Terima kasih kepada rakan-rakan dan taulan yang menghantar ingatan, baik dalam bentuk kad raya, SMS, emel atau telefon. Saya mohon maaf kerana agak terlewat membalas, ditakdirkan ibu saudara yang sangat rapat meninggal dunia di pagi raya. Urusan jenazah disempurnakan di rumah ibu bapa saya memandangkan ibu adalah anak perempuan sulung dalam keluarga, maka hari raya pada tahun ini disambut dalam keadaan muram dan insaf.
Kematian sewajarnya membawa keinsafan kepada kita. Mayat yang terkujur kaku, selain kesedihan dan sebak atas kehilangan yang tersayang, juga membawa pelbagai persoalan yang tidak ada jawapan dalam masa terdekat.
Perasaan kesal kerana terlalu banyak peluang untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT disia-siakan.
Perasaan takut kerana masa kita juga mungkin sampai tanpa kita bersedia.
Perasaan sedih menyedari bahawa ibu bapa sekarang sudah berada dalam peringkat umur subsidi, kita tidak tahu sama ada ibu bapa akan sempat melihat anak cucu tua bersama-sama mereka; seperti yang digambarkan di dalam iklan-iklan raya pada kebiasaannya.
Saya dilahirkan pada 1 Syawal 33 tahun yang lalu, jadi sebelum ini 1 Syawal juga lebih bermakna kerana ia ulang tahun saya dilahirkan (berdasarkan kalendar Islam).
Selepas ini, 1 Syawal juga akan membawa makna yang sayu, kerana ia mengingatkan saat ibu saudara tercinta yang pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya.
Mohon disedekahkan al-Fatihah – daripadaNya kita datang , kepadaNya juga kita akan kembali. Moga-moga kita kembali dalam keadaan yang cukup bersedia.
Takziah shekh dan Selamat Hari Raya Aidilfitri.