#tweetupGE13 “A New Malaysia Rises: Confident Young Malaysians”

Satu #tweetup santai akan diadakan untuk mengupas isu-isu yang dekat dengan soal keyakinan orang muda pelbagai kaum dalam Malaysia Baru selepas PRU13, contohnya:

1) Bolehkah generasi baru Melayu/Bumiputra bersaing dengan bangsa-bangsa lain dalam sistem yang memberi sokongan kepada golongan yang memerlukan, bukan lagi berasaskan kaum?

2) Bagaimana bentuk masyarakat dan hubungan kaum dipupuk sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam PRU13?

3) Apa aspirasi orang muda pelbagai kaum dalam sebuah Malaysia Baru yang dibina selepas perkembangan politik PRU13?

Maklumat mengenai #tweetup santai tersebut adalah seperti berikut:

Tarikh : 1 Mei 2013 (Rabu)
Masa : 4 petang
Tempat : Pandan Perdana Lake Club

(GPS dan maklumat lanjut disertakan bersama).

Program #tweetup adalah terbuka kepada semua.

confidentyoungmsians

I am organising an informal #tweetup to articulate nation-building issues that are pertinent especially to the younger generation, for example:

1) How confident are the young Malays that they are able to compete in a new Malaysia which prioritises government programs by needs, not by race?

2) What kind of harmony can Pakatan Rakyat forge between various groups in a new Malaysia?

3) What are the aspirations and wishes of young Malaysians in a post-GE13 new Malaysia?

Details of the #tweetup are as follows:

Date : 1 May 2013 (Wednesday)
Time : 4 pm
Venue : Pandan Perdana Lake Club

(GPS coordinates & further details are attached).

The #tweetup is open to all.

Saman Tertunggak AES Datin Seri Rosmah Mansor: Dato’ Seri Najib Perlu Nyatakan Pendirian Mengenai AES

AES adalah salah satu isu utama yang akan menjadi faktor penentu dalam PRU13. Pakatan Rakyat telah membuat ketetapan bahawa AES akan dihentikan dan semua samannya dibatalkan sekirangan Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya.

Manifesto Barisan Nasional tidak menyentuh langsung mengenai AES. Walaupun pelaksanaan masih menjadi tanda tanya buat masa sekarang, saya beranggapan bahawa kegagalan Manifesto Barisan Nasional membuat ketetapan mengenai AES membayangkan hasrat Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk meneruskan pelaksanaan AES sekiranya Barisan Nasional terus berkuasa.

Untuk menentukan sama ada orang-orang terdekat dengan Perdana Menteri menerima atau tidak AES, saya telah menjalankan beberapa semakan:

1. Mengenalpasti nombor kad pengenalan Datin Seri Rosmah Mansor sebagai isteri Perdana Menteri
2. Mengenalpasti kereta yang didaftarkan di bawah nama Datin Seri Rosmah Mansor
3. Menyemak sama ada Datin Seri Rosmah Mansor membayar saman AES, bagi memastikan keluarga Perdana Menteri betul-betul patuh kepada pelaksanaan AES yang dibawa oleh Barisan Nasional

Hasil semakan itu membuahkan perkara-perkara berikut:

1. Nombor kad pengenalan Datin Seri Rosmah Mansor adalah 511210-05-5558. Identiti beliau itu disemak dengan daftar pengundi yang mengesahkan bahawa beliau mengundi di Pekan, seperti paparan skrin SPR yang berikut:

tempat mengundi rosmah

2. Semakan dengan sistem JPJ di MyEG menunjukkan sebuah kereta bernombor XIASEAN360 didaftarkan di atas nama dan kad pengenalan beliau;

3. Semakan yang sama juga menunjukkan bahawa Datin Seri Rosmah Mansor tidak membayar 2 saman AES iaitu pada 30 Januari 2013 dan 13 Mac 2013, seperti paparan skrin yang berikut:

rosmah saman aes

Di negara-negara lain, perkara ini dilihat sebagai satu pertentangan prinsip (double standard) apabila keluarga Perdana Menteri sendiri tidak mengendahkan saman AES, sedangkan beliau (Perdana Menteri) beriya-iya mempertahankan satu sistem yang ditentang oleh rakyat.

Saya mengambil contoh saman AES tertunggak Datin Seri Rosmah Mansor untuk memberi gambaran bagaimana Barisan Nasional mengamalkan double standard dengan menyatakan pelbagai propaganda kepada rakyat biasa untuk mempertahankan dasarnya yang tidak popular, tetapi di belakang-belakang membiarkan keluarga terdekat mereka bebas dari dasar tidak popular yang menekan rakyat itu.

Saya menyeru supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak menyatakan secara terbuka sama ada Barisan Nasional akan meneruskan pelaksanaan AES sekiranya masih menang dalam PRU13.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

24 APRIL 2013

1MDB Pindah RM7 Bilion Wang Rakyat Ke Akaun Sulit

KEADILAN memandang serius maklumat bahawa 1MDB, badan pelaburan milik rakyat yang dikawal sepenuhnya oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak telah memindahkan sejumlah RM7 bilion dana ke akaun sulit di Cayman Island.

Maklumat ini terkandung di dalam Laporan Tahunan 1MDB dan diulas di dalam keluaran terbaru akhbar perniagaan mingguan The Edge, yang turut sama mempersoalkan kewajaran sebuah badan pelaburan milik negara memindahkan RM7 bilion ke dalam akaun rahsia di pusat kewangan pesisir pantai seperti Cayman Island.

Akaun sulit di pusat kewangan pesisir pantai hanya digunakan bagi urusniaga yang dirahsiakan kerana pusat kewangan pesisir pantai mempunyai undang-undang yang melindungi urusniaga sebegini walaupun berunsur jenayah atau rasuah. Sebelum ini pun, laporan antarabangsa telah mempersoalkan tokoh-tokoh yang rapat dengan Barisan Nasional seperti Mirzan Mahathir, Raja Nong Chik dan Michael Chia yang mempunyai akaun sulit di pusat kewangan pesisir pantai kerana ia disyaki bersabit dengan urusniaga yang tidak betul.

1MDB mendapat modal melalui terbitan bon sebanyak RM5 bilion yang dijamin oleh kerajaan. Dari modal ini, ia melabur di dalam beberapa pelaburan di luar negara terutamanya di dalam Petro Saudi International (PSI) yang diragui kewujudan dan aktivitinya.

Dari urusniaga dengan PSI yang penuh kerahsiaan inilah, sejumlah RM7 bilion dilaporkan dipindahkan ke akaun rahsia di Cayman Island, sebuah pusat kewangan pesisir pantai.

Pemindahan wang RM7 bilion oleh 1MDB ini perlu dijawab segera oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak kerana beliau berkuasa penuh ke atas 1MDB. Pemindahan wang ke sebuah akaun rahsia pesisir pantai seperti Cayman Island bertentangan prinsip ketelusan dan tata kelola baik yang sepatutnya diamalkan oleh sebuah badan pelaburan kerajaan seperti 1MDB.

Saya khuatir sekiranya Barisan Nasional kalah dalam PRU13, wang RM7 bilion ini tidak dapat dijejaki dan hilang begitu sahaja, bermakna kerajaan menanggung kerugian besar ke atas hutang RM5 bilion yang diambil sebagai modal 1MDB.

Saya memberi amaran keras kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa beliau akan bertanggungjawab ke atas setiap satu sen kerugian yang ditanggung 1MDB. Pemindahan wang RM7 bilion ke akaun rahsia di Cayman Island adalah satu tindakan yang berunsurkan jenayah yang perlu disiasat segera.

Oleh yang demikian, untuk membolehkan satu siasatan dimulakan serta merta sebaik sahaja Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa dalam 2 minggu akan datang, saya akan membuat laporan kepada Bank Negara Malaysia, Polis diRaja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada hari Rabu dan Khamis minggu ini supaya wang RM7 bilion ini dibawa balik ke Malaysia secepat mungkin dan mereka yang bertanggungjawab memindahkan wang ke akaun rahsia di Cayman Island dihadapkan ke muka keadilan.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

23 APRIL 2013

Calon BN Pasir Salak, Tajuddin Rahman Diberi Konsesi RM1.3 Bilion

Dato’ Seri Najib Tun Razak berjanji bahawa calon-calon Barisan Nasional dalam PRU13 ini benar-benar ditapis agar mereka mempunyai rekod cemerlang yang bebas dari rasuah, atau anugerah projek yang diragukan.

Pemilihan calon BN terus menjadi kontroversi sehingga menyebabkan ramai pimpinan Umno/Barisan Nasional sendiri tidak puas hati dan mengambil tindakan keluar parti. Terbaru, Dato’ Kamillia Ibrahim menyertai seramai 61 orang anggota Umno yang telah dipecat kerana bertanding bebas. Di kerusi Parlimen Pandan pun, lawan saya (Sdr Gary Lim) masih bergelumang untuk membersihkan namanya yang dituduh melanggar etika dan peraturan guaman sehingga bekas majikannya sendiri membuat satu laporan polis terhadap beliau.

Seperti yang dijanjikan, KEADILAN terus meneliti calon-calon BN untuk meneliti sendiri kredibiliti mereka seperti yang diwar-warkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Salah seorang yang diteliti adalah Dato’ Tajuddin Rahman, calon BN bagi Parlimen Pasir Salak yang didapati menerima anugerah konsesi RM1.3 bilion untuk membina UiTM Tapah, walaupun syarikat miliknya (Detik Utuh Sdn Bhd) bukanlah syarikat pembinaan yang aktif dan mempunyai rekod prestasi yang baik.

Merujuk kepada pengumuman yang dibuat kepada Bursa Malaysia (rujuk Lampiran A), rakan kongsi yang juga merupakan syarikat pembinaan sebenar dalam projek ini iaitu Crest Builder Holdings Berhad mengumumkan bahawa projek itu dimiliki secara bersama oleh Crest Builder Holdings Berhad (51%) dan Detik Utuh Sdn Bhd (49%) melalui syarikat pegangan khas bernama UniTapah Sdn Bhd.

Kos pembinaan UiTM Tapah hanyalah RM285 juta tetapi Unitapah diberikan konsesi selama 23 tahun untuk membina dan menyenggara kemudahan universiti itu pada jumlah RM1.3 bilion sepanjang tempoh itu.

Kadar bayaran kepada Unitapah oleh Kerajaan Malaysia adalah seperti berikut:

• Bayaran tetap penyediaan bangunan – RM4.50 setiap kaki persegi setiap bulan
• Bayaran penyenggaraan bulanan – RM1.146 setiap kaki persegi setiap bulan

Jumlah keluasan kaki persegi keseluruhan UiTM Tapah yang diberikan melalui konsesi ini adalah seluas 837,872 kaki persegi.

Ini bermakna, setiap bulan Kerajaan Persekutuan terpaksa membayar sewa dan yuran penyenggaraan sebanyak RM56.77 juta. Jumlah keseluruhan sepanjang tempoh konsesi adalah RM1.3 bilion, iaitu 5 kali ganda berbanding dengan kos pembinaan yang hanyalah RM285 juta.

Detik Utuh Sdn Bhd adalah sebuah syarikat Ali Baba yang hanya mendapat keuntungan atas angin dengan menggunakan Crest Builder Holdings Berhad untuk mengusahakan sepenuhnya pembinaan dan penyenggaraan UiTM Tapah. Pada masa yang sama, kosnya melambung sehingga 5 kali ganda akibat pemberian konsesi yang menguntungkan Dato’ Tajuddin Rahman.

Maklumat ini adalah maklumat yang diperolehi dari Perjanjian Konsesi yang ditunjukkan kepada saya.

Sebagai calon boleh menang yang sepatutnya bersih dari tuduhan kronisme, rasuah dan mengaut untung atas angin hasil dari kontrak kerajaan, Dato’ Tajuddin Rahman perlulah membersihkan namanya dan menjelaskan perkara-perkara berikut:

1. Apa kelayakan dan rekod pembinaan Detik Utuh Sdn Bhd miliknya?
2. Kenapa projek ini tidak diberika terus kepada sebuah syarikat pembinaan yang layak tanpa perlu ada usahasama dengan syarikat ahli politik Umno yang tidak membawa apa-apa kepakaran?
3. Berapa dari jumlah RM1.3 bilion itu yang akan disumbangkan kepada penduduk Pasir Salak?

Perjanjian konsesi ini adalah salah satu dari perjanjian konsesi yang akan disemak semula sekiranya Pakatan Rakyat menang PRU13.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

23 APRIL 2013

Perletakan Jawatan PETRONAS

Aktivis Umno akhir-akhir ini banyak menimbulkan cerita buruk mengenai perletakan jawatan saya dari PETRONAS dalam tahun 2009. Fitnahnya adalah saya dibuang kerana membuat tuntutan perbelanjaan yang menyeleweng.

Mulanya saya tidak mahu melayan kerana ia fitnah picisan. Agaknya mereka masih mencari kelemahan saya, jadi mereka mencipta cerita bahawa saya menyeleweng hingga dibuang untuk mencemarkan kredibiliti saya. Pada kiraan mereka (yang silap), jika kredibiliti saya tercalar, makan tercalar jugalah kredibiliti pendedahan saya selama ini dan yang akan datang.

Mutakhir ini saya merasakan jika saya terus berdiam diri, ia tidak membantu kebenaran kerana fitnah terancang ini disebarkan seluas-luasnya.

Saya tidak dibuang dari PETRONAS (seperti mana yang diketahui ramai orang), saya meletakkan jawatan.

Saya dinaikkan pangkat pada umur yang muda, menyertai PETRONAS terus sebagai seorang pengurus sebaik pulang dari London (selepas bekerja selama 3+ tahun di firma perakaunan untuk menjadi seorang akauntan bertauliah dengan ICAEW). Selepas berkhidmat selama 2 tahun di loji petrokimia PDH/MMSB di Gebeng, saya ditukarkan kembali ke ibupejabat di Menara Berkembar PETRONAS.

Jadi, pada umur 27, saya dinaikkan pangkat menjadi Pengurus Kanan (saya dimaklumkan ia tidak pernah berlaku sebelum itu dan menjadi orang termuda ketika itu dilantik menjadi Pengurus Kanan) yang bertanggungjawab menguruskan keseluruhan perancangan perniagaan, operasi dan teknologi bagi Urusniaga Petrokimia PETRONAS, kerana saya mempunyai ijazah kejuruteraan dan juga seorang akauntan bertauliah.

Selepas 2 tahun di jawatan itu, saya dipindahkan lagi untuk mengetuai jabatan kewangan bagi perniagaan carigali antarabangsa, memandangkan saya mempunyai latar belakang percukaian. Pada ketika itu, ada keperluan untuk mengemaskini amalan percukaian PETRONAS di peringkat antarabangsa kerana banyak kerajaan menggunakan alasan percukaian untuk campur tangan kontrak pengeluaran petroluem yang dimeterai.

Oleh itu, menjelang umur saya 31 tahun, saya telah pun diberi peluang menguruskan pelbagai bidang dalam industri minyak dan gas. Saya pernah bertugas di loji petrokimia, di pengurusan korporat, berpengalaman di sektor huluan dan hiliran. Pada ketika itu, saya juga sedang menunggu masa untuk dinaikkan pangkat lagi.

Saya berdepan dengan dilema besar. Jika saya kekal di PETRONAS, dengan kenaikan pangkat dan gaji yang besar, saya mungkin akan kekal selama-lamanya hanya dalam satu bidang kerana terlalu selesa dengan kesenangan dan gaji. Saya tidak mahu bersara dengan pengalaman di dalam satu bidang sahaja,  kerana hidup ini lebih meriah jika kita terus menimba ilmu dan pengalaman. Pada ketika itu, saya agak keberatan untuk terus berkhidmat di PETRONAS selepas bon perkhidmatan 7 tahun berakhir.

Kebetulan, menjelang Januari 2008, rakan karib yang banyak mempengaruhi kehidupan saya – Adlan Benar Omar – menghembuskan nafas yang terakhir selepas sakit buat sekian lama. Ben (nama panggilan beliau) adalah senior saya di MCKK, beliau berminat dengan politik dan banyak membaca sejarah sejak dari sekolah. Semasa beliau di Tingkatan 5, saya di Tingkatan 1 dan beliau adalah kapten pasukan bahas yang melatih saya. Semasa kami di sekolah, kami ada berjanji akan memasuki politik dan memberi sumbangan, kerana di sekolah pun ada isu-isu yang dekat dengan hati beliau. Yang bersungguh-sungguh mahu jadi ahli politik adalah Ben, saya hanya angguk saja bila senior bercakap.

Hubungan kami yang terus rapat bermakna kami ambil serius janji itu. Ben melanjutkan pengajian ke Cambridge dan menubuhkan UKEC. Sepanjang masa, beliau mengheret saya ke dalam lingkungan aktivitinya kerana sifat saya yang lebih senang bekerja memudahkan kami menguruskan persatuan yang kami sama-sama sertai.

Apabila Dato’ Seri Anwar dipecat dan dizalimi dalam tahun 1998, kedua-dua kami merasa terpanggil untuk membantah. Saya masih di universiti, tetapi Ben yang sudah bekerja di Malaysia terjun ke kancah politik partisan dan menjadi antara tokoh muda awal yang menunjangi KEADILAN. Sekali lagi allahyarham mengheret saya sama ke dalam KEADILAN.

Allahyarham menghembuskan nafas 2 bulan sebelum tsunami politik Mac 2008. Di hari-hari terakhirnya, kami sama-sama faham bahawa apabila beliau tiada, saya tiada pilihan kecuali masuk politik. Ben mengorbankan kerjaya dan hidupnya untuk reformasi, kalau matlamat reformasi tidak tercapai maka pengorbanannya sia-sia. Pada hari-hari itu pun saya sudah sedar bahawa ada ketikanya di masa akan datang hidup saya yang selesa di dunia korporat perlu diakhiri, untuk sama-sama membantu menubuhkan sebuah sistem politik dua parti dan menumbangkan BN.

Menjelang 2009, saya pun membuat keputusan untuk meninggalkan PETRONAS. Saya langsung tidak berniat untuk masuk politik pada ketika itu, tetapi saya merasakan saya perlu keluar dari zon selesa. Saya juga mahu tahu berapa nilai saya sebagai seorang akauntan bertauliah di luar PETRONAS.

Pada 30 April 2009, saya menyerahkan surat perletakan jawatan.

resignation letter

 

Dalam tempoh 3 bulan akan datang, saya melangsaikan semua hutang saya dengan PETRONAS, termasuklah membayar RM31,499.89 baki bon perkhidmatan saya selama 6 bulan berbaki, agar saya mengembalikan setiap satu sen biasiwa pendidikan yang diberika PETRONAS seperti di dalam perjanjian. Saya juga membayar RM41,091.80 baki geran kereta (yang saya pakai sehingga kini), yang diberikan kepada kakitangan pengurusan.

 

chequebond

 

 

chequecar

 

Saya bernasib baik kerana tekaan saya bahawa gaji di luar PETRONAS lebih tinggi adalah tepat. Dengan tawaran yang lebih baik, saya menyertai Pharmaniaga Berhad dalam Ogos 2009 sebagai Pengurus Besar, bertanggungjawab menguruskan kilang farmaseutikal di Bangi dan fungsi kewangan kumpulan itu.

