Masalah Graduan Menganggur

Employee_&_Employer_Mismatch_#2_Malay

Salah satu keutamaan mendesak dalam negara ini ialah merangka satu penyelesaian untuk memastikan graduan yang keluar dari universiti mendapat pekerjaan yang setimpal dengan kelulusan dan kemahiran mereka.

Setiap kali kita bercakap mengenai masalah graduan menganggur, pelbagai sentimen dan polemik akan mengalihkan tumpuan dari mencari penyelesaian. Masing-masing ada pandangan dan kebanyakan pandangan itu tidak menyelesaikan masalah.

Graduan Malas Dan Memilih?

Antara polemik yang paling biasa kita dengar ialah sikap graduan masa kini yang terlalu memilih, malas dan kurang berkemahiran. Selalunya polemik ini akan bertukar menjadi serangan perkauman: yang Melayu menuduh yang bukan Melayu melaksanakan diskriminasi kerja untuk tidak mengambil graduan Melayu bekerja. Yang bukan Melayu pula, ada saja yang merendahkan mutu graduan Melayu.

Jenis yang suka mencari titik perkauman dalam semua perkara ini ada di mana-mana. Sebenarnya mereka adalah minoriti yang kecil.

Majoriti rakyat Melayu dan bukan Melayu lebih pentingkan penyelesaian kepada masalah ini.

Sebagai majikan sendiri, ada benar dan tidak benarnya pandangan mengenai mutu graduan masa kini. Ada yang tidak bersedia semasa datang temuduga, ada yang tidak bersungguh-sungguh semasa menghantar permohonan.

Tetapi ada juga yang benar-benar bermutu dan menjadi tenaga kerja yang baik, walaupun pada asalnya tiada pengalaman.

Masalah Ekonomi

Masalah graduan menganggur adalah masalah ekonomi. Ia masalah sistem dan fokus, yang boleh dikurangkan kesannya dengan kerangka penyelesaian yang baik.

Untuk menyelesaikan masalah ekonomi, pendekatan mestilah bersifat ilmiah dan disandarkan kepada angka-angka yang tepat.

Malangnya, agak sukar mencari satu angka yang tepat dan benar-benar menggambarkan keadaan sebenar pengangguran graduan di negara ini.

Statistik terbaik adalah dari Jabatan Statistik Malaysia mengenai jumlah kekosongan jawatan setiap suku tahun, jumlah pekerjaan baru yang diwujudkan dan jumlah kekosongan yang dipenuhi.

Setakat ini, statistik ini hanya ada untuk dua suku, iaitu setakat S4 2017 dan S2 2018. Pun begitu, ia memberi sedikit gambaran untuk kita menjawab soalan penting: adakah betul-betul tiada pekerjaan, atau graduan yang dihasilkan tidak sesuai/tidak berkemahiran dengan kekosongan/pekerjaan baru yang diwujudkan.

Statistik Jabatan Perangkaan meliputi semua jenis kekosongan (bukan melibatkan graduan semata-mata):

2019 - 1 - 24 - 1

Bagi saya, langkah pertama untuk melaksanakan kerangka penyelesaian yang berkesan ialah menjadikan angka-angka berkaitan kekosongan kerja satu tumpuan nasional.

Setiap suku tahun, rakyat mesti tahu berapa jumlah kekosongan, berapa jumlah pekerjaan baru yang diwujudkan, berapa yang masih berbaki dan berapa yang menganggur/mencari pekerjaan.

Apabila perkara ini menjadi amalan dalam kalendar ekonomi negara, barulah tumpuan rakyat beralih kepada usaha-usaha untuk memenuhi kekosongan yang ada.

Saya pasti pihak Kerajaan sedar akan kepentingan langkah ini. Sebagai masyarakat, kita juga wajar mengalihkan tumpuan kepada perkara ini agar Kerajaan (dan pembangkang juga) menumpukan perhatian menyelesaikan masalah pengangguran di kalangan graduan.

2 thoughts on “Masalah Graduan Menganggur”

  1. Graduan adalah bekas pesakit canser bila hantar resume dgn menyatakan adalah penyakit kronic dlm borang permohonan pekerjaan peluang pekerjaan sukar ada majikan bolih menerima bila buat X-ray ada nampak kimoport didada bekas pesakit canser susah dpt kerja dikatakan walaupun dah naik peluang pekerjaan tak dapat dipertimbangan hutang PTPTN kena bayar

  2. Lulusan Diploma occupational safety and health (DOSH) sukar mendapatkan pengalaman bekerja setelah tamat belajar disebabkan oleh:
    1. Pihak JKKP memberi kuasa penuh pihak niosh dan pusat-pusat pengajar Keselamatan menganjurkan kursus-kursus jangkamasa pendek seperti kursus Site Safety Supervisor hanya dalam tempoh beberapa hari sahaja dengan bayaran yang rendah untuk mereka yang mempunyai kelulusan SPM dan pengalaman bekerja lebih dari dua tahun dalam bidang contruction.mendapatkan sijil sss Berbanding graduan DOSH yang terpaksa belajar bertahun dan melalui pelbagai ujian untuk mendapatkan sijil diploma dalam DOSH dan membuat pinjaman yang tinggi untuk jurusan tersebut, tetapi tiada peluang untuk mencari pengalaman bekerja disebabkan bidang mereka telah diambil alih oleh orang yang bukan kompeten dibidang keselamatan.

    2. Peluang pekerjaan dalam bidang keselamatan ditempat kerja telah dibuka luas kepada semua jurusan graduan diploma untuk berkecimpung dalam bidang Safety. Ibarat tugas doktor dibilik pembedahan diambil alih oleh jurutera elektrik untuk melakukan pembedahan pesakit dibilik bedah. Jadi apa gunanya diwujudkan graduan diploma occupational safety and health di universiti dan di kolej-kolej swasta. Adakah hanya sekadar untuk mengisi masa lapang graduan-graduan tersebut.
    Pihak kerajaan harus memandang serius perkara ini, bukan hanya sekadar memenuhi kehendak peluang pekerjaan, tetapi harus meneliti baik buruknya jika perkara ini dilakukan berterusan. Keselamatan Pekerja ditempat kerja bukan suatu perkara yang boleh diambil mudah. Kerajaan hendak menitikkan keselamatan pekerja ditempat kerja, tetapi tidak meneliti sedalam-dalamnya undang-undang yang dilaksanakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.