All posts by rafiziramli

Sekadar Cadangan (Yang Tidak Sempat Dibentangkan!)

Saya sempat menyentuh semasa Debat Perdana tempoh hari mengenai 3 landasan utama yang dibawa rakan-rakan di dalam Generasi Reformasi untuk menyuntik dinanisme baru kepada AMK, seperti berikut:

  • Imej dan pendekatan AMK perlu berorientasikan kehendak pengundi muda di luar – bawa dan perjuangkan isu-isu mendesak anak muda ke arus perdana & menjadi teras utama dasar parti . “Bawa” & “perjuangkan” bukan bermakna demonstrasi dan memorandum semata-mata, tetapi meyakinkan rakyat melalui hujah berhemah bahawa kita ada jalan penyelesaian kepada masalah-masalah ini.

  • Pentadbiran & organisasi yang mantap dan kukuh – kawasan2 parlimen & DUN yang menjadi target kita perlu mempunyai jentera AMK yang kukuh dan tersusun, seluruh negara perlukan kekuatan yang luar biasa. Ini bermakna sasaran yg jelas berapa PA/CA dr AMK, berapa orang dalam unit siaraya, berapa orng petugas poster, berapa kekuatan mobilisasi dan lain-lain

  • Barisan lapisan pimpinan bawah 30 tahun yang mantap dan berkaliber dalam segenap segi – pemilihan pada kali ini bukan sahaja penting utk PRU13, tetapi PRU14. AMK perlu menyediakan barisan kepimpinan bawah 30 tahun bukan sahaja untuk memimpin AMK apabila peraturan bawah 35 tahun dikuatkuasakan, tetapi sebagai calon-calon untuk PRU13 dan PRU14. Menyediakan barisan kepimpinan maknanya latihan yang tersusun, supaya semua pimpinan muda kita terdedah kepada pelbagai aspek kepimpinan termasuklah mobilisasi rakyat, penghujahan isu, pentadbiran organisasi dan kekuatan akidah dan moral, antara lainnya

Malangnya saya tidak berkesempatan untuk menghuraikan langkah-langkah spesifik untuk melaksanakan 3 landasan ini, kerana kesuntukan masa ha ha.

Saya lampirkan di sini dan Insya Allah kami akan terbitkan risalah manifesto yang lengkap dalam masa terdekat. Buat masa sekarang, saya alu-alukan maklumbalas teman-teman untuk kita mencari kaedah terbaik mengangkat AMK ke tahap lebih tinggi:

  • Menubuhkan Koperasi AMK dengan sasaran mengutip RM200,000 sebagai modal permulaan dan disusun untuk menjadi badan yang bertanggungjawab membantu kelangsungan kewangan AMK, termasuk menjalankan perniagaan-perniagaan secara professional

  • Melancarkan jentera pilihanraya AMK di 100 sasaran kerusi parlimen & DUN yang akan ditandingi Keadilan, dalam masa 3 bulan dipilih

  • Mewujudkan Skuad Komunikasi AMK seramai 1,000 orang di seluruh negara yang diberi tanggungjawab khas memenangi pertembungan media baru dan mengumpulkan maklumat email, Twitter dan Facebook pengundi-pengundi muda
  • Menubuhkan Biro Mobilisasi untuk menyusun semula kaedah rapat umum dan mobilisasi oleh AMK, supaya bukan sahaja kita mampu menganjurkan mobilisasi dengan berkesan, tetapi kita melatih dan mempunyai modus operandi untuk berdepan dengan pihak berkuasa dan menyediakan sokongan kepada teman-teman yang teraniaya
  • Mengenalpasti dan melatih 200 orang dari kalangan AMK yang pelbagai latar belakang dalam program latihan kepimpinan yang menjadi saluran utama kita memilih wakil-wakil AMK untuk bertanding dalam pilihanraya

  • Menggunakan kaedah “inkubator politik” untuk mengakar umbikan program-program mendekati rakyat yang mengangkat isu nasional secara tersusun, maknanya setiap negeri dan cabang yang akan mengendalikan program serupa di peringkat bawah, akan dilatih dalam hal ehwal pengurusan, pentadbiran, pengisian isu supaya isu-isu ini dapat diakar umbikan dibawah oleh pimpinan akar umbi AMK, bukannya bergantung semata-mata kepada pimpinan pusat. Program-program akar umbi ini akan menjadi sebahagian dari ujian kepada 200 orang pimpinan AMK yang berpotensi sebagai calon seperti yang saya sebut tadi – pimpinan akar umbi yang berjaya melaksanakan program-program yang telah dibentuk oleh “inkubator politik” ini dikira mempunyai prestasi yang sewajarnya untuk menjadi pimpinan akar umbi dan nasional (kalau tidak, orang kata tidak teruji!)

