All posts by rafiziramli

Alizes Marine Limited, Syarikat Palsu Pindah Wang Dari Projek LCS

Hari ini, saya ingin mendedahkan bahawa sebuah syarikat pesisir luar pantai (“offshore incorporated company”) telah dinamakan di dalam siasatan dalaman sebagai syarikat yang ditubuhkan untuk memindahkan wang dari projek LCS ke akaun-akaun di luar negara.

Syarikat yang dinamakan adalah Alizes Marine Limited, sebuah syarikat yang ditubuhkan di Malta. Syarikat ini juga dinamakan di dalam siri pendidihan Panama/Paradise Papers yang mendedahkan bagaimana syarikat-syarikat pesisir luar pantai digunakan untuk menyembunyikan wang dari aktiviti-aktiviti yang melanggar undang-undang di seluruh dunia.

(Semak https://offshoreleaks.icij.org/nodes/55047357 )

Laporan siasatan dalaman ke atas projek LCS membuat kesimpulan berikut:

  • Setelah menyemak invois-invois dari pembekal-pembekal tertentu, pasukan penyiasat menemui sejumlah bayaran palsu berjumlah RM23.37 juta. Invois dihantar kepada subkon projek LCS untuk perkhidmatan teknikal yang sebenarnya tidak wujud.
  • Apabila pembekal-pembekal ini dijejaki, syarikat sebenarnya tidak wujud kerana maklumat alamat yang diberikan adalah palsu. Malah, semakan menunjukkan bayaran dibuat ke akaun-akaun lain.

Modus operandi yang digunakan mirip kaedah yang digunakan untuk mencuri wang 1MDB. Syarikat-syarikat palsu ditubuhkan di seluruh dunia yang namanya menyamai sebuah syarikat yang benar-benar wujud.

Invois dihantar dari satu syarikat, sebaliknya arahan bayaran adalah supaya invois dibayar ke satu akaun yang didaftarkan di bawah syarikat yang namanya hampir sama tetapi syarikat berlainan.

Siasatan dalaman menamakan Alizes Marine Limited sebagai salah sebuah syarikat yang banyak menerima bayaran bagi perkhidmatan sebegini.

Alizes Marine Limited dilantik oleh subkon projek sebagai pembekal alat-alat gantian (“spare parts”) untuk projek ini atas cadangan DCNS, kontraktor teknikal yang menyediakan reka bentuk dan spesifikasi teknikal kapal kelas Gowind.

Siasatan dalaman projek LCS, dalam menamakan Alizes Marine Limited sebagai syarikat yang memindahkan wang dari projek LCS, juga membuat penemuan-penemuan berikut:

  • Alizes Marine Limited dicadangkan untuk menjadi pembekal atas alasan ia sebuah syarikat pembekal pertahanan dari Perancis (menggunakan Alizes Marine France).
  • Pengurusan projek LCS dimaklumkan bahawa Alizes Marine France mempunyai lesen eksport sedunia (“global export license”) yang memberi kelebihan kepadanya untuk membekalkan alat-alat ganti pertahanan. Pengurusan projek LCS melantik Alizes Marine atas pertimbangan ia mempunyai lesen eksport sedunia.
  • Maklumat itu sebenarnya palsu kerana Alizes Marine Limited tidak mempunyai sebarang lesen, sebaliknya hanyalah sebuah syarikat pesisir luar pantai tanpa operasi.
  • Walaupun projek LCS menerima invois yang nampak seperti datang dari Alizes Marine France, bayaran-bayaran sebenarnya dibuat akaun di Singapura yang dimiliki sebuah lagi syarikat lain yang menggunakan nama Alizes Marine Limited (hampir sama tetapi berlainan).

Kesimpulan siasatan dalaman secara terang-terang menamakan penglibatan DCNS dalam skim menyelewengkan dana ini:

DCNS used Alizes Marine as a front to benefit from the supply of spare parts on the arrangement made and carved in Malaysia.”

“DCNS menggunakan Alizes Marine sebagai syarikat palsu untuk mendapat manfaat dari pembekalan alat gantian berdasarkan muslihat yang dibuat di Malaysia.”

Penyiasat-penyiasat turut menyimpulkan bahawa DCNS dan sebuah lagi syarikat dari Perancis adalah sebahagian dari skim yang memindahkan wang dari projek ini yang melanggar Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Perkara ini disahkan apabila penyiasat membandingkan jumlah yang dibayar oleh projek LCS untuk membeli alat-alat gantian kepada Alizes Marine Limited (berbanding jumlah perolehan yang dilaporkan di dalam penyata kewangan Alizes Marine France) bagi tempoh 2011 hingga 2015.

Sepanjang tempoh itu, subkontraktor projek LCS membayar EUR43.69 juta (bersamaan sekitar RM210 juta) kepada Alizes Marine France (berdasarkan invois-invois yang dihantar tetapi dibayar ke akaun-akaun lain di bawah Alizes Marine Limited) bagi pembelian alat-alat ganti.

Sebaliknya, jumlah perolehan yang dilaporkan di dalam penyata kewangan Alizes Marine France yang dilaporkan kepada pihak berkuasa Perancis hanya EUR3.53 juta (bersamaan sekitar RM18 juta).

Ini bermakna, sejumlah RM192 juta telah dipindahkan ke akaun syarikat-syarikat pesisir luar pantai yang tidak dapat dijejaki.

Sebab itu saya bertegas bahawa skim mencuri dana rakyat yang sebegini rumit tidak boleh berlaku tanpa dilindungi oleh orang-orang atasan yang lebih berkuasa dari seorang pesara Panglima Tentera Laut yang didakwa baru-baru ini.

Jika skim-skim yang melibatkan syarikat-syarikat pesisir luar pantai dituduh bersabit dengan DCNS, dan DCNS mempunyai rekod membayar rasuah kepada syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan Dato’ Seri Najib Razak semasa skandal Scorpene dahulu, maka wajarlah rakyat terus menuntut siasatan untuk mengetahui siapa dalang sebenar yang mempunyai kuasa melindungi DCNS.

Hanya Najib Razak, Zahid Hamidi dan Hishamuddin Hussin yang boleh menjawab soalan ini.

RAFIZI RAMLI

Subkon Baru Tubuh 45 Hari, Terus Buat Tuntutan RM178 Juta

Kebelakangan ini kerajaan PAS-UMNO-BERSATU cuba mengalih perhatian dari isu sebenar yang menimbulkan kemarahan rakyat. Mesin propaganda PAS-UMNO-BERSATU yang diketuai Dato’ Seri Najib Razak cuba meyakinkan rakyat bahawa tiada penyelewengan berlaku, hanyalah kelewatan projek.

Sehingga kini, Najib sendiri belum menjawab soalan-soalan pokok yang saya utarakan sejak saya mendedahkan butiran projek LCS yang mengesahkan ada penyelewengan:

  1. Kenapa reka bentuk dan kelas kapal LCS diubah di saat akhir dari yang telah diluluskan, iaitu dari kelas Sigma (Belanda) kepada kelas Gowind (Perancis)?
  2. Siapa yang lebih berkuasa dari Menteri Pertahanan ketika itu (Zahid Hamidi) yang boleh mempengaruhi keputusan?
  3. Kenapa kontraktor utama (Boustead Naval Shipyard, BNS) melantik subkontraktor berlapis-lapis, adakah untuk menyembunyikan penglibatan DCNS yang ada reputasi dan skandal terdahulu berkait dengan Najib?
  4. Kenapa kos untuk dua pakej utama naik harga dua kali ganda (dari RM397 juta kepada RM1.2 bilion) apabila melalui dua lapisan subkontraktor?

Kesemua ini melibatkan dua bentuk keputusan utama.

Pertama, keputusan teknikal berhubung pilihan reka bentuk dan teknologi kapal perang (yang berubah dari kelas Sigma kepada kelas Gowind).

Kedua, keputusan kewangan, peruntukan dan pembayaran yang sepatutnya tertakluk kepada semua Pekeliling Perbendaharaan yang mengawal selia urusan tuntutan dari kontraktor dan subkontraktor.

