Kes Penyelewengan Anak Syarikat Felda: Perlu Ada Pertanggungjawaban Di Peringkat Tertinggi

Saya mengalu-alukan kejayaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sehingga ke peringkat pendakwaan kes penyelewengan melibatkan satu unit anak syarikat FELDA. Pendakwaan yang dibuat pada hari ini adalah satu perkembangan baik yang perlu diteruskan oleh SPRM.

Walau bagaimana pun, siasatan dan pendakwaan berhubung kes ini tidak boleh terhenti di peringkat kepimpinan korporat KPFQ Foods Sdn Bhd semata-mata kerana ia juga melibatkan keputusan di peringkat tertinggi Felda yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tata kelola (good governance) dan pelaburan kesemua anak syarikat Felda.

KPFQ Foods Sdn Bhd adalah syarikat usahama (joint venture) di antara Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPFMB) dan Silver Bird Group Berhad (SBGB) yang ditubuhkan khusus untuk menjadi ejen pemasaran bagi barang-barang makanan dan pertanian dari rancangan Felda di seluruh negara melalui projek Gedung Makanan Negara yang diilhamkan dan dilancarkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak oada 3 September 2009.

Semasa pelancarannya, Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa projek Gedung Makanan Negara akan melibatkan pelaburan sebanyak RM750 juta oleh Felda dalam tempoh 10 tahun.

Oleh yang demikian, kes penyelewengan dana melibatkan KPFQ Foods Sdn Bhd perlu diteliti dalam konteks pentadbiran korporat dan tata kelola yang lebih besar.

Tambahan lagi, akhir-akhir ini banyak dana rakyat digunakan untuk membiayai projek usahasama di antara agensi kerajaan dan swasta yang menimbulkan beberapa persoalan khusus mengenai tata kelola yang diamalkan oleh kerajaan:

1. Bagaimanakah penilaian mengenai kesesuaian projek dibuat sebelum sesuatu keputusan pelaburan dan usahasama dengan swasta dibuat memandangkan beberapa skandal setakat ini (termasuk NFC dan sekarang KPFQ) membayangkan jika projek dinilai dengan objektif, projek atau usahasama ini mungkin tidak diluluskan;
2. Apakah peranan wakil-wakil kerajaan di dalam agensi dan syarikat usahasama untuk memantau kemajuan projek dan memastikan penyelewengan tidak berlaku, memandangkan di dalam kedua-dua kes NFC dan KPFQ penyelewengan berlarutan dalam satu tempoh yang panjang; dan
3. Apakah peranan dan pertanggugjawaban kepimpinan kerajaan apabila projek-projek usahasama di bawah tanggungjawab mereka gagal dan membazirkan wang rakyat?

Oleh yang demikian, saya menggesa supaya siasatan terhadap kes ini tidak dihadkan semata-mata kepada kesalahan dan penyelewengan yang melibatkan kepimpinan KPFQ Sdn Bhd tetapi perlu diluaskan kepada aspek kecuaian (negligence) dan ketidaktelitian pimpinan tertinggi negara yang terbabit supaya ada kebertanggungjawaban kerana agensi-agensi ini adalah dibawah tanggungjawab mereka.

Apatah lagi apabila kes ini membabitkan usahasama dengan Silver Bird Group Berhad (SBGB) yang mempunyai hubungan rapat dengan agensi-agensi kerajaan yang lain termasuklah Tabung Haji. Selain projek-projek yang melibatkan Gedung Makanan Negara dan KPFQ Sdn Bhd, SBGB mempunyai beberapa projek usahasama yang serupa dengan Tabung Haji.

Malah, pemegang-pemegang saham besar di dalam SBGB adalah Tabung Haji dan Tan Sri Vincent Tan, yang menunjukkan bahawa SBGB adalah sebuah syarikat perniagaan yang ada hubungan yang baik dengan kerajaan.

Saya berharap siasatan SPRM telah pun mengambil kira semua perkara ini.

Buat masa ini, sebagai pimpinan yang bertanggungjawab mengilham dan melancarkan projek Gedung Makanan Negara yang membabitkan KPFQ Sdn Bhd ini, Dato’ Seri Najib Tun Razak perlu membuat kenyataan menjawab ketiga-tiga soalan yang saya nyatakan di atas mengenai longgarnya tata kelola kerajaan dalam menentukan pelaburan dan usahasama agensi kerajaan dengan pihak swasta.

Adalah amat memalukan apabila penyelewengan terkini melibatkan dana dan kebajikan peneroka Felda, bila mana penyelewengan NFC sebelum ini melibatkan kebajikan penternak miskin!

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi
Ahli Parlimen Pandan

2 OGOS 2013

3 thoughts on “Kes Penyelewengan Anak Syarikat Felda: Perlu Ada Pertanggungjawaban Di Peringkat Tertinggi”

  1. Kenapa harga sawit sekarang jatuh teruk?… seolah2 peneroka ini hanya di bayar upah sawit sahaja… ?? walhal ini Tanah kami.. lading kami.. sawit kami… Felda sepatutnya membeli sawit kami dan bukan hanya membayar upah… Sungguh tak adil… Jika kembali kepada dasar felda ditubuhkan oleh Tun Razak.. Ianya terlalu jauh menyimpang dari maksud yg asal.

    Kenapa pula jalan2 pertanian harus ditanggung oleh peneroka?.. Sepatutnya jalan2 didalam ladang sawit wajib dibuat oleh pihak Felda.. wajarkah membuat potongan bulanan kepada peneroka utk membuat jalan… Contoh mudah;Sekolah disediakan oleh kerajaan utk memberi pendidikan kepada rakyat Malaysia…. so Jalan pertanian wajiblah disediakan oleh kerajaan utk memudahkan hasil pertanian dibawa keluar….

    Tolong keluarkan peneroka dari Felda Global dan Felda milik Kroni…

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.