  • Memberi penekanan berat kepada sasaran meningkatkan keanggotaan dan latihan anggota AMK, supaya semua cabang di seluruh Malaysia mempunyai AJK yang lengkap dan dapat berfungsi dengan baik

Saya harapkan maklumbalas dari semua, terima kasih!

Ketinggalan!

Banyak catatan-catatan yang ketinggalan dan tertunggak. Ada sedikit catatan mengenai beberapa perkara yang ditimbulkan seperti dasar-dasar yang saya fikir boleh dilaksanakan di AMK untuk mengukuhkan organisasi, catatan mengenai Debat Perdana AMK tempoh hari serta kolum saya di The Edge mengenai sekolah sebagai agen membina perpaduan kaum yang wajar kita halusi sebaiknya.

Insya Allah saya akan tulis satu persatu, masih lagi menyesuaikan diri dengan beberapa tugas mendesak.

Terima kasih kepada semua teman-teman yang banyak membantu, doa-doa Sdr/i adalah salah satu bekal utama buat saya yang mentah dan lurus bendul ini, ha ha!

Nota Menjelang Debat Perdana AMK Malam Ini

1) Agak gundah gulana, belum ada masa untuk buat persediaan yang rapi. Urusan pemilihan di cabang perlu juga diselesaikan dahulu – semalam berjumpa dengan teman-teman di Felda Neram sehingga lewat malam mendengar luahan rasa dan harapan mereka mengenai parti.

2) Oleh kerana sessi berlanjutan lewat malam, sampai di KL pun lambat dan sekarang masih termenung menyusun fikiran untuk debat pada malam ini.

3) Saya pernah menjadi pendebat di zaman muda dan juga jurulatih debat – tetapi untuk berdebat kembali setelah sekian lama, bukan mudah. Rasanya anak-anak didik saya yang rata-rata berada di universiti kini akan menutup mata melihat bekas jurulatih mereka terkumat-kamit cuba mempraktikkan ajarannya yang sebelum ini diberikan kepada anak-anak didik.

4) Pun begitu, debat ini satu keadaan yang unik dan ia terhasil secara spontan yang melambangkan dalamnya semangat reformasi dan pembaharuan sesama kita.

5) Saya tidak mengharapkan sorakan dan laungan yang kuat, malah saya bersedia untuk dihentam dan disorak malu. Tetapi pendekatan berbahas secara ilmiah ini perlu dipertahankan dan dibawa seluas mungkin – kerana politik kita perlu matang dan berlandaskan gagasan.

6) Apa-apa pun kita lihat sahaja keadaannya malam ini. Saya fikir dengan sedikit persediaan untuk menyusun semua mesej yang telah disebut sebelum ini, kemudian berbekalkan sembahyang hajat dan doa kepada Allah SWT dan teman-teman (yang kasihan, ha ha!), Insya Allah dapatlah juga saya sampaikan sedikit mesej, tidak kira apa penerimaan malam ini.

7) Untuk berdepan dengan tokoh-tokoh yang mempunyai nama dan pengikut besar di negara ini, apatah lagi debat dan ceramah ini memang bidangnya, bukanlah mudah dan sangat menggentarkan. Namun kita serahkan kepada Allah SWT, Insya Allah yang terbaik akan kita capai malam ini.

Selamat berdebat kepada semua rakan-rakan 🙂

Menjelang Debat AMK

Saya terbaca satu tulisan oleh seorang teman (dari Bukit Gantang agaknya) yang menarik minat dan dalam maknanya, menjelang debat pada malam ini. Sama-sama kita hayati.

ERTI DEMOKRASI…Pesanan Atok khusus untuk Angkatan Muda KeADILan(AMK) dan ahli parti amnya.

Hasil nukilan: Ayahanda NenekEngkau

“Demokrasi memberi ruang untuk semua menyatakan pendapat dan pendirian. Demokrasi juga perlu dilihat dari perspektif kita bermesyuarah untuk membuat keputusan. Demokrasi membawa maksud keterbukaan untuk memberi dan mendengar pandangan dari semua. Demokrasi bukan sekadar memerlukan kita bertoleransi sesama kita tetapi kesediaan untuk meraikan kepelbagaian yang ada, kerana akhirnya kita memerlukan semua”.

