Barisan Nasional Perlu Jelaskan Tarikh Pelaksanaan Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) Sebelum Pilihanraya Umum

Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) seperti yang dicadangkan oleh Barisan Nasional adalah satu perkara besar yang membawa kesan mendalam kepada rakyat. Dalam keadaan inflasi yang masih tinggi secara berterusan, pelaksanaan GST dalam masa terdekat dijangka akan menambah bebanan sara hidup rakyat.

Kenyataan Perdana Menteