Category Archives: 1MDB

SRC International Rugi RM164 Juta Bagi Tahun Kewangan Terkini Berakhir 31 Mac 2014

24 MAC 2015

Saya dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, YB Tony Pua telah berkali-kali menyatakan kebimbangan kami mengenai prestasi sebuah anak syarikat yang dimulakan oleh 1MDB iaitu SRC International Sdn Bhd. Syarikat yang penuh dengan kerahsiaan ini menjadi tumpuan apabila berita bahawa Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) telah memberikan pinjaman sebanyak RM4 bilion disahkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Saya sertakan paparan penyata untung rugi SRC International Sdn Bhd bagi tahun kewangan terkini yang berakhir pada 31 Mac 2014:

screenshotp&l2014

Bagi tahun kewangan terkini, SRC International Sdn Bhd telah mengalami kerugian sebanyak RM164 juta dan tanpa sebarang perolehan. Ini bermakna sebarang kegiatan oleh syarikat ini tidak menjana sebarang pendapatan sedangkan ia mempunyai hutang sebanyak RM4 bilion yang dipinjam dari KWAP.

Ini juga bermakna bahawa sebarang pembayaran faedah di atas hutang RM4 bilion itu dibuat menggunakan dana pinjaman asal dari KWAP.

Keadaan ini tidak banyak berbeza dari modus operandi syarikat-syarikat lain yang bersabit dengan 1MDB iaitu meminjam dana yang besar dengan jaminan kerajaan tanpa mempunyai aktiviti perniagaan yang baik atau stabil. Akhirnya, tiada pendapatan yang dijana dari kegiatan perniagaan sehingga menyebabkan 1MDB menghadapi masalah aliran tunai untuk membayar faedah pinjaman yang diambil.

Adalah jelas bahawa perkara yang sama yang kini menghantui 1MDB akan juga berlaku kepada SRC International Sdn Bhd. Lebih malang lagi adalah kerana SRC International Sdn Bhd melibatkan RM4 bilion dana pencen kakitangan awam yang sepatutnya dilaburkan secara berhemah.

Saya menyeru supaya Perdana Menteri dengan segera mengarahkan agar SRC International Sdn Bhd memulangkan serta-merta setiap satu sen dari RM4 bilion wang KWAP yang dipinjam sebelum ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Perdana Menteri Perlu Perjelas Desas-Desus Suntikan Dana Baru Ke Dalam 1MDB

11 MAC 2015

Sejak isu masalah kewangan 1MDB dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini, desas-desus mengenai suntikan dana baru ke dalam 1MDB terus menjadi spekulasi. Ini diperkuatkan lagi selepas pertemuan Dato’ Seri Najib Tun Razak dengan ketua-ketua bahagian Umno pada 8 Mac 2015 baru-baru bila mana presiden Umno itu dilaporkan memberi penerangan lanjut mengenai 1MDB.

Saya diberikan maklumat oleh seorang Ketua Bahagian Umno yang hadir di dalam pertemuan pada 8 Mac 2015 itu bahawa penerangan mengenai 1MDB itu dilaporkan berkisar sekitar masalah aliran tunai 1MDB. Maklumat itu turut mendakwa bahawa Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk menyuntik RM900 juta dana baru ke dalam 1MDB untuk membantu masalah aliran tunai 1MDB. Daripada jumlah RM900 juta dana baru itu, pemberi maklumat itu mendakwa RM300 juta telah pun disalurkan kepada 1MDB.

Dakwaan ini adalah satu dakwaan yang berat dan melibatkan kepentingan awam kerana kedudukan kewangan 1MDB adalah berisiko besar. Adalah dibimbangi sebarang suntikan dana baru oleh Kerajaan Persekutuan berkemungkinan tidak boleh dibayar kembali oleh 1MDB.

Ada juga spekulasi bahawa satu jumlah yang besar telah pun dipindahkan kepada 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jemaah Menteri tetapi jumlah suntikan itu (ada yang merujuk sebanyak RM3 bilion) tidak diluluskan oleh Jemaah Menteri.

Maklumat dari taklimat Dato’ Seri Najib Tun Razak kepada Ketua-ketua Bahagian Umno dan spekulasi yang timbul mengenai kemungkinan suntikan dana baru kepada 1MDB yang tidak diumumkan kepada rakyat ini perlu diberi perhatian segera.

Selama ini pun, segala urusan 1MDB dijalankan tanpa ada pertanggungjawaban kepada rakyat atau Parlimen hinggalah jumlah hutangnya mencecah RM42 bilion setakat tahun kewangan 2014. Untuk mengelakkan keadaan ini berlanjutan, sebarang dakwaan dan spekulasi mengenai suntikan dana baru ke dalam 1MDB perlulah diberi perhatian segera.

Oleh yang demikian, saya menyeru supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak mendedahkan minit mesyuarat Jemaah Menteri mengenai 1MDB dan suntikan dana ke dalam 1MDB. Beliau juga perlu memberi penjelasan mengenai maklumat dari taklimat Ketua-ketua Bahagian Umno bahawa suntikan baru RM900 juta telah pun diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan kepada 1MDB.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

1MDB: Bentangkan Terma Audit Di Parlimen, Ambil Tindakan Segera Di Bawah Akta Anti Pengubahan Wang Haram (Anti Money Laundering Act)

5 Mac 2015

Saya mengucapkan syabas kepada seluruh rakyat Malaysia yang berterusan menekan Dato’ Seri Najib Tun Razak sehingga akhirnya beliau tidak ada pilihan untuk beralah sedikit dengan mengarahkan Ketua Audit Negara untuk menjalankan audit ke atas 1MDB.

Saya sendiri pernah mengutus surat sebagai Ahli Parlimen pada 26 November 2014 kepada Ketua Audit Negara menggesa beliau untuk menjalankan audit ke atas 1MDB memandangkan sejumlah RM4 bilion dana dari Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) telah dipinjamkan kepada 1MDB dalam tahun 2011. Surat itu tidak pernah dijawab oleh Ketua Audit Negara dan beliau juga membuat kenyataan rasmi menolak keperluan audit dijalankan ke atas 1MDB.

Makanya, keputusan Dato’ Seri Najib Tun Razak semalam membuktikan sekali lagi bahawa desakan-desakan yang dibuat oleh pimpinan Pakatan Rakyat termasuk saya, Saudara Tony Pua, Saudara Anwar Ibrahim dan Saudara Lim Kit Siang selama ini ada asasnya. Seperti juga dalam skandal-skandal yang lain (contohnya NFC), perkara yang ditimbulkan kami pada awalnya dinafikan mentah-mentah oleh Barisan Nasional tetapi akhirnya terpaksa membuat “U-Turn” dan melaksanakan juga apa yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat dari awal.

Pun begitu, saya tidak yakin audit itu diarahkan dengan objektif untuk memastikan segala urusan 1MDB didedahkan kepada orang awam mengikut prinsip tata kelola dan ketelusan. Malah, saya bimbang audit itu hanyalah satu helah untuk mengheret Ketua Audit Negara mengiyakan bahawa operasi 1MDB tidak membawa risiko kewangan kepada negara, seperti mana suatu ketika dahulu Ketua Audit Negara pernah dilibatkan untuk membersihkan nama NFC.

Fungsi dan matlamat sesuatu audit ditentukan oleh skop dan terma audit. Audit penyata kewangan yang dilakukan oleh firma audit bebas misalnya adalah mengikut peraturan dan piawai audit dan laporan kewangan antarabangsa selain dari mengikut undang-undang (Akta Syarikat dan lain-lain). Oleh itu, sejauh mana audit yang bakal dijalankan ini berkesan dalam merungkai penyelewengan yang mungkin telah berlaku di dalam 1MDB bergantung kepada apakah skop dan terma audit yang telah ditetapkan.

Sebab itu, saya menyeru supaya skop dan terma itu dibentangkan di Parlimen dalam sidang akan datang supaya ia benar-benar menyeluruh dan bermatlamatkan ketelusan. Audit tersebut mestilah mempunyai objektif-objektif berikut:

1. Mengenalpasti ke mana dana telah dilaburkan, berapa yang dibelanjakan dan siapa penerima akhir (“final beneficiaries”) bagi setiap satu sen dana yang digunakan oleh 1MDB

2. Mengenalpasti sama ada keputusan bagi setiap pelaburan dan perbelanjaan telah menepati tata kelola (“good governance”) dan berpatutan dengan harga/nilai pasaran

3. Memastikan setiap pelaburan dan perbelanjaan membawa pulangan yang berpatutan yang melebihi nilai hutang yang telah diambil oleh 1MDB

4. Mengenalpasti risiko kewangan yang dibawa 1MDB kepada ekonomi negara khususnya sektor perbankan dan pasaran bon/ekuiti serta langkah-langkah segera membendungnya

5. Mengenalpasti individu terbabit dalam setiap perbelanjaan dan pelaburan yang dibuat 1MDB serta saranan tindakan yang perlu diambil terhadap mereka sekiranya terbukti berlaku penyelewengan atau pengurusan yang lemah

Jika audit itu tidak menyentuh mana-mana objektif di atas, saya yakin ia tidak akan memberi sebarang jawapan kepada pelbagai tanda tanya mengenai 1MDB selama ini. Saya juga percaya keputusan audit itu akan mengheret Ketua Audit Negara untuk mengiyakan bahawa 1MDB bebas dari sebarang masalah seperti mana seluruh Jemaah Menteri diheret membela 1MDB apabila mereka menyatakan mereka berpuas hati dengan penjelasan pengurusan 1MDB minggu ini.

Pada masa yang sama, arahan agar audit ini dijalankan tidak patut dijadikan alasan untuk tidak mengambil tindakan bagi pelanggaran undang-undang yang nyata telah dibuat oleh pengurusan 1MDB.

Saya turut meneliti pendedahan Sarawak Report mengenai email-email di antara pengurusan 1MDB dan pihak-pihak lain. Salah satu dari siri email ini adalah bersabit pemindahan wang USD700 juta milik 1MDB yang akhirnya dipindahkan ke sebuah syarikat bernama Good Star Limited yang mana Jho Low mempunyai kepentingan.

Email di antara Jacqueline Ho, wakil dari Deutsche Bank dan Shahrol Halmi, mantan CEO 1MDB pada 2 Oktober 2009 adalah seperti berikut:

From : Jacqueline Ho <[email protected] >
To : Casey Tang; Shahrol Halmi
Sent : Fri Oct 02 06:19:20 2009
Subject : RESEND : URGENT REQUEST OF RBS COUTTS
Dear Casey and Shahrol

Please see an email request from RBS Coutts to reveal the beneficiary name pertaining to 1MDB’s remittance.

In that sense, I believe RBS needs confirmation on the beneficiary’s name in order to complete their internal risk mitigating processes as no name was

We will await your instructions on whether to reveal the beneficiary name and address (please provide) to RBS Coutts.
As requested by them, we will have to send it out via email and an authenticated swift message so would appreciate a reply as soon as possible.

Best Rgds
Jacqueline Ho
Corporate Coverage
Deutsche Bank (M) Bhd
Tel: + 603 20317798
Mob: +6012 2059561

From : Shahrol Halmi
Date : Fri, 2 Oct 2009 08:21:15 -0400
To : ‘[email protected]’ <[email protected] >; Casey Tang <[email protected] >
Subject : Re: RESEND : URGENT REQUEST OF RBS COUTTS

Jac, please use this address for GOOD STAR LIMITED.

P.O.Box 1239, Offshore Incorporation Centre, Victoria, Mahe, Republic of Seychelles

Thanks

Dari email ini, ada kemungkinan besar bahawa mantan CEO 1MDB dan Deutsche Bank telah melanggar peruntukan Akta Anti Pengubahan Wang Haram (Anti Money Laundering Act) apabila gagal menyatakan nama penerima dana (“beneficiary name”) seperti yang dituntut undang-undang. Siasatan perlu segera dijalankan oleh Bank Negara Malaysia untuk memastikan dana USD700 tidak dipindahkan tanpa bank-bank dan syarikat terbabit tahu kepada siapakah dana itu dipindahkan.

Saya percaya Bank Negara Malaysia selama ini tahu bahawa banyak urusniaga dan pemindahan dana oleh 1MDB berkemungkinan besar melanggar Akta Anti Pengubahan Wang Haram.

Oleh itu, jika benar Dato’ Seri Najib Tun Razak mahu meyakinkan rakyat bahawa 1MDB tidak mempunyai apa-apa masalah, beliau tidak patut campur tangan dengan membenarkan Bank Negara menjalankan siasatan segera di bawah Akta Anti Pengubahan Wang Haram.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Bank Negara Malaysia Perlu Dedahkan Laporan Audit (“Compliance Audit”) Hutang RM2 Bilion Kepada 1MDB: Perletakan Jawatan CEO Ambank Group Bersabit Hutang 1MDB?

3 MAC 2015

Pada 29 Januari 2015 yang lalu, Ambank Group Berhad (AMMB) mengumumkan secara mengejut perletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Ashok Ramamurthy dari jawatannya di kumpulan perbankan itu. Beliau diumumkan akan kembali ke Australia and New Zealand Banking Group (ANZ) iaitu pemegang saham terbesar dalam AMMB.

Saya dibekalkan dengan maklumat dalaman bahawa selain dari Ashok Ramamurthy, dua orang lagi pegawai kanan Ambank juga telah meletakkan jawatan bersama-sama beliau. Berita pertukaran mengejut kepimpinan di Ambank ini berlalu dengan senyap tanpa mendapat perhatian media dan orang ramai.

Walau bagaimana pun, saya dimaklumkan keputusan untuk menukar CEO oleh pengurusan AMMB itu bersabit dengan satu hutang berjumlah RM2 bilion yang diberikan kepada 1MDB bagi projek hartanah Bandar Malaysia yang diusahakan oleh 1MDB.

Saya juga dimaklumkan bahawa isu ini mula timbul apabila laporan audit pematuhan (“compliance audit”) yang dijalankan secara berkala oleh Bank Negara Malaysia terhadap AMMB telah mengenalpasti beberapa pelanggaran (“irregularities”) dalam proses pemberian pinjaman berjumlah RM2 bilion itu oleh AMMB kepada 1MDB.

Sejak beberapa tahun yang lalu, AMMB menguruskan beberapa urusniaga penting melibatkan 1MDB. Selain dari meluluskan hutang RM2 bilion ini, AMMB juga dilaporkan menguruskan penerbitan hutang (“Islamic medium term notes”) berjumlah RM5 bilion.

Saya menghargai ketegasan Bank Negara Malaysia yang menimbulkan beberapa pelanggaran ini di dalam laporan audit pematuhannya; seperti yang dimaklumkan kepada saya. Saya juga lega kerana pemegang saham AMMB nampaknya mengambil tindakan serta-merta selepas risiko hutang 1MDB yang membabitkan AMMB dilaporkan melalui audit pematuhan.

Walau bagaimana pun, ini tidak mencukupi kerana risiko keseluruhan 1MDB kepada sektor perbankan negara belum dilaporkan secara telus.

Oleh yang demikian, saya menyeru supaya Bank Negara Malaysia mendedahkan laporan audit pematuhan (“compliance audit”) ke atas semua bank tempatan yang ada memberi pinjaman kepada 1MDB supaya ahli-ahli Parlimen dan orang ramai dapat menilai sendiri setakat mana keberhutangan 1MDB ini memberi risiko kepada kestabilan sektor perbankan negara.

Saya juga telah menghantar soalan-soalan Parlimen bersabit keputusan audit Bank Negara Malaysia terhadap pinjaman-pinjaman 1MDB kepada Menteri Kewangan bagi sessi Parlimen akan datang. Jika tiada apa yang perlu disembunyikan, saya pasti Menteri Kewangan tiada halangan mendedahkan laporan-laporan audit oleh BNM ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Kegagalan Membayar Hutang: Menteri Kewangan, Lembaga Pengarah 1MDB Perlu Letak Jawatan

26 FEBRUARI 2015

Pengurusan 1MDB akhirnya mengakui bahawa syarikat milik penuh kerajaan itu tidak akan mampu melunaskan tanggungjawab khidmat hutangnya (“debt servicing”) kerana pendapatan dari pelaburan yang dibuat setakat ini tidak mencukupi berbanding dengan bayaran faedah dan kupon bon yang perlu dibayar setiap tahun.

Dalam kenyataan minggu lepas, 1MDB mengakui bahawa ia terpaksa bergantung kepada suntikan dana baru dari kerajaan yang dianggarkan berjumlah RM3 bilion untuk melunaskan tanggungjawab khidmat hutang itu. 1MDB juga terpaksa menjual aset-asetnya melalui satu proses rasionalisasi operasi seperti yang telah diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya minggu lalu.

Awal tahun ini, 1MDB berhadapan dengan masalah untuk membayar hutang RM2 bilion kepada Maybank dan RHB yang akhirnya diselesaikan dalam keadaan misteri. Pendedahan saya sama ada 1MDB menggunakan dana kerajaan melalui penerbitan bil perbendaharaan (“treasury bill”) yang terbesar dibuat oleh kerajaan sebanyak RM2.1 bilion sehingga kini tidak dinafikan.

Saya juga telah mendedahkan pada 2 Februari 2015 bahawa 1MDB juga mempunyai satu lagi hutang jangka pendek sebanyak RM3.6 bilion kepada 6 bank yang diketuai oleh Deutsche Bank. Hutang tersebut perlu dibayar menjelang September 2015. Ketika 1MDB mengambil hutang ini di tengah-tengah kontroversinya meletup tahun lalu, ia menyandarkan hutang RM3.6 bilion ini kepada dana baru yang bakal diperolehi dari pasaran saham melalui penyenaraian anak syarikat IPPnya.

Kini dengan pembatalan penyenaraian tersebut, sudah tentu 1MDB akan berhadapan masalah untuk melangsaikan hutang RM3.6 bilion ini menjelang tarikh matang September 2015.

Oleh yang demikian, kegagalan 1MDB sudah ternyata dan tidak boleh disembunyikan lagi. Pihak yang bertanggungjawab dengan pengurusan dan keputusan 1MDB wajarlah meletakkan jawatan sebelum kerajaan bersetuju untuk menyuntik RM3 bilion tambahan seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Saya akan memfailkan usul di dalam sidang Parlimen akan datang supaya tidak ada sebarang suntikan dana baru ke dalam 1MDB sehinggalah ada pertanggungjawaban (“accountability”) di atas kegagalan 1MDB seperti berikut:

1. Menteri Kewangan, Dato’ Seri Najib Tun Razak perlu mengosongkan jawatan Menteri Kewangan serta merta agar seorang Menteri Kewangan sepenuh masa boleh mengambil alih tugasan

2. Keseluruhan Lembaga Pengarah 1MDB perlu meletakkan jawatan berkuatkuasa serta merta

3. Setiap ahli Lembaga Pengarah 1MDB yang meletakkan jawatan tidak dilantik ke mana-mana jawatan di dalam mana-mana anak syarikat atau agensi milik kerajaan untuk mengelakkan mereka dikitar semula

Usul itu juga akan mencadangkan supaya suntikan dana RM3 bilion ke dalam 1MDB oleh kerajaan perlu dibahaskan dalam satu sidang khas Parlimen.

Kegagalan 1MDB perlulah terus dibawa ke Parlimen agar ia tidak berulang dan mereka yang bertanggungjawab dikenakan tindakan.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN