Adakah Dato’ Seri Najib Mengarahkan Felda Yang Kerugian Berbilion Ringgit Membeli Saham Eagle Plantations?

Pada 23 Disember 2016, Felda melalui satu kenyataan ringkas yang disiarkan oleh New Straits Times mengesahkan pembelian pegangan 37% di dalam PT Eagle High Plantations Tbk (sering dirujuk dengan kependekan EHP) pada harga USD505.4 juta atau RM2.263 bilion (pada kadar tukaran semasa 1 USD = RM4.4767).

Kenyataan media Felda itu juga mengesahkan perkara-perkara berikut:

i. Pembelian ini akan menggunakan sebuah syarikat khas (“special purpose vehicle”) milik penuh Felda iaitu FIC Properties Sdn Bhd (FICP). Saya sertakan carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang menunjukkan bahawa FICP mempunyai modal berbayar RM1 juta sahaja dan dimiliki sepenuhnya oleh Felda. Syarikat ini juga tidak pernah mempunyai sebarang urusniaga sejak ditubuhkan dan bergantung sepenuhnya kepada Felda.

ii. Felda melalui FICP telah pun menandatangani Perjanjian Jual Beli Saham (atau Sales Purchase Agreement “SPA”) dan kini menunggu kelulusan dari pihak berkuasa di kedua-dua buah negara.

Download (PDF, 977KB)

Pembelian pegangan 37% di dalam Eagle High Plantations bukanlah satu perkara baru dan hampur-hampir dimuktamadkan dalam tahun 2015 melalui Felda Global Ventures (FGV). Atas sebab-sebab yang tidak diketahui bercampur pula dengan kedudukan kewangan FGV yang kian merosot dan tekanan politik, pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak meneruskan hasrat membeli 37% pegangan di dalam Eagle High Plantantions ini dalam tahun 2015.

Rakyat kemudian dikejutkan dengan pengesahan bahawa pembelian itu diteruskan melalui sebuah anak syarikat milik penuh Felda seperti kenyataan media Felda yang dilaporkan oleh NST di atas.

Pembelian 37% pegangan di dalam EHP pada harga USD505.4 juta atau RM2.263 bilion ini adalah tiga kali ganda lebih mahal dari harga saham purata EHP sejak setahun lepas (atau dua kali ganda lebih mahal berdasarkan harga terkini EHP). Ini bermakna bukan sahaja Dato’ Seri Najib membelanjakan wang Felda pada ketika kedudukan kewangan Felda semakin kronik (saya akan tunjukkan di bawah), wang itu digunakan untuk membayar saham-saham pada harga yang tiga kali ganda lebih mahal.

Saya sertakan prestasi saham EHP (di dalam Rupiah) bagi tempoh 5 tahun seperti di bawah (sumber dari Bloomberg):

Purata harga saham EHP sejak tahun lepas (iaitu ketika urusniaga ini dirundingkan oleh FGV) ialah sekitar IDR132 hingga IDR314 sesaham sahaja. Pada perkiraan purata ringkas, purata harga satu saham EHP berdasarkan harga sepanjang 52 minggu lepas adalah IDR200 sahaja (atau 6.7 sen sesaham dalam Ringgit Malaysia).

Jumlah saham keseluruhan yang diterbitkan adalah 31.525 bilion saham (seperti yang ditunjukkan dari maklumat Bloomberg di bawah):

Oleh yang demikian, pada harga RM2.263 bilion untuk membeli 37% pegangan saham, ini bermakna Felda akan membayar premium (lebih mahal dari harga sepatutnya mengikut harga saham) sebanyak 290% (3 kali ganda) jika dibandingkan dengan harga purata 52 minggu, atau 195% (2 kali ganda) jika dibandingkan dengan harga saham EHP pada hari ini.

Jika pun Felda mempunyai wang yang melimpah ruah, tidak ada orang yang waras yang akan bersetuju untuk membeli pegangan 37% di dalam EHP pada harga yang sebegitu tinggi.

Namun, yang saya paling tidak boleh terima, pembelian ini berlaku pada ketika Felda mengalami kedudukan kewangan yang sudah sampai ke tahap nazak.

Saya sertakan beberapa angka penting dari Penyata Kewangan Felda yang telah diaudit bagi tahun-tahun berakhir 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014 (terkini). Penyata Kewangan Felda bagi tahun 31 Disember 2015 masih belum diserahkan kepada ahli-ahli parlimen.

Kedudukan kewangan Felda adalah sangat parah apabila kerugian bersih (selepas ditolak perbelanjaan dan cukai) adalah RM2.312 bilion bagi tahun 2013. Pada tahun 2014, Felda rugi lagi sebanyak RM1.023 bilion.

Jumlah wang tunai di tangan, di bank dan deposit tetap yang disimpan oleh Felda berkurangan secara mendadak dari RM684 juta (tahun 2013) kepada hanya RM291 juta (tahun 2014).

Maka saya ajukan soalan-soalan ini:

i. Bagaimana Felda mahu membayar pembelian bernilai RM2.263 bilion ini sedangkan wang tunainya hanya ada RM291 juta pada akhir tahun 2014 (dan mungkin akan susut lebih banyak lagi apabila laporan kewangan berakhir 31 Disember 2015 dikeluarkan)?

ii. Siapa yang memberi arahan untuk membeli 37% saham EHP pada harga 3 kali ganda lebih mahal dari harga pasaran?

Soalan-soalan ini hanya boleh dijawab oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak memandangkan hubungan akrab beliau dengan hartawan Indonesia, Tan Sri Peter Sondakh yang dikenali di seluruh dunia.

Saya mahu Dato’ Seri Najib Tun Razak menjawab secara terbuka sama ada beliau pernah mengarahkan mana-mana pegawai dari yang di bawah hingga ke paling atas untuk meneruskan pembelian saham 37% di dalam EHP yang dimiliki kenalan perniagaan beliau Tan Sri Peter Sondakh.

Saya akan membuat satu laporan polis terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Isa Samad dan semua ahli Lembaga Pengarah Felda dan FIPC pada hari Khamis ini agar satu siasatan dibuka segera memandangkan pembelian pada harga 3 kali ganda lebih mahal, pada kala kedudukan kewangan Felda adalah nazak, boleh disifatkan sebagai satu jenayah (sekurang-kurangnya kecuaian profesional yang menyebabkan kerugian kepada rakyat).

Saya akan terus mendedahkan pelbagai kepincangan di dalam Felda dan urusniaga ini setiap hari.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

One thought on “Adakah Dato’ Seri Najib Mengarahkan Felda Yang Kerugian Berbilion Ringgit Membeli Saham Eagle Plantations?”

  1. NajibRazak already ‘a mad cow’ shd the SPV for the EHP goes thru..I don’t hv any other words for wht will be the ‘Hell broke lose’..

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.