Kejatuhan harga minyak mentah yang mendadak di pasaran dunia mendorong kepada kejatuhan harga petrol dan diesel di Malaysia. Walaupun harga petrol dan diesel mula jatuh, rakyat masih menunggu agar perkara yang sama berlaku dengan harga barang dan perkhidmatan yang lain.
KEADILAN sebelum ini menumpukan kepada mekanisme penetapan harga petrol dan diesel untuk memastikan rakyat tidak terus membayar cukai tersembunyi yang dikenakan Barisan Nasional sejak November 2014 lagi. Harga petrol dan diesel yang diturunkan hanya sebulan sekali menyebabkan rakyat terus membayar harga petrol dan diesel yang lebih tinggi berbanding harga pasaran.
Pada ketika ini, dianggarkan rakyat membayar harga petrol dan diesel secara purata 30 sen lebih mahal dari harga pasaran sebenar. Bagi keluarga yang menggunakan secara purata 200 liter petrol atau diesel sebulan, ini bermakna mereka dicukai sebanyak RM60 sebulan. Jumlah ini besar dan sekiranya KEADILAN berjaya mendesak Kerajaan Persekutuan menukar mekanisme agar harga petrol dan diesel diturunkan setiap minggu, rakyat Malaysia mempunyai lebihan wang sebanyak RM60 sebulan untuk dibelanjakan.
KEADILAN kini beralih tumpuan kepada usaha untuk memfokuskan perhatian rakyat kepada isu-isu berkaitan harga barang. Ini termasuk mendedahkan pelbagai perjanjian dan struktur kos yang menyebabkan kenaikan harga, tekanan kepada monopoli perniagaan yang mengherot harga serta desakan agar Kerajaan Persekutuan menggunakan kuasa yang ada padanya untuk menurunkan harga barang.
Kempen ini akan dikendalikan secara bersepadu dengan turut disertai oleh ahli-ahli Parlimen yang lain. Saya sendiri akan menumpukan kepada isu-isu dasar dan kuasa yang ada pada Kerajaan Persekutua yang boleh digunakan untuk menurunkan harga barang.
Saudara Manivanan Gowin, Ahli Parlimen Kapar dan Pengerusi Biro Kepenggunaan akan mengetuai kempen menyemak harga dan memberi tekanan kepada Kerajaan Persekutuan dan peniaga dalam sektor barangan runcit seperti makanan, restoran dan lain-lain.
Saudara Wong Chen, Ahli Parlimen Kelana Jaya dan Pengerusi Biro Perdagangan dan Industri akan mengetuai kempen menyemak tarif telekomunikasi dan Astro agar bayaran yang dikenakan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi (talian telefon, internet dan lain-lain) dan Astro berpatutan dengan mutu perkhidmatan yang setimpal.
KEADILAN berpendapat bahawa tindakan Kerajaan Persekutuan sekarang adalah tidak memadai dan melepaskan tanggungjawab dengan menyalahkan peniaga-peniaga yang kononnya tidak mahu menurunkan harga barang. Lebih teruk lagi, menteri-menteri terbabit membiarkan sahaja aktivis Umno menyebarkan dakyah kononnya harga barang tidak diturunkan kerana ketamakan golongan peniaga Cina.
KEADILAN akan menentang sikap perkauman dan tidak bertanggungjawab Umno dan menteri-menteri dalam isu harga barang ini sedangkan kuasa dan cengkaman Umno/Barisan Nasional dalam kerajaan dan perniagaan sebenarnya boleh digunakan untuk menurunkan harga barang.
Isu-isu ini akan terus dibawa dalam sidang media yang akan datang.
RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agung
Ahli Parlimen Pandan
MANIVANAN GOWIN
Pengerusi, Biro Kepenggunaan
Ahli Parlimen Kapar
WONG CHEN
Pengerusi, Biro Perdagangan dan Industri
Ahli Parlimen Kelana Jaya
13 Januari 2015