Hari pertama saya melaporkan diri di Pharmaniaga adalah 10 Ogos 2009. Ditakdirkan pada 8 Ogos 2009, saya pulang ke Kemaman untuk bertemu ibubapa dan kebetulan pada malam itu ada ceramah perdana Dato’ Seri Anwar, lalu saya diminta oleh penganjur untuk menjadi pengerusi majlis.

Saya tidak keberatan dan bertemu dengan Dato’ Seri Anwar yang agak terkejut saya berada di situ, kerana kali terakhir kami bertemu (semasa perbincangan persediaan debat harga minyak setahun sebelum itu), saya tegas tidak berminat untuk berkecimpung dalam politik.

Beliau bertanya di mana saya bekerja ketika itu, saya maklumkan saya sudah berhenti dari PETRONAS dan akan bermula di Pharmaniaga minggu selepas itu. Yang lain-lain selepas itu adalah sejarah yang berlaku dengan cepat.

Susulan dari pertemuan itu, Dato’ Seri Anwar menjemput untuk bertemu beliau di Parlimen sebanyak dua kali. Beliau ada meminta untuk saya kembali menyertai pimpinan parti (saya memegang jawatan pimpinan pusat Pemuda sehingga 2004) – dua kali beliau tanya, dua kali saya tolak. Akhirnya, bila beliau seolah mencabar saya bahawa “kita perlu bersama berjuang dan bukan hanya pandai mengkritik dari jauh”, saya akur untuk membantu parti.

Walaupun saya tidak pernah merancang untuk ke depan seperti sekarang, saya tenang dan tidak menyesal kerana janji bersama dengan allahyarham Ben supaya pengorbanan beliau meninggalkan usia muda tidak sia-sia. Janji itu semakin dekat menjadi kenyataan, apa yang terjadi selepas itu adalah keputusan peribadi saya. Ada orang yang memperlekehkan sentimentaliti berpegang kepada janji bersama di zaman budak-budak, tetapi janji itu menyuburkan ingatan saya terhadap allahyarham setiap hari.

Berbalik kepada PETRONAS, saya bertuah melalui zaman kerjaya yang cukup baik di PETRONAS. Ia banyak mengajar saya dan hampir keseluruhan kemahiran professional saya datangnya dari PETRONAS. Lebih penting, PETRONAS berlaku adil – disiplin kerja saya dihadiahkan dengan kenaikan pangkat yang paling pantas, seperti keputusan kenaikan pangkat yang dibuat pada umur saya 28 tahun yang disertakan bersama.

devworkshop

 

Perletakan jawatan saya dari PETRONAS mengejutkan ramai kakitangan PETRONAS. Ramai yang kurang faham kenapa saya perlu meninggalkan keadaan yang selesa dan lumayan, apatah lagi apabila prospek untuk saya di PETRONAS cukup baik.

Ramai yang baik hati dan cuba memujuk saya untuk membatalkan hasrat, termasuklah Datuk Mohamad Medan Abdullah, Pengurus Besar Kanan, Pengurusan Korporat Kumpulan (beliau pernah menjadi  ketua saya semasa kami di Carigali). Beliau menghantar twit pada 21 Ogos 2012 menerangkan bagaimana beliau juga pernah memujuk saya untuk tidak meletakkan jawatan. Beliau juga mengakui saya tidak pernah menyatakan hasrat untuk menyertai politik pada ketika itu.

 

petronasenmedan

 

tweetenmedan

 

Saya harap keterangan ini jelas.

Saya tidak mahu melayan fitnah ini kerana meninggalkan PETRONAS adalah keputusan peribadi. Ia berlatar belakangkan pemergian seorang rakan karib dan setiap kali saya mengingatinya, ia membuat saya merasa pilu. Ia perkara peribadi dan wajarlah dikekalkan sifat peribadinya.

Ini adalah keterangan bukan undang-undang yang pertama dan terakhir mengenai perkara ini. Jika berterusan, saya akan mengambil tindakan undang-undang.