Timbalan Menteri Kewangan Mengesahkan Bahawa Pelaburan Kwsp Di Dalam 1MDB Berisiko Tinggi

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani semalam menyatakan pendirian kerajaan bahawa pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di dalam 1MDB dianggap tidak membawa risiko kepada KWSP.

Alasan yang diberikan oleh beliau adalah seperti berikut:

1. Jumlah pelaburan KWSP di dalam 1MDB adalah kecil berbanding dana KWSP

2. 1MDB membayar kadar faedah (“coupon rate”) yang tinggi di atas pelaburan KWSP iaitu di antara 7.7% – 9.85% (pelaburan KWSP di dalam Jimah Energy Ventures) dan di antara 8.25% – 8.35% (pelaburan KWSP di dalam Panglima Power Sdn Bhd)

Timbalan Menteri Kewangan sebenarnya tidak sedar bahawa jawapan beliau itu secara langsung mengesahkan bahawa pelaburan KWSP di dalam 1MDB sebenarnya mempunyai risiko tinggi.

Pertamanya, jumlah pelaburan KWSP di dalam 1MDB bukannya kecil dan berjumlah RM1.72 bilion. Jumlah RM1.72 bilion adalah satu jumlah yang besar, apatah lagi bila dana ini adalah simpanan wang rakyat yang diuruskan oleh KWSP. Timbalan Menteri Kewangan sepatutnya tidak mengambil ringan sebarang urusniaga yang melibatkan simpanan wang rakyat tidak kiralah berapa jumlahnya. Dalam perkara ini, pelaburan KWSP di dalam 1MDB yang berjumlah RM1.72 bilion adalah cukup besar.

Keduanya, ukuran sama ada sesuatu pelaburan bon itu mempunyai risiko tinggi itu atau tidak bergantung kepada kadar faedah (“coupon rate”) yang perlu dibayar oleh peminjam (“bond issuer”) kepada pemegang bon (“bond holder”). Oleh itu, untuk menilai sama ada pelaburan KWSP di dalam bon 1MDB adalah berisiko tinggi atau tidak, kadar faedah yang tinggi dibayar oleh 1MDB kepada KWSP berbanding kadar faedah bon-bon lain adalah bukti pelaburan itu sebenarnya berisiko tinggi.

Kadar faedah (“coupon rate”) yang biasa dibayar oleh institusi kerajaan (termasuk GLC utama) selalunya tidak jauh bezanya dari kadar faedah (“coupon rate”) yang dibayar oleh kerajaan. Bon-bon kerajaan pada kadar semasa selalunya melibatkan kadar faedah (“coupon rate”) tidak melebihi 5%, maka bon institusi kerajaan (seperti 1MDB yang dimiliki kerajaan) sepatutnya tidak jauh berbeza dari 5%.

Jawapan Timbalan Menteri Kewangan semalam menunjukkan bon 1MDB yang dipegang oleh KWSP melibatkan kadar faedah (“coupon rate”) yang jauh lebih tinggi dari bon-bon institusi kerajaan sehingga mencecah dua kali ganda lebih tinggi (mencecah 9.85%). Kadar yang lebih tinggi sehingga mencecah dua kali ganda ini adalah tindakbalas pasaran kepada risiko pelaburan di dalam 1MDB yang menyebabkan pasaran menetapkan 1MDB membayar kadar faedah (“coupon rate”) yang lebih tinggi kerana risiko kewangan 1MDB.

Oleh yang demikian, saya mengulangi desakan saya sebelum ini bahawa KWSP dan semua badan kerajaan yang lain mengambil tindakan segera untuk melupuskan sebarang pegangan bon atau pelaburan di dalam 1MDB kerana risiko kewangan yang tinggi seperti yang diterjemahkan di dalam kadar faedah (“coupon rate”) yang tinggi.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Pegawai Tinggi MARA Yang Dinamakan Di Australia Masih Belum Diambil Tindakan Sejak Skandal MARA Didedahkan

Skandal pembelian hartanah oleh MARA yang melibatkan MARA terlebih bayar sehingga RM129 juta pada kala biasiswa dan pinjaman pendidikan MARA dipotong telah didedahkan dalam bulan Jun 2015. Selain dari beberapa pengumuman pendek mengenai perlantikan juru audit bebas untuk menyemak urusniaga-urusniaga itu, sehingga kini rakyat masih belum mendapat maklumat mengenai tindakan yang telah dan akan diambil terhadap pegawai-pegawai tinggi MARA yang terbabit/disyaki terbabit di dalam skandal ini.