Umum mengetahui bahawa keseluruhan tadbir urus kewangan negara dipandu dan dikawal oleh satu set Pekeliling Perbendaharaan, yang pada prinsipnya menekankan perkara-perkara berikut:

  1. Kontraktor perlu dilantik dari kalangan pembekal yang paling layak berdasarkan keupayaan teknikal dan pada harga yang terbaik kepada kerajaan
  2. Kontraktor perlu mempunyai kekuatan kewangan dan aliran tunai sendiri untuk menjalankan kontrak
  3. Bayaran hanya boleh dibuat mengikut kemajuan projek dan dibayar secara berpatutan mengikut peratusan projek dilaksanakan, seperti yang dipersetujui mengikut dokumen kontrak yang dimeterai dengan kerajaan

Maklumat dalaman mengenai urusan tuntutan dan bayaran berhubung projek LCS menunjukkan kesemua perkara (1) hingga (3) yang saya sebut telah dilanggar. Ada bukti yang menunjukkan sama ada kontrak kerajaan dengan BNS tidak mengikut peraturan kewangan Pekeliling Perbendaharaan, atau pun pembayaran dibuat tanpa mengikut kemajuan projek yang melanggar Pekeliling Perbendaharaan.

Bayaran-bayaran besar dikendalikan oleh Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kewangan. Peruntukan disediakan oleh Kementerian Kewangan. Menteri Kewangan semasa projek LCS ini diluluskan dan bayaran-bayaran awal dibuat adalah Najib.

Sebelum ini, kita tahu bahawa sebanyak RM400 juta dari bayaran pendahuluan projek LCS untuk membayar hutang lapuk BNS. Perkara ini sepatutnya melanggar peraturan kewangan mengikut Pekeliling Perbendaharaan, iaitu bayaran pendahuluan sesuatu projek hanya boleh digunakan untuk projek itu. Jika kita membuat pinjaman sekali pun, bank hanya akan membenarkan pinjaman dikeluarkan bagi tujuan pinjaman itu diluluskan.

Hari ini, saya ingin mendedahkan satu lagi pembayaran yang tidak mengikut prinsip-prinsip di dalam Pekeliling Perbendaharaan.

Kertas siasatan dalaman projek LCS menunjukkan bahawa subkontraktor lapisan kedua (Contraves Electrodynamics Sdn Bhd, atau CED) membuat tuntutan sebanyak RM178 juta sebagai yuran memulakan kerja (“mobilisation fee”) pada hari yang sama ia dilantik, sedangkan pada ketika itu subkontraktor ini ditubuhkan 45 hari sebelum itu.

The Vibes sebelum ini melaporkan CED ditubuhkan pada 23 Februari 2012, iaitu 45 hari sebelum ia dilantik sebagai subkontraktor lapisan kedua untuk pakej utama bernilai RM1.2 bilion.

https://www.thevibes.com/articles/news/68165/company-set-up-mere-45-days-before-obtaining-lcs-subcontractor-package

Rentetan peristiwa mengenai bayaran yang melanggar prinsip urus tadbir Pekeliling Perbendaharaan adalah seperti berikut:

9 April 2012 – BNS melantik Contraves Advanced Devices (CAD) sebagai subkontraktor bagi dua pakej utama bernilai RM1.2 bilion

9 April 2012 – CAD melantik CED, sebuah syarikat yang baru berusia 45 hari sebagai subkontraktor bagi dua pakej yang dianugerahkan oleh BNS

9 April 2012 – CED membuat tuntutan sebanyak RM178 juta sebagai yuran memulakan kerja pada hari yang sama ia dilantik sebagai kontraktor lapisan kedua

Transaksi-transaksi sebegini merupakan satu penyelewengan yang melanggar peraturan pembayaran Kementerian Kewangan.

Sebagai Menteri Kewangan pada ketika itu, Najib mesti menjawab bagaimana sebuah subkontraktor yang hanya berusia 45 hari boleh membuat tuntutan berjumlah RM178 juta dari projek pertahanan utama negara? Penyelewengan-penyelewengan beginilah yang menyebabkan BNS akhirnya tidak mempunyai dana (walaupun telah dibayar kerajaan) dan projek tergendala sehingga tidak ada satu kapal pun siap hingga ke hari ini.

RAFIZI RAMLI

Subkontraktor CAD & CED Milik Majoriti Boustead Tetapi Dikawal Bukan Rakyat Malaysia

Saya telah mendedahkan bagaimana projek kapal perang LCS menggunakan dua lapis subkontraktor (iaitu CAD dan CED) sehingga menyebabkan kos naik tiga kali ganda (kos sebenar dari DCNS hanya RM397 juta tetapi yang dituntut dari kerajaan oleh subkontraktor adalah RM1.2 bilion).

Seperti yang diduga, Dato’ Seri Najib Razak dengan cepat menjawab bahawa subkontraktor Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) dan Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED) adalah syarikat-syarikat bersekutu LTAT.

Beliau langsung tidak menjawab isu komisen 200% yang saya timbulkan, cukup sekadar membayangkan dia tidak terbabit dalam skandal ini kerana subkontraktor CAD dan CED adalah syarikat-syarikat bersekutu LTAT.

Berikut adalah latar belakang pembabitan LTAT (melalui Boustead) di dalam CAD:

  • Anak syarikat LTAT, Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) meluluskan pembelian saham 51% di dalam CAD pada 28 April 2010. 49% lagi saham CAD dimiliki oleh Rheinmetall Air Defence AG (RAD), sebuah syarikat kontraktor pertahanan dari Jerman yang dipegang melalui anak syarikat milik penuhnya RD Investment AG.
  • Keputusan untuk membeli saham majoriti CAD itu dibuat di dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah BHIC bertarikh 28 April 2010, iaitu setahun setengah sebelum Kerajaan Malaysia melantik BNS menjadi kontraktor membangun dan membina 6 kapal perang LCS melalui satu surat lantikan (LOA) bertarikh 16 Disember 2011.
  • Dalam perjanjian pembelian 51% pegangan dalam CAD bertarikh 13 Ogos 2010 di antara BHIC (melalui anak syarikatnya) dan RAD (melalui anak syarikatnya), BHIC bersetuju bahawa RAD yang mempunyai kawalan pengurusan (“management control”) ke atas CAD, walaupun CAD dimiliki secara majoriti oleh BHIC.
  • Pengerusi Lembaga Pengarah BHIC yang bersetuju dengan keputusan tidak masuk akal ini adalah Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, bekas Ketua Pegawai Eksekutif LTAT yang diketahui umum cukup rapat dengan Najib Razak.

Ini adalah satu tindakan yang tidak masuk akal. Dalam mana-mana aturan syarikat yang mempunyai dua pemegang saham berbeza, kawalan pengurusan dipegang oleh pemegang saham majoriti.

Sebab itu saya sebut, berdasarkan semua bukti setakat ini, ia membayangkan ada perancangan tersusun dari awal untuk memastikan penyelewengan di dalam projek LCS ini dapat disembunyikan melalui pelbagai transaksi rumit, termasuk mewujudkan dua lapisan subkontraktor sedangkan BNS boleh saja menguruskan projek ini dengan sendiri.

Akibat dari keputusan tidak masuk akal itu, CAD hanya dimiliki oleh Boustead (dan LTAT) atas kertas sahaja. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO), dua jawatan pengurusan paling penting di dalam CAD dipersetujui dilantik oleh RAD (bukannya Boustead/LTAT). CEO CAD adalah Gordon Hargreave yang mewakili RAD.

Selain dari mengawal pengurusan CAD, wakil-wakil RAD juga diberi kuasa menandatangani cek dan meluluskan perbelanjaan tanpa perlu merujuk kepada wakil BHIC di dalam CAD. Laporan siasatan dalaman ke atas kelewatan projek LCS secara jelas menyebut perkara-perkara berikut:

  • Kedua-dua wakil RAD iaitu Luitjen Rolf Ennega (kemudian ditukar dengan Frank Hoffmann) dan Gordon Hargreave adalah dua orang penandatangan cek dalam kumpulan had kuasa (“Limits of Authority”) yang sama. Ini bermakna, untuk meluluskan sesuatu perbelanjaan atau membuat pembayaran, mereka berdua boleh menurunkan tandatangan tanpa perlu mana-mana wakil dari BHIC.
  •  Laporan menyebut “This gave an absolute authority to RAD to handle the finances of CAD despite BHIC holding 51% shares” yang bermaksud “Ini memberi kuasa penuh kepada RAD untuk mengendalikan urusan kewangan CAD walaupun BHIC memegang saham majoriti 51%”.

