Category Archives: 1MDB

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Serbu National Oversight & Whistleblowers (NOW)

Pagi ini sekitar jam 11 pagi, beberapa orang pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) datang ke pejabat National Oversight & Whistleblowers (NOW) menuntut untuk memeriksa keseluruhan rekod kewangan NOW.

Mereka memberi alasan pemeriksaan dibuat untuk memastikan NOW mematuhi Seksyen 167 Akta Syarikat yang mewajibkan sesebuah syarikat dan pegawai-pegawainya (termasuk pengarah) menyimpan rekod kewangan terperinci sehingga 7 tahun.

Saya tidak berada di NOW kerana hari Jumaat adalah hari saya berada di Pusat Khidmat Parlimen di Pandan. Saya dimaklumkan oleh Saudara Akmal Nasir, Pengarah Eksekutif NOW yang berada di pejabat bahawa pegawai-pegawai SSM ini tidak memberikan sebarang notis bertulis untuk memeriksa rekod kewangan NOW.

Perkara itu adalah bertentangan dengan undang-undang kerana SSM tidak ada kuasa untuk datang tanpa notis bertulis untuk memeriksa apa-apa dokumen sebuah syarikat atau pertubuhan. Setelah berbincang dengan beberapa peguam, kami memaklumkan kepada pegawai-pegawai tersebut supaya menunjukkan notis bertulis terlebih dahulu.

Saya dimaklumkan oleh Saudara Akmal bahawa alasan yang diberikan oleh pegawai-pegawai tersebut ialah mereka tidak menunjukkan notis bertulis untuk memudahkan urusan kerana jika mereka menunjukkan notis, NOW terpaksa mengemukakan semua dokumen yang disenaraikan di dalam notis tersebut. Untuk membantu NOW, mereka mencadangkan lebih baik jika mereka diberikan dahulu rekod lejer dan mereka akan memilih dokumen mana yang sesuai.

Jika pun itu niat sebenar pegawai-pegawai ini, mereka sepatutnya mematuhi bidang kuasa mereka seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang di bawah Bahagian IV (Seksyen 27A hingga 27D) Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia mengenai kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan.

Kuasa-kuasa itu secara jelas mengkehendaki satu notis bertulis dikeluarkan terlebih dahulu.

Saya telah menasihatkan NOW untuk menunggu notis bertulis tersebut dan tidak memberi apa-apa akses kepada maklumat selagi notis bertulis itu tidak dikeluarkan. Sebagai pengasas NOW yang telah masak dengan pelbagai cubaan menakutkan kami, saya tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan.

Sebaik sahaja notis bertulis itu dikeluarkan mengikut undang-undang, saya akan menasihatkan NOW untuk menyerahkan semua maklumat kewangan bagi tujuan Seksyen 167 Akta Syarikat kepada SSM. Namun, jika notis bertulis itu menyenaraikan maklumat yang tidak ada kena mengena dengan keperluan penyiasatan di bawah Seksyen 167 Akta Syarikat (contohnya maklumat kes-kes penyelewengan yang kami sedang siasat), saya akan berunding dengan peguam untuk mencabar notis bertulis itu.

Saya kesal kerana organisasi yang membongkarkan penyelewengan wang rakyat seperti NOW terus menjadi sasaran pihak berkuasa. Selain saya sendiri yang berdepan dengan 12 tindakan undang-undang setakat ini, Saudara Akmal pun pernah disaman oleh menteri sebelum ini.

Saya menasihati supaya SSM lebih menumpukan kepada pelbagai penemuan oleh Ketua Audit Negara mengenai salahlaku 1MDB dan dirumuskan oleh Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC). Pelanggaran–pelanggaran oleh 1MDB mengikut peruntukan di bawah Akta Syarikat adalah banyak dan saya sendiri telah membuat laporan polis mengenai pelanggaran-pelanggaran di bawah Akta Syarikat ini.

Kenapa sehingga sekarang SSM masih belum menyerbu 1MDB?