Walaupun jumlah RM129 juta yang disyaki diselewengkan dalam bentuk bayaran melebihi harga pasaran tidaklah setinggi skandal 1MDB yang mencecah dana sehingga RM50 bilion, nilainya tetap besar kerana itu jumlah yang boleh dilaburkan kembali kepada rakyat dalam bentuk biasiswa dan pinjaman pendidikan seperti mandat asal MARA.

Rakan saya di National Oversight & Whistleblowers (NOW), Saudara Akmal Nasir telah ke Melbourne dalam bulan Julai 2015 untuk mendapatkan lebih maklumat mengenai urusniaga dan siapa yang terbabit. Selain dari nama-nama yang telah diketahui umum, saya terkejut kerana nampaknya tiada sebarang tindakan diambil terhadap seorang pegawai tinggi MARA yang pernah mempunyai kepentingan perniagaan bersama dengan individu-individu yang memiliki syarikat-syarikat yang terbabit dengan pembelian hartanah ini.

Semakan saya di laman Pelaburan MARA Berhad, syarikat pelaburan induk yang menguruskan pelaburan dan aset MARA dan dimiliki sepenuhnya oleh MARA masih menunjukkan seorang yang bernama sebagai Nazim Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Kumpulan Pelaburan MARA Berhad.

Jika siasatan dalaman oleh MARA di bawah kepimpinan Tan Sri Anuar Musa dibuat dengan teliti, siasatan itu sudah tentu akan menunjukkan bahawa Nazim Rahman pernah mempunyai kepentingan perniagaan bersama di dalam syarikat yang terbabit di dalam urusniaga hartanah MARA di Australia. Malah, siasatan ringkas juga akan menunjukkan bahawa Nazim Rahman kenal rapat dan mempunyai kepentingan perniagaan bersama dengan individu-individu yang lain dalam syarikat-syarikat lain selain dari syarikat yang terbabit dalam urusniaga hartanah MARA.

Ini menimbulkan satu percanggahan kepentingan (“conflict of interest”) apabila Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan MARA yang menguruskan pelaburan aset MARA mempunyai kepentingan perniagaan di dalam syarikat yang berurusan dengan MARA dalam pembelian hartanah di Australia.

Malangnya, skandal ini nampaknya cuba didiamkan begitu sahaja dan sehingga kini tidak ada seorang pun yang dihadapkan ke mahkamah atau diambil tindakan oleh mana-mana pihak berkuasa baik MARA sendiri atau SPRM.

Oleh yang demikian, saya akan mendedahkan dokumen-dokumen yang diperolehi dari Australia termasuklah dokumen mahkamah di sana yang secara jelas menamakan individu-individu yang terbabit . Saya berharap tindakan diambil terhadap mereka ini termasuklah seorang EXCO Pemuda Umno yang dinamakan secara jelas di dalam dokumen-dokumen tersebut.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Kerajaan Perlu Hentikan GST Dan Bayar Keuntungan Kepada Peniaga Yang Lambat Menerima Bayaran Balik GST (“GST Refund”)

Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Chua Tee Yong semalam semasa menjawab soalan lisan telah mengesahkan bahawa sejak GST dilaksanakan, hanya 41% dari bayaran balik GST (“GST refund”) yang dibuat mengikut undang-undang iaitu dalam tempoh 14 hari dari tarikh borang GST (“GST return”) difailkan.

Ini bermakna 59% dari bayaran balik GST setakat ini tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan sendiri. 59% dari peniaga lewat menerima bayaran balik GST yang membawa kesan kepada aliran tunai (“cashflow”) peniaga. Apabila aliran tunai peniaga terjejas, ini meningkatkan kos perniagaan yang boleh menyebabkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Kelewatan bayaran balik GST ini telah ditimbulkan sebelum ini oleh pelbagai pihak baik peniaga sendiri atau dewan-dewan perniagaan. Walau bagaimana pun, kerajaan hanya memberi pengesahan semalam bahawa selama ini memang kerajaan telah lewat membayar balik GST kepada peniaga-peniaga.

Kegagalan membayar balik GST kepada peniaga mengikut tempoh masa yang dijanjikan oleh kerajaan adalah satu kepincangan besar yang tidak boleh dipandang rendah. Setelah 6 bulan GST dilaksanakan, kerajaan masih belum dapat menguruskan sistem GST ini dengan baik dan yang menjadi mangsa adalah peniaga dan rakyat yang lewat menerima bayaran balik.

Saya tidak boleh menerima alasan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Kewangan semalam bahawa ini perkara biasa yang terpaksa dilalui semasa di peringkat awal pelaksanaan GST kerana rakyat telah membayar GST tepat pada masanya sejak ia dilaksanakan pada 1 April 2015 lalu.

Oleh yang demikian, saya menyeru supaya kerajaan berlaku adil kepada peniaga dan rakyat dengan menghentikan serta-merta sistem cukai GST ini sehinggalah segala masalah yang dihadapi oleh pihak berkuasa yang menyebabkan kelewatan bayaran balik GST dapat diselesaikan. Hanya apabila kerajaan dapat membayar balik GST kepada peniaga dan rakyat tepat pada masanya barulah adil rakyat membayar GST tepat pada masanya seperti yang diperuntukkan undang-undang.

Saya juga berpendapat adalah adil sekiranya kerajaan membayar keuntungan (faedah) di atas jumlah cukai GST yang lewat dibayar balik kepada peniaga dan rakyat sebagai timbal balik kepada kos peniaga dan rakyat yang terpaksa menanggung kos tambahan untuk menampung gangguan kepada aliran tunai akibat dari kelewatan kerajaan membayar balik GST selama ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Kadar Tol Boleh Dikekalkan, Harga Minyak Boleh Diturunkan Lagi

Kenaikan kadar tol (selain dari tambang LRT) di sebahagian besar lebuhraya-lebuhraya utama yang menghubungkan Lembah Klang dengan seluruh negara bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah ia membawa risiko buruk kepada perkembangan ekonomi negara.

Tahun 2015 telah menyaksikan pelbagai dasar dan kenaikan yang meningkatkan beban sara hidup isirumah keluarga Malaysia. Pada 1 April 2015, pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak telah melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang terbukti menaikkan harga barang dan beban cukai kepada rakyat.

Mekanisme penetapan harga minyak yang menghapuskan subsidi dan menggunakan harga rujukan di dalam Dollar Amerika Syarikat (USD) juga merugikan rakyat bila mana harga minyak terus kekal mahal sedangkan harga minyak RON95, diesel dan RON97 di negara-negara lain jatuh secara berkadar dengan harga minyak mentah di pasaran. Harga minyak di Malaysia kekal mahal (malah dinaikkan bulan ini) kerana kegagalan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak mengawal kejatuhan nilai matawang ringgit berbanding USD menjadikan ringgit matawang tercorot di Asia.

Dengan kenaikan kadar tol dan tambang LRT yang bakal berkuatkuasa, setiap isirumah terutamanya di Lembah Klang akan terpaksa membayar lebih. Kos pengangkutan juga akan meningkat di seluruh negara dan akan menaikkan lagi harga barang. Kesannya, pendapatan boleh belanja (disposable income) setiap isirumah di seluruh negara akan berkurangan akibat dasar-dasar ini.

Dalam suasana ekonomi Malaysia yang kurang mendapat keyakinan pelabur antarabangsa (yang telah menarik berbilion ringgit pelaburan keluar dari Malaysia dalam tahun ini), pertumbuhan ekonomi negara lebih banyak bergantung kepada kemampuan rakyat Malaysia berbelanja. Jika kuasa beli pengguna kukuh, kegiatan ekonomi rancak dan ekonomi boleh terus berkembang walaupun sentimen pelabur antarabangsa kurang memberangsangkan.