Lebih teruk lagi, BHIC memberi alasan RAD perlu dibawa masuk untuk mendapatkan kepakaran mereka dan membolehkan pemindahan teknologi dalam menjayakan projek LCS ini.

Semakan umum boleh menunjukkan bahawa kepakaran sebenar RAD adalah dalam membangunkan “fire control systems”(FCS atau sistem kawalan tembakan), bukannya dalam mengendalikan keseluruhan projek yang melibatkan komponen-komponen lain seperti “combat management system” (CMS).

Kepakaran RAD dalam membangunkan FCS ini diperakui sendiri dalam satu kenyataan media oleh syarikat induk RAG iaitu Rheinmetall AG bertarikh 27 Februari 2012 (paparan skrin saya sertakan bersama), muka surat 2 perenggan 10:

“.. The Defence Electronics business unit, led by Luitjen Ennega, includes command and fire control systems as well as reconnaisance systems.

Luitjen Ennega adalah wakil RAD di dalam CAD.

Siasatan dalaman juga mengesahkan bahawa wakil-wakil TLDM dan Boustead yang menganggotai kumpulan projek LCS telah mempersoalkan kepakaran RAD mengendalikan keseluruhan projek, sedangkan kepakaran sebenarnya hanyalah dalam satu komponen projek sahaja.

Muka surat 29 laporan dalaman menyebut (diterjemahkan):

“… Berdasarkan perbincangan kumpulan penyiasat dengan [INDIVIDU XX], beliau menyatakan kepakaran utama RAD adalah untuk membangunkan Fire Control System (FCS) sahaja dan RAD telah diberikan lantikan subkontraktor bagi pakej itu berjumlah RM347 jua. Maka, tidak logik BNS bergantung kepada CAD/CED untuk membangunkan dan menguruskan perbekalan komponen-komponen lain terutamanya Combat Management System (CMS) dan BIT Centre. Nampak sangat ia perjanjian berat sebelah yang hanya menguntungkan RAD kerana mereka boleh menimba kepakaran (dari pakej-pakej lain) dalam bidang yang mereka tidak ada kepakaran..”

Perkara ini ditimbulkan berkali-kali oleh bekas Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Dato’ Sri Abdul Aziz Jaafar. Siasatan dalaman ke atas pelaksanaan projek memetik teguran-teguran beliau seperti berikut:

“… Siasatan ke atas minit Lembaga Pengarah menunjukkan bekas Panglima TLDM (Tan Sri Aziz) telah beberapa kali menyatakan kebimbangannya kerana projek LCS nampak terlalu bergantung kepada subkontraktor CAD/CED. Beliau juga menasihatkan BNS supaya melibatkan pihak lain untuk mengurangkan risiko pergantungan itu..”

Maka, untuk menjawab Najib, saya simpulkan dan timbulkan perkara-perkara ini:

  1. Atas campur tangan siapa yang begitu berani hingga Boustead/BNS melepaskan kawalan ke atas subkontraktor CAD/CED kepada bukan rakyat Malaysia sedangkan Boustead memegang saham majoriti?
  2. Atas pengaruh dan campur tangan siapa yang membawa masuk RAD sedangkan maklumat pada ketika itu menunjukkan mereka tidak ada kepakaran sepenuhnya untuk mengendalikan projek ini?

Sebab itu, saya tegaskan sekali lagi bahawa bukti-bukti setakat ini menunjukkan penyelewengan dalam projek LCS telah dirancang dari awal, termasuk dengan mewujudkan syarikat-syarikat yang atas kertas nampak milik LTAT tetapi dikawal oleh individu-individu tertentu.

Persoalan paling besar: siapa jerung besar di belakang individu-individu tertentu yang mempunyai pengaruh dan kuasa sebegitu rupa?

RAFIZI RAMLI

DCNS Guna Tiga Lapis Syarikat, Kos Naik Tiga Kali Ganda

Penelitian saya terhadap skandal kapal perang LCS setakat ini menunjukkan ada perancangan dari awal untuk menyembunyikan penglibatan DCNS (syarikat Perancis yang sering dikaitkan dengan Dato’ Seri Najib Razak) dari projek ini.

Secara logiknya, jika DCNS adalah pembekal utama kepakaran, reka bentuk dan pembinaan kapal LCS, sewajarnya Kerajaan Malaysia melantik DCNS secara terus (seperti yang dibuat semasa projek kapal selam Scorpene).  

Sebaliknya, bagi projek LCS, Kerajaan Malaysia melantik Boustead Naval Shipyard (BNS) sebagai kontraktor utama yang kemudiannya melantik syarikat-syarikat lain sebagai sub-kontraktor.

Walaupun keputusan ini dijelaskan sebagai usaha untuk membantu veteran tentera (kerana BNS milik Boustead yang dimiliki Lembaga Tabung Angkatan Tentera, LTAT) dan membina kepakaran tempatan, tindakan melantik lagi dua lapis sub-kontraktor sebelum sampai kepada pembekal akhir, iaitu DCNS, membayangkan ada unsur-unsur penyelewengan dari awal.

Setelah dilantik menjadi kontraktor kapal perang LCS melalui surat lantikan (LOA) bertarikh 16 Disember 2011, BNS mula melantik sub-kontraktor bagi pakej-pakej utama perbekalan dan pembinaan kapal perang LCS.

Pada 9 April 2012, BNS mengeluarkan dua surat lantikan (LOA) bagi dua pakej utama untuk melantik sub-kontraktor, seperti berikut:

LOA & JUMLAHPAKEJ & KERJA-KERJA TERLIBAT
BNS/DSD/SGPV/CS/LOA/CMS/0412-(1) berjumlah RM898 jutaCombat System Equipment Integration (CSEI)Software Integration Facility (SWIF)Shore Integration Facility (SIF)Combat System Integration Support (CSI)Combat System Training Centre (CSTC)  
BNS/DSD/SGPV/CS/LOA/CMS/0412-(2) berjumlah RM287 jutaCombat Management System (CMS)Software System Integration (CSI)  

Jumlah keseluruhan dua pakej utama ini ialah RM1.185 billion.

Dua pakej ini dianugerahkan kepada sebuah syarikat bernama Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (atau dikenali sebagai CAD).

Lebih mengejutkan, pada hari yang sama BNS melantik CAD sebagai sub-kontraktor bagi dua pakej bernilai RM1.185 bilion ini, BNS juga membenarkan CAD melantik syarikat bersekutunya Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED) sebagai sub-kontraktor kepada CAD.

Keputusan BNS membenarkan CAD melantik CED sebagai sub-kontraktor dikeluarkan pada hari yang sama surat LOA kepada CAD, iaitu pada 9 April 2012.

CED pula mengeluarkan LOAnya kepada DCNS untuk membekalkan kerja-kerja dalam dua pakej berjumlah RM1.185 bilion yang perlu dibayar Kerajaan Malaysia itu.

Malangnya, siasatan menunjukkan bahawa bagi dua pakej ini yang dimuktamadkan pada harga RM1.185 bilion dengan Kerajaan Malaysia, surat lantikan (LOA) dari CED (sub-kontraktor lapis kedua) kepada DCNS meletakkan kos sebanyak RM397 juta sahaja.

Maknanya, bagi kerja-kerja yang akan diinvois oleh DCNS kepada CED sebanyak RM397 juta, tuntutan dari sub-kontraktor CED dan CAD kepada Kerajaan Malaysia (melalui BNS) adalah tiga kali ganda lebih mahal.

Kanak-kanak pun boleh membuat kesimpulan ada tangan-tangan ghaib di belakang syarikat-syarikat BNS, CAD dan CED yang menyusun kontrak-kontrak perbekalan hingga mengambil komisen 200% dari kos yang dicaj DCNS.

Rakyat ingin tahu siapa jerung-jerung yang merompak wang rakyat dan melemahkan pertahanan negara sedemikian rupa.

