUBRAMANIAM, CALON NAIB KETUA

Sekadar Cadangan (Yang Tidak Sempat Dibentangkan!)

Saya sempat menyentuh semasa Debat Perdana tempoh hari mengenai 3 landasan utama yang dibawa rakan-rakan di dalam Generasi Reformasi untuk menyuntik dinanisme baru kepada AMK, seperti berikut:

  • Imej dan pendekatan AMK perlu berorientasikan kehendak pengundi muda di luar – bawa dan perjuangkan isu-isu mendesak anak muda ke arus perdana & menjadi teras utama dasar parti . “Bawa” & “perjuangkan” bukan bermakna demonstrasi dan memorandum semata-mata, tetapi meyakinkan rakyat melalui hujah berhemah bahawa kita ada jalan penyelesaian kepada masalah-masalah ini.

  • Pentadbiran & organisasi yang mantap dan kukuh – kawasan2 parlimen & DUN yang menjadi target kita perlu mempunyai jentera AMK yang kukuh dan tersusun, seluruh negara perlukan kekuatan yang luar biasa. Ini bermakna sasaran yg jelas berapa PA/CA dr AMK, berapa orang dalam unit siaraya, berapa orng petugas poster, berapa kekuatan mobilisasi dan lain-lain

  • Barisan lapisan pimpinan bawah 30 tahun yang mantap dan berkaliber dalam segenap segi – pemilihan pada kali ini bukan sahaja penting utk PRU13, tetapi PRU14. AMK perlu menyediakan barisan kepimpinan bawah 30 tahun bukan sahaja untuk memimpin AMK apabila peraturan bawah 35 tahun dikuatkuasakan, tetapi sebagai calon-calon untuk PRU13 dan PRU14. Menyediakan barisan kepimpinan maknanya latihan yang tersusun, supaya semua pimpinan muda kita terdedah kepada pelbagai aspek kepimpinan termasuklah mobilisasi rakyat, penghujahan isu, pentadbiran organisasi dan kekuatan akidah dan moral, antara lainnya

Malangnya saya tidak berkesempatan untuk menghuraikan langkah-langkah spesifik untuk melaksanakan 3 landasan ini, kerana kesuntukan masa ha ha.

Saya lampirkan di sini dan Insya Allah kami akan terbitkan risalah manifesto yang lengkap dalam masa terdekat. Buat masa sekarang, saya alu-alukan maklumbalas teman-teman untuk kita mencari kaedah terbaik mengangkat AMK ke tahap lebih tinggi:

  • Menubuhkan Koperasi AMK dengan sasaran mengutip RM200,000 sebagai modal permulaan dan disusun untuk menjadi badan yang bertanggungjawab membantu kelangsungan kewangan AMK, termasuk menjalankan perniagaan-perniagaan secara professional

  • Melancarkan jentera pilihanraya AMK di 100 sasaran kerusi parlimen & DUN yang akan ditandingi Keadilan, dalam masa 3 bulan dipilih

  • Mewujudkan Skuad Komunikasi AMK seramai 1,000 orang di seluruh negara yang diberi tanggungjawab khas memenangi pertembungan media baru dan mengumpulkan maklumat email, Twitter dan Facebook pengundi-pengundi muda
  • Menubuhkan Biro Mobilisasi untuk menyusun semula kaedah rapat umum dan mobilisasi oleh AMK, supaya bukan sahaja kita mampu menganjurkan mobilisasi dengan berkesan, tetapi kita melatih dan mempunyai modus operandi untuk berdepan dengan pihak berkuasa dan menyediakan sokongan kepada teman-teman yang teraniaya
  • Mengenalpasti dan melatih 200 orang dari kalangan AMK yang pelbagai latar belakang dalam program latihan kepimpinan yang menjadi saluran utama kita memilih wakil-wakil AMK untuk bertanding dalam pilihanraya

