Category Archives: 1MDB

Masalah Aliran Tunai 1MDB Melewatkan Projek Penjana Bebas Jimah East

Laporan bahawa 1MDB telah gagal sekali lagi untuk membayar hutang berjumlah RM2 bilion mengikut jadual pembayaran mengesahkan bahawa syarikat bermasalah itu berhadapan dengan masalah aliran tunai.

Keadaan ini menyulitkan lagi kedudukan kewangan 1MDB yang memberi kesan kepada keupayaannya melaksanakan kontrak-kontrak yang telah dianugerahkan kepadanya. Salah satu kontrak tersebut ialah pembinaan stesen janakuasa Jimah Timur dengan kapasiti 2,000MW (dua stesen setiap satu 1000MW) yang telah mengundang kontroversi sebelum ini.

Perjanjian jualbeli tenaga (PPA) di antara TNB dan 1MDB melalui stesen janakuasa Jimah Timur ini adalah salah satu strategi terpenting yang bakal menentukan sama ada kedudukan kewangan 1MDB terus menjunam. Stesen janakuasa Jimah Timur ini dilihat sebagai asset berharga di antara stesen-stesen janakuasa tenaga sedia ada yang dibeli 1MDB sebelum ini yang diharapkan dapat menarik minat pelabur membeli saham kumpulan tenaga 1MDB apabila disenaraikan di bursa kelak.

1MDB memerlukan suntikan kewangan dari penyenaraiaan aset-aset penjana bebasnya untuk mengimbangi hutangnya yang tinggi dan telah mencecah RM42 bilion setakat 2014.

Oleh itu, kelewatan pelaksanaan stesen janakuasa Jimah Timur dijangka akan melewatkan proses penyenaraian anak syarikat 1MDB di bursa dan melemahkan lagi kedudukan kewangannya.

Saya boleh mengesahkan bahawa 1MDB melalui anak syarikatnya Jimah East Power Sdn Bhd telah memohon secara rasmi kepada Suruhanjaya Tenaga untuk menangguhkan lagi jadual pembinaan dan pelaksanaan stesen janakuasa Jimah East yang akan membawa kesan kewangan besar kepada 1MDB dan rakyat Malaysia.

Saya dibekalkan dengan maklumat yang telah saya sahkan bahawa satu mesyuarat telah diadakan pada 4 Disember 2014 di antara Suruhanjaya Tenaga dan 1MDB (yang diwakili Jimah East Power Sdn Bhd) mengenai kelewatan ini.

Di dalam mesyuarat tersebut, 1MDB telah memohon kepada Suruhanjaya Tenaga untuk diberi kelonggaran melewatkan lagi projek tersebut selama 6 bulan walaupun itu telah melanggar perjanjian jualbeli tenaga (PPA). Ini bermakna projek tersebut dijangka hanya boleh disiapkan pada 15 Mei 2019 berbanding tarikh yang ditetapkan perjanjian iaitu 15 November 2018.

Dengan masalah aliran tunai yang dihadapi oleh 1MDB sekarang, saya ragu-ragu bahawa ia boleh menyiapkan stesen janakuasa Jimah Timur pada 15 Mei 2019.

Semakan dengan laporan Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC) bertarikh 10 Oktober 2014 (Pre-Sale Report: RM8.4 bilion Sukuk Murabahah Jimah East Power) khususnya mukasurat 5 mengenai tapak projek menjelaskan bahawa projek ini akan dibina di atas tanah paya dan kawasan berair yang perlu ditebus guna terlebih dahulu. Saya sertakan gambar yang menunjukkan bahawa tapak projek stesen janakuasa Jimah Timur pada masa ini adalah kawasan paya dan berair yang perlu ditebus guna terlebih dahulu.

Download (PDF, 224KB)

Download (PDF, 815KB)

Dalam keadaan 1MDB belum lagi mempunyai tapak projek yang ditebus guna dan masalah aliran tunai yang dihadapinya, ada kemungkinan projek Jimah Timur ini akan terus mengalami kelewatan. Ini akan melewatkan lagi proses penyenaraian aset-aset tenaga 1MDB yang sebelum ini disebut sebagai strategi penting meenyelamatkan 1MDB dari masalah kewangan yang kian meruncing.

Permohonan melewatkan projek Jimah Timur ini mengesahkan bukan sahaja 1MDB berhadapan dengan masalah aliran tunai, malah menunjukkan strategi yang diambilnya melalui penyenaraian juga masih gagal. Dalam keadaan ini, 1MDB akan terus berhutang untuk membayar bunga dan faedah (interest) di atas hutang-hutang sedia ada.


RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agung KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

7 Januari 2015

Tanggungan Kerajaan Berhubung Hutang 1MDB Sekurang-Kurangnya RM20 Bilion

Kenyataan-kenyataan Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kewangan yang sehingga kini masih mempertahankan kononnya tanggungan Kerajaan Persekutuan hanyalah terhad kepada RM5.8 bilion hutang awal 1MDB yang dijamin secara nyata (explicit guarantee) adalah tidak bertanggungjawab.

Saya menganggarkan bahawa Kerajaan Persekutuan berdepan dengan tanggungan hutang 1MDB sekurang-kurangnya sebanyak RM20 bilion, iaitu:

1. Jaminan nyata (explicit guarantee) ke atas hutang terbitan pertama 1MDB yang bernilai RM5.8 bilion seperti yang diakui setakat ini

2. Tanggungan akibat surat sokongan yang menyatakan Kerajaan Persekutuan akan menanggung hutang 1MDB sebanyak RM9.7 bilion sekiranya 1MDB tidak mampu membayar

3. Tanggungan melalui hutang yang diberikan kepada anak syarikat 1MDB iaitu SRC International Sdn Bhd sebanyak RM4 bilion. Hutang ini diperolehi dari Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dan dijamin oleh Kerajaan Persekutuan

Daripada ketiga-tiga hutang yang diambil oleh 1MDB ini sahaja, jelas bahawa Kerajaan Persekutuan berdepan dengan tanggungan kewangan sebanyak RM19.5 bilion. Ini tidak termasuk baki hutang-hutang lain yang jumlah kesemuanya telah mencecah RM42 bilion bagi tahun berakhir 31 Mac 2014 yang maklumatnya belum diketahui umum.

Oleh sebab itu, rakyat perlu dimaklumkan akan risiko tanggungan kewangan yang dihadapi oleh Kerajaan Persekutuan yang kini telah mencecah sekurang-kurangnya RM20 bilion terutamanya mengambil kira prestasi operasi dan kewangan yang ditunjukkan 1MDB setakat ini.

Saya persoalkan prestasi 1MDB bagi ketiga-tiga pinjaman yang memberi tanggungan kepada Kerajaan Persekutuan ini seperti berikut:

1. Dana dari jaminan nyata sebanyak RM5.8 bilion dari hutang pertama 1MDB mulanya dilaburkan di dalam usahasama dengan PetroSaudi International (PSI), sebuah syarikat yang tidak dikenali kononnya untuk operasi carigali minyak mentah. Selepas 2 tahun, usahasama 1MDB-PSI itu tidak menunjukkan sebarang hasil dan pelaburan itu distrukturkan kembali. Hasil dari penstrukturan tersebut, dana 1MDB diletakkan di akaun-akaun rahsia di Pulau Cayman yang maklumatnya tidak diketahui sehingga sekarang

2. Dana RM9.7 bilion yang antara lain bertujuan mengurus dan membangunkan Tun Razak Exchange; sebahagiannya diserahkan pula kepada satu firma pelaburan kecil dari Hong Kong bernama Bridge Partners. Tenaga utama firma ini, seorang yang bernama Lobo Lee pernah disiasat kerana dituduh terlibat di dalam salahlaku kewangan. Sehingga kini prestasi pelaburan dana ini yang diuruskan oleh sebuah firma yang tidak diketahui

3. Pinjaman RM4 bilion dari KWAP yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan pada awalnya bertujuan untuk membeli syarikat perlombongan dari Mongolia bernama Gobi Coal & Energy untuk melabur di Mongolia. Pelaburan itu tidak berlaku dan sehingga sekarang tidak diketahui bagi tujuan apakah RM4 bilion itu dibelanjakan

Dalam keadaan 1MDB tidak boleh menyatakan pun ke mana perginya dana-dana yang memberi tanggungan kewangan besar berjumlah RM20 bilion ini kepada rakyat, sudah tentu rakyat berhak berasa bimbang.

Jumlah RM20 bilion boleh membina sekurang-kurangnya 40 hospital di seluruh negara. Ia boleh membuka sekurang-kurangnya 15 universiti awam baru. Jika dilaburkan dengan baik, peminjam PTPTN tidak perlu berdepan dengan tindakan-tindakan yang membebankan mereka sekarang.

RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agong KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

18 November 2014

Perjanjian Hutang 1MDB Jelas Membuktikan Kerajaan Malaysia Bertanggungjawab Menanggung Hutang 1MDB

Saya difahamkan bahawa akhbar kewangan The Edge telah pun menyiarkan surat sokongan Kerajaan Malaysia kepada pemegang-pemegang bon hutang 1MDB. Bersama-sama ini saya edarkan mukasurat penting dari perjanjian hutang 1MDB itu seperti berikut:

1. Muka depan perjanjian yang mengesahkan bahawa Kerajaan Malaysia terbabit memberi Surat Sokongan dalam penerbitan hutang berjumlah USD$3 bilion oleh 1MDB yang diatur oleh Goldman Sachs International

GSI-page1

2. Mukasurat 2 – mengesahkan bahawa terma Surat Sokongan turut dimuatkan di dalam perjanjian

GSI-page2

3. Mukasurat 19 dan 20 – menjelaskan apa tanggungjawab Kerajaan Malaysia mengikut terma Surat Sokongan dan bagaimana tindakan undang-undang boleh diambil terhadap Kerajaan Malaysia

GSI-page19

4. Mukasurat 70 – mengesahkan status Surat Sokongan dan kedudukannya berbanding hutang-hutang Kerajaan Malaysia yang lain

5. Mukasurat 86 hingga 88 – Surat Sokongan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia dan disiarkan oleh The Edge

Saya meneliti kenyataan yang dibuat oleh Dato’ Ahmad Maslan yang cuba untuk bersembunyi di sebalik perkara teknikal selepas saya mengancam untuk merujuk beliau kepada Jawatankuasa Keistimewaan Dewan kerana boleh dikira berbohong kepada Dewan Rakyat. Kenyataan ringkas itu mengaku bahawa Kerajaan Malaysia ada mengeluarkan Surat Sokongan tetapi beliau tetap menafikan kononnya Surat Sokongan itu bukanlah satu jaminan.

Untuk menentukan sama ada terma Surat Sokongan yang dikeluarkan itu mempunyai makna dan kesan yang sama sebagai satu jaminan Kerajaan Malaysia, saya rujuk kepada perenggan-perenggan berikut:

1. Mukasurat 20, perenggan 2 – secara jelas dinyatakan bahawa sekiranya Kerajaan Malaysia gagal membuat bayaran seperti yang terkandung di dalam Surat Sokongan, tindakan undang-undang akan diambil terhadap Kerajaan Malaysia di Mahkamah England. Apabila keputusan terhadap Kerajaan Malaysia telah dikeluarkan oleh Mahkamah England, Kerajaan Malaysia tidak ada pilihan dan perlu mengikuti perintah membayar yang dikeluarkan oleh mahkamah itu.

2. Mukasurat 20, perenggan 3 dan 4 – secara jelas menyatakan bahawa apabila keputusan telah dibuat oleh Mahkamah England, keputusan terhadap Kerajaan Malaysia itu boleh didaftarkan di Mahkamah Malaysia untuk diambil tindakan.

GSI-page20

3. Mukasurat 70, perkara 3 – secara jelas mengakui bahawa tanggungjawab Kerajaan Malaysia bersabit hutang yang diperakui di dalam Surat Sokongan adalah sama atau lebih tinggi dari tanggungjawab hutang Kerajaan Malaysia yang lain

GSI-page70

Mengambil kira perkara-perkara ini yang telah jelas terkandung di dalam Surat Sokongan, bolehlah disimpulkan bahawa tanggungjawab Kerajaan Malaysia adalah untuk menanggung hutang 1MDB ini sekiranya ia tidak mampu dilangsaikan.

Ini samalah dengan makna dan kesannya jika Kerajaan Malaysia menjamin hutang ini seperti biasa. Bezanya, jaminan hutang Kerajaan Malaysia perlu dilaporkan kepada Dewan Rakyat dan disebut di dalam Penyata Kewangan Kerajaan, sedangkan jaminan yang disembunyikan melalui Surat Sokongan seperti ini tidak perlu dilaporkan.

Saya masih beranggapan Timbalan Menteri terbabit cuba mengelirukan Dewan Rakyat dengan kenyataan beliau dan akan tetap memfailkan usul untuk merujuk beliau kepada Jawatankuasa Keistimewaan Dewan.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

10 November 2014

Perjanjian Penuh Hutang USD$3 Bilion 1MDB

Bahagian Pertama   Bahagian Kedua   Bahagian Ketiga

Kerugian 1MDB Bagi Tahun Kewangan 2014 Lebih Besar Jika Tidak Kerana Nilaian Semula Aset

Keputusan kewangan 1MDB bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014 mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM665 juta, iaitu satu jumlah kerugian yang begitu besar memandangkan keadaan ekonomi yang kian sukar dan menekan rakyat.

Bersama-sama ini saya sertakan petikan Penyata Untung Rugi dan Penyata Kedudukan Kewangan bagi 1MDB yang telah diaudit dan difailkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

1mdb - 2014Accounts1 P&L

1mdb - 2014Accounts4 BS

 

Kedua-dua penyata ini akan menunjukkan bahawa kedudukan kewangan 1MDB dan prestasinya setakat ini adalah lebih teruk dari dijangkakan.

Bagi tahun kewangan 2014, perbelanjaan 1MDB iaitu perbelanjaan pengurusan dan bayaran faedah dan khidmat kewangan telah meningkat 52% dari RM2.47 bilion (2013) kepada RM3.76 bilion (2014). Sebagai gambaran besarnya jumlah perbelanjaan ini, kos pengurusan dan faedah hutang sebanyak RM3.76 bilion adalah hampir sama dengan peruntukan BR1M bagi 2014 sebanyak RM4 bilion.

Saya juga ingin menarik perhatian rakyat kepada prestasi kewangan sebenar 1MDB. Setiap tahun, 1MDB melakukan nilaian semula ke atas harta-hartanya yang diambil kira dalam menentukan untung rugi tahunan. Bagi tahun 2013, harta-hartanya telah dinilai semula dan peningkatan sebanyak RM2.74 bilion dicatatkan sebagai keuntungan. Jika tidak kerana nilaian semula sebanyak RM2.74 bilion ini, 1MDB sebenarnya mencatat kerugian sebanyak RM1.96 bilion dalam tahun 2013.

Keadaan yang sama berlaku dalam tahun 2014. 1MDB telah membuat nilaian semula ke atas harta-hartanya dan peningkatan nilai berjumlah RM897 juta telah diambil kira. Jika nilaian semula ini tidak dibuat, prestasi kewangan sebenar 1MDB bagi tahun 2014 ialah mencatat kerugian sebanyak RM1.56 bilion.

Penyata Kedudukan Kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 31 Mac 2014 pula mengesahkan bahawa hutang terkini 1MDB (Borrowings) telah mencecah RM42 bilion.

Oleh yang demikian, prestasi sebuah syarikat yang rugi berbilion-bilion ringgit tiap-tiap tahun dari aktivitinya (tidak termasuk perubahan perakauan atau accounting adjustments seperti nilaian semula harta) dan berhutang sedemikian tinggi sudah tentu mengundang soalan tentang pengurusan dan kewajaran perniagaan syarikat itu.

Dalam konteks 1MDB, perkara ini lebih sensitif kerana hutang-hutang 1MDB dijamin Kerajaan Malaysia. Sebuah syarikat yang secara berterusan mengalami kerugian sebegini memberi gambaran ia bukanlah syarikat yang mampu membayar hutang-hutangnya da nada kemungkinan risiko muflis yang tinggi – yang akhirnya akan menyebabkan hutangnya ditanggung rakyat.

Malah, harta-hartanya yang dinilai semula setiap tahun untuk menutup kerugian tersebut termasuklah juga hartanah terbaik negara seperti tanah-tanah kerajaan di sekitar Kem Udara Sungai Besi yang kini dibangunkan sebagai Tun Razak Exchange. Hartanah-hartanah ini disuntik ke dalam 1MDB oleh kerajaan.

Saya mengajak rakan-rakan Ahli Parlimen dari Barisan Nasional untuk turut membuka mata bahawa tidak ada sebarang syarikat kerajaan sebelum ini yang menanggung kerugian berbilion ringgit setiap tahun seperti 1MDB. Prestasi kewangan 1MDB dan risikonya kepada rakyat perlu dibahaskan secara jujur dan saya berharap apabila usul khas mengenai 1MDB difailkan di Dewan Rakyat, rakan-rakan Ahli Parlimen Barisan Nasional akan turut menyokong.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

10 November 2014

Perdana Menteri Enggan Jawab Kenapa Lantik Firma Tidak Dikenali Kendali Rm7.4 Bilion Dana 1MDB

Saya telah mengemukakan satu soalan kepada Perdana Menteri berhubung dana 1MDB sebanyak RM7.4 bilion (atau USD$2.3 bilion) yang diuruskan oleh sebuah firma yang tidak begitu dikenali di Hong Kong bernama Bridge Partners.

Perdana Menteri dalam jawapannya bertarikh 30 Oktober 2014 enggan memberi jawapan yang khusus, seperti jawapan beliau yang saya lampirkan bersama-sama kenyataan ini. Jawapan itu mengelak dari menjawab soalan khusus saya iaitu:

1. Kenapa sebuah firma yang tidak dikenali seperti Bridge Partners dilantik mengendalikan sehingga RM7.4 bilion wang 1MDB yang dijamin oleh Kerajaan Malaysia?

2. Berapa jumlah bayaran setiap tahun yang diberikan kepada firma yang tidak dikenali ini?

1MDB yang diwar-warkan oleh Dato’ Seri Najib sebagai dana negara (“sovereign fund”) sewajarnya mempunyai keupayaan sendiri untuk menguruskan dana rakyat seperti mana dana-dana awam yang lain.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Lembaga Tabung Haji semuanya mempunyai jabatan sendiri yang menguruskan pelaburan dana yang dikutip dari rakyat. Melalui cara ini, tiada ketirisan wang rakyat dalam bentuk bayaran yang terpaksa dibuat kepada firma luar untuk menguruskan dana seperti yang berlaku dengan 1MDB sekarang.

Malah, syarikat besar negara seperti PETRONAS (yang bukan pun sebuah dana awam) turut mempunyai Jabatan Perbendaharaan sendiri untuk menguruskan pelaburan dananya.

Tindakan 1MDB melantik satu firma luar negara yang tidak dikenali untuk mengendalikan pelaburan dana yang dijamin oleh Kerajaan Malaysia memberi makna tersirat berikut:

1. 1MDB tidak mempunyai kepakaran dan kemahiran untuk mengendalikan sendiri pelaburan dana yang dijamin oleh Kerajaan Malaysia. Ini menimbulkan tanda tanya kenapa 1MDB dibenarkan mengambil hutang sebegitu besar yang dijamin oleh Kerajaan Malaysia sekiranya ia tiada kepakaran untuk mengendalikan sendiri pelaburan dananya?

2. Firma Bridge Partners mendapat untung dari mengendalikan dana RM7.4 bilion da nada pihak tertentu yang turut mendapat keuntungan dalam bentuk komisen dan lain-lain

Kengganan Dato’ Seri Najib menjawab soalan saya mengenai lantikan Bridge Partners ini menguatkan lagi persepsi bahawa 1MDB tidak diuruskan dengan telus dan menjadi lubuk bagi pihak-pihak tertentu mengaut keuntungan menggunakan dana rakyat.

Dengan hutang 1MDB yang dijangka mencecah RM40 bilion dan dijamin oleh rakyat, 1MDB kini menjadi ancaman nombor satu kepada kecairan dan kestabilan kewangan Kerajaan Persekutuan.

Usaha untuk memastikan 1MDB dipertanggungjawabkan kepada rakyat perlu bermula dengan membawa kembali semua dana 1MDB ke Malaysia dan dilaporkan penuh kepada Parlimen. Ini perlu bermula dengan menghentikan lantikan firma-firma yang tidak dikenali seperti Bridge Partners untuk menguruskan jumlah dana 1MDB yang begitu besar.

RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agong KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

3 November 2014