Category Archives: KEADILAN

Suara Keadilan: Rafizi Umum Tanding Ketua AMK, Perkenal Barisan ‘Generasi Reformasi’

PETALING JAYA 1 Sept – Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat,  Mohd Rafizi Ramli hari ini secara rasmi mengumumkan keputusan beliau untuk bertanding merebut jawatan Ketua Angkatan Muda KEADILAN dalam pemilihan parti.

Mohd Rafizi, 33, yang juga Ketua Eksekutif di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor muncul dengan barisan kabinet bayangannya yang dinamakan ‘Generasi Reformasi’ yang dianggotai  beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri.

Beliau akan berganding bahu dengan Naib Ketua AMK yang juga ADUN Batu Caves, Amirudin Shari yang akan bertanding jawatan Timbalan Ketua AMK.

ADUN Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin  serta ADUN Hutan Melintang, S Kesavan masing-masing akan bertanding sebagai Naib Ketua AMK.

Kumpulan yang mengandungi ADUN Teja, Chang Lih Kang, bekas Ketua AMK Selangor, Halimey Abu Bakar, Ketua Biro Integrasi KEADILAN Perak, M A Tinagaran dan bekas Naib Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Saifullah Zulkifli akan merebut jawatan Exco AMK.

Mohd Rafizi membuat pengumuman tersebut pada satu sidang media yang diadakan di sebuah hotel di Tropicana, Petaling Jaya tengahari tadi.

Turut sama pada sidang media itu ialah Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad tetapi  beliau tidak mengumumkan sebarang hasrat untuk bertanding  jawatan dalam AMK.

Selain Rafizi, beberapa nama lain yang disebut-sebut akan menentang penyandang Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin ialah Ahli MPP,  Badrul Hisham Shaharin atau CheGuBard dan Ketua Cabang Parit Sulong, Hasmi Hashim.

Jawatan Ketua AMK dianggap antara kerusi panas pada pemilihan KEADILAN yang dijadual berlangsung Oktober depan.

Rafizi berkata AMK sebagai barisan teraju utama pimpinan muda dalam KEADILAN yang diberi tangggngawab mendekati anak muda memerlukan suntikan dan dinamisme baru bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang dan menarik sokongan golongan muda.

“Isu-isu yang diperjuangkan perlu melambangkan isu yang rapat dan aspirasi majoriti 4.6 juta pengundi muda ini. Kita perlu ingat 4.6 juta pengundi muda ini mempunyai citarasa, pengalaman dan kehendak yang berbeza.

“Oleh sebab itu pada pendapat kami pendekatan yang perlu diambil oleh AMK dalam menghadapi PRU ke-13 juga perlu dipelbagaikan.

“Pendekatan yang baru, isu yang perlu lebih luas dan rapat dengan anak muda supaya kita boleh menarik minat anak muda yang pada ketika ini kurang berminat dengan politik,” ujar beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik dari Universiti Leeds.

Mohd Rafizi yang dikatakan kurang dikenali dan tidak mendapat sokongan padu di kalangan ahli AMK di peringkat akar umbi, merupakan antara yang terawal terlibat dalam menyusun gerakan reformasi pada 1998 bersama aktivis mahasiswa dalam PKPIM dan Gabungan Mahasiswa islam Se-Malaysia (Gamis).

Anak kelahiran Besut ,Terengganu ini juga merupakan penggerak utama dalam laman Free Anwar Campaign semasa kebangkitan awal refromasi bersama reformis Raja Petra Kamaruddin dan Dr Abdul Rahim Ghouse.

Beliau juga pernah menjadi Exco Pemuda Keadilan di bawah portfolio antarabangsa semasa Ezam Mohd Nor mengetuai sayap pemuda itu.

Bagaimanapun Rafizi menarik diri dari beberapa jawatan parti bermula pada 2004 selepas tidak bersetuju dengan beberapa keputusan pimpinan.

Katanya, ‘atas semangat politik baru’ pada masa itu beliau membuat keputusan mengundurkan diri demi menghormati keputusan majoriti parti.

“Kalau kita tidak bersetuju dan tidak berani mempertahankan keputusan majoriti yang telah dibuat parti pada ketika itu, kita perlu menarik diri. Kita tidak boleh berada dalam kepimpinan dan pada masa yang sama mensabotaj keputusan pimpinan.