MOHD RAFIZI RAMLI dan AKMAL NASIR

Bagi pihak NOW

Pautan:

Laporan polis terhadap Jho Low berkenaan kesalahan bersabit Akta Syarikat

A Whining International Trade Minister Is a Severe Liability To Malaysia’s Quest For Global Competitiveness

A Malaysiakini’s report (“Complaining M’sians ‘partly to blame’ for global competitiveness drop” ) on Dato’ Seri Ong Ka Chuan’s remarks to explain Malaysia’s drop in (Global Competitiveness Report 2016-2017) GCR’s ranking is yet another example why Malaysian ministers are the biggest liability to this country.

As a Second Minister of International Trade and Industry, he made a complete fool of himself when he blamed practically everyone (the general public, parents who brought their children overseas, foreign workers and even Zika virus!) for complaining too much about Malaysia, to account for the drop; not realizing that he too was complaining just like everyone else he accused!

If anything, a trade minister who whines publicly that the exclusion of Zika virus from the benchmarking has an effect on Malaysia’s competitiveness, chases away foreign investors more effectively than the general public’s daily complaints about the direction of the country (as he claimed).

I am aghast that he was not concerned with the sudden drop of the quality of health and primary education that saw our score tumbling from 24th place to 44th place.

Speak to any Malaysians on the street and they can tell the dear minister that severe funding cuts have had serious impact on the quality of health services and primary education in the country. Malaysians talk about the difficulty to get non-generic medicines or the longer wait for a particular drugs they used to get from government hospitals. Parents and teachers talk about how they have to fork out their own money to buy printing papers for examinations.

When the general public increasingly talk about the steady decline of state institutions that are supposed to provide the most basic services required to maintain an acceptable quality of life, ministers should realise that something is really wrong in the country instead of chastising the public for “complaining too much”.

It is only natural that Malaysia loses its competitiveness steadily in the aftermath of a national mess as gigantic as 1MDB. The toxic out of 1MDB scandal spreads across the spectrum horizontally and vertically – all sectors are affected from the manufacturing to the arts; everyone is affected from the richest to the poorest.

1MDB scandal had created a big financial hole that Dato’ Seri Najib has to plug. This means distortions of national resources as money that is supposed to go to schools and hospitals is set aside to pay 1MDB debts. Schools and hospitals; now deprived of the required financial resources; can only sustain so much without the resources and the quality of services drops. This affects our scores in benchmarking and/or the international outlook of Malaysiaa’s competitiveness that eventually leads to investors skipping Malaysia. This causes slower economic growth that gives rise to smaller government revenue that leads to further budget cuts.

The cycle continues.

Even if Dato’ Seri Ong Ka Chuan does not have the guts as a politician to stand up to Dato’ Seri Najib on 1MDB, at the very least in his job as a MITI minister he can attempt to behave more intellectually in explaining Malaysia’s present predicament.

His outburst may become a confirmation that Malaysia’s competitiveness has indeed dropped in the eyes of international community.

RAFIZI RAMLI
SECRETARY GENERAL/VICE PRESIDENT
MEMBER OF PARLIAMENT FOR PANDAN

Terus Perjuang Nasib Rakyat Walau Penjara Menanti

Keputusan mahkamah hari ini yang bersetuju pihak pendakwa telah membuktikan prima facie (ada asas kukuh pertuduhan terhadap saya) sudah pun saya duga.

Saya mengikuti dengan dekat persediaan pembelaan yang dikemukakan oleh pasukan peguam saya yang diketuai oleh YB Gobind Singh Deo, Saudara Saiful Izham Ramli, Saudara Ahmad Nizam Abdul Hamid dan kumpulan peguam muda yang lain. Saya yakin hujah kami adalah kukuh dan akan memastikan kes pembelaan kelak akan menunjukkan kelemahan-kelemahan pendakwaraya yang sepatutnya mendorong mahkamah membebaskan saya.

Pun begitu, saya pasrah dengan kemungkinan bahawa saya hanya ada beberapa bulan sahaja lagi sebelum proses mahkamah selesai dan saya dijatuhkan hukuman penjara. Kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) membawa hukuman wajib penjara sekurang-kurangnya satu tahun.

Saya tidak menyesal dan tidak akan berubah pendirian atau pendekatan. Dalam perkara yang jelas betul atau salahnya, tanggungjawab seorang insan adalah berkata benar. Soal kesan akibat berkata benar itu wajarlah diserahkan kepada Allah SWT semata-mata kerana kalau kita yakin kita berkata benar demi mencari keredhaan Allah SWT, kita juga yakin Allah SWT akan melindungi kita dan keluarga kita.

Kalaulah semua pimpinan masyarakat dan agamawan dalam masyarakat mengambil pendirian begini, lebih mudahlah kita melawan kezaliman dalam masyarakat tidak kira betapa kuatnya kuasa pemerintah.

Oleh itu, saya akan terus membawa isu-isu rakyat terbanyak lebih-lebih lagi dalam konteks kemelut politik pemimpin negara sekarang.

Saya telah membuat satu kajiselidik ringkas yang disertai oleh 718 responden sejak 2 minggu lalu. Kajiselidik ini disebarkan secara meluas melalui media sosial dan whatsapp. Soalan penuh kajiselidik boleh disemak di https://poll.fbapp.io/exatdu

Kajian ini bertujuan membantu saya memilih isu yang penting untuk rakyat dalam keadaan keseluruhan fokus ahli politik dan kebanyakan NGO sejak setahun lalu adalah 1MDB semata-mata serta usaha-usaha menukar Perdana Menteri.

Sedang saya bersetuju sepenuhnya dengan sebarang usaha menukar Perdana Menteri serta merta kerana saya bimbang ada usaha menutup skandal 1MDB dengan menggunakan dana-dana awam seperti Tabung Haji, KWAP, KWSP, PNB, Perkeso dan lain-lain, saya juga khuatir keghairahan bercakap mengenai 1MDB dan memecat Perdana Menteri semata-mata tanpa membela nasib rakyat terbanyak akan menyebabkan pimpinan Pakatan Harapan dilihat terpisah dari rakyat.

Dapatan dari kajiselidik tersebut disertakan bersama-sama kenyataan ini.

image

image

image

image

Ringkasan penting dari dapatan tersebut adalah seperti berikut:

1) 97% dari 718 responden berpendapat ada bukti kukuh Dato’ Seri Najib Tun Razak terlibat di dalam skandal 1MDB

2) Hanya 67% berpendapat pendedahan baru mengenai 1MDB akan mempengaruhi keputusan mereka mengenai 1MDB

3) 92% berpendapat isu-isu kebajikan rakyat lebih penting diketengahkan berbanding Rang Undang-undang 355

4) Responden menyenaraikan “memperjuangkan isu rakyat untuk membela rakyat” sebagai tugas terpenting yang mereka mahu wakil rakyat laksanakan; lebih tinggi dari mendedahkan skandal 1MDB dan menukar Perdana Menteri semata-mata

Dapatan-dapatan ini memberi panduan kepada saya bahawa tumpuan pimpinan Pakatan Harapan dan wakil rakyat sewajarnya untuk kembali membela nasib rakyat dengan memperjuangkan penyelesaian kepada masalah-masalah harian mereka.

Kupasan skandal 1MDB tidak boleh berlegar kepada berapa banyak wang yang telah diselewengkan dan kemewahan keluarga Perdana Menteri semata-mata. Ia perlu diterjemahkan kepada kesannya kepada kehidupan seharian rakyat dalam bentuk kos pendidikan tinggi yang makin tinggi, kos sara hidup, kelewatan bayaran caruman LTAT kepada pesara tentera, penggunaan dana awam dalam projek yang tidak sesuai dan lain-lain.

Oleh sebab inilah saya jarang mengulas mengenai skandal 1MDB dan polemik politik menukar Perdana Menteri semata-mata kerana ia wajar diimbangi dengan pembelaan rakyat yang ada kesan nyata pada kehidupan harian mereka.

