Tumpuan Perbaiki Keadaan Rakyat

 

A019C628-1391-4BBA-A596-D5EFC1485443

Saya mengambil sedikit masa untuk mengemas dokumen-dokumen mahkamah saya. Saya masih ada beberapa kes di mahkamah dan kertas-kertas kes mahkamah perlu disusun baik.

Saya terjumpa satu surat peguam 1MDB iaitu Wong & Partners untuk mengambil tindakan undang-undang atas kenyataan saya mempersoalkan pemindahan dana RM7 bilion oleh 1MDB ke akaun di Kepulauan Cayman.

Surat ini istimewa kerana ini surat saman pertama yang saya dapat mengenai 1MDB. Surat yang tarikhnya salah (29 April 2013, bukan 29 April 2012) dihantar oleh 1MDB untuk menutup mulut saya setelah saya mengeluarkan kenyataan beberapa minggu menjelang PRU13 dalam tahun 2013.

Keutamaan Mendesak

Pada waktu itu, barang siapa yang berani mempersoalkan apa-apa mengenai 1MDB, hadiahnya ialah surat saman. Akibatnya, tidak ramai yang berani berkata apa-apa.

Pimpinan UMNO dan Barisan Nasional ghairah menerima wang dari 1MDB dan mereka menutup mata, kalau pun ada sedikit kegusaran. Penyokong mereka yang kini secara berjemaah menjerit hancing tidak sedikit pun peduli yang wang rakyat (termasuk wang mereka sendiri) diselewengkan sehingga kerajaan kekurangan wang yang menjadi beban kepada mereka.

Kalau subsidi dipotong dan harga minyak naik pada ketika itu, golongan yang cukup peka dengan perkataan “hancing” ini juga yang paling ke depan memarahi rakyat Malaysia lain yang prihatin bila dana negara dialihkan dari berbelanja kepada rakyat.

Pimpinan PAS pula pada ketika itu berkira-kira mengenai strategi politik. Ada yang tidak faham langsung mengenai skandal kewangan, tetapi ramai yang percaya mereka hanya perlu menumpang di atas pentas Pakatan Rakyat untuk memasuki PRU13. PAS menunjukkan keakraban luar biasa dengan DAP pada ketika itu kerana mereka yakin DAP akan menyumbang undi bukan Melayu yang akan memenangkan calon-calon PAS di Pantai Barat.

Soal sama ada wang negara hilang atau tidak – bukan masalah mereka.

Maka tinggallah beberapa orang kami yang faham ilmu kewangan dan tahu ke mana Dato’ Seri Najib membawa Malaysia. Saya dan Tony Pua secara berterusan membangkitkan soal 1MDB, walaupun menerima surat-surat saman seperti di atas.

Kami bersuara kerana pada ketika itu, ia menjadi keperluan mendesak untuk memberi amaran kepada rakyat bahawa penyelewengan dan pencurian sedang berlaku. Apatah lagi dalam keadaan sebahagian besar sama ada tidak kisah dengan pencurian yang berlaku atau mereka juga tidak faham.

Menyampaikan Sesuatu Mengambil Masa

Pada ketika itu, suara saya dan Tony Pua dibalas dengan cercaan dan maki hamun, sama juga dengan maki hamun dari penyokong PASUmno (yang sudah berkahwin itu) sekarang.

Bila saya bercakap mengenai Tabung Haji, ada yang mengkafirkan saya. Bila saya bercakap mengenai pencurian wang MARA, ada yang mendoakan saya ditimpa mala petaka.

Kalau kita jenis yang hanya mencari jalan mudah, sudah tentu rakyat tidak dapat melihat kerosakan yang berlaku di dalam Tabung Haji, MARA, 1MDB dan lain-lain. Sebab itu maklumat dan pendedahan perlu diteruskan supaya rakyat dapat memahami kerana menyampaikan sesuatu itu mengambil masa.

Tetapi menghentikan rompakan dan pencurian wang rakyat menjadi satu keperluan yang mendesak, agar kita boleh selamatkan rakyat dan generasi akan datang dari beban hutang yang akan merosakkan negara.

Tumpuan Perbaiki Kehidupan Rakyat

Rakyat telah mengambil tindakan untuk menghentikan rompakan dan kecurian itu, walaupun ada yang sedikit terlambat. Keadaan kewangan negara parah dan menjadi cabaran kepada kerajaan sekarang untuk memperbaiki keadaan.

Tetapi keperluan mendesak untuk menghentikan rompakan dan kecurian wang negara itu telah dicapai.

Kini, tiba masanya untuk memberi tumpuan memperbaiki kehidupan rakyat.

Tugas dan fungsi saya sekarang tidak sama seperti tugas dan fungsi saya semasa pembangkang dahulu, kerana keadaan yang berbeza itu meletakkan keperluan mendesak yang berlainan.

Saya percaya majoriti rakyat Malaysia tidak pernah melupakan segala keterlibatan Dato’ Seri Najib dengan skandal kewangan yang menyusahkan rakyat.

Dato’ Seri Najib mungkin berbangga kerana beliau mendapat sambutan baik di media sosial, tetapi jika beliau ingat sambutan itu mencerminkan kecintaan rakyat kepada beliau, beliau salah besar.

Jika beliau menyimpan cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi, saya nasihatkan beliau pendamkan saja kerana beliau ada bakat menjadi badut media sosial seperti sekarang. Lebih baik beliau kekal begitu kerana rakyat tidak lupa dengan keangkuhan, kemewahan dan penyelewengan yang berleluasa semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

Namun, ada perkara yang disuarakan oleh beliau itu kena dengan kehendak rakyat untuk melihat hasil segera pertukaran kerajaan.

Sebab itu, keperluan mendesak sekarang ialah merangka program-program yang boleh membaiki mutu kehidupan rakyat.

Saya memilih untuk tidak ada kena mengena dengan kerajaan kerana saya percaya ada ruang untuk rakyat biasa menggembleng tenaga dan akal kita mencari penyelesaian kepada kehendak-kehendak mendesak rakyat ini.

Ada 2 kehendak mendesak rakyat yang saya ingin usahakan dari luar kerajaan:

Pertama, membantu seberapa ramai orang muda mencari pekerjaan dan memadankan mereka dengan seberapa ramai majikan kecil dan sederhana yang memerlukan pekerja. Saya juga percaya kita boleh membantu orang mudah menambah kebolehpasaran mereka tanpa membelanjakan satu sen pun duit kerajaan, seperti yang dibuat oleh Dato’ Seri Najib (yang tidak pun banyak membantu orang muda dan majikan walaupun beratus juta dibelanjakan).

Kedua, membantu seberapa ramai rakyat Malaysia mengambil tindakan nekad untuk bertindak ke atas sebarang niat dan idea mereka untuk berniaga. Masalah yang ada sekarang ialah sebahagian besar rakyat Malaysia (terutamanya Melayu) berkira-kira untuk berniaga tetapi tidak berani, atau cepat gagal.

Jika masyarakat kita (tanpa campur tangan kerajaan) berjaya mewujudkan budaya berani bertindak atas idea perniagaan yang mereka ada, ia akan membawa laba ekonomi. Paling bagus, ia akan meyakinkan orang Melayu/Bumiputra bahawa mereka juga boleh bersaing dalam perniagaan tanpa menuding jari kepada sesiapa.

Ini dua keperluan mendesak yang saya ambil sebagai lanjutan kepada khidmat saya semasa menjadi ahli parlimen dahulu.

Penyokong PASUmno yang suka meroyan di Facebook saya akan terus meroyan. Mereka memang begitu dari dulu pun kerana mereka adalah #pencintaNajib Asalkan Dato’ Seri Najib menjadi Perdana Menteri semula, mereka tidak malu pun berketuakan seorang yang dikaitkan dengan rompakan wang rakyat terbesar dalam sejarah dunia.

Namun, rakyat biasa yang mendapat manfaat dari usaha kita tahu bahawa keadaan adalah lebih baik sekarang daripada dahulu. Mereka ini yang wajar kita beri tumpuan dan keperluan mendesak bagi Pakatan Harapan ialah membaiki keadaan hidup mereka.

Yang di dalam kerajaan, laksanakanlah seberapa banyak program. Jelaskan apa hala tuju dan rancangan untuk memperbaiki keadaan ekonomi rakyat.

Yang di luar kerajaan, tumpukan kepada menggembleng tenaga rakyat untuk mengangkat keadaan ekonomi rakyat.

Satu dua tahun dari sekarang, bila usaha itu membuahkan hasil, Dato’ Seri Najib akan terus merempit di atas kapcai dan di media sosial.

Dan biarkanlah beliau merempit – itu hak beliau, asalkan beliau tidak memakan harta rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.