“Itu pendirian yang saya ambil dan sebab itu saya tarik diri daripada jawatan parti. Bermula 2004, saya ahli KEADILAN biasa dan aktif di peringkat bawahan sahaja dan membantu pimpinan yang ada. Sepanjang masa itu saya memberi perhatian terhadap kerjaya,” kata beliau yang juga bekas pegawai kanan di Petronas Carigali Sdn Bhd dan Pharmaniaga Berhad.

Dialog AMK Kedah

Semalam berkesempatan berdialog dengan pimpinan akar umbi AMK Kedah. Saya memuji pendirian yang diambil oleh AMK Kedah di bawah pimpinan Sdr Saiful Izham Ramli yang mengambil pendekatan menyuburkan amalan demokrasi dalam parti, dengan memberi peluang seluas-luasnya untuk menemukan calon-calon pemilihan parti dengan akar umbi.

Soalan-soalan yang diajukan juga menampakkan kematangan amalan demokrasi di dalam Keadilan terutamanya di kalangan anak muda, yang menjadi tonggak Keadilan sejak awal lagi. Soalan-soalan bukan mudah dan berterus-terang – awalnya agak berpeluh untuk menjawab soalan-soalan itu, walaupun bilik berhawa dingin!

Saya mengambil kesempatan itu untuk menerangkan beberapa perkara.

Alhamdulillah, tugas paling berat iaitu memperkenalkan saya dibuat secara sukarela oleh Sdr Saiful – rakan lama yang saya mula kenali tatkala reformasi mula-mula tercetus. Saya merupakan aktivis mahasiswa luar negara bersama-sama rakan dari PKPIM pada ketika itu, dan gelombang yang berlaku berikutan pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim menemukan saya dengan teman-teman dari Pemuda Umno seperti YB Saifuddin Nasution dan Sdr Saiful Izham Ramli. Melalui Free Anwar Campaign dan Pemuda Keadilan, saya menjadi bertambah rapat dengan Sdr Saiful sehingga ke hari ini. Semasa saya pulang dari luar negara pada akhir tahun 2002, Sdr Saiful menjemput di Singapura, sebelum dibawa masuk melalui jalan darat dari Tambak Johor.

Bagi saya tugas memperkenalkan diri adalah yang paling berat, jadi apabila ia dilakukan oleh seorang teman yang telah mengenali kita lebih 10 tahun – segala-galanya yang lain selepas itu menjadi lebih mudah.

Soalan paling lazim yang ditanya adalah – KENAPA?

Kenapa perlu menawarkan diri tatkala medan pemilihan sudah terbentuk lama sehingga mengejutkan ramai ahli AMK yang tidak menyangka keadaan ini?

Saya memohon supaya ahli-ahli AMK mempertimbangkan keadaan dan citarasa pengundi-pengundi muda di luar, seterusnya menerima hakikat bahawa daripada 4.6 juta pengundi muda yang akan menentukan ke mana perjuangan Keadilan selepas ini, mereka mempunyai pandangan dan citarasa yang berbeza.

Pandangan dan citarasa ini mungkin tidak selari dengan kerangka pendekatan tradisional AMK semata-mata.

Sebab itu, untuk menarik minat mereka ini, AMK memerlukan pendekatan yang pelbagai dan mencapah – terutamanya dalam isu-isu yang mungkin tidak dekat dengan pendekatan tradisional AMK, tetapi sangat penting kepada mereka.

Jadi, penampilan imej AMK yang pelbagai dan mampu mengangkat isu anak muda yang penting bagi mereka (bukan isu yang hanya kita merasakan penting, tetapi pendapat itu tidak dikongsi bersama oleh pengundi di luar) ke peringkat nasional – sepatutnya menjadi pertimbangan yang utama jika fokus kita adalah melaksanakan aspirasi rakyat membawa Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

Saya dan barisan yang akan diumumkan kelak ingin menawarkan pilihan ini kepada AMK – supaya ada pelbagai pertimbangan yang boleh diambil demi kebaikan bersama parti.

Bagi saya, keputusan pemilihan nanti adalah sama penting dengan proses pemilihan kerana pengundi mengintai tindak-tanduk kita. Sekiranya sepanjang proses pemilihan ini, AMK menunjukkan kematangan menangani demokrasi dan kempen diadakan dengan meletakkan hujah dan rasional program mengatasi emosi, kita telah membantu parti memenangi sedikit pengundi atas pagar dari kalangan muda.

Jika dalam proses berdebat nanti, kita berjaya mempamerkan barisan kepimpinan yang pelbagai, dengan kemahiran yang bermacam-macam sehingga boleh meyakinkan pengundi bahawa kita telah bersedia untuk mentadbir Putrajaya – secara peribadi itu lebih penting dari kemenangan di peringkat pemilihan nanti.

Banyak lagi soalan-soalan yang ditanya, tetapi saya terpaksa ulas selepas ini kerana kesuntukan masa.

Insya Allah, jika perbincangan secara sihat dan matang yang dimulakan oleh AMK Kedah berterusan dengan AMK di tempat-tempat lain, objektif kita mematangkan proses demokrasi telah tercapai, tidak kiralah bagaimana bentuk pemilihan yang akan berlaku 🙂

Program 27 Ogos – 31 Ogos

Program-program seperti berikut:

Jumaat, 27 Ogos 2010 – Sg Petani (SP Inn)

500 ptg  – Taklimat isu semasa bersama-sama YB Azmin Ali dan pimpinan Keadilan

720 mlm – Majlis buka puasa & Maghrib

800 mlm – Perjumpaan ringkas dengan aktivis AMK

830 mlm – Isyak & tarawikh di Masjid Padang Temusu

Sabtu, 28 Ogos 2010 – Ipoh (Hotel Stesen Keretapi Besar Ipoh)

300 petang  – Sidang akhbar AMK Perak

400 petang – Pertemuan bersama AJK AMK Perak

500 petang – Hadir ke majlis sumbangan anak yatim yang dikelolakan YB Chang Li Kang

7oo petang – Majlis buka puasa

(boleh berhubung dengan Sdr Miza untuk maklumat lanjut)

Ahad, 29 Ogos 2010 – Kuala Lumpur

1100 pagi  – Taklimat & mesyuarat parti

300 petang – Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat

700 malam – Majlis Buka Pusa Majlis Pimpinan Pusat

Isnin, 30 Ogos 2010 – Taiping

500 ptg  – Perbincangan tertutup dengan aktivis AMK

720 mlm – Majlis buka puasa & Maghrib

Selasa, 31 Ogos 2010 – Kelana Jaya: Dialog Merdeka

Bermula jam 5 petang di Dewan MBPJ, Jalan SS7/26 Kelana Jaya – disusuli dengan majlis berbuka puasa. Semua dijemput hadir.

Taklimat Rakan Skuad Komunikasi Selangor: Diskusi Strategi Mendekati Orang Muda

Alhamdulillah sempat bersama-sama Cikgu Faris Musa, Timbalan Ketua AMK dalam satu program bersama-sama anak-anak muda dari Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang membentuk rakan SKS (Skuad Komunikasi Selangor). Saya hadir bersama-sama YB Amirudin Shari (ADUN Batu Caves), atas jemputan Cikgu Faris dan penganjur untuk mengulas mengenai strategi mendekati orang muda menjelang pilihanraya umum ke-13.

Diskusi bermula dengan berkongsi beberapa senario mutakhir, termasuk bacaan kedudukan keputusan pilihanraya sekiranya diadakan sekarang. Yang paling jelas, keputusan PRU13 akan ditentukan oleh orang muda, yang membentuk hampir 50% dari jumlah pengundi keseluruhan.

Pengaruh pengundi muda juga tidak boleh ditolak ke tepi, kerana berdasarkan keputusan PRU12, peranan orang muda dalam membawa mesej pembaharuan dan reformasi ke desa adalah lebih berkesan dari peranan yang dimainkan oleh TV dan media (kalau tidak masakan Kelantan makin kukuh bersama-sama Pakatan Rakyat).

Persoalan yang lebih utama adalah bagaimana mahu mendekati jumlah pengundi muda yang dianggarkan berjumlah 4.6 juta orang ini, terutamanya dalam keadaan mereka tidak begitu berminat dengan politik, tidak percayakan media arus perdana tetapi pada masa yang sama tidak pula mengunjungi media alternatif (berdasarkan culaan yang dibuat setakat ini).

Malaysia sebenarnya melalui proses biasa  iaitu kematangan demokrasi dan proses ini juga mengundang sedikit side effect – menurunnya minat golongan muda kepada politik. Proses ini berlaku di Eropah, Jepun dan negara-negara lain.

Sebab itu, dalam suasana sebegini, usaha untuk mendekati golongan muda yang pelbagai citarasa, minat, kecenderongan dan kadang-kadang mempunyai dogma masing-masing adalah sangat kritikal.

Saya unjurkan kepada peserta bahawa parti memerlukan kepelbagaian dalam pendekatan untuk menarik minat anak muda ini. Sentimen reformasi sebaiknya dijadikan landasan kukuh untuk membina keyakinan kepada perjuangan, tetapi pada masa yang sama barisan yang ditampilkan serta bentuk pendekatan yang diambil perlu juga mempunyai kepelbagaian yang boleh menarik minat kumpulan anak muda yang berbeza-beza.

Sebab itu, parti perlu keluar dari sentimentaliti yang melampau sehingga lupa bahawa kumpulan yang ingin kita dekati telah berubah. Kalau dulu, di awal gerakan reformasi, objektif utama gerakan anak muda adalah membawa mesej bahawa ketidakadilan telah berlaku dan mempertahankan hak untuk bersuara. Mesej ini penting untuk memastikan rakyat sedar perkara sebenar yang berlaku dibelakang tabir wayang kulit yang dimainkan pemerintah.

Tetapi persepsi rakyat kepada kita sekarang lebih berkisar kepada persoalan keyakinan untuk memerintah – mengambil kira bahawa sebahagian besar anak muda sudah hilang kepercayaan kepada Barisan Nasional.

Persoalan ini perlu dirungkai dengan baik, maka saya syorkan kepada peserta tempoh hari, sebagai agen perubahan akar umbi, mereka mesti peka kepada permasalahan orang muda dan membawa isu yang dekat dengan orang muda, walaupun kadang-kadang kumpulan orang muda itu dan isu yang dibawa bukanlah isu atau sasaran tradisional kita.

Anak muda perlukan muafakat baru pemimpin muda, yang boleh mengolah isu orang muda dan mengangkatnya dengan sebaik mungkin di persada kebangsaan. Pada masa yang sama, tumpuan kepada pembinaan organisasi tidak boleh diabaikan kerana kita sudah melepasi era bergantung kepada sentimen semata-mata. Putrajaya hanya boleh dimenangi dengan gabungan memikat harapan rakyat melalui isu yang tepat; dan organisasi yang kukuh untuk meyakinkan rakyat kita punya kekuatan untuk melaksanakan janji kita.

Sessi berakhir dengan beberapa soal jawab yang menarik – seterusnya ditutup secara rasmi oleh Sdr Shamsul Iskandar Mat Akin, Ketua AMK Malaysia.

Ketua AMK: 3 penjuru, Nurul Izzah tak tanding

Perebutan kerusi ketua Pemuda PKR (AMK) hampir pasti menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara penyandangnya Shamsul Iskandar Md Akin dan dua anggota majlis pimpinan pusat (MPP) Badrul Hisam Shaharin dan Rafizi Ramli.
Bagaimanapun, anak sulung ketua umum parti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail — Nurul Izzah (kiri) difahamkan tidak berhasrat merebut mana-mana jawatan kanan dalam sayap parti itu sebaliknya mahu menumpukan tugasnya sebagai ahli parlimen.

“Kalau bertanding pun mungkin hanya di peringkat cabang Lembah Pantaisahaja,” kata sumber-sumber yang dekat dengannya kepadaMalaysiakini semalam.

Menjelang pemilihan parti November tahun ini, pertembungan antara Shamsul dan Badrul memang sudah dijangkakan.

Bagaimanapun kemunculan kembali Rafizi – yang pernah meletakkan jawatan sebagai anggota MPP dan exco AMK pada 2004 – agak mengejutkan selepas ‘ditarik’ daripada dunia korporat ketika sedang meningkat naik dalam kariernya.
Pada masa yang sama, ketika kedua-dua ‘lawannya’ dilihat malu-malu mengumumkan hasrat mereka, Rafizi tanpa bersembungi lagi mengakui menawarkan diri bagi bertanding di jawatan itu.

“Ya, saya akan bertanding jawatan ketua AMK,” katanya kepda Malaysiakini sambil menjelaskan pengumuman rasmi berhubung perkara tersebut akan dibuat pada minggu depan.

Menurut Rafizi – bekas pemimpin pelajar di United Kingdom – beliau menawarkan diri bertanding bagi memperkenalkan “model pendekatan baru” anak muda yang “bukan semata-mata bersandarkan ghairah dan semangat”.

Kumpulan ‘direstui’ Anwar

Secara realistik bagi memengangi pilihan raya, Rafizi berpendapat, AMK perlu pendekatan baru bagi menarik sokongan anak muda sebagai golongan penentu yang dalam masa yang sama “kurang berminat dalam politik”.
“Kita perlu melepasi (perasaan) sentimental reformasi (1998),” kata bekas pegawai kanan di Petronas Carigali Sdn Bhd dan Pharmaniaga Berhad itu yang kini bertugas sebagai Ketua Eksekutif di Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

Beliau dikatakan akan beregu dengan ADUN Batu Caves Amiruddin Shari yang kini naib presiden AMK sebagai timbalan ketua.
Kumpulan ini yang khabarnya ‘direstui’ Anwar ini difahamkan disokong sekumpulan ahli parlimen muda PKR, antaranya Nik Nazmi Nik Ahmad (kanan, berkaca mata) (Seri Setia) dan Sim Tze Tzin (Pantai Jerejak).

Sementara Shamsul pula mendapat dokongan seorang lagi naib ketua AMK Khairul Anuar Ahmad Zainudin, juga seorang aktivis kesatuan sekerja yang pernah ditahan di bawah akta kontroversi ISA.

“Ya, saya tawarkan diri sebagai timbalan ketua AMK bagi membantu Shamsul Iskandar (sebagai ketua AMK),” katanya kepadaMalaysiakini.
Difahamkam Khairul dipilih berganding dengan Shamsul (kanan) – seorang peguam – kerana gandingan lamanya, Mohd Fariz Musa sudah melebihi umur 40 tahun.

Namun dipercayai walaupun perlembagaan baru PKR menetapkan pemimpin AMK mestilah disandang oleh mereka yang berumur 35 tahun ke bawah, tetapi ini hanya akan dikuatkuasakan pada sesi akan datang bagi mempersediakan sayap parti itu kepada “peralihan”.

‘Berseorangan belum tentu sunyi’

Sementara itu, berbeza dengan Rafizi dan Shamsul, Badrul yang meraih populariti dengan pelbagai ‘gimik’ politik dan kepetahannya berceramah pula masih dilihat lone ranger atau berseorangan.

Beliau yang kerap bergerak melalui Solidariti Anak Muda Malaysia – NGO yang diasaskannya – enggan mendedahkan lagi siapa gandingannya atau menawarkan diri.
“Saya tidak akan umumkannya. Terpulanglah kepada akar umbi (untuk menentukannya),” kata Badrul (kiri, berkaca mata) kepada Malaysiakini.

Menganggap pemilihan parti sebagai “urusan keluarga”, bekas guru itu berkata: “Dalam keluarga, takkanlah kita harus kata adik lebih baik daripada abang, (atau) abang lebih baik daripada adik”.

Katanya, tenaga itu lebih baik digembleng bersama bagi menumbangkan kerajaan BN.

Mengulas tentang tanggapan beliau berseorang dalam PKR, sambil ketawa Badrul berkata: “Berseorangan belum tentu sunyi, berdua belum tentu tak sunyi.”

Sementara itu, walaupun hampir pasti berlaku pertembungan tiga penjuru November nanti, seorang lagi pemimpin cabang Hasmi Hashim – satu-satunya calon yang pernah menentang Shamsul pada sesi lalu, masih tidak jelas kedudukannya.
Kalah teruk dalam pertandingan lalu, Hasmi, seorang penggiat budaya dilihat masih mengintai peluangnya.

“Kali ini (saya) akan dengar, timbang dan bincang dengan anggota AMK, pimpinan dan keluarga dulu,” katanya yang kritikal kepada kumpulan Shamsul dan Badrul itu.

PKR bakal mengadakan pemilihan parti secara langsung bermula dengan proses pencalonan di peringkat cabang (bahagian) lewat bulan ini, sebelum mengundi memilih pucuk pimpinan tertinggi parti itu pada November depan.

Malaysiakini, 26 Ogos 2010 – Jimadie Shah Othman