Bayaran RM160 Juta Dana Pencen Angkatan Tentera Kepada Astacanggih & Awan Megah Tiada Asas

Kenyataan Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Tan Sri Dato’ Sri Mohd Anwar Mohd Nor bahawa urusan pembelian Astacanggih dan Awan Megah oleh Boustead Holdings Berhad (“Boustead”) merupakan satu pelaburan yang baik adalah tidak masuk akal.

Sekiranya LTAT benar-benar berminat untuk mengambilalih syarikat ini, ada dua perkara penting yang perlu dipertimbangkan dalam menentukan nilaian syarikat-syarikat ini, iaitu:

1. Tanah yang dimiliki oleh Awan Megah yang menentukan bayaran kepada Awan Megah. Nilaian yang dibuat oleh Boustead adalah RM130 juta kononnya untuk membeli tanah 223 ekar yang didakwa milik Awan Megah

2. Nilai projek penswastaan dan keuntungan yang bakal diperolehi dari projek penswastaan Puspahanas. Nilaian yang dibuat oleh Boustead adalah RM30 juta untuk membeli saham Astacanggih dan RM130 juta kepada Awan Megah

Saya telah meneliti dokumen-dokumen yang diserahkan kepada saya untuk menentukan nilaian yang adil bagi urusan ini, jika LTAT dan Boustead benar-benar berminat mengambilalih syarikat ini berdasarkan pertimbangan komersil.

NILAIAN TANAH 223 EKAR
Saya merujuk kepada surat bertarikh 17 Julai 2009 dari Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan) kepada Pengarah Tanah dan Galian Negeri Selangor yang dilampirkan bersama.

ptgfederal

Kandungan surat tersebut menyatakan rayuan Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak kepada keputusan Kerajaan Selangor yang menolak permohonan Kerajaan Persekutuan untuk memindahmilik tanah seluas 223 ekar kepada Awan Megah.

Ini bermakna, tanah seluas 223 ekar yang kononnya dibeli oleh Boustead itu masih lagi hakmilik Kerajaan Persekutuan dan tertakluk kepada kebenaran Kerajaan Selangor bagi kelulusan pindahmilik dan kelulusan pelan pembangunan.

Status terkini tanah 223 ekar itu adalah jelas: ia bukan hakmilik Awan Megah dan Kerajaan Selangor telah menetapkan bahawa ia tidak boleh dibangunkan kecuali bagi tujuan pembinaan markas, seperti mana tujuan asal tanah itu dipohon oleh Kerajaan Persekutuan dahulu.

Oleh yang demikian, pembayaran RM130 juta oleh anak syarikat Boustead kepada Awan Megah yang dimiliki Raja Ropiah Raja Abdullah, Ketua Wanita Umno Selangor samalah dengan memberi wang RM130 juta kepadanya tanpa ada apa-apa hasil kepada Boustead.

Jika urusniaga ini tetap berlaku, Boustead akan menyalahgunakan RM130 juta dana pencen anggota tentera untuk membayar 223 ekar tanah kepada Awan Megah yang tidak mempunyai hakmilik tanah itu.

PROJEK PENSWASTAAN PUSPAHANAS
Boustead terpaksa menyiapkan Puspahanas yang kini tergendala mengikut perjanjian dengan Astacanggih dan Awan Megah. Salah satu pertimbangan nilaian berjumlah RM160 juta (iaitu RM30 juta kepada Astacanggih dan RM130 juta kepada Awan Megah) adalah kos projek yang telah dilaksanakan oleh Awan Megah.

Tanggungan Awan Megah kepada Kerajaan Persekutuan untuk menyiapkan projek ini boleh dirujuk kepada Perjanjian Penswastaan muka surat 13, Perkara 3.3 mengenai Bon Tanah (“Land Bond”) yang perlu dibayar oleh Awan Megah.

landbond

Bon Tanah ini adalah satu bentuk jaminan kewangan yang bersamaan dengan jumlah keseluruhan projek penswastaan, iaitu pembinaan Puspahanas yang perlu dilaksanakan oleh Awan Megah. Sekiranya Awan Megah gagal menyiapkan projek, Kerajaan Persekutuan berhak menuntukan Bon Tanah ini untuk digunakan bagi menyiapkan projek tersebut.

