Sehingga sekarang, pengurusan PETRONAS mahu pun Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak masih belum menjawab beberapa persoalan yang telah saya ajukan setakat ini mengenai pembelian Progress Energy oleh PETRONAS pada harga yang terlalu tinggi berbanding nilaian semasa pasaran.
Saya telah ajukan analisa kos setiap tong rezab gas yang dibeli pada harga US$16.42 setong sedangkan pembelian PETRONAS yang lain pada masa yang sama hanyalah US$7.46 setong. Ia memberi gambaran bahawa PETRONAS membayar dua kali lebih mahal harga rezab gas batuan di Canada berbanding dengan harga rezab minyak mentah di Brazil yang dibelinya sekitar tempoh yang sama.
Dalam laporan 27 Julai 2012 iaitu semasa PETRONAS merundingkan untuk membeli Progress Energy, Bloomberg melaporkan bahawa PETRONAS menawarkan untuk membeli saham-saham Progress Energy pada harga C$22 satu saham, iaitu 90% lebih mahal dari harga terakhir semasa saham-saham itu diniagakan di pasaran saham.
Alasan yang diberikan untuk menambah tawaran harga pembelian ialah kononnya kerana ada satu lagi tawaran yang lebih tinggi dibuat oleh sebuah syarikat. Identiti syarikat ini adalah rahsia dan sehingga kini menjadi tanda tanya syarikat mana yang menyebabkan PETRONAS menaikkan tawaran sehingga membayar satu kali ganda lebih mahal berbanding nilaian pasaran.
Harga saham Progress Energy kekal stabil pada harga sekitar C$11 dari tahun 2008. Ia hanya melonjak naik satu kali ganda setelah PETRONAS mengumumkan akan membayar harga yang begitu tinggi.
Perlu diingatkan bahawa nilaian semasa harga saham adalah berkait dengan nilai rezab yang dipegang. Pada ketika harga gas melonjak tinggi sekitar tahun 2008 – 2010, harga saham Progress Energy tidak berubah menunjukkan nilaian C$11 satu saham itu adalah harga yang dterimapakai oleh pasaran dan industri.
Sebab itu saya mempersoalkan kenapa PETRONAS membayar sehingga 90% lebih mahal bagi saham-saham (bila diterjemahkan kepada harga setong rezab gas batuan, harga itu lebih dari satu kali ganda dari pembelian semasa yang lain) Progress Energy sedangkan harga gas di Amerika Utara jatuh menjunam?
Alasan bahawa wujudnya satu syarikat misteri yang bersaing dengan PETRONAS untuk membeli Progress Energy meragukan, apatah lagi apabila syarikat-syarikat besar dunia seperti Shell telah menarik diri dari membida kerana harga yang ditawarkan oleh syarikat besar dunia ini dilaporkan terlalu rendah berbanding tawaran harga PETRONAS.
Perkara-perkara ini menunjukkan ada yang tidak telus dalam urusan pembelian tersebut.
Saya akan menulis kepada Tun Dr Mahathir dan Dato’ Kadir Jasin satu laporan lengkap mengenai perkara-perkara ini agar mereka juga boleh membantu mendapatkan komen dari pengurusan PETRONAS dan Perdana Menteri.
RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi
20 DISEMBER 2013