Sebab itu, kedangkalan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak melonggokkan beban ekonomi negara kepada rakyat sebenarnya tindakan membunuh diri kerana ia membawa risiko melembapkan pertumbuhan ekonomi negara ekoran kurangnya kuasa beli pengguna.

Jawatankuasa Ekonomi Pakatan Harapan sedang memuktamadkan Belanjawan Pakatan Harapan yang akan dilancarkan di sidang Parlimen minggu depan. Salah satu teras utama pendekatan ekonomi Pakatan Harapan yang dikupas ialah langkah-langkah inovatif dan praktikal untuk mengurangkan beban sara hidup rakyat bagi mengekalkan kuasa beli pengguna.

Kami yakin bahawa kadar tol boleh dikekalkan dan harga minyak sewajarnya lebih murah dengan melaksanakan cadangan-cadangan berikut:

MEKANISME MENGEKALKAN KADAR TOL

Alasan yang selalu digunakan oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk menaikkan kadar tol adalah kononnya kerajaan tidak lagi mampu menanggung pampasan yang tinggi kepada pemegang konsesi.

Sebelum ini pun, parti-parti Pakatan Harapan konsisten menegaskan bahawa perjanjian yang berat sebelah dengan pemegang konsesi perlu dirunding semula untuk mengelakkan pampasan yang melampaui batas. Pun begitu, selagi Pakatan Harapan tidak berkuasa di Putrajaya, langkah ini tidak dapat dijalankan.

Oleh yang demikian, satu lagi langkah inovatif dan praktikal yang boleh dilaksanakan segera ialah memberi hak kepada pemegang-pemegang konsesi terbabit untuk mendapat keutamaan terbabit di dalam projek-projek lebuhraya akan datang sebagai pertukaran untuk tidak menaikkan kadar tol.

Hak untuk mendapat keutamaan (sering dirujuk sebagai “first right of refusal”) adalah amalan biasa di dalam perjanjian komersil. Dengan cara ini, pemegang konsesi sedia ada tidak perlu bimbang tentang keuntungan yang berkurangan kerana mereka mempunyai potensi untuk terus terlibat di dalam projek lebuhraya kerajaan yang akan datang dengan syarat perjanjian akan datang ditetapkan secara adil mengikut kadar keuntungan munasabah.

Pakatan Harapan menyeru supaya Menteri Kerja Raya lebih kreatif dalam membela rakyat dan merundingkan semula dengan pemegang konsesi dengan tawaran “first right of refusal” dalam projek lebuhraya akan datang pada kadar keuntungan berpatutan sebagai pertukaran mengekalkan kadar tol sedia ada.

MEKANISME MENURUNKAN HARGA MINYAK

Rakyat Malaysia terus menanggung harga minyak yang mahal akibat dari beberapa kesilapan dan kelemahan pentadbiran ekonomi Dato’ Seri Najib Tun Razak walaupun harga minyak mentah dan minyak siap diproses (“refined products”) kekal murah di pasaran antarabangsa.

Kesilapan pertama ialah apabila formula menetapkan harga bulanan RON95, diesel dan RON97 menggunakan harga rujukan di dalam USD. Formula penetapan harga secara prinsipnya adalah:

Harga RON95 = Kos minyak mentah dan memproses minyak mentah menjadi RON95 + Jaminan keuntungan kepada syarikat minyak dan stesen petrol

Sejak tahun 1980an, kerajaan Barisan Nasional menggunakan harga rujukan dari Singapura di dalam USD untuk menentukan kos minyak mentah dan memproses minyak mentah sedangkan maklumat yang lebih tepat boleh diperolehi terus dari syarikat-syarikat minyak di Malaysia.

Kelemahan kedua ialah kegagalan mentadbir matawang ringgit sehingga ia jatuh merudum berbanding USD. Oleh itu, walaupun harga minyak di dalam USD sebenarnya kekal murah, apabila ia diterjemahkan ke dalam ringgit menggunakan formula, tiba-tiba ia menjadi mahal akibat faktor matawang (bukan kerana harga minyak yang mahal).

Pakatan Harapan menyeru supaya Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan merombak kembali sistem penetapan harga minyak yang menggunakan harga rujukan di dalam USD untuk melindungi rakyat Malaysia dari kesan kejatuhan matawang ringgit akibat kelemahan Barisan Nasional sendiri.

Jawatankuasa Ekonomi Pakatan Harapan akan terus mengeluarkan cadangan-cadangan tuntas menjelang pembentangan Belanjawan Pakatan Harapan minggu depan.

 

JAWATANKUASA EKONOMI PAKATAN HARAPAN

13 OKTOBER 2015

YB Rafizi Ramli

Ahli Parlimen Pandan

YB Ong Kian Ming

Ahli Parlimen Serdang

Dr Dzulkifly Ahmad

Pengarah Strategi AMANAH

     
YB Wong Chen

Ahli Parlimen Kelana Jaya

   

 

 

Bank Negara Malaysia Wajar Batalkan Semua Lesen Kewangan 1MDB Jika Peguam Negara Enggan Dakwa 1MDB Di Mahkamah

Saya mengucapkan tahniah di atas keberanian dan sikap professional Bank Negara Malaysia (BNM) yang membatalkan kelulusan-kelulusan di bawah Akta Kawalan Matawang (Exchange Control Act) yang diberikan kepada 1MDB sebelum ini ekoran keengganan Kamar Peguam Negara mendakwa 1MDB di mahkamah walaupun kertas siasatan oleh BNM mengesyorkan pendakwaan.

Perkara ini telah lama ditimbulkan terutamanya dari aspek pengubahan wang haram (anti money laundering). Saya faham sepenuhnya bahawa kuasa pendakwaan di bawah Perlembagaan adalah kuasa Peguam Negara. Oleh yang demikian, besar kemungkinan apa-apa siasatan di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia (termasuklah mengenai pengubahan wang haram) tidak berkesudahan dengan pendakwaan 1MDB ke mahkamah walaupun disyorkan oleh BNM.

Oleh itu, saya mencadangkan supaya Bank Negara Malaysia menggunakan kesemua kuasa yang ada untuk menyelesaikan masalah kewangan 1MDB seperti berikut:

1. BNM wajar membatalkan semua lesen kewangan yang diberikan kepada 1MDB sebelum ini di bawah bidang kuasanya yang diperlukan oleh 1MDB untuk beroperasi sebagai sebuah syarikat yang terbabit dengan instrumen kewangan (jika ada);

2. BNM wajar membatalkan semua permit atau kelulusan pemindahan wang yang pernah diberikan selama ini;

3. BNM wajar menolak sebarang permohonan permit atau kelulusan pemindahan wang yang baru supaya dananya tidak lagi boleh dipindahkan sesuka hati;

4. BNM wajar menolak sebarang permohonan lesen atau permit baru bersabit dengan sebarang urusan kewangan yang baru di bawah bidang kuasanya untuk memastikan 1MDB tidak boleh membuat perjanjian atau urusan kewangan yang baru

Jika Kamar Peguam Negara enggan menggunakan kuasanya di bawah Perlembagaan untuk mendakwa 1MDB seperti yang disyorkan oleh kertas siasatan BNM, maka BNM sewajarnya menggunakan kuasanya yang lain untuk memastikan masalah 1MDB terus berlanjutan hingga membawa kesan kepada ekonomi negara.

Satu jalan yang paling berkesan ialah melumpuhkan operasi kewangan dan urusniaga pemindahan dana oleh 1MDB yang dikawalselia oleh BNM mengikut undang-undang. Apabila 1MDB dikekang dari terus membuat pinjaman atau memindahkan dana, saya pasti Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak ada pilihan lain kecuali menutup 1MDB dan menyelesaikan masalah kewangannya secara muktamad.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN