Semasa mesyuarat bilateral di antara delegasi Malaysia dan Amerika Syarikat di White House baru-baru ini, Dato’ Seri Najib Tun Razak mengejutkan rakyat Malaysia apabila menawarkan untuk membantu mengukuhkan ekonomi Amerika Syarikat dengan menggunakan wang rakyat Malaysia. Beliau menyebut tiga pelaburan khusus yang boleh membantu Amerika Syarikat – salah satunya ialah pembelian pesawat-pesawat baru dari Boeing yang dianggarkan berjumlah USD10 bilion (atau RM42 bilion) dalam tempoh 5 tahun akan datang.
Sementara rakyat Malaysia sudah pun terkejut dengan jumlah wang yang sebegitu besar, ramai yang tidak nampak risiko yang lebih besar yang saya ingin bentangkan pada hari ini. Saya telah mengikuti perkembangan di MAS dan yang berkaitan dengan lawatan Dato’ Seri Najib bertemu Presiden Trump sejak beberapa bulan yang lepas.
Ada beberapa perkara yang perlu diketahui oleh rakyat Malaysia, terutamanya pekerja-pekerja MAS dan bekas kakitangan MAS yang dibuang kerja untuk memahami risiko yang dihadapi MAS sekarang jika ada campur tangan dari pihak Dato’ Seri Najib dalam keputusan-keputusan kewangan penting yang akan berlaku dalam masa setahun dua ini.
Pertamanya, pengurusan baru MAS menjalankan rasionalisasi destinasi penerbangan sejak beberapa tahun lalu untuk mengurangkan kerugian. Selain itu, proses rasionalisasi turut melibatkan pemecatan 6,000 orang kakitangan MAS.
Hasil dari pelbagai potongan dan pemecatan kakitangan dan disertai dengan beberapa perkembangan positif lain (termasuk harga minyak yang kekal rendah), MAS dijangka akan mula mencatatkan keuntungan dalam masa setahun.
Ini membawa kepada perkara kedua, iaitu penggantian pesawat-pesawat MAS yang lama dengan yang baru dan pembelian pesawat-pesawat baru untuk memenuhi keperluan operasi MAS yang dilaporkan akan mula menambah destinasi baru setelah dijangka akan mencatatkan keuntungan selepas ini.
Saya telah rujuk laporan-laporan industri penerbangan dan dapat merumuskan bahawa rancangan untuk menggantikan pesawat-pesawat lama dengan pembelian (atau sewaan) pesawat baru ini sedang pesat berjalan, seperti yang dilaporkan:
https://www.ausbt.com.au/malaysia-airlines-pegs-airbus-a330neo-for-fleet-revamp
Daripada laporan-laporan di atas, saya boleh rumuskan untuk makluman pembaca dan penonton bahawa:
i. MAS berhasrat untuk membeli 25 pesawat “widebody” (iaitu pesawat yang lebih besar dengan kapasiti lebih tinggi) dan tempahan akan dibuat dalam tahun 2017 ini. Daripada 25 pesawat baru itu, 15 adalah untuk menggantikan pesawat Airbus A330-300s yang disewa dan 10 adalah untuk pesawat baru bagi tujuan destinasi baru
ii. MAS sudah pun menempah 25 pesawat Boeing 737-Max 8/10 seperti yang diumumkan oleh Dato’ Seri Najib dalam pertemuannya dengan Presiden Trump tempoh hari. Anggaran harga 25 pesawat Boeing 737-Max 8/10 seperti yang dilaporkan Bloomberg adalah USD2.75 bilion (rujuk https://www.bloomberg.com/news/articles/2016-11-15/malaysia-airlines-mulling-purchase-of-25-widebody-jets-next-year)
iii. Bagi 25 pesawat baru “widebody” yang akan dibeli oleh MAS, Dato’ Seri Najib telah mengumumkan di dalam pertemuan dengan Presiden Trump pembelian 8 pesawat Boeing 787 Dreamliner. Ini bermakna ada tujuh belas lagi pesawat yang perlu ditempah dan dibeli oleh MAS.
iv. Pembelian pesawat-pesawat dan pilihan jenis pesawat sepatutnya menjadi persaingan di antara dua pengeluar pesawat iaitu Airbus dan Boeing, seperti yang disebut oleh CEO MAS Peter Bellew di dalam temuramah http://www.ainonline.com/aviation-news/air-transport/2017-01-09/malaysia-airlines-order-25-widebodies-2017
Berita-berita ini mengesahkan bahawa MAS akan berbelanja sehingga USD12.5 bilion (50 Boeing 737 iaitu USD5.5 bilion dan 25 “widebody” sama ada Boeing 787 atau Airbus A330neo sekitar USD280 juta setiap satu atau USD7 bilion kesemuanya) iaitu sekitar RM53 bilion dalam tempoh 5 tahun akan datang untuk membeli 50 pesawat kelas Boeing 737-Max 8/10 dan 25 pesawat besar “widebody” iaitu kelas Boeing 787 atau Airbus A330neo.
Ini adalah perbelanjaan paling besar oleh mana-mana syarikat milik kerajaan dalam tempoh 5 tahun akan datang (kecuali PETRONAS yang perbelanjaan carigali minyaknya lebih besar).
Oleh sebab itulah saya sangat-sangat bimbang apabila Lembaga Pengarah MAS menerima pelantikan orang kanan Dato’ Seri Najib iaitu Dato’ Habibul Rahman Kadir Shah sebagai ahli lembaga pengarah MAS pada 18 Mei 2017 (rujuk petikan skrin dari laman rasmi MAS yang mengesahkan pelantikan tersebut di bawah):
Malah, pelantikan itu sebenarnya sudah pun mengundang tanda tanya kerana Dato’ Habibur Rahman Kadir Shah sememangnya diketahui umum sebagai orang kanan Dato’ Seri Najib. Pelantikan beliau ke Lembaga Pengarah MAS itu dilaporkan oleh The Malaysian Insight https://www.themalaysianinsight.com/s/3866/
Lebih mencurigakan, pelantikan tersebut berlaku sekitar tarikh Godfrey Group Limited, syarikat milik Florence Goh melantik Healy Baumgardner-Danone sebagai pelobi mewakili Pejabat Perdana Menteri dengan bayaran RM1.125 juta. Perjanjian yang difailkan di Jabatan Negara Amerika Syarikat menunjukkan bahawa pelobi itu dilantik pada 19 Mei 2017, iaitu hampir sama dengan tarikh Dato’ Habibur Rahman dilantik ke Lembaga Pengarah MAS.
Oleh yang demikian, saya menyuarakan rasa bimbang saya bahawa dengan pelantikan Dato’ Habibur Rahman yang dikenali sebagai orang kanan Dato’ Seri Najib pada masa MAS dijangka akan membelanjakan sehingga RM53 bilion dalam tempoh 5 tahun akan datang, MAS dan rakyat Malaysia terpaksa berdepan dengan risiko-risiko berikut:
1. Campur tangan terus Dato’ Seri Najib dalam hal ehwal pembelian pesawat-pesawat baru MAS melalui Dato’ Habibur Rahman yang berada di dalam Lembaga Pengarah MAS. Melihatkan kepada pertemuan Dato’ Seri Najib dengan Presiden Trump, beliau turut mengumumkan pembelian 8 pesawat “widebody” Boeing 787 Dreamliners sedangkan mengikut laporan-laporan temuramah dengan Peter Bellew (CEO MAS), beliau membayangkan keputusan paling awal dicapai pun ialah di awal September ini.
Adakah keputusan untuk membeli 8 Boeing 787 Dreamliners itu keputusan Lembaga Pengarah MAS yang telah melalui proses penilaian yang sewajarnya yang menepati strategi perniagaan MAS, atau itu keputusan politik Dato’ Seri Najib?
2. Harga yang dirundingkan adalah lebih mahal dan tidak telus jika ada campur tangan politik di dalam keputusan MAS. Jika ada 5% komisen pun di atas pembelian pesawat-pesawat baru MAS yang menelan belanja RM53 bilion ini, ia bersamaan dengan RM2.65 bilion iaitu bersamaan dengan jumlah wang 1MDB yang masuk ke dalam akaun Dato’ Seri Najib. Oleh kerana MAS dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia melalui Khazanah, sebarang keputusan kewangan tidak perlu dilaporkan kepada mana-mana pihak dan rompakan sebegini melalui harga pembelian yang lebih tinggi akan berlaku tanpa disedari.
Saya percaya ini adalah satu lagi skandal baru yang sedang dalam pembikinan yang perlu diberi perhatian sewajarnya oleh rakyat Malaysia. Saya mendesak supaya Dato’ Seri Najib tidak campur tangan dalam urusan MAS dan ia perlu bermula dengan membatalkan pelantikan Dato’ Habibur Rahman Kadir Shah sebagai ahli Lembaga Pengarah MAS.
RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN
Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di
Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan
Youtube | INVOKE Malaysia
https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg