Category Archives: KEADILAN

Khairy Jamaluddin Wajar Letak Jawatan: Bersuara Tetapi Gagal Bela Rakyat Dalam Jemaah Menteri

Saya tertarik dengan intipati ucapan dasar Ketua Pemuda Umno, Saudara Khairy Jamaluddin yang dilaporkan cuba mempertahankan rekodnya dalam isu-isu kebajikan rakyat. Media melaporkan ucapan beliau yang menyebut bahawa beliau sering bersuara di dalam Jemaah Menteri membantah kenaikan harga termasuklah kenaikan tol baru-baru ini.

Walau bagaimana pun, percubaan beliau yang kononnya membela rakyat di dalam Jemaah Menteri tidak membawa apa-apa makna kepada rakyat kerana kenaikan-kenaikan ini terus berlaku. Secara tidak langsung, ucapan beliau pada hari ini merupakan pengakuan terbuka bahawa beliau gagal membawa suara orang muda yang begitu tertekan dengan kenaikan kos sara hidup dan pandangan beliau tidak dipedulikan di dalam Jemaah Menteri yang dipimpin Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Malah, pendirian Saudara Khairy Jamaluddin dalam isu-isu penting negara seperti pelaksanaan GST, perjanjian TPP dan skandal 1MDB juga jelas menunjukkan bahawa beliau adalah seorang apologis (peminta maaf) bagi pihak kerajaan dan Dato’ Seri Najib Tun Razak. Di dalam Parlimen, tidak pernah sekali pun beliau bersuara menentang GST walaupun umum mengetahui GST adalah punca kenaikan harga barang yang mendadak akhir-akhir ini.

Sebab itu, saya berharap Saudara Khairy Jamaluddin berhenti dari cuba meraih simpati rakyat di gelanggang sendiri seperti di Perhimpunan Agung Umno. Jika beliau betul-betul mahu membela rakyat dan ada maruah, beliau sepatutnya meletakkan jawatan dengan kadar segera sebagai bantahan kepada dasar-dasar pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak yang beliau sendiri akui menekan rakyat. Saya percaya jika beliau meletakkan jawatan, tindakan itu boleh menggoncang kedudukan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan mempercepatkan lagi beliau turun dari kerusi Perdana Menteri.

Saudara Khairy Jamaluddin juga sepatutnya memberi sedikit sokongan moral kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Seri Shafiee Afdal yang sedang menjalankan tanggungjawab mereka dalam merungkai skandal 1MDB dan dana RM2.6 bilion ke akaun Perdana Menteri.

Pun begitu, saya tidak begitu yakin bahawa Saudara Khairy Jamaluddin akan berani mengambil tindakan-tindakan sebegini. Paling kurang, saya berharap beliau sanggup berdebat secara terbuka mengenai isu-isu rakyat dan orang muda dengan Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Saudara Nik Nazmi Nik Ahmad seperti yang pernah dicadangkan sebelum ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Komen Ringkas: Manipulasi Umno Isu Seksualiti Merdeka

Saya ditanya bertubi-tubi di alam maya oleh pengikut-pengikut Umno kononnya mengenai pendirian KEADILAN dalam isu Seksualiti Merdeka yang dijadikan modal mereka.

Pendirian saya telah saya nyatakan: bahawa saya tidak bersetuju dan tidak bersama dalam hal penganjuran pesta tersebut, kerana ia bertentangan dengan perkara-perkara syarak yang telah jelas. Persoalan politik (termasuklah political correctness dalam mana-mana perspektif pun) tidak boleh mengatasi soal aqidah dan syarak yang menjejaskan hubungan saya sebagai hamba kepada Allah SWT.

Pendirian yang sama juga telah dibuat oleh ramai pimpinan tertinggi KEADILAN.

Yang agak menjelekkan ialah hipokrasi Umno dan pengikut mereka dalam memanipulasi isu ini bagi kepentingan politik, sehingga secara tidak langsung menjadi pengiklan utamanya.

Saya sendiri tidak pernah tahu bahawa acara ini telah berlangsung sejak tahun 2008 lagi dan telah menjadi acara tahunan.

Selama ini tidak pula dijadikan isu besar atau menjadi ancaman kepada negara sehingga menghiasi muka-muka depan akhbar milik Umno. Selama 3 tahun juak-juak Umno dan pemuka mereka seolah-olah gagal melindungi orang Melayu seperti yang mereka selalu syok sendiri 😉

Tiba-tiba sahaja juak-juak Umno mendapat hidayah macam baru balik bertapa di gua dan tidak habis-habis menyerang pimpinan Pakatan. Tiba-tiba sahaja mereka sedar bahawa Islam itu ditunjangi oleh amal maaruf nahi munkar.

Alhamdulillah kalau begitu. Dah alang-alang mereka insaf sekarang, saya minta mereka teruskan dengan serang pusat-pusat maksiat dan judi yang mana pimpinan Umno turut bersekongkol. Pastikan tidak ada mana-mana yayasan berkait keluarga Umno yang ada hubungan dengan pusat judi di Genting.

Pastikan juga keluarga khalifah tertinggi mereka jual saham dalam syarikat arak terbesar di Filipina. Pastikan juga semua anak-anak syarikat kerajaan tidak terlibat dalam apa-apa perkara yang melanggar syarak, termasuklah judi, rasuah, penipuan, curi peruntukan rakyat dan lain-lain.

Dah alang-alang begitu, pastikan juga isteri-isteri menteri, menteri sendiri, wakil rakyat, Puteri Umno dan isteri mereka tutup aurat!

Sebab kalau nak jadi tok lebai, biarlah kerana takwa kepada Allah SWT. Biar konsisten. Biar istiqamah. Biar fearless.

Tapi saya rasa tak begitu, kalau ketua mereka pun sering mengunjungi tempat-tempat maksiat mereka diam sahaja. Keluarga khalifah mereka miliki syarikat arak – tidak berbunyi pun. Sudah 3 tahun acara ini berlangsung, tidak pula mereka sibuk-sibuk.

Sebab itu saya sinikal dengan angin tok lebai juak-juak Umno kebelakangan ini, sebab ia satu hipokrasi dan manipulasi politik.

Isu ini dibesar-besarkan kerana mereka mahu menyerang peribadi Dato Ambiga dan seterusnya menyerang rekod beliau sebagai pejuang. Mereka juga berharap dengan menyerang Dato Ambiga, mereka boleh menyerang Bersih.

Saya percaya rakyat juga tertawa dengan lelucon mereka. Bayangkan juak-juak Umno ini tiba-tiba nak jadi tok lebai, tapi ramai di kalangan pemimpin Islam mereka bergelumang dengan pelbagai perkara yang bertentangan dengan syarak.

Tok lebai sejati akan istiqamah dan lawan habis-habisan. Mereka akan pastikan seorang yang terlibat berzina/merogol dengan kanak-kanak bawah umur tidak diberikan peluang langsung di pentas mereka. Ini tidak – jadi pengerusi utama satu badan kerajaan pulak.

Tok lebai celup adalah perkara biasa dalam Umno.

Renung-renungkan dan selamat beramal 😉

Laman Blog Baru PKR Cabang Kemaman

PKR Cabang Kemaman melancarkan blog baru sejak bulan Oktober, untuk memuatkan laporan aktiviti dan isu-isu semasa dari Kemaman. Sebagai kawasan Parlimen separa bandar, pengaruh internet di kalangan pengundi Kemaman adalah lebih tinggi berbanding tempat-tempat lain di pantai timur, apatah lagi dengan kehadiran professional dalam industri minyak dan gas di Kerteh dan Paka.

Saya mengalu-alukan pandangan dan sokongan teman-teman untuk mengikuti perkembangan usaha-usaha membawa perubahan dari the oil and gas capital of Malaysia yang bertempat di Kemaman.

Blog cabang Kemaman boleh diakses di http://keadilankemaman.wordpress.com

Menziarahi Sdr Azmi, SU Keadilan Hulu Terengganu

Alhamdulillah, minggu ini berkesempatan menziarahi Sdr Azmi, Setiausaha Cabang Hulu Terengganu yang patah kakinya selepas terlibat dalam kemalangan dalam perjalanan pulang ke Hulu Terengganu selepas Konvensyen Pakatan baru-baru ini.

Kereta yang beliau naiki bersama-sama dengan Ketua Cabang, Saudara Narawi dilanggar disisi. Kedua-dua mangsa dari kenderaan yang satu lagi meninggal ditempat kejadian.

Saya ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan dari seluruh negara yang secara secepat mungkin menghulurkan bantuan kewangan, sehingga Saudara Azmi berjaya dibawa kembali ke Kuala Terengganu secepat mungkin.

Saudara Azmi akan menjalani pembedahan untuk dimasukkan besi dan terpaksa dirawat sehingga sebulan lagi.

Turut hadir dalam ziarah adalah Saudara Rosli (Setiausaha MPN Terengganu), Saudara Wan Daud (Ketua Cabang Setiu) dan isteri, Saudara Narawi (Ketua Cabang Hulu Terengganu), Saudara Wan Anies (Setiausaha Cabang Kemaman), Saudara Hj Alias (Ketua Penerangan Cabang Kemaman) dan Saudara Lokman (Timbalan Ketua AMK).