  • Menggunakan kaedah “inkubator politik” untuk mengakar umbikan program-program mendekati rakyat yang mengangkat isu nasional secara tersusun, maknanya setiap negeri dan cabang yang akan mengendalikan program serupa di peringkat bawah, akan dilatih dalam hal ehwal pengurusan, pentadbiran, pengisian isu supaya isu-isu ini dapat diakar umbikan dibawah oleh pimpinan akar umbi AMK, bukannya bergantung semata-mata kepada pimpinan pusat. Program-program akar umbi ini akan menjadi sebahagian dari ujian kepada 200 orang pimpinan AMK yang berpotensi sebagai calon seperti yang saya sebut tadi – pimpinan akar umbi yang berjaya melaksanakan program-program yang telah dibentuk oleh “inkubator politik” ini dikira mempunyai prestasi yang sewajarnya untuk menjadi pimpinan akar umbi dan nasional (kalau tidak, orang kata tidak teruji!)

  • Memberi penekanan berat kepada sasaran meningkatkan keanggotaan dan latihan anggota AMK, supaya semua cabang di seluruh Malaysia mempunyai AJK yang lengkap dan dapat berfungsi dengan baik

Saya harapkan maklumbalas dari semua, terima kasih!

Ketinggalan!

Banyak catatan-catatan yang ketinggalan dan tertunggak. Ada sedikit catatan mengenai beberapa perkara yang ditimbulkan seperti dasar-dasar yang saya fikir boleh dilaksanakan di AMK untuk mengukuhkan organisasi, catatan mengenai Debat Perdana AMK tempoh hari serta kolum saya di The Edge mengenai sekolah sebagai agen membina perpaduan kaum yang wajar kita halusi sebaiknya.

Insya Allah saya akan tulis satu persatu, masih lagi menyesuaikan diri dengan beberapa tugas mendesak.

Terima kasih kepada semua teman-teman yang banyak membantu, doa-doa Sdr/i adalah salah satu bekal utama buat saya yang mentah dan lurus bendul ini, ha ha!

Nota Menjelang Debat Perdana AMK Malam Ini

1) Agak gundah gulana, belum ada masa untuk buat persediaan yang rapi. Urusan pemilihan di cabang perlu juga diselesaikan dahulu – semalam berjumpa dengan teman-teman di Felda Neram sehingga lewat malam mendengar luahan rasa dan harapan mereka mengenai parti.

2) Oleh kerana sessi berlanjutan lewat malam, sampai di KL pun lambat dan sekarang masih termenung menyusun fikiran untuk debat pada malam ini.

3) Saya pernah menjadi pendebat di zaman muda dan juga jurulatih debat – tetapi untuk berdebat kembali setelah sekian lama, bukan mudah. Rasanya anak-anak didik saya yang rata-rata berada di universiti kini akan menutup mata melihat bekas jurulatih mereka terkumat-kamit cuba mempraktikkan ajarannya yang sebelum ini diberikan kepada anak-anak didik.

4) Pun begitu, debat ini satu keadaan yang unik dan ia terhasil secara spontan yang melambangkan dalamnya semangat reformasi dan pembaharuan sesama kita.

5) Saya tidak mengharapkan sorakan dan laungan yang kuat, malah saya bersedia untuk dihentam dan disorak malu. Tetapi pendekatan berbahas secara ilmiah ini perlu dipertahankan dan dibawa seluas mungkin – kerana politik kita perlu matang dan berlandaskan gagasan.

6) Apa-apa pun kita lihat sahaja keadaannya malam ini. Saya fikir dengan sedikit persediaan untuk menyusun semua mesej yang telah disebut sebelum ini, kemudian berbekalkan sembahyang hajat dan doa kepada Allah SWT dan teman-teman (yang kasihan, ha ha!), Insya Allah dapatlah juga saya sampaikan sedikit mesej, tidak kira apa penerimaan malam ini.

7) Untuk berdepan dengan tokoh-tokoh yang mempunyai nama dan pengikut besar di negara ini, apatah lagi debat dan ceramah ini memang bidangnya, bukanlah mudah dan sangat menggentarkan. Namun kita serahkan kepada Allah SWT, Insya Allah yang terbaik akan kita capai malam ini.

Selamat berdebat kepada semua rakan-rakan 🙂