Sebab itu cubaan Najib Razak mengalihkan perhatian dari isu ini setakat ini sangatlah lemah. Beliau memberi gambaran seolah-olah semuanya bersabit kelemahan birokrasi akibat keputusan PH menyiasat projek ini dan cuba menipu pengikutnya konon skandal ini tidak ada unsur rasuah langsung.

Saya akan terus mendedahkan bagaimana keputusan-keputusan penting dalam pengurusan projek kapal perang LCS mempunyai bukti penyelewengan secara terang-terangan. Ada pihak yang menyusun segalanya untuk merompak wang rakyat melalui projek ini.

Persoalan utama: siapakah kepala jerung yang mempunyai kuasa mengarahkan dan melindungi pegawai-pegawai tertentu dalam BNS untuk melakukan rompakan di siang hari seperti ini?

Saya tunggu komen Najib Razak.

RAFIZI RAMLI

BNS Dapat Dokumen Sebutharga Dari DCNS Sebelum Surat Lantikan (LOA) Kerajaan Malaysia

Sebahagian besar dari masalah-masalah yang menyebabkan penyelewengan dan kelewatan projek kapal perang LCS berpunca dari dua keputusan utama:

  • Penukaran reka bentuk kapal dari kelas Sigma yang dipilih oleh TLDM kepada kelas Gowind (yang ditolak TLDM tetapi diluluskan Menteri Pertahanan)
  • Pelantikan kontraktor dan perincian kontrak berat sebelah yang merugikan negara dan TLDM

Isu penukaran reka bentuk kapal dari Sigma kepada Gowind menjadi tumpuan siasatan Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC).

Prosiding PAC menunjukkan Menteri Pertahanan pada ketika itu (Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO sekarang) pada mulanya bersetuju (pada 26 Mei 2011) dengan pilihan TLDM untuk menggunakan reka bentuk Sigma.

Akan tetapi, dua bulan kemudian iaitu pada 11 Julai 2011, Menteri Pertahanan menukar keputusan itu dan bersetuju dengan cadangan BNS (kontraktor utama kapal perang LCS) untuk menggunakan reka bentuk Gowind.

Apa pentingnya pertukaran reka bentuk dari jenis Sigma kepada Gowind ini?

TLDM memilih Sigma demi keperluan dan kehendak pertahanan negara kerana kelas Sigma dinilai sebagai lebih baik dan lebih moden berbanding kelas Gowind. Apabila Zahid Hamidi menukar reka bentuk kepada kelas Gowind, ini bermakna keupayaan pertahanan laut tidak akan menepati kehendak dan perancangan TLDM.

Lebih penting lagi, reka bentuk Sigma dan Gowind melibatkan sub-kontraktor yang berbeza. Reka bentuk Sigma, jika dipilih, melibatkan kepakaran pembinaan kapal dari Belanda berbanding reka bentuk Gowind yang melibatkan kepakaran dari Perancis.

Dari sinilah kita dapat menyelami punca sebenar berlakunya skandal ini.

Ada pihak berkepentingan yang mahukan sub-kontraktor dari Perancis dipilih untuk membekalkan reka bentuk dan membina kapal LCS ini, walaupun keputusan TLDM adalah untuk kapal kelas Sigma.

Sub-kontraktor dari Perancis ini bukan asing lagi dalam skandal pembinaan kapal di Malaysia. Akhirnya, sub-kontraktor yang dilantik adalah DCNS, iaitu kontraktor yang sama terlibat dalam pembinaan dan perbekalan kapal selam Scorpene.

Lebih teruk lagi, dokumen-dokumen dalaman BNS yang dibocorkan kepada saya turut mengandungi dokumen berikut:

  1. Sebutharga dari DCNS bernombor 10/DCI/ASI/0097 kepada BNS bertarikh 23 Disember 2010
  2. Sebutharga dari DCNS bernombor 11/DCI/ASI/0029 bertarikh 4 April 2011
  3. Surat Niat (“Letter of Intent”) dari DCNS bernombor BNS/SGPV/LOI/1011 bertarikh 21 Oktober 2011

Tarikh-tarikh sebutharga dari DCNS (sebagai sub-kontraktor) kepada BNS (sebagai kontraktor utama Kerajaan Malaysia) adalah sangat penting apabila kita membandingkan garis masa skandal ini.

Surat Lantikan (“Letter of Award”) dari Kerajaan Malaysia (melalui Kementerian Pertahanan) untuk melantik BNS sebagai kontrak projek kapal perang LCS hanya dikeluarkan pada 16 Disember 2011. Ini bermakna DCNS bukan sahaja telah mendapat maklumat sepenuhnya mengenai rundingan pembinaan kapal perang ini, malah DCNS telah pun menghantar sebutharga dan diberikan Surat Niat sebelum pun BNS dilantik menjadi kontraktor utama.

Satu siasatan dalaman BHIC (Boustead Heavy Industries Corporation), iaitu salah satu syarikat induk yang memiliki BNS, telah membuat kesimpulan berikut:

“.. It is unusual to have a DCNS quotation dated 23 December 2010 even before the LOA was signed by BNS with the (Government of Malaysia) GOM/MINDEF. This indicated that the deal was pre-determined between the vendor and certain vested persons at BHIC/BNS who were at the helm of the decision-making process. The history of DCNS and its unethical practices to bribe Malaysians during the deal is well documented which were filed in the Court by the investigative agencies at France after conducting searches at DCNS & Thales office.

“.. Adalah luar biasa apabila (BNS) sudah pun ada sebut harga dari DCNS bertarikh 23 Disember 2010 sebelum pun Surat Lantikan dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia/KEMENTAH kepada BNS. Ini menunjukkan kontrak ini telah dimuktamadkan lebih awal di antara vendor (DCNS) dengan pihak-pihak berkepentingan di BHIC/BNS yang berkuasa membuat keputusan. Sejarah DCNS dan amalan korupnya yang merasuah individu-individu semasa rundingan kontrak pertahanan diketahui umum dan telah menjadi kes mahkamah di Perancis setelah pihak berkuasa Perancis menyerbu pejabat DCNS & Thales.”

Saya yakin rakyat Malaysia bersetuju dengan saya bahawa pegawai-pegawai di BHIC/BNS adalah “ikan bilis” yang tidak mempunyai kuasa untuk mengubah keputusan strategik pertahanan negara dengan menukar reka bentuk kapal perang dari yang diputuskan oleh TLDM kepada yang ditolak TLDM.

Melihatkan kepada keputusan Menteri Pertahanan pada ketika itu (Zahid Hamidi) yang menukar keputusannya dari memilih Sigma kepada Gowind (yang dibekalkan DCNS) juga membayangkan ada campur tangan pihak yang lebih atas dari Menteri Pertahanan sendiri.

Sebab itu saya nyatakan sebelum ini bahawa bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak tidak boleh lari dan cuci tangan dalam skandal ini.

Satu-satunya pimpinan politik yang mempunyai kuasa untuk mempengaruhi pertukaran reka bentuk kapal dan pada masa yang sama mempunyai sejarah hubungan dengan DCNS (melalui pembelian kapal Scorpene) ialah Najib Razak.

Pertama, beliau lebih berkuasa dari Menteri Pertahanan pada ketika itu untuk mempengaruhi keputusan menukar reka bentuk kapal agar sub-kontraktor dari Perancis, iaitu DCNS, dipilih.

Kedua, beliau mempunyai rekod peribadi yang memilih DCNS (dan rakan sekutu DCNS iaitu Thales) untuk projek-projek besar negara. Selain dari projek kapal selam Scorpene dan kapal LCS, Thales juga mencetuskan kontroversi dalam tahun 2012 apabila terbabit dalam skandal anugerah projek LRT kepada George Kent (sebuah syarikat pembuat paip yang tidak ada pengalaman membina LRT). Saya telah mendedahkan skandal ini dalam tahun 2012 dan boleh dibaca di sini:

https://rafiziramli.com/category/skandal-lrt-george-kent/

Saya menunggu bagaimana Najib Razak akan menjawab persoalan-persoalan ini.

Pada masa yang sama, saya akan terus mendedahkan pelbagai penyelewengan yang telah berlaku sehingga menyebabkan tidak ada satu kapal pun yang disiapkan setakat ini.

RAFIZI RAMLI