Alhamdulillah sempat bersama-sama Cikgu Faris Musa, Timbalan Ketua AMK dalam satu program bersama-sama anak-anak muda dari Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang membentuk rakan SKS (Skuad Komunikasi Selangor). Saya hadir bersama-sama YB Amirudin Shari (ADUN Batu Caves), atas jemputan Cikgu Faris dan penganjur untuk mengulas mengenai strategi mendekati orang muda menjelang pilihanraya umum ke-13.
Diskusi bermula dengan berkongsi beberapa senario mutakhir, termasuk bacaan kedudukan keputusan pilihanraya sekiranya diadakan sekarang. Yang paling jelas, keputusan PRU13 akan ditentukan oleh orang muda, yang membentuk hampir 50% dari jumlah pengundi keseluruhan.
Pengaruh pengundi muda juga tidak boleh ditolak ke tepi, kerana berdasarkan keputusan PRU12, peranan orang muda dalam membawa mesej pembaharuan dan reformasi ke desa adalah lebih berkesan dari peranan yang dimainkan oleh TV dan media (kalau tidak masakan Kelantan makin kukuh bersama-sama Pakatan Rakyat).
Persoalan yang lebih utama adalah bagaimana mahu mendekati jumlah pengundi muda yang dianggarkan berjumlah 4.6 juta orang ini, terutamanya dalam keadaan mereka tidak begitu berminat dengan politik, tidak percayakan media arus perdana tetapi pada masa yang sama tidak pula mengunjungi media alternatif (berdasarkan culaan yang dibuat setakat ini).
Malaysia sebenarnya melalui proses biasa iaitu kematangan demokrasi dan proses ini juga mengundang sedikit side effect – menurunnya minat golongan muda kepada politik. Proses ini berlaku di Eropah, Jepun dan negara-negara lain.
Sebab itu, dalam suasana sebegini, usaha untuk mendekati golongan muda yang pelbagai citarasa, minat, kecenderongan dan kadang-kadang mempunyai dogma masing-masing adalah sangat kritikal.
Saya unjurkan kepada peserta bahawa parti memerlukan kepelbagaian dalam pendekatan untuk menarik minat anak muda ini. Sentimen reformasi sebaiknya dijadikan landasan kukuh untuk membina keyakinan kepada perjuangan, tetapi pada masa yang sama barisan yang ditampilkan serta bentuk pendekatan yang diambil perlu juga mempunyai kepelbagaian yang boleh menarik minat kumpulan anak muda yang berbeza-beza.
Sebab itu, parti perlu keluar dari sentimentaliti yang melampau sehingga lupa bahawa kumpulan yang ingin kita dekati telah berubah. Kalau dulu, di awal gerakan reformasi, objektif utama gerakan anak muda adalah membawa mesej bahawa ketidakadilan telah berlaku dan mempertahankan hak untuk bersuara. Mesej ini penting untuk memastikan rakyat sedar perkara sebenar yang berlaku dibelakang tabir wayang kulit yang dimainkan pemerintah.
Tetapi persepsi rakyat kepada kita sekarang lebih berkisar kepada persoalan keyakinan untuk memerintah – mengambil kira bahawa sebahagian besar anak muda sudah hilang kepercayaan kepada Barisan Nasional.
Persoalan ini perlu dirungkai dengan baik, maka saya syorkan kepada peserta tempoh hari, sebagai agen perubahan akar umbi, mereka mesti peka kepada permasalahan orang muda dan membawa isu yang dekat dengan orang muda, walaupun kadang-kadang kumpulan orang muda itu dan isu yang dibawa bukanlah isu atau sasaran tradisional kita.
Anak muda perlukan muafakat baru pemimpin muda, yang boleh mengolah isu orang muda dan mengangkatnya dengan sebaik mungkin di persada kebangsaan. Pada masa yang sama, tumpuan kepada pembinaan organisasi tidak boleh diabaikan kerana kita sudah melepasi era bergantung kepada sentimen semata-mata. Putrajaya hanya boleh dimenangi dengan gabungan memikat harapan rakyat melalui isu yang tepat; dan organisasi yang kukuh untuk meyakinkan rakyat kita punya kekuatan untuk melaksanakan janji kita.
Sessi berakhir dengan beberapa soal jawab yang menarik – seterusnya ditutup secara rasmi oleh Sdr Shamsul Iskandar Mat Akin, Ketua AMK Malaysia.