Generasi Reformasi Menjemput Semua Calon AMK Bersama-Sama Turun Padang Menyuburkan Demokrasi

Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada anggota Keadilan, pihak media dan orang ramai yang memberikan pelbagai reaksi positif sejak pengumuman kami menawarkan diri untuk jawatan-jawatan tertinggi Angkatan Muda Keadilan Pusat pada 1 September 2010.

Selepas mendapat isyarat yang jelas bahawa usaha menyuburkan demokrasi dan menguatkan parti ini diterima baik, Generasi Reformasi akan turun berjumpa ahli-ahli dan pimpinan AMK di peringkat akar umbi di setiap negeri melalui program Roadshow Generasi Reformasi.

Roadshow Generasi Reformasi yang pertama akan diadakan di Kelab Darul Ehsan, Ampang pada hari Khamis 23 September 2010 bermula jam 830 malam. Selain bertemu anggota dan menjawab pertanyaan, barisan Generasi Reformasi juga akan membentangkan manifesto dan pelan rancangan menyuntik dinanisme AMK sepanjang program-program ini di seluruh Malaysia.

Bagi menjamin proses pemilihan ini berlaku dengan adil dan tidak menindas mana-mana pihak, Generasi Reformasi memilih untuk menganjurkan sendiri keseluruhan program ini tanpa melibatkan apa-apa premis atau kemudahan parti. Jentera kami juga akan menghubungi secara peribadi seberapa ramai anggota AMK di setiap kawasan yang kami akan kunjungi untuk memastikan seramai mungkin anggota AMK turut serta dalam proses pemilihan bersejarah ini.

Oleh itu, kami mengambil kesempatan ini untuk menjemput mana-mana anggota AMK yang ingin atau telah menawarkan diri untuk bertanding jawatan-jawatan Pusat untuk menggunakan kemudahan roadshow yang telah disediakan ini dan bertemu dengan anggota-anggota akar umbi, sebagai sebahagian dari usaha kita menyuburkan demokrasi. Kehadiran calon yang ramai, walaupun berbeza pendekatan dan gaya, akan memberi peluang kepada anggota membuat pilihan yang terbaik.

Selepas Kelab Darul Ehsan, kami akan bertemu anggota-anggota di Hotel Hill City, Ipoh pada 26 September dan Hotel Grand Continental, Kuantan pada 28 September.

Jadual Roadshow Generasi Reformasi adalah seperti berikut mengikut negeri-negeri:

TARIKH NEGERI TEMPAT MASA
23 Sep Selangor Kelab Darul Ehsan, Ampang 830 malam
26 Sep Perak Hotel Hill City, Ipoh 830 malam
28 Sep Pahang Hotel Grand Continental, Kuantan 830 malam
29 Sep Selangor Shah Alam (tempat akan diumumkan kelak) 830 malam
1 Okt Melaka Bandar Hilir (tempat akan diumumkan kelak) 830 malam
2 Okt Sabah Kota Kinabalu I (tempat akan diumumkan kelak) 830 malam
3 Okt Sabah Kota Kinabalu II (tempat akan diumumkan kelak) 200 petang
5 Okt Selangor Subang (tempat akan diumumkan kelak) 830 malam
6 Okt Negeri Sembilan Seremban (tempat akan diumumkan kelak) 830 malam
13 Okt Kuala Lumpur Kelab Sultan Sulaiman (akan disahkan kelak) 830 malam
14 Okt Johor Batu Pahat (tempat akan diumumkan kelak) 830 malam
16 – 17 Okt Sarawak Kuching (tempat akan diumumkan kelak) 830 malam
18 Okt Selangor Rawang (tempat akan diumumkan kelak) 830 malam
19 Okt Perak Hutan Melintang (tempat akan diumumkan kelak) 830 malam
20 Okt Kuala Lumpur Bandar Tun Razak (tempat akan diumumkan kelak) 830 malam
22 Okt Kedah Alor Setar (tempat akan diumumkan kelak) 830 malam
23 Okt Pulau Pinang Bayan Baru (tempat akan diumumkan kelak) 200 petang
29 Okt Terengganu Kuala Terengganu (tempat akan diumumkan kelak) 830 malam
30 Okt Kelantan Kota Bharu (tempat akan diumumkan kelak) 200 petang

Tempat dan masa akan dikemaskini dari semasa ke semasa dan diumumkan kepada anggota.

Kami mengalu-alukan perdebatan yang sihat dan menyeru seluruh anggota AMK untuk hadir bersama-sama supaya calon-calon yang menawarkan diri boleh dinilai dari segi kemampuan, visi dan karisma masing-masing.

Program roadshow yang terbuka dengan jemputan kepada calon-calon lawan ini adalah satu lagi inovasi demokrasi yang cuba kami bawa dan suburkan di dalam Keadilan dan Malaysia amnya.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Saudara Saifullah Zulkifli, calon EXCO AMK Pusat yang bertanggungjawab sepenuhnya mengendalikan Roadshow Generasi Reformasi di 0133005461 atau [email protected]

MOHD RAFIZI RAMLI

Calon Ketua Angkatan Muda

Parti Keadilan Rakyat

22 September 2010

Bagi pihak Generasi Reformasi

YB AMIRUDIN SHARI, CALON TIMBALAN KETUA

YB SIM TZE TZIN, CALON NAIB KETUA

YB KESAVAN SUBRAMANIAM, CALON NAIB KETUA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.