“Politik baru yang kita tawarkan melalui Parti Keadilan Rakyat(PKR) ialah politik yang berteraskan NILAI(value-based politic). Sebab itu, adalah satu kesilapan sekiranya kita menggunakan UMNO-BN sabagai kayu ukur/benchmark. Justeru, proses Pemilihan 2010 ini ialah satu peluang “experiental learning” untuk kita bersama membina budaya politik baru di Negara ini”.

Debat Bakal Calon AMK Pusat semakin hampir, gelojak rasa teruja baik di kalangan penyokong, pemerhati politik, parti lawan atau kawan mahu pun bakal calon itu sendiri makin dirasai. Program yang bakal menoktahkan peristiwa penting di dalam lipatan kamus sejarah politik tanah air ini telah menjadi fenomena bukan saja media alternatif mahupun arus perdana, malahan orang-ramai khususnya pendokong parti masing-masing tidak mahu melepaskan peluang untuk terlibat secara langsung atau tidak langsung menjadi sebahagian, “history in the making”.

Hari ini harapan ramai khususnya kalangan ahli parti telah termakbul untuk melihat posisi ketua AMK bakal diisi oleh muka baru bila mana mantan ketua AMK saudara Shamsul Iskandar secara rasminya mengumumkan sidang media untuk tidak mempertahankan lalu nekad mendaki ke posisi lebih tinggi.

Umum sudah menjangkakan mantan ketua AMK saudara Shamsul Iskandar bakal menarik diri dari mempertahankan posisi beliau ta’kala potensi untuk mengamit kedudukan posisi naib presiden parti menampakkan sinar yang lebih gemilang. Ahli parti khususnya Angkatan Muda Keadilan(AMK) mengalu-alukan keputusan beliau ini dan mengucapkan ribuan terima kasih setelah 2 penggal menabur bakti memperkasakan AMK. Jasa mu tetap dikenang.

Kini persoalan siapakah calon yang paling afdal untuk mengisi kekosongan tersebut dan seterusnya memimpin AMK bagi cabaran pasca PRU 12 dan mendepani PRU 13, bakal menampakkan wajah ta’kala riak-riak bayang di permukaan air makin terpampang jelas. Satu tarik diri, tiga lagi terus berlari mendaki.. antara Hasmi, Rafizi dan Chegubard siapa bakal penganti? Pemerhatian ramai pertembungan Rafizi-Chegubard bakal menjadi perhatian.

Menjelang debat bersejarah tersebut, hari ini Chegubard di Bangi mengisytiharkan iltizam perjuangan beliau untuk memimpin AMK Malaysia dengan pembawaan tema, “Iltizam Anak Muda malaysia..Penerus Momentum Reformasi” dengan menekankan kepada kewajiban AMK menjadi penerus kepada agenda reformasi sebagai anutan wahid AMK ke arah merealisasikan Deklarasi Permatang Pauh. Lewat lalu Rafizi lebih awal menyatakan kesudian untuk jawatan tersebut dengan pembawaan, “Generasi Reformasi”manakala Hasmi lafaz iltizamnya setakat ini bersifat abstrak dengan alasan untuk mengolah dan membaca arus penerimaan walaupun secara dasarnya “bersetuju” dengan jawatan “itu”. Namun ketiga-tiganya akan hadir ke Taiping Sabtu ini, menyahut cabaran berdebat bertarung memunggah idea di dalam memetakan hala tuju dan pemikiran, Misi dan Visi AMK.

Meninjau pertembungan klasik Rafizi-Chegubard sesungguhnya cukup menarik dan mengujakan. Berlatarkan pengalaman rencam politik serta gaya agak berbeda, hakikatnya Rafizi bukan orang baru dan Chegubard bukan orang lama. Kedua-duanya adalah aset kepada parti khususnya AMK. Istilah ayam dulu atau telur dulu adalah tidak relevan dalam poltik dewasa ini khususnya PKR parti pertama yang membuka ruang seluas-luasnya amalan demokrasi. Budaya politik baru menuntut kepada penawaran keupayaan di dalam memberi khidmat terbaik kepada mengangkat upaya dan maruah parti khususnya AMK. Politik pembunuhan karakter(character assassinate), politik sokongan, tiada prinsip, rasuah, fitnah bukanlah ciri-ciri atau idea-idea di dalam merealisasikan citra budaya politik baru. Itu budaya politik lapuk yang tidak terpakai bagi sesiapa yang jujur memahami idealisme dan agenda reformasi parti. Ahli parti mampu menilai, mengenang dengan menelusuri sejarah, bangunnya jasad dan roh parti tahun 1998 asasnya adalah kepada penolakkan falsafah dan budaya politik jelek seumpamanya yang dialunkan oleh regim UMNO-BN pada ketika itu. Sebab kita benci maka kita menolak gaya politik tersebut dan PKR berdiri mampu hingga kini. Amatlah malang bagi parti kiranya masih ada kalangan ahli yang masih gagal dan enggan memahami “asas” terpenting ini.

Berbalik kepada pemilihan, asas utama adalah kemampuan bakal ketua itu untuk menawarkan idea-idea untuk mengisi falsafah politik baru ini. Kita tidak mahu lagi beretorik mahukan kepada reformasi khususnya pembawaan nilai, sikap dan budaya politik baru namun hakikatnya gagal untuk menawarkan idea-idea untuk mengisi kerangka falsafah politik yang diperjuangkan tersebut. Sesungguhnya nilai, sikap serta budaya yang ingin dibawa hakikinya wajib tidak menyinggung hidup insan bertuhan. Usah jadi seperti kelompok hippies di barat satu ketika dulu yang menyarankan untuk menolak yang lama kerana alasan usang, tidak relevan serta penuh hipokrasi(cth: institusi perkahwinan) tapi tanpa memberi ganti alternatif nilai moral sebagaimana yang sepatutnya. Akhirnya kelompok hippies ini mencari moral baru tanpa panduan yang akhirnya terjebak kepada budaya bersekedudukan!

Kepada ahli parti khusus AMK, ingatlah keperluan untuk kita jadikan 2 perkara bersejarah ini, yakni DEBAT dan kaedah 1 Vote 1 Memberini sebagai medan untuk kita menilai keupayaan (SQ+IQ+EQ) dan keikhlasan bakal pemimpin di samping menyaring buang saki-baki ahli-ahli/pemimpin parti yang masih bernafsu berkiblatkan budaya politik jelek lagi busuk umno-bn. PKR adalah parti penentu jambatan keutuhan PAKATAN RAKYAT yang tidak boleh dinafikan, dan menjadi harapan serta pemerhatian lawan serta umum. Jadilah ahli parti yang bijak, maruah tinggi dan berprinsip, insyaalah parti ini akan terus dihormati kalangan rakan dan lawan.

Ayuh kita dakapi nilai luhur, Mari kita raikan Demokrasi!

Tolak Demokrasi Terpimpin!

dari blog “Al Kisah.. YB Osman Jailu

Calon Generasi Reformasi Bagi Pemilihan

Saudara-saudari, proses pencalonan akan bermula dengan bermulanya MATC pada hari ini. Saya mohon Saudara-saudari rakan-rakan dari seluruh negara mempertimbangkan untuk mencalonkan wakil-wakil dari Generasi Reformasi ke jawatan-jawatan yang dipertandingkan, untuk menyuburkan demokrasi dan memberi pilihan yang lebih luas kepada anggota untuk memilih barisan kepimpinan AMK yang lebih lengkap dan terangkum.

Senarai wakil-wakil dari Generasi Reformasi adalah seperti berikut:

Calon Ketua AMK : Mohd Rafizi Ramli, Ahli Majlis Pimpinan Pusat dan Bendahari Keadilan Terengganu
Calon Timbalan Ketua AMK : YB Amirudin Shari, Naib Ketua AMK dan ADUN Batu Caves
Calon Naib Ketua AMK : YB Sim Tze Tzin, ADUN Pantai Jerejak

YB Kesavan Subramaniam, Naib Ketua AMK dan ADUN Hutan Melintang

Calon EXCO : YB Chang Lih Kang, EXCO AMK dan ADUN Teja


:

:

Sdr Halimey Abu Bakar, Mantan Ketua AMK Selangor

Sdr Emmiza Hasmi Zul, Timbalan Ketua Cabang Kampar


: Sdr M A Tinagaran, Ketua Biro Integrasi Keadilan Perak dan Setiausaha Parlimen Pakatan Rakyat Ipoh Barat


: Sdr Saifullah Zulkifli, Mantan Naib Presiden PKPIM dan Pengerusi Siswazah Muda ABIM


: Sdr Jafery Jameon, Ketua AMK Kota Kinabalu