Saya akan gunakan saki baki beberapa bulan yang saya ada (mengambil kira kemungkinan saya akan dijatuhkan hukuman penjara) untuk membawa isu-isu rakyat agar dapat menjadi tumpuan umum. Isu-isu tersebut adalah seperti berikut:

1) Risiko keruntuhan model pembiayaan pendidikan tinggi melalui PTPTN yang akan bawa kesan besar kepada rakyat. Saya akan bentangkan kertas kajian saya di Kongres Mahasiswa Kebangsaan Ke-2 pada 17 September 2016 ini.

2) Membela pesara tentera dan perajurit untuk memastikan kebajikan mereka terjaga dan mendapat bayaran caruman yang tepat pada masa. Saya akan umumkan siri dialog dengan pesara tentera esok.

3) Membela golongan muda dengan menumpukan kepada persoalan peluang pekerjaan yang lebih adil, soal penggajian dan undang-undang muflis yang tidak adil. Saya akan lancarkan satu NGO khusus untuk memperjuangkan isu-isu ini dalam bulan Oktober.

4) Menjaga wang rakyat dalam tabung-tabung rakyat seperti Tabung Haji, Felda, KWAP, PNB dan KWSP. Saya akan menyambung kembali pendedahan saya mengenai kelemahan pengurusan di Tabung Haji selepas Hari Raya Aildiladha minggu depan.

Saya mengecam semua pimpinan perkhidmatan awam di peringkat atasan yang bersekongkol memangsakan rakyat kerana pentingkan kedudukan dan pangkat.

Saya mengecam semua pimpinan di syarikat-syarikat dan tabung milik rakyat yang menjadi pengatur bagi membolehkan penguasa memakan harta rakyat.

Saya mengecam semua pimpinan politik yang secara langsung atau tidak langsung membenarkan rakyat terus dimangsakan dan dipijak walaupun negara sudah bebas dari pentadbiran penjajah 59 tahun lalu.

Saya mengecam semua pimpinan masyarakat yang memberi pelbagai alasan untuk tidak lantang bersuara membidas pihak-pihak yang mempunyai kuasa sehingga golongan muda berdepan dengan risiko mewarisi hutang negara yang diluar kemampuan mereka menanggungnya.

Anda bergembira dan bermewah dengan habuan gaji dan kedudukan yang anda ada sedangkan sumbernya itu datang dari rakyat. Anda akan diadili suatu hari nanti dan saya doakan anda berpeluang memperbetulkan kesilapan lalu.

12 bulan akan datang adalah pecutan terakhir yang perlu meletakkan rakyat di hadapan. In Sya Allah masa beberapa bulan yang berbaki ini saya akan memberi sepenuh komitmen kepada kebajikan rakyat.

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan
Setiausaha Agong/Naib Presiden KEADILAN

1 September 2016

Pendekatan Ketua Polis Negara Dalam Menangani Kritikan Terhadap Perdana Menteri Melemahkan Semangat Pasukan Polis

Saya dihubungi oleh Inspektor Haniff dari Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh semalam untuk dimaklumkan bahawa saya sedang disiasat ekoran ucapan saya di hadapan Penjara Sungai Buloh pada 10 Ogos 2016 iaitu semasa perhimpunan meraikan ulang tahun kelahiran Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang ke-69. Saya juga dimaklumkan bahawa kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya pada hari Khamis, 25 Ogos 2016 ini.

Hari Sabtu yang lalu, 3 orang aktivis siswa yang menjalankan sessi penerangan mengenai perhimpunan #TangkapMO1 yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini ditahan dan digari oleh pihak polis di Seri Iskandar. Mereka dibawa ke mahkamah dan telah dikenakan tahanan reman selama 3 hari.

Dalam suasana kemarahan rakyat terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak masih memuncak ekoran pelbagai pendedahan skandal penyelewengan wang rakyat yang dikaitkan dengan 1MDB, tindakan-tindakan yang dilihat kasar terhadap sebarang kritikan terhadap 1MDB dan Dato’ Seri Najib Tun Razak ini tidak membantu imej pasukan polis. Apatah lagi apabila tindakan tegas yang sama tidak diambil ke atas pelbagai laporan polis yang telah dibuat selama bertahun-tahun terhadap individu-individu utama di belakang 1MDB.

