Semalam berkesempatan berdialog dengan pimpinan akar umbi AMK Kedah. Saya memuji pendirian yang diambil oleh AMK Kedah di bawah pimpinan Sdr Saiful Izham Ramli yang mengambil pendekatan menyuburkan amalan demokrasi dalam parti, dengan memberi peluang seluas-luasnya untuk menemukan calon-calon pemilihan parti dengan akar umbi.
Soalan-soalan yang diajukan juga menampakkan kematangan amalan demokrasi di dalam Keadilan terutamanya di kalangan anak muda, yang menjadi tonggak Keadilan sejak awal lagi. Soalan-soalan bukan mudah dan berterus-terang – awalnya agak berpeluh untuk menjawab soalan-soalan itu, walaupun bilik berhawa dingin!
Saya mengambil kesempatan itu untuk menerangkan beberapa perkara.
Alhamdulillah, tugas paling berat iaitu memperkenalkan saya dibuat secara sukarela oleh Sdr Saiful – rakan lama yang saya mula kenali tatkala reformasi mula-mula tercetus. Saya merupakan aktivis mahasiswa luar negara bersama-sama rakan dari PKPIM pada ketika itu, dan gelombang yang berlaku berikutan pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim menemukan saya dengan teman-teman dari Pemuda Umno seperti YB Saifuddin Nasution dan Sdr Saiful Izham Ramli. Melalui Free Anwar Campaign dan Pemuda Keadilan, saya menjadi bertambah rapat dengan Sdr Saiful sehingga ke hari ini. Semasa saya pulang dari luar negara pada akhir tahun 2002, Sdr Saiful menjemput di Singapura, sebelum dibawa masuk melalui jalan darat dari Tambak Johor.
Bagi saya tugas memperkenalkan diri adalah yang paling berat, jadi apabila ia dilakukan oleh seorang teman yang telah mengenali kita lebih 10 tahun – segala-galanya yang lain selepas itu menjadi lebih mudah.
Soalan paling lazim yang ditanya adalah – KENAPA?
Kenapa perlu menawarkan diri tatkala medan pemilihan sudah terbentuk lama sehingga mengejutkan ramai ahli AMK yang tidak menyangka keadaan ini?
Saya memohon supaya ahli-ahli AMK mempertimbangkan keadaan dan citarasa pengundi-pengundi muda di luar, seterusnya menerima hakikat bahawa daripada 4.6 juta pengundi muda yang akan menentukan ke mana perjuangan Keadilan selepas ini, mereka mempunyai pandangan dan citarasa yang berbeza.
Pandangan dan citarasa ini mungkin tidak selari dengan kerangka pendekatan tradisional AMK semata-mata.
Sebab itu, untuk menarik minat mereka ini, AMK memerlukan pendekatan yang pelbagai dan mencapah – terutamanya dalam isu-isu yang mungkin tidak dekat dengan pendekatan tradisional AMK, tetapi sangat penting kepada mereka.
Jadi, penampilan imej AMK yang pelbagai dan mampu mengangkat isu anak muda yang penting bagi mereka (bukan isu yang hanya kita merasakan penting, tetapi pendapat itu tidak dikongsi bersama oleh pengundi di luar) ke peringkat nasional – sepatutnya menjadi pertimbangan yang utama jika fokus kita adalah melaksanakan aspirasi rakyat membawa Pakatan Rakyat ke Putrajaya.
Saya dan barisan yang akan diumumkan kelak ingin menawarkan pilihan ini kepada AMK – supaya ada pelbagai pertimbangan yang boleh diambil demi kebaikan bersama parti.
Bagi saya, keputusan pemilihan nanti adalah sama penting dengan proses pemilihan kerana pengundi mengintai tindak-tanduk kita. Sekiranya sepanjang proses pemilihan ini, AMK menunjukkan kematangan menangani demokrasi dan kempen diadakan dengan meletakkan hujah dan rasional program mengatasi emosi, kita telah membantu parti memenangi sedikit pengundi atas pagar dari kalangan muda.
Jika dalam proses berdebat nanti, kita berjaya mempamerkan barisan kepimpinan yang pelbagai, dengan kemahiran yang bermacam-macam sehingga boleh meyakinkan pengundi bahawa kita telah bersedia untuk mentadbir Putrajaya – secara peribadi itu lebih penting dari kemenangan di peringkat pemilihan nanti.
Banyak lagi soalan-soalan yang ditanya, tetapi saya terpaksa ulas selepas ini kerana kesuntukan masa.
Insya Allah, jika perbincangan secara sihat dan matang yang dimulakan oleh AMK Kedah berterusan dengan AMK di tempat-tempat lain, objektif kita mematangkan proses demokrasi telah tercapai, tidak kiralah bagaimana bentuk pemilihan yang akan berlaku 🙂