Perjanjian Penswastaan secara jelas menyatakan bahawa Bon Tanah sebagai jaminan Awan Megah untuk menyiapkan Puspahanas hanyalah RM72.5 juta sahaja. Ini bermakna, kos keseluruhan Puspahanas hanyalah RM72.5 juta sahaja.

Dalam keadaan Puspahanas masih belum disiapkan dan nilainya RM72.5 juta sahaja, pembayaran RM160 juta oleh Boustead sudah tentu satu harga yang tidak masuk akal.

Oleh yang demikian, jelas bahawa urusniaga membabitkan RM160 juta ini hanyalah bayaran rasuah oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk menutup mulut Deepak dan memadamkan skandal ini.

Pembayaran sedemikian rupa bagi membeli tanah yang hakmiliknya tidak wujud dan projek yang jumlahnya jauh lebih rendah adalah satu pengkhianatan kepada anggota tentera dan penyelewengan yang melibatkan kepimpinan tertinggi negara.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
7 JANUARI 2013

Dato’ Seri Najib Lantik Syarikat Ali Baba Dan Syarikat Pembuat Berus Gigi Untuk Membina Pusat Pengajian Pertahanan Nasional

Awan Megah Sdn Bhd (“Awan Megah”) dianugerahkan projek penswastaan pembinaan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (“Puspahanas”) milik Kementerian Pertahanan melalui satu perjanjian bertarikh 8 Jun 2005 yang disertakan bersama.

agreementpg1

Projek penswastaan tersebut melibatkan kerja-kerja merekabentuk dan membina (design and build) sebuah kolej latihan tentera.

Sebagai balasan kepada kerja-kerja merekabentuk dan membina Puspahanas, Kementerian Pertahanan berjanji akan memindahkan tiga bidang tanah iaitu PT220 (seluas 96.825 ekar), Lot 1158 (seluas 45.420 ekar) dan PT216 (seluas 81.085 ekar). Tanah-tanah seluas 223.33 ekar ini pada asalnya diambil oleh Kerajaan Persekutuan bagi tujuan membina kem tentera.

Menteri Kewangan semasa kontrak ini dianugerahkan kepada Awan Megah adalah Dato’ Seri Najib Tun Razak. Oleh itu, beliau bertanggungjawab sepenuhnya kepada keputusan untuk melantik Awan Megah.

Awan Megah adalah syarikat yang dimiliki oleh Raja Ropiaah Raja Abdullah, Ketua Wanita Umno Selangor.

ssm-am-1

Berdasarkan semakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Awan Megah adalah sebuah syarikat yang tidak pernah mempunyai apa-apa aktiviti sejak ia ditubuhkan. Maklumat kewangan yang terakhir yang difailkan dengan SSM adalah bagi tahun kewangan 31 Disember 1993 yang menunjukkan syarikat itu tidak menjalankan apa-apa aktiviti.

ssm-awanmegah-page2

Sehingga kini, tidak ada sebarang aktiviti yang dijalankan oleh Awan Megah seperti mana rekod terkini SSM bertarikh 23 Mei 2012.

Ini bermakna, di antara tahun 1994 hinggalah sekarang, Awan Megah tidak mempunyai apa-apa transaksi dan kekal sebagai syarikat yang tidak aktif.

Ini juga bermakna, Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Pertahanan telah melakukan penyelewengan dan salahlaku rasuah apabila beliau menganugerahkan projek penswastaan bernilai puluhan juta ringgit ini dalam tahun 2005 kepada Awan Megah, sedangkan jelas Awan Megah bukanlah sebuah syarikat pembinaan yang berkemampuan untuk menjalankan projek tersebut.

Awan Megah hanyalah syarikat Ali Baba yang dilantik Dato’ Seri Najib Tun Razak dan diberikan 223.33 ekar tanah lumayan. Oleh sebab itulah, Awan Megah terpaksa melantik sebuah syarikat lain sebagai “rakan kongsi” untuk membiayai dan menyiapkan sepenuhnya projek itu.

“Rakan kongsi” yang dipilih adalah sebuah syarikat bernama GuppyUnip Sdn Bhd. Syarikat ini hanya berjaya mendapatkan kemudahan kredit dari United Overseas Bank (UOB) yang diluluskan pada 21 Julai 2010, iaitu lima tahun selepas projek ini dianugerahkan kepada Awan Megah. Ini bermakna projek ini tergendala selama lima tahun gara-gara Awan Megah tidak mempunyai modal dan masih mencari-cari rakan kongsi.

Semakan dari surat kemudahan kredit GuppyUnip Sdn Bhd ini pula menunjukkan bahawa:

1. Keseluruhan modal sebanyak RM59.25 juta (iaitu pinjaman TL1 hingga TL4) adalah pembayaran bagi pihak Awan Megah
2. Pembayaran premium kepada Kerajaan Selangor bagi pindahmilik geran dan pertukaran status bagi tanah 223.33 ekar juga akan dibiayai oleh GuppyUnip Sdn Bhd
3. Kos bagi kerja-kerja penyediaan tapak untuk membangunkan tanah 223.33 ekar itu turut dibiayai oleh GuppyUnip Sdn Bhd

uob1

uob2

Saya merumuskan bahawa GuppyUnip Sdn Bhd menanggung keseluruhannya kos pembinaan Puspahanas dan kos pembangunan tanah 223.33 ekar itu kerana Awan Megah milik Ketua Wanita Umno Selangor hanyalah membuat keuntungan atas angin. Keadaannya sekarang samalah seperti keseluruhan projek dan tanah-tanah ini telah diserahkan kepada GuppyUnit Sdn Bhd.

Lebih memeranjatkan, GuppyUnit Sdn Bhd bukanlah syarikat yang berpengalaman dalam bidang pembinaan. Semakan dengan SSM menunjukkan bahawa syarikat ini hanyalah ditubuhkan pada 9 Disember 2009 (dokumen SSM disertakan bersama).

guppy1

Lebih teruk lagi, syarikat ini ditubuhkan dan dikuasai oleh Cheong Chow Koh (melalui pegangan keluarganya dan syarikat utamanya Unip Berhad). Perniagaan utama Cheong Chow Koh melalui Unip Berhad adalah sebagai pengilang berus gigi (sila rujuk laman web www.unipberhad.com yang disertakan bersama).

guppy2

unip berhad website

unip activities and operations

Kesimpulannya:

1. Dato’ Seri Najib Tun Razak melantik Awan Megah milik Ketua Wanita Umno Selangor yang tidak pernah menjalankan apa-apa aktiviti untuk merekabentuk dan membina Puspahanas, lalu dianugerahkan tanah seluas 223.33 ekar

2. Secara tidak langsung, Dato’ Seri Najib Tun Razak juga telah melantik sebuah syarikat pengeluar berus gigi untuk membina Puspahanas dan menyerahkan tanah 223.33 ekar kepada syarikat ini

Ini adalah satu pengkhianatan kepada anggota tentera yang berkorban demi rakyat. Ia juga perlakuan rasuah dan penyelewengan secara terang-terangan yang dilakukan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak yang wajib disiasat dengan segera.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
4 JANUARI 2013

Deepak Menyerahkan Dokumen Kepada Orang Ketiga, Pihak Berkuasa Wajar Siasat

Saya sedia maklum reaksi Deepak Jaikishan mengenai dokumen-dokumen yang membabitkan syarikat-syarikat beliau yang kini didedahkan kepada umum.

Saya ingin mengesahkan beberapa perkara:

1. Saudara Deepak memang menyerahkan sendiri dokumen-dokumen itu kepada individu tertentu yang dihubunginya sebelum ini dengan harapan ia akan dibawa oleh pimpinan KEADILAN;

2. Beliau sebelum ini mendakwa dokumen-dokumen itu adalah bukti yang beliau ada mengenai salahlaku dan rasuah membabitkan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor;

3. Selepas beberapa ketika, dokumen-dokumen itu diserahkan kepada saya oleh individu terbabit untuk disemak dan dipastikan kesahihannya, seperti amalan biasa di dalam KEADILAN;

4. Saya tidak mengambil apa-apa tindakan kerana berpendapat ia tidak mempunyai unsur kepentingan awam sekiranya seseorang berbelanja besar memberi hadiah kepada seorang VIP tanpa ada bukti ada habuan atau projek yang terlibat;

5. Berikutan tindakan Boustead Holdings Berhad mengumumkan akan membayar RM160 juta untuk membeli syarikat milik Saudara Deepak dan tanah dari Awan Megah Sdn Bhd, saya berpandangan ia membuka dimensi baru bahawa dakwaan Saudara Deepak sebelum itu berkaitan dengan kepentingan awam;

6. Selepas menyemak dokumen-dokumen itu dan mendapatkan maklumat tambahan, saya yakin bahawa ia ada asas kukuh untuk disiasat oleh pihak berkuasa.

Oleh yang demikian, saya berpendapat kenyataan-kenyataan Saudara Deepak wajarlah dijadikan bukti dalam siasatan yang akan datang oleh pihak berkuasa memandangkan dokumen-dokumen itu melibatkan syarikat beliau dan urusniaga syarikat beliau (termasuklah slip pemindahan wang dari akaun syarikat beliau). Fakta-fakta ini tidak disanggah atau dinafikan oleh Saudara Deepak, sekadar enggan mengulasnya buat ketika ini.

Saya akan memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan. Saya juga telah berbincang dengan individu yang mendapat dokumen-dokumen ini dari Saudara Deepak dan beliau bersetuju untuk memberi keterangan bagi membuktikan bahawa dokumen-dokumen ini diperolehi dari Saudara Deepak.

Jelasnya, tindak tanduk dan tingkah laku Saudara Deepak sebelum ini tidak berkait dengan KEADILAN. Ia menyangkal percubaan Umno yang menuduh kononnya ini satu perencanaan oleh KEADILAN. Saudara Deepak sendiri menyatakan kekecewaan beliau kerana saya dan beberapa pimpinan KEADILAN dilihatnya keberatan untuk duduk berbincang dengan beliau.

Oleh yang demikian, saya telah berbincang dengan pimpinan parti dan bersetuju bahawa saya boleh bertemu dengan Saudara Deepak untuk meneliti bukti-bukti yang beliau ada, seperti yang didakwa sebelum ini.

Saya akan mengaturkan satu pertemuan dalam masa terdekat untuk mendengar perancangan beliau dan meneliti bukti-bukti yang didakwa beliau. Semoga ini akan membantu merungkai pelbagai persoalan mengenai integriti Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor yang semakin menjadi isu hangat.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
3 JANUARI 2013

Datin Seri Rosmah Mansor Perlu Jelaskan Dakwaan Bayaran Dibuat Oleh Deepak Bagi Pembelian Barang Kemas Mewah

Urusniaga pembayaran RM160 juta menggunakan dana pencen anggota tentera (melalui LTAT dan Boustead Holdings Berhad) kepada Astacanggih Sdn Bhd dan Awan Megah Sdn Bhd berlaku kerana Dato’ Seri Najib Tun Razak mahu menutup mulut Deepak dan mengelakkan pembongkaran beliau dari terus berlaku.

Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, keputusan pendek akal yang menggunakan dana pencen anggota tentera itu membayangkan bahawa dakwaan Deepak ada benarnya sehingga Dato’ Seri Najib Tun Razak mengambil risiko sedemikian rupa.

Oleh sebab itu, saya mula meneliti beberapa dokumen yang diserahkan kepada saya yang dikaitkan dengan Deepak dan hubungan baik beliau sebelum ini dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor.

Salah satu dari dokumen tersebut ialah mengenai pemindahan wang yang dibuat oleh syarikat-syarikat Deepak iaitu Carpet Raya Sdn Bhd dan Carpet Plus Sdn Bhd ke syarikat-syarikat barang kemas mewah di Hong Kong, yang didakwa Deepak sebagai pembelian barang kemas mewah oleh Datin Seri Rosmah Mansur yang dibayar oleh beliau.

Dokumen yang diserahkan kepada saya itu turut mengandungi invois dan penyata hutang dari dua buah syarikat barang kemas mewah di Hong Kong iaitu Firestone Co Ltd dan Dehres Ltd.

Setelah meneliti dokumen dan maklumat lanjut berhubung dakwaan Deepak itu, saya membuat kesimpulan bahawa ada asas kukuh supaya siasatan lanjut oleh pihak berkuasa dijalankan berdasarkan perkara-perkara berikut (sila rujuk dokumen dan bukti tambahan yang dikepilkan bersama, rujukan no adalah mengikut turutan penerangan):

1. Dokumen tersebut mengandungi satu email dari Leona Wan, yang didakwa seorang kakitangan Dehres Ltd mengenai invois pembelian untuk Datin Seri Rosmah. Dehres Ltd adalah sebuah syarikat permata yang benar-benar wujud dan maklumat lanjut boleh didapati di laman www.dehres.com;

2. Invois bernombor 23117 itu dialamatkan dan dibilkan kepada Carpet Raya Sdn Bhd, sebuah syarikat yang dikawal oleh Deepak bagi pembelian satu lot berlian bernilai USD115,000 (bersamaan RM408,250);

3. Carpet Raya Sdn Bhd membayar jumlah yang sama iaitu USD115,000 kepada Dehres Ltd seperti yang dibuktikan dengan slip permohonan kiriman wang oleh Carpet Raya Sdn Bhd;

4. Dokumen itu juga mengandungi beberapa invoice dari Firestone Co Ltd. Salah satunya adalah bertarikh 10 Mac 2009 bagi pembelian beberapa barang kemas. Salah satu dari barang kemas yang dibeli adalah cincin berlian bernombor Lot DR2763;

5. Semakan dengan agensi perdagangan Hong Kong (iaitu HKTDC) menunjukkan bahawa Firestone Co. Ltd. memang benar-benar wujud dan terlibat di dalam perniagaan barang kemas mewah;

6. Semakan lanjut dengan Firestone Co. Ltd. yang memaparkan contoh-contoh barang kemas mewah di dalam koleksinya mengesahkan bahawa cincin berlian bernombor Lot DR2763 benar-benar wujud dan sama dengan butiran yang diberikan di dalam invois. Ini mengesahkan bahawa invois dari Firestone Co. Ltd. adalah benar dan bukan palsu;

7. Pembelian barang-barang kemas mewah bernilai USD1.5 juta (bersamaan RM5.325 juta) dibayar dengan beberapa kiriman wang seperti yang dibutirkan di dalam penyata hutang yang dikeluarkan oleh Firestone Co. Ltd. (2 kiriman wang itu bertarikh 14 April 2009);

8. Kiriman wang kepada Firestone Co. Ltd. bertarikh 14 April 2009 itu padan dengan slip permohonan kiriman wang yang dibuat oleh Carpet Raya Sdn Bhd bertarikh 13 April 2009. Ini menguatkan dakwaan Deepak bahawa pembelian barang kemas mewah dari Firestone Co. Ltd. dibayar oleh beliau melalui syarikat-syarikatnya;

9. Malah, syarikat beliau iaitu Carpet Plus Sdn Bhd turut membayar USD116,730 (bersamaan RM414,425) kepada Firestone Co. Ltd. bertarikh 4 September 2009 seperti yang dibuktikan oleh slip permohonan kiriman wang. Ini mengesahkan dakwaan Deepak bahawa beliau ada membuat beberapa siri pembayaran kepada syarikat itu;

10. Penelitian terhadap dokumen-dokumen yang dikemukakan Deepak ini menunjukkan dakwaan beliau ada asasnya. Dokumen-dokumen tersebut mengesahkan bahawa pembelian barang kemas mewah ada berlaku dan ia dibayar melalui syarikat-syarikatnya iaitu Carpet Raya Sdn Bhd dan Carpet Plus Sdn Bhd; dan

11. Penyata hutang dari Firestone Co. Ltd. mengesahkan bahawa pembelian barang kemas mewah yang dikaitkan dengan Datin Seri Rosmah Mansor dalam tahun 2009 berjumlah USD3.66 juta (bersamaan RM13 juta).

Dakwaan Deepak bahawa beliau membayar pembelian barang kemas mewah berjumlah RM13 juta dalam tempoh 3 bulan oleh Datin Seri Rosmah Mansor adalah satu dakwaan yang sangat serius, apatah lagi apabila beliau menampilkan dokumen-dokumen sebagai bukti.

Sebab itu, tindakan tergopoh-gapah Dato’ Seri Najib Tun Razak yang mengheret dana pencen anggota tentera untuk membayar RM160 juta kepada Deepak dan Ketua Wanita Umno Selangor seolah-olah mengiyakan pandangan umum bahawa beliau mula panik dengan pendedahan yang dibuat oleh Deepak.

Saya percaya perkara ini wajar disiasat sepenuhnya. Beberapa laporan kepada pihak berkuasa akan dibuat dalam tempoh seminggu dari sekarang berkenaan perkara ini agar ia dapat disiasat segera.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
2 JANUARI 2013

Bukti Deepak Membayar Pembelian Barang Kemas Datin Seri Rosmah Mansor

Firestone Summary of Accounts, Invoices and Bank Slips

Dehres Ltd Invoice and Bank slip