Alasan yang diberikan oleh Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini ialah untuk menunggu Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Negara memuktamadkan terlebih dahulu siasatan terhadap 1MDB. Setelah kedua-dua siasatan ini selesai, alasan terbaru beliau ialah pihak polis hanya akan mengambil tindakan berdasarkan siasatan Ketua Audit Negara.

Ketua Polis Negara sebenarnya lupa bahawa saya sendiri telah membuat dua laporan polis terhadap individu utama di belakang 1MDB selepas siasatan Ketua Audit Negara terhadap 1MDB diketahui umum. Maknanya kedua-dua laporan polis yang saya buat mematuhi kriteria yang ditetapkan oleh Ketua Polis Negara iaitu tindakan-tindakan yang boleh diambil berikutan penemuan hasil dari siasatan Ketua Audit Negara.

Dua laporan polis yang saya maksudkan adalah seperti berikut:

1. Pada 30 Mac 2016, saya telah membuat satu laporan polis terhadap Arulkanda Kandasamy dan pengurusan 1MDB yang lain setelah satu mukasurat laporan Ketua Audit Negara yang bocor telah mendapati bahawa pengurusan 1MDB membuat pembayaran sebanyak RM288 juta tanpa dimaklumkan terlebih dahulu kepada Lembaga Pengarah 1MDB. Butiran terperinci laporan polis itu boleh diperolehi di http://rafiziramli.com/2016/04/laporan-polis-terhadap-arulkanda-kandasamy/

2. Pada 18 April 2016, saya telah membuat satu laporan polis terhadap Jho Low ekoran dari laporan Jawatankuasa Kira-kira Negara di mukasurat 8 hingga 14 yang secara jelas memperincikan pelbagai pelanggaran undang-undang yang boleh disiasat di bawah Akta Syarikat, Akta SPRM, Kanun Keseksaan dan undang-undang lain yang melibatkan Jho Low. Selain saya, laporan yang sama juga dibuat di seluruh negara oleh rakyat biasa. Butiran terperinci laporan polis itu boleh diperolehi di http://rafiziramli.com/2016/04/laporan-polis-terhadap-jho-low-berdasarkan-bukti-dalam-laporan-jawatankuasa-kira-kira-awam-pac/

Sehingga kini kedua-dua mereka masih belum ditahan dan kita tidak mendapat apa-apa maklumat dari Tan Sri Khalid Abu Bakar mengenai tindakan yang telah diambil ekoran dari laporan polis yang dibuat oleh saya sendiri dan mendapat liputan meluas di kalangan rakyat.

Oleh sebab itulah, apabila pihak polis terpaksa mengambil tindakan tegas terhadap individu dan kumpulan yang mengkritik Dato’ Seri Najib Tun Razak berhubung skandal 1MDB tetapi tindakan yang sama tegas tidak diambil terhadap watak-watak di belakang 1MDB, ia sudah tentu menjejaskan imej pasukan polis di mata rakyat. Malah penahanan siswa hujung minggu lalu berkemungkinan menimbulkan kemarahan dan kebencian rakyat terhadap pasukan polis.

Saya yakin pegawai-pegawai yang terbabit hanya menjalankan tugas kerana diarahkan. Saya tahu ramai di kalangan anggota polis yang mempunyai pandangan yang sama dengan rakyat terbanyak mengenai skandal 1MDB: mereka marah dan merasa jijik dengan penyalahgunaan wang rakyat yang sedemikian rupa sedangkan mereka (anggota polis) turut mengalami kesusahan seperti rakyat biasa.

Dua hari lalu (Sabtu) saya menyampaikan satu ceramah di Tambun yang berkisar mengenai kesan skandal 1MDB kepada rakyat. Ceramah itu turut dipantau oleh pasukan polis tempatan yang datang dalam jumlah yang ramai (sekitar 5 – 7 orang) dengan lengkap beruniform. Di akhir ceramah ketika saya bergerak ke kereta, beberapa orang dari anggota polis beruniform ini menghampiri saya.

Saya ingat mereka mendekati saya untuk menangkap saya seperti kebiasaannya, sebaliknya mereka meminta untuk “tangkap gambar” dengan saya tanpa sedikit pun merasa malu untuk menutup nombor polis yang ada di uniform mereka.

Tan Sri Khalid Abu Bakar sewajarnya tahu bahawa tindakan dan sikap beliau boleh dilihat mengheret nama baik pasukan polis yang boleh dituduh melindungi pesalah di belakang 1MDB sedangkan sebahagian besar anggota polis sendiri marah dengan skandal 1MDB. Jika ini berterusan, ia boleh melemahkan semangat (“morale”) pasukan polis.

Jika kenyataan dan sikap Tan Sri Khalid Abu Bakar berterusan begini, saya sedang berbincang dengan peguam-peguam saya untuk membuat laporan polis terhadap Tan Sri Khalid Abu Bakar sendiri di atas kegagalan beliau mengambil tindakan terhadap laporan-laporan polis yang dibuat terhadap Jho Low dan individu lain yang dikaitkan dengan 1MDB.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Tanggungan Hutang 1MDB Sebanyak RM27.8 Bilion: Rakyat Terpaksa Korbankan 2 Universiti Awam Dan 3 Hospital Setiap Tahun Selama 15 Tahun

Saya agak terkejut dengan kenyataan Gabenor Bank Negara yang baru Datuk Muhammad Ibrahim yang dipetik berkata bahawa beliau yakin kerajaan akan memastikan semua hutang 1MDB akan dibayar. Walaupun saya faham amaran tersirat beliau kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa kedudukan ekonomi dan kewangan negara hanya boleh pulih sekiranya beban kewangan akibat 1MDB diselesaikan segera, ia seolah-olah melupakan bahawa sebarang hutang 1MDB yang diselesaikan kepada kerajaan sebenarnya mendera rakyat lebih teruk dari sekarang.

Hakikat bahawa hutang-hutang 1MDB akhirnya akan ditanggung oleh rakyat bukanlah satu perkara yang baru diketahui. Rakyat sudah tahu bahawa jika pun hutang-hutang ini tidak dibayar terus oleh Kerajaan Persekutuan melalui pengambilalihan anak syarikat 1MDB seperti yang berlaku dengan SRC International Sdn Bhd dan Bandar Malaysia Sdn Bhd, hutang-hutang itu akan ditampung oleh suntikan aset negara, kontrak-kontrak besar, pemberian geran dan lain-lain oleh Kerajaan Persekutuan.

Jumlah hutang 1MDB yang kini telah dan berkemungkinan diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan adalah terlalu besar, seperti berikut:

HUTANG YANG TELAH DIAMBILALIH

i. Hutang SRC sebanyak RM4 bilion dari Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) melalui pemindahmilikan SRC dari 1MDB kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc)

ii. Hutang Bandar Malaysia sebanyak RM2.4 bilion dari Tabung Haji melalui pemindahmilikan Bandar Malaysia dari 1MDB kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc)

HUTANG YANG BERKEMUNGKINAN TERPAKSA DIAMBILALIH

i. Hutang dalam bentuk bon berjumlah US$1.75 bilion (bersamaan RM7 bilion) yang dijamin IPIC tetapi telah melanggar syarat pinjaman apabila 1MDB gagal membayar faedah bulan lalu

ii. Hutang dalam bentuk bon berjumlah US$1.75 bilion (bersamaan RM7 bilion) yang juga dijamin IPIC dan faedah perlu dibayar hari ini. Jika tidak dibayar oleh 1MDB, sekali lagi ia melanggar syarat pinjaman

iii. Hutang dalam bentuk terbitan sukuk/bon patuh shariah berjumlah US$1.83 bilion (bersamaan RM7.4 bilion) yang boleh dituntut serta merta akibat pelanggaran syarat pinjaman hutang-hutang (i) dan (ii) akibat dari “cross defaults”

Ini bermakna, jumlah hutang-hutang 1MDB yang telah dan berkemungkinan besar akan diambilalih oleh Kerajaan Persekutuan adalah RM27.8 bilion. Hutang-hutang ini juga menyebabkan Kerajaan Persekutuan terpaksa membayar faedah tahunan (dipanggil bayaran kupon) sepanjang tempoh hutang itu belum dilangsaikan.

Untuk membuat anggaran tanggungan hutang 1MDB yang rakyat sedang berdepan, saya menganggarkan kadar faedah 5% bagi kesemua hutang-hutang itu dan tempoh matang purata 15 tahun. Maka jumlah tanggungan sebenar hutang-hutang 1MDB yang berkemungkinan dibayar oleh rakyat Malaysia adalah:

Hutang pokok yang telah diambilalih dan
berkemungkinan diambilalih (seperti di atas) RM27.8 bilion

Bayaran faedah pada 5% setiap tahun bagi 15 tahun RM20.85 bilion

JUMLAH KESELURUHAN RM48.65 bilion

Untuk mengenalpasti kesan tanggungan hutang sebanyak ini kepada kehidupan harian rakyat Malaysia, kita perlu pecahkan tanggungan ini kepada peruntukan tahunan yang terpaksa dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan bagi menanggung hutang ini seperti berikut:

Bayaran faedah tahun pada kadar 5% RM1.4 bilion
Simpanan tahunan untuk bayaran pokok dalam 15 tahun RM1.9 bilion
PERUNTUKAN TAHUNAN DIPERLUKAN RM3.3 BILION

Maknanya, rakyat Malaysia mesti menyedari bahawa setakat ini, jumlah peruntukan tahunan yang terpaksa dipotong atau tidak dibelanjakan bagi tujuan rakyat akibat hutang 1MDB (yang kita ketahui setakat ini) adalah dianggarkan RM3.3 bilion.

Saya cuba membayangkan kesan ini kepada rakyat dengan menterjemahkannya kepada 2 perkara yang kosnya cukup membebankan setiap keluarga di Malaysia: kos menanggung pendidikan tinggi dan kos kesihatan/perubatan.

Sebuah universiti awam yang baik dan mampu menawarkan pendidikan pada kos yang berkali ganda lebih murah dari IPTS kepada sekitar 5,000 pelajar pada satu-satu masa dianggarkan memerlukan pelaburan awam sebanyak RM750 juta (mengambil kira pembinaan IPTS seperti Kampus Lakeside Taylor’s University yang jauh lebih murah dari itu).

Pada masa yang sama, sebuah hospital besar di peringkat daerah yang boleh memberi perkhidmatan kesihatan/perubatan yang baik kepada sekitar 100,000 orang penduduk dianggarkan berjumlah RM500 juta (mengambil kira kos hospital sedia ada).

Ini bermakna, apabila peruntukan sebanyak RM3.3 bilion terpaksa dilencongkan setiap tahun untuk membayar hutang 1MDB, jumlah itu bersamaan dengan pembinaan dan operasi 2 universiti awam (IPTA) dan 3 hospital awam SETIAP TAHUN. Bagi tempoh matang purata selama 15 tahun, ini bermakna rakyat Malaysia akan kerugian 30 universiti awam (IPTA) dan 45 hospital awam akibat menanggung hutang 1MDB setakat ini.

Sebab itu, skandal 1MDB ini tidak boleh dilupakan begitu sahaja dan rakyat berputus asa hanya kerana Dato’ Seri Najib Tun Razak masih kekal sebagai Perdana Menteri. Pimpinan politik dan masyarakat turut sama perlu memikirkan langkah mengelakkan tanggungan hutang ini dan mengambil tindakan secepat mungkin (bukan hanya tertumpu kepada persoalan menjatuhkan Dato’ Seri Najib Tun Razak seperti mana fokus Deklarasi Rakyat akhir-akhir ini).

Saya akan berbincang dengan rakan-rakan pimpinan Pakatan Harapan dan ahli-ahli Parlimen untuk mencari jalan mengelakkan hutang-hutang ini diambilalih oleh rakyat.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN