Category Archives: 1MDB

Laporan Polis Terhadap Jho Low Berdasarkan Bukti Dalam Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC)

041716 1MDB Wanted-01

Pada hari ini, saya telah membuat satu laporan polis di IPD Dang Wangi terhadap Jho Low berdasarkan bukti-bukti di dalam Laporan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC).

Laporan saya pada hari ini adalah seperti berikut:

Pada 14 April 2016 di pejabat saya di Ibupejabat KEADILAN, Merchant Square, Petaling Jaya saya telah membaca Laporan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) Mengenai 1MDB yang diperolehi dari laman web Parlimen Malaysia di http://www.parlimen.gov.my/pac/review/docs-110-116.pdf

Saya merujuk kepada mukasurat 8 hingga 14 laporan tersebut yang menghuraikan latar belakang penubuhan 1MDB dan penerbitan Islamic Medium Term Notes (IMTN) iaitu bon hutang berjumlah RM5 bilion. Bon hutang RM5 bilion ini adalah hutang pertama yang diambil oleh 1MDB dan dari pengetahuan saya melalui pembacaan di media mengenai 1MDB, bon hutang RM5 bilion ini dijamin oleh Kerajaan Persekutuan.

Dari Laporan PAC mukasurat 8 hingga 14 itu, saya memahami bahawa intipati siasatan PAC merumuskan perkara-perkara tersebut:

i. Pengurusan 1MDB pada ketika itu telah menandatangani perjanjian program dan pengeluaran jaminan kerajaan bagi bon hutang RM5 bilion ini tanpa mengikut terma dan perancangan yang telah ditetapkan oleh Menteri Besar Diperbadankan (MBI Terengganu) iaitu pemegang saham pada ketika itu

ii. Akibat pelanggaran seperti di dalam (i) di atas, Lembaga Pengarah pada ketika itu pada 22 Mei 2009 telah meluluskan tiga resolusi yang mengarahkan penggantungan penerbitan bon hutang RM5 bilion ini sehingga beberapa langkah untuk menguatkan tatakelola dan urustadbir (“good governance”) dilaksanakan terlebih dahulu

iii. Walau bagaimana pun, pada 25 Mei 2009 iaitu tiga hari selepas resolusi mengarahkan penggantungan penerbitan bon hutang RM5 bilion dibuat, pengurusan 1MDB melanggar arahan itu dengan menandatangani Perjanjian Langganan dengan Ambank

iv. PAC telah mendapati Dato’ Shahrol Azral sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada ketika itu telah melakukan kesalahan kerana menandatangani Perjanjian Langganan Bon Hutang RM5 Bilion tanpa apa-apa kuasa yang diberikan oleh Lembaga Pengarah

v. Siasatan PAC mendapati bahawa penerbitan bon hutang RM5 bilion itu disegerakan (walaupun bertentangan dengan arahan Lembaga Pengarah) atas permintaan Penasihat Khas

vi. Salah seorang dari Penasihat Khas yang dinamakan di dalam laporan ialah seorang yang bernama Low Taek Jho (atau lebih dikenali Jho Low)

Penemuan PAC yang dimuatkan di dalam laporannya dari mukasurat 8 hingga 14 itu menunjukkan beberapa tindakan atau keputusan yang melanggar undang-undang dan boleh disiasat di bawah Kanun Keseksaan, Akta Syarikat, Akta SPRM, akta-akta berkaitan penerbitan sekuriti dan akta-akta lain.

Sebagai rakyat Malaysia, saya berpendapat tindakan Jho Low sebagai Penasihat Khas TIA (kemudiannya 1MDB) memberikan arahan kepada pengurusan 1MDB untuk melanggar arahan Lembaga Pengarah dengan terus menerbitkan bon hutang RM5 bilion itu telah melanggar pelbagai undang-undang seperti di atas dan wajar disiasat segera.

Saya juga memohon supaya siasatan dibuat untuk menentukan bagaimana Jho Low boleh menjadi begitu berkuasa di dalam urusan TIA (kemudiannya 1MDB) kerana pengaruhnya itu sering dikaitkan dengan hubungan rapat dengan keluarga Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Saya membuat laporan ini untuk membantu siasatan polis yang kini sedang berjalan ke atas 1MDB.

Bersama-sama ini saya sertakan sampel laporan polis yang sama yang boleh digunakan untuk membuat laporan polis terhadap Jho Low di seluruh negara.

Download (PDF, 122KB)

Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia menyertai kempen #1MDBWanted dengan sama-sama membuat laporan polis terhadap Jho Low bermula minggu ini. Sampel laporan boleh didapati di blog saya rafiziramli.com dan selepas membuat laporan polis, sila isi borang di 

bit.ly/1MDBWanted 

untuk mengemukakan butir-butir laporan yang dibuat bagi membolehkan saya memantau berapa banyak laporan yang dibuat oleh rakyat biasa.

Saya percaya rakyat perlu mengambil tindakan dengan turut serta dalam usaha-usaha membawa mereka yang terlibat dengan 1MDB ke muka pengadilan. Setiap minggu saya akan membuat laporan polis terhadap individu-individu yang dinamakan di dalam Laporan PAC supaya satu hari nanti mereka terpaksa memikul beban tanggungjawab akibat penglibatan mereka di dalam 1MDB.

Jika mereka tidak mahu menjadi sasaran laporan polis rakyat seperti Jho Low, lebih baik mereka tampil ke depan memberi keterangan mengenai penglibatan Dato’ Seri Najib Tun Razak secepat mungkin.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Bila Ketua Polis Negara Akan Mengarahkan Pasukan Polis Menahan Arulkanda?

Pada 30 Mac 2016 yang lalu sekitar jam 2 petang, saya telah membuat satu laporan polis di IPD Dang Wangi terhadap Arulkanda Kandasamy dan pengurusan kanan 1MDB berhubung satu maklumat dari Laporan Ketua Audit Negara yang menunjukkan sejumlah RM288 juta telah dibelanjakan tanpa dimaklumkan dahulu kepada Lembaga Pengarah 1MDB.

Saya membuat laporan tersebut supaya satu siasatan dapat dijalankan dengan segera untuk menentukan sama ada satu kesalahan jenayah telah dilakukan kerana sebarang pembayaran atau perbelanjaan sebesar itu memerlukan kelulusan Lembaga Pengarah 1MDB.

Siasatan itu juga penting kerana selama ini Arulkanda sering memberi alasan bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai pelbagai salah tadbir kewangan di 1MDB kerana ia berlaku sebelum beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB. Maka, urusniaga RM288 juta tanpa pengetahuan Lembaga Pengarah 1MDB itu kini menjadi satu bukti bahawa di bawah pengurusan Arulkanda pun keputusan dan urusniaga yang meragukan dan boleh disifatkan melanggar undang-undang, masih terus berlaku.

Sehingga kini saya tidak nampak pihak polis mengambil tindakan menahan Arulkanda Kandasamy atau mana-mana pengurusan kanan 1MDB untuk mempercepatkan siasatan. Malah, saya tidak pasti sama ada pihak polis telah mengambil sebarang kenyataan dari Arulkanda Kandasamy atau mana-mana pengurusan kanan 1MDB.

Ini berbeza dengan layanan polis terhadap saya.

Laporan polis terhadap saya dibuat oleh Jabatan Audit Negara sekitar jam 11 pagi pada hari Selasa, 5 April 2016. Saya dimaklumkan bahawa arahan untuk menahan saya dikeluarkan sekitar jam 4 petang pada hari yang sama iaitu 5 jam selepas laporan polis dibuat. Saya kemudiannya ditahan pada jam 6 petang pada hari yang sama iaitu 7 jam selepas laporan polis terhadap saya dibuat.

Oleh itu, saya ingin mengingatkan Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Negara bahawa segala tindak tanduk beliau berhubung isu 1MDB diperhatikan oleh rakyat. Jika saya boleh ditahan 7 jam selepas laporan polis terhadap saya dibuat, kenapa sehingga sekarang Ketua Polis Negara ini belum mengeluarkan arahan agar Arulkanda Kandasamy juga ditahan untuk siasatan lanjut kerana tepat jam 2 petang hari ini, 2 minggu telah berlalu sejak saya membuat laporan polis terhadap Arulkanda Kandasamy dan pengurusan kanan 1MDB.

Lebih penting lagi, oleh kerana Jabatan Audit Negara mengesahkan bahawa dokumen yang saya dedahkan adalah dokumen yang sahih, maka sudah tentu maklumat yang terkandung juga adalah sahih. Ini mengesahkan bahawa Arulkanda Kandasamy dan pengurusan kanan 1MDB telah membuat pembayaran RM288 juta tanpa dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah terlebih dahulu dan asas yang kukuh untuk memulakan siasatan terhadap mereka.

Saya akan menunggu sehingga Jumaat 15 April 2016 ini untuk melihat sama ada Ketua Polis Negara akan mengarahkan Arulkanda Kandasamy ditahan untuk siasatan lanjut sebelum saya memulakan langkah-langkah lain berhubung perkara ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

LTAT Secara Tidak Langsung Sahkan Berlaku Kelewatan

Saya sedia maklum kenyataan media Pengerusi LTAT, Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor bertarikh 4 April 2016 mengenai senarai 110 pesara tentera yang saya kemukakan kepada LTAT minggu lepas.

Kenyataan beliau memperincikan perkara berikut:

1. 69 dari pesara yang saya kemukakan dibayar di antara 16 Mac 2016 dan 4 April 2016
2. Dokumen bagi 23 pesara tentera baru diperolehi dari Urusan Gaji Angkatan Tentera (UGAT) dan pembayaran sedang diproses
3. Dokumen bagi 16 pesara belum diterima dari UGAT

Kenyataan beliau mengesahkan bahawa semasa saya mula-mula membawa isu ini iaitu 21 Mac 2016, sebahagian besar (jika tidak kesemuanya) dari pesara tentera ini belum menerima bayaran gratuiti caruman LTAT. Saya kesal kerana beliau terus berkeras mahu menafikan bahawa ada masalah kelewatan pembayaran kepada pesara sehingga berbulan lamanya tidak kiralah di mana masalah itu (sama ada di peringkat UGAT atau LTAT).

Saya juga berminat untuk mengetahui bagi 69 pesara yang baru menerima bayaran caruman LTAT, bilakah sebenarnya bayaran itu dibuat? Jika LTAT tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan, saya cabar LTAT menyenaraikan secara terperinci tarikh sebenar pembayaran dibuat bagi setiap dari 69 pesara itu kerana saya khuatir sekiranya sebahagian besar dari mereka (jika tidak kesemuanya) hanya dibayar pada 4 April 2016 iaitu beberapa hari selepas saya mengemukakan senarai kepada LTAT.

Saya terus menerima aduan kelewatan pembayaran dari pesara tentera. Hari ini saya akan menghantar senarai kedua terdiri dari 81 pesara tentera yang belum mendapat bayaran dan ganjaran pencen sepenuhnya termasuk caruman LTAT. Dari jumlah 81 pesara tentera ini, 75 orang masih belum menerima caruman LTAT sejak mereka tamat perkhidmatan.

Saya desak supaya pengurusan LTAT dan Unit Gaji Angkatan Tentera (UGAT) mengambil tanggungjawab untuk menyemak semula proses dan prosedur kelulusan pembayaran supaya pesara-pesara tentera tidak berdepan dengan masalah birokrasi atas alasan dokumen tidak dikemukakan oleh UGAT sehingga mereka tidak menerima bayaran caruman sehingga berbulan-bulan lamanya. Individu seperti Pengerusi LTAT ini dibayar gaji yang lumayan setiap bulan untuk menjaga kebajikan pesara tentera dan adalah menjadi tanggunjawab beliau untuk menyelesaikan sebarang masalah pentadbiran di antara LTAT dan UGAT yang melambatkan pembayaran.

Mengenai tindakan undang-undang yang diambil oleh LTAT, saya mencabar Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor sebagai Pengerusi LTAT dan Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif LTAT menyaman saya atas kapasiti peribadi dan menggunakan wang mereka sendiri untuk membayar kos guaman. Saya kesal jika mereka menggunakan wang caruman pesara tentera untuk menyaman saya sedangkan setakat ini mereka gagal menafikan fakta-fakta yang saya kemukakan.

Saya akan berdepan dengan mereka berdua ini dan akan memanggil saksi-saksi dari kalangan pesara tentera yang lewat dibayar caruman untuk memberi keterangan. Saya juga akan mengambil peluang ini untuk menanyakan soalan-soalan berhubung penglibatan LTAT dengan 1MDB terutamanya yang melibatkan peranan Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin. Saya yakin ia akan menjadi satu perbicaraan yang mendapat perhatian dunia.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Serah Senarai Nama Pesara Kepada LTAT Dan LTAT Perlu Menjawab Soalan-Soalan Yang Ditimbulkan

31 MAC 2016

Saya kesal membaca kenyataan Tan Sri Laksamana (B) Mohd Anwar Mohd Nor, Pengerusi LTAT yang akhirnya memberi maklumbalas setelah hampir seminggu saya mendedahkan bagaimana 1MDB mempunyai hutang tertunggak berjumlah RM396.41 juta kepada PPHM (anak syarikat LTAT) serta sejumlah RM288 juta yang sepatutnya dibayar kepada PPHM telah digunakan oleh 1MDB bagi tujuan kewangannya sendiri.

Kenyataan beliau langsung tidak menjawab kedua-dua perkara penting yang saya dedahkan tersebut. LTAT juga tidak menjawab gesaan saya supaya disenaraikan nama-nama dan jumlah pesara tentera yang bayaran caruman mereka tertunggak.

Sebaliknya kerja itu kini dipulangkan kepada saya untuk menghantar senarai nama pesara yang bayaran caruman mereka tertunggak menjelang jam 5 petang hari ini dan disertakan dengan ugutan saman jika saya gagal menghantar senarai nama tersebut. Ini bukan kali pertama LTAT mengugut untuk mengambil tindakan saman terhadap saya malah minggu lepas pun LTAT telah membuat ugutan yang sama.

Pejabat saya akan menghantar secara rasmi senarai nama pesara-pesara yang telah membuat aduan rasmi kepada saya dan YB Laksamana (B) Imran Abdul Hamid menjelang jam 5 petang ini melalui faks ke ibu pejabat LTAT. Senarai ini mengandungi maklumat 110 pesara.

Saya dan YB Laksamana (B) Imran Abdul Hamid juga dengan ini mempelawa mana-mana pesara tentera yang masih belum menerima sepenuhnya bayaran persaraan (dalam apa-apa bentuk) untuk mendaftar dengan kami supaya kami boleh mengambil tindakan terus dengan LTAT dan pihak-pihak berwajib yang lain. Pesara-pesara tentera boleh memberi maklumat dengan mengisi borang di capaian bit.ly/pesaratentera

Walaupun saya benar-benar kesal dengan sikap Pengerusi LTAT itu yang nampaknya lebih berminat bermain politik, beliau juga tidak boleh lari dari menjawab perkara-perkara penting mengenai keterlibatan LTAT (melalui PPHM) dengan 1MDB seperti berikut:

i. Menurut LTAT, ia tidak terkesan dengan bayaran yang diterima PPHM dari 1MDB dalam memenuhi tanggungjawab kewangannya membayar caruman. Namun begitu, kedudukan tunai LTAT berdasarkan Laporan Kewangan LTAT 2014 menunjukkan baki tunai LTAT pada 31 Disember 2014 adalah RM561 juta. Jumlah ini jauh lebih rendah dari baki pada 31 Disember 2013 iaitu RM1.117 bilion (berkurangan hampir separuh).

Jumlah tunai yang diperlukan untuk membayar pengeluaran caruman pesara tentera bagi tahun 2014 adalah RM1 bilion. Sudah tentu jumlah tunai RM561 juta bukanlah jumlah yang selesa memandangkan jumlah yang diperlukan untuk membayar pengeluaran caruman adalah RM1 bilion. Maka, sebarang kelewatan dalam bayaran kepada LTAT (atau anak syarikatnya) pada jumlah yang besar seperti RM396.42 juta mempunyai kesan kepada aliran tunai LTAT.

ii. Dalam tahun 2014, LTAT memberi pendahuluan kepada PPHM sebanyak RM48 juta bagi tujuan membiayai keperluan modal projek PUKL. Dalam tahun 2015, LTAT menambah lagi pendahuluan kepada PPHM sebanyak RM150 juta menjadikan jumlah pendahuluan kepada PPHM adalah RM198 juta menjelang akhir 2015. Pendahuluan dari LTAT kepada PPHM ini mengesahkan kesan kelewatan pembayaran 1MDB kepada LTAT sehinggakan LTAT terpaksa mendahulukan dana yang memberi lebih tekanan kepada kedudukan tunainya yang sudah pun berkurangan dalam 2014 berbanding 2013.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Arulkanda Kandasamy Tidak Menafikan Dakwaan Bayaran RM288 Juta Dibuat Tanpa Kelulusan Lembaga Pengarah

31 MAC 2016

Saya ambil maklum bahawa kenyataan 1MDB yang dikeluarkan semalam selepas saya membuat satu laporan polis terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Arulkanda Kandasamy dan pengurusan kanan 1MDB.

Yang menariknya, kenyataan 1MDB itu langsung tidak menafikan dakwaan saya bahawa 1MDB telah membuat satu bayaran berjumlah RM288 juta yang tidak dimaklumkan dan tidak mendapat kelulusan Lembaga Pengarah. Ini adalah satu kesalahan jenayah yang perlu dijawab oleh Arulkanda Kandasamy sebagai Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB.

Kenyataan 1MDB semalam itu cukup berbeza dengan kenyataan-kenyataan sebelum ini yang kebiasaannya menafikan terus sebarang isu yang ditimbulkan. Saya mengambil pendirian bahawa kenyataan 1MDB yang tidak menafikan dakwaan saya itu (seperti kebiasaan amalan 1MDB) secara tidak langsung mengiyakan bahawa dakwaan saya itu ada asas.

Oleh yang demikian, 1MDB tidak boleh bermain politik dengan menuduh saya kononnya cuba mensensasikan siasatan Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Negara. Keseluruhan kenyataan balas 1MDB semalam adalah kenyataan politik apabila menuduh saya campur tangan di dalam siasatan Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Negara.

Hakikatnya ialah ada asas yang kukuh untuk menyiasat satu perlakuan jenayah yang mungkin telah dilakukan oleh pengurusan kanan 1MDB yang diketuai oleh Arulkanda Kandasamy. Bila perlakuan jenayah berlaku, ia tidak tertakluk kepada siasatan-siasatan lain yang sedang berjalan di Parlimen atau di peringkat Ketua Audit Negara.

Siasatan segera oleh pihak berkuasa yang berkenaan mengikut akta yang berkenaan perlu dijalankan dan boleh berjalan selari dengan siasatan dan semakan lain yang telah pun bermula.

Saya telah menerima panggilan dari Pengawai Penyiasat IPD Dang Wangi untuk diambil keterangan dan saya berharap siasatan terhadap Arulkanda Kandasamy ini boleh berjalan mengikut kaedah undang-undang yang sewajarnya.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN