Ruang Media Makin Baik

Prestasi pentadbiran PH sejak mengambil alih Putrajaya akan terus menjadi bualan orang ramai.

Serangan dari pembangkang itu perkara biasa. Saya ditanya perasaan saya memerhatikan bagaimana Dato’ Seri Najib Razak kini cuba menjadi pejuang rakyat, sedangkan sebelum ini banyak kerosakan itu berpunca dari beliau.

Sudah tentu ada perasaan sinis. Saya yakin sahabat-sahabat UMNO pun ada yang merasa sinis melihat gelagat Dato’ Seri Najib sekarang, tetapi itu kerja pembangkang. Biarkanlah dia, kerana saya yakin orang ramai dapat menilai.

Kaki pukul tegar pembangkang di media sosial akan terus sumpah seranah mengenai harga minyak, tetapi hakikatnya harga minyak akan turun juga minggu ini. Malah, ini kali pertama rakyat dilindungi dari kenaikan harga mendadak dan turut mendapat untung bila harga turun mendadak. Hanya di Malaysia ada kaedah yang menang-menang sebegini dalam menentukan harga minyak.

Sementara saya peka dengan prestasi pentadbiran PH, saya juga tenang mengingatkan bagaimana sedikit demi sedikit, perubahan yang berlaku membawa manfaat kepada rakyat walaupun kesannya tidak dirasai segera.

Bila saya terjun ke gelanggang reformasi tahun 1998 dahulu, ada 3 perkara yang fikirkan matlamat utama yang perlu dicapai demi menjamin keadilan di negara ini:

1. Membebaskan institusi rakyat seperti kehakiman, pendakwaan, SPR, penguatkuasaan seperti polis dan badan-badan kerajaan dari diperkuda demi kelangsungan politik parti pemerintah

2. Mewujudkan sistem dua parti supaya rakyat sentiasa mempunyai pilihan untuk menukar kerajaan; dan parti politik kerajaan dan pembangkang bersaing memenangi hati rakyat dengan cara yang sihat

3. Mewujudkan media yang adil, benar dan beramanah supaya rakyat mendapat maklumat yang tepat dan telus, seterusnya dapat membuat keputusan yang baik untuk mereka dan keluarga mereka

Dalam diam-diam, bagi saya, matlamat mewujudkan media yang adil, benar dan beramanah adalah yang paling mudah untuk dicapai dan paling baik prestasinya setakat ini.

Saya tidak malu untuk mengaku bahawa saya sudah mula membaca kembali Utusan Malaysia sekali sekala. Begitu juga dengan media-media yang lain seperti Berita Harian, yang sebelum ini saya tinggalkan selama berdekad.

Saya mendapati mutu penulisan dan objektiviti laporan semakin baik. Mungkin kerana mereka perlu bersaing, mungkin kerana pengamal media meraikan kebebasan yang diperolehi sekarang.

Ruang media yang makin baik dan bebas ini adalah satu pencapaian besar untuk rakyat Malaysia, walaupun kesannya tidak dirasai serta merta.

Tetapi media yang bebaslah yang akan membongkar penipuan menteri, melaporkan penganiayaan, menyiasat skandal dan lain-lain.

Saya berdoa media yang ada sekarang menyertai media seperti Malaysiakini yang selama berdekad bertahan demi media yang bebas dan adil.

Kalau beberapa tahun dari sekarang media seperti Utusan, The Star, Sinchew, TV3, Berita Harian dan media perdana lain dibariskan sama dengan media aktivis seperti Malaysiakini, saya kira itulah salah satu pencapaian terbaik reformasi dan 9 Mei 2018.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.