All posts by rafiziramli

Skandal NFC: SPRM Wajar Siasat Cubaan Merasuah Bertepatan Dengan Pendapat Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah

KEADILAN sebelum ini menggesa SPRM untuk menyiasat Dato’ Salleh Ismail dan pengurusan NFC yang berkemungkinan cuba menggunakan orang tengah untuk merasuah penyiasat dalam skandal penyelewengan NFC. Sehingga sekarang, KEADILAN masih belum menerima apa-apa maklumat yang mengesahkan bahawa satu tindakan telah diambil oleh SPRM berikutan pendedahan itu.

Hari ini, KEADILAN ingin mendedahkan bahawa gesaan untuk menyiasat Dato’ Salleh Ismail dibuat setelah mengambil kira kenyataan umum oleh salah seorang ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM iaitu Tan Sri Dato’ Seri Megat Najmuddin Megat Khas melalui satu emel yang diterjemahkan dibawah (transkrip asal emel disertakan di dalam Lampiran A):

“….

Dihantar       : Sabtu, 31 Disember 2011, 10:40 pagi

Tajuk             : Sekarang NFC adalah mangsa penipuan. Faham?

Saya baru selesai makan malam bersama-sama dengan peguam yang mewakili NFC dan Dato’ Salleh, sebelum saya berlepas ke Chiangmai pada malam 22 Disember. Peguam itu baru selesai bersama-sama dengan sessi soalsiasat di antara polis dan anak guamnya. Dia memberitahu kami mengenai cerita kaki penipu ini, seorang bermulut manis yang berjaya meyakinkan pelanggannya yang tertekan untuk memberikannya wang supaya dia (Shamsubahrin) dapat mempengaruhi polis agar kurang kasar (dengan NFC) semasa soalsiasat. Sedih melihat bagaimana seseorang boleh menjadi bodoh apabila sudah tersepit.

Ia bukanlah wayang. Sekarang Dato’ NFC kita terdedah kepada dakwaan bersubahat di dalam cubaan merasuah polis. Sekarang ini SPRM boleh campur tangan untuk menyiasat, kalau tidak sebelum ini perkara ini adalah urusan polis.

Megat

Dihantar melalui Blackberry oleh Maxis

………..”

 

Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas adalah seorang tokoh yang dihormati dan menduduki banyak jawatan penting di dalam negara. Selain dari menjadi ahli Lembaga Penasihat SPRM, antara lainnya beliau juga adalah ahli Lembaga Pengarah PETRONAS, Presiden Malaysian Institute of Corporate Governance dan penasihat Bank Negara.

Beliau juga adalah bekas ADUN Kelana Jaya dan anggota Jawatankuasa Disiplin Umno di samping dikenali sebagai kenalan rapat Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden Umno melalui sumbangan beliau menjadi pengerusi jawatankuasa penganjur Tan Sri Muhyiddin Charity Golf.

Oleh yang demikian, keterangan peribadi yang dibuat oleh Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas ini perlu diberi perhatian serius oleh SPRM. Apatah lagi apabila beliau menyatakan pendapatnya bahawa ada unsur rasuah dan keterbabitan Dato’ Salleh di dalam cubaan merasuah polis yang membolehkan SPRM mengambil tindakan segera ke atas perkara ini.

KEADILAN akan membuat satu laporan SPRM berkenaan perkara ini pada jam 330 petang ini di pejabat SPRM Shah Alam, agar siasatan boleh dijalankan segera.

 

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI KEADILAN

 

12 JANUARI 2012

 

LAMPIRAN A

Sent: Saturday, December 31, 2011 10:40 AM
Subject: Re: now NFC is a victim. Get it?

I had a v nice Thai dinner with the lawyer for NFC and Dato Salleh, just before I left for Chiangmai, on the 22nd nite. This lawyer has just come from an ‘interview’ session the police had with his clients. He told us about this conman’s story, about how this sweet-talking guy managed to convince his desperate client to part with his money so that he can get the police to be ‘less brutal’ in their interrogation! It is sad to see how stupid one can get when you are stuck ‘between a rock and a hard place’!

It is definitely NOT a ‘wayang’. Now our NFC Dato may be open to a charge of being an accomplice in an attempt to bribe the police! MACC now can come in directly into the picture, otherwise it has always been a Police matter.

Megat
Sent via BlackBerry from Maxis

Skandal NFC: KEADILAN Akan Serahkan Dokumen Asas Kepada Polis Petang Ini

Pihak penyiasat dari Bukit Aman telah menghubungi saya untuk memberikan keterangan berkenaan siasatan terhadap skandal NFC. Saya telah bersetuju untuk hadir dan memberikan keterangan di Bukit Perdana pada jam 3 petang hari ini.

Sejak skandal NFC dibongkar, tumpuan siasatan adalah untuk mengesahkan kesahihan dokumen-dokumen yang digunakan oleh KEADILAN dalam meneliti segala penyelewengan di dalam NFC. Ramai yang menuduh kononnya dokumen ini palsu sehinggakan seolah-olah siasatan lebih banyak tertumpu untuk mencari identiti mereka yang membocorkan maklumat kepada KEADILAN.

Saya telah bersetuju untuk mendedahkan dokumen asas yang telah dihantar secara sulit oleh seorang yang saya tidak kenali. Dokumen ini adalah dalam bentuk senarai perbelanjaan terperinci dari akaun bank utama yang dimiliki oleh NFC. Berdasarkan dokumen asas ini, saya percaya orang ramai tidak perlu ragu-ragu kesahihan maklumat yang diberikan kerana ia adalah maklumat terperinci dari sistem perakaunan NFC sendiri.

Siasatan lain dijalankan sendiri oleh KEADILAN berdasarkan perbelanjaan-perbelanjaan yang didapati dari senarai yang dihantar oleh seorang yang tidak dikenali itu.

Oleh yang demikian, KEADILAN yakin pihak polis dan SPRM sepatutnya tidak mempunyai apa-apa masalah untuk mendapatkan bukti dengan secepat mungkin untuk mendakwa mereka yang terlibat di dalam kes penyelewengan NFC, kerana dari pengalaman KEADILAN sendiri – dengan hanya berbekalkan sedikit maklumat, pelbagai penyelewengan dapat dibongkarkan.

Saya juga mendesak pihak berkuasa supaya menyiasat sehingga ke peringkat tertinggi penglibatan dan kecuaian pimpinan kerajaan yang mengakibatkan kerugian RM250 juta wang rakyat ini, termasuklah:

1)      Kecuaian dan penglibatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada ketika itu yang meluluskan projek penternakan fidlot ini tanpa mengambil kira faktor-faktor sehingga menyebabkan kegagalannya sekarang; dan

2)      Kecuaian dan penglibatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak yang bertanggungjawab menilai bidaan dari syarikat-syarikat dan menganugerahkan projek ini kepada sebuah syarikat milik keluarga menteri yang tidak mempunyai apa-apa pengalaman sehingga menyebabkan kegagalannya sekarang.

 

Semua maklumat yang saya miliki setakat ini saya akan serahkan kepada pihak PDRM petang ini untuk mempercepatkan siasatan.

 

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI KEADILAN

 

4 JANUARI 2012

 

Skandal NFC: KEADILAN Desak SPRM Dakwa Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail, Pengerusi Eksekutif NFC Kerana Cubaan Merasuah

Saya merujuk kepada tindakan pihak berkuasa mendakwa Datuk Shamsubahrin Ismail pada 30 Disember lalu atas tuduhan menipu Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail sejumlah RM1.755 juta.

Pihak KEADILAN boleh mengesahkan melalui maklumat yang diperolehi setakat ini bahawa wang RM1.755 juta itu dibayar oleh Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail bagi tujuan merasuah pegawai-pegawai penyiasat SPRM dan PDRM untuk mempengaruhi siasatan ke atas NFC. Wang tersebut dibayar melalui cek oleh Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail.

Tugasan Datuk Shamsubahrin Ismail adalah menjadi orang tengah yang menyampaikan wang tersebut kepada pegawai-pegawai penyiasat SPRM dan PDRM.

Merujuk kepada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 Bahagian IV Perkara 16 dan 17, kesalahan rasuah berlaku apabila:

“Mana-mana orang yang sendiri atau melalui atau bersama dengan mana-mana orang lain:

 (a)   Secara rasuah meminta atau menerima atau bersetuju untuk menerima bagi dirinya atau bagi mana-mana orang lain; atau

(b)   Secara rasuah memberikan, menjanjikan atau menawarkan kepada mana-mana orang sama ada bagi faedah orang itu atau bagi faedah orang lain;

 apa-apa suapan sebagai dorongan untuk atau upah bagi; atau selainnya oleh sebab:

 (A)  Mana-mana orang melakukan atau tidak melakukan apa jua berkenaan dengan apa-apa perkara atau transaksi; sama ada yang sebenar atau yang dicadangkan atau yang mungkin berlaku; atau

(B)   Mana-mana pegawai sesuatu badan awam melakukan atau tidak melakukan apa-apa jua berkenaan dengan apa-apa perkara atau transaksi; sama ada yang sebenar atau yang dicadangkan atau yang mungkin berlaku, yang dengannya badan awam itu terlibat”

 

Undang-undang SPRM secara jelas menunjukkan dalam kes ini, Dato’ Seri Salleh Ismail MELALUI Datuk Shamsubahrin Ismail telah cuba merasuah pegawai penyiasat SPRM dan PDRM di dalam kes NFC berdasarkan perkara-perkara berikut:

1)      Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail yang membekalkan wang suapan malah menandatangani cek berjumlah RM1.755 juta

2)      Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail bersetuju dengan cadangan Datuk Shamsubahrin Ismail untuk memujuk pegawai-pegawai SPRM dan PDRM dengan cara menyediakan wang suapan

 

Saya merasa kesal kerana pihak berkuasa masih terus mahu melindungi Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail dan keluarga menteri kanan walaupun secara jelas beliau terbabit dalam cubaan rasuah untuk menutup penyelewengan yang lebih besar di dalam NFC. Sebaliknya, pihak berkuasa membuat keputusan untuk mendakwa Datuk Shamsubahrin Ismail atas tuduhan cuba menipu NFC sedangkan wang yang terlibat adalah dengan tujuan merasuah pegawai-pegawai SPRM dan PDRM.

Tindakan Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail mengambil jalan cuba merasuah pegawai-pegawai SPRM dan PDRM juga menggambarkan bahawa prinsip tatakelola dan urustadbir yang diamalkan di NFC adalah lemah dan longgar. Ia menggambarkan seolah-olah kelakuan rasuah dan cuba membeli pegawai-pegawai kerajaan adalah amalan yang ringan dan boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya.

Oleh yang demikian, KEADILAN mendesak SPRM supaya dengan segera memulakan siasatan ke atas Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail dan pengurusan NFC atas cubaan merasuah pegawai-pegawai SPRM dan PDRM bagi tujuan mempengaruhi siasatan ke atas skandal NFC.

 

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI KEADILAN

 

4 JANUARI 2012 

Permohonan Untuk Pinjaman Bank Dunia Dibuat Oleh NEAC Yang Dipengerusikan Tun Mahathir

Saya mengucapkan terima kasih kepada Tun Mahathir Mohamad yang akhirnya mengaku[1] bahawa pentadbiran beliau memang ada mengambil pinjaman dari Bank Dunia yang ditandatangani pada 31 Mac 1999 semasa beliau menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Ini bertentangan dengan penafian beliau sehari sebelum itu kononnya beliau tidak mengambil sebarang pinjaman Bank Dunia.

Malangnya, adalah mendukacitakan apabila beliau masih meneruskan pembohongan untuk mengabui mata rakyat. Beliau menulis kononnya “rundingan terakhir dibuat dalam tahun 1997 untuk mendapatkan pinjaman Bank Dunia” dengan niat menyabitkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan permohonan pinjaman tersebut.

Hakikatnya adalah berbeza dan ini disahkan oleh dokumen-dokumen Kerajaan Malaysia dan Bank Dunia. Saya rujuk rentetan peristiwa dan dokumen-dokumen berikut untuk membuktikan bahawa permohonan untuk pinjaman sebanyak USD404 juta dari Bank Dunia dibuat atas arahan Tun Mahathir Mohamad sendiri:

1) Dokumen Bank Dunia (Laporan Awal Permohonan Pinjaman PID6999 yang disertakan bersama) pada halaman 2 perenggan terakhir menyebut:

In view of these circumstances in July 1998, the Government announced a National Economic Recovery Plan to bring the economy back on a positive growth path. One of the six strategic objectives of the National Economic Recovery Plan is to continue the country’s equity and socio-economic agenda which had been instrumental during the past two decades, in maintaining social stability in the country. In line with this objective, the Government has proposed a plan of action to mitigate the adverse social impacts of the crisis which threaten to reverse the gains made in the past. The Government has approached the Bank for help in strengthening this plan and implementing it through a Social Protection Project

Dokumen Bank Dunia itu menjelaskan tujuan permohonan pinjaman yang dibuat iaitu untuk membiayai Pelan Pemulihan Ekonomi Negara (National Economic Recovery Plan, NERP) yang diumumkan di dalam bulan Julai 1998. Permohonan juga dibuat oleh Kerajaan Malaysia, bukannya ditawarkan oleh Bank Dunia seperti yang didakwa Tun Mahathir.

2) NERP diumumkan dan ditadbir sepenuhnya oleh National Economic Action Council (NEAC) atau Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN). NEAC dipengerusikan oleh Tun Mahathir Mohamad sendiri. Perjalanan seharian NEAC diputuskan oleh Pengarah Eksekutif NEAC iaitu Tun Daim Zainuddin, Menteri Tugas-tugas Khas yang dilantik oleh Tun Mahathir Mohamad. Setiausaha NEAC adalah Ketua Pengarah, Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang bertanggungjawab penuh kepada Tun Mahathir Mohamad ketika itu.

3) Maka, jelas terbukti bahawa permohonan mendapatkan bantuan kewangan dari Bank Dunia dibuat oleh NEAC bagi pihak Kerajaan Malaysia untuk membiayai NERP yang dilancarkan dalam bulan Julai 1998. NEAC dikawal sepenuhnya oleh Tun Mahathir Mohamad.

4) Ini bertepatan dengan jadual kelulusan pinjaman dari Bank Dunia seperti yang termaktub di dalam Laporan Penilaian Permohonan Pinjaman (Project Appraisal Document 18855-MA yang disertakan bersama) mukasurat 29. Ia menyebut tarikh-tarikh penting seperti berikut:

  1. Permohonan mula-mula diterima dari Kerajaan Malaysia pada 26 Julai 1998
  2. Pasukan penilai dari Bank Dunia berlepas ke Malaysia pada 30 November 1998
  3. Rundingan hanya bermula 1 Februari 1999

5) Bukan sahaja permohonan dibuat oleh NEAC mengikut arahan Tun Mahathir Mohamad, malah kesemua proses rundingan berlaku selepas Dato’ Seri Anwar Ibrahim sudah pun dipenjarakan.

 

Saya percaya Tun Mahathir Mohamad akan mencari alasan baru untuk menerangkan perkara ini walaupun ia sudah jelas terbukti, sebagaimana beliau akhirnya mengaku beliau ada mengambil pinjaman Bank Dunia (walaupun menafikannya sebelum itu).

Saya juga menasihatkan Tun Mahathir Mohamad agar tidak begitu ghairah mencabar orang lain bersumpah di atas al-Quran dalam hal ini, kerana jika polemik cabar-mencabar untuk bersumpah ini melarat kepada isu-isu yang membabitkan keluarga beliau, sukar untuk beliau menafikannya.

Contohnya, adalah lebih berguna sekiranya beliau bersumpah di atas al-Quran bahawa anak beliau, Mirzan Mahathir tidak membeli pegangan besar di dalam konglomerat arak terbesar di rantau ini iaitu San Miguel kerana soal keluarga pembesar negara beragama Islam menguasai perniagaan arak adalah soal yang sensitif bagi masyarakat beragama Islam di Malaysia. Tambahan pula, bila konglomerat yang sama ingin menguasai perniagaan hiliran milik ExxonMobil Malaysia yang melibatkan ribuan rakyat Malaysia beragama Islam yang tidak sanggup dibayar gaji dari wang yang terlibat dengan arak.

Jika beliau bersungguh-sungguh untuk bersumpah di atas al-Quran, bersumpahlah menafikan perkara ini terlebih dahulu.

 

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI KEADILAN

20 DISEMBER 2011



[1] Melalui penulisan di blog beliau bertarikh 20 Disember 2011

Pinjaman Bank Dunia Yang Dinafikan Tun Mahathir Sah Diterima Kerajaan Malaysia, Tersenarai Dalam Penyata Akaun Negara

Saya merujuk kepada penafian Tun Mahathir Mohamad bahawa pentadbiran beliau mengambil bantuan kewangan dari Bank Dunia dalam tahun 1999, seperti yang dilaporkan BERNAMA pada 19 Disember 2011. Beliau juga mempersoalkan kesahihan dokumen-dokumen perjanjian pinjaman di antara Kerajaan Malaysia dan Bank Dunia yang dikemukakan KEADILAN.

Saya telah menulis secara rasmi kepada Bank Dunia untuk mendapatkan pengesahan mereka bahawa semua dokumen yang dipaparkan di laman web mereka adalah sahih. Saya yakin bahawa kesemua itu adalah dokumen sah.

Kalau pun Tun Mahathir meragui dokumen-dokumen rasmi dari Bank Dunia, beliau tidak boleh menafikan dokumen rasmi kewangan negara yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia dan diluluskan di Parlimen. Saya lampirkan Penyata Akaun Memorandum Hutang Awam Luar Negeri Kerajaan Malaysia seperti pada 31 Disember 2008 yang terkandung di dalam Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2010. Dokumen ini dibentangkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak pada 23 Oktober 2009.

Penyata tersebut mengesahkan bahawa Kerajaan Malaysia telah mengambil pinjaman dari Bank Dunia dalam tahun 1999 dengan rujukan “4452 MA Projek Sokongan Sektor Sosial” dari Bank Dunia (dikenali sebagai Bank Antarabangsa bagi Pemulihan dan Pembangunan). Kadar faedahnya adalah 7.47% bagi tahun 2008 dan sehingga 31 Disember 2008, Kerajaan Malaysia masih berhutang sebanyak RM701,040.14 daripada keseluruhan pinjaman berjumlah USD60 juta yang diambil dalam tahun 1999.

KEADILAN tidak mahu memanjangkan isu ini. Kami hanya mengemukakan fakta untuk membetulkan kenyataan Tun Mahathir Mohamad sebelum itu yang jelas satu pembohongan.

Penggunaan teknologi maklumat yang semakin meluas sekarang berbanding sedekad lalu memungkinkan pelbagai dokumen rasmi Bank Dunia dipamerkan kepada umum kerana mereka mengamalkan dasar terbuka, bukannya seperti pentadbiran Barisan Nasional yang menggunakan Akta Rahsia Rasmi untuk menyekat pelbagai dokumen daripada diteliti rakyat.

Sewajarnya Tun Mahathir Mohamad perlu menerima hakikat bahawa beliau telah tersilap dan memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana berbohong mengenai bantuan Bank Dunia kepada Malaysia dalam tahun 1999.

 

MOHD RAFIZI RAMLI, PENGARAH STRATEGI KEADILAN

20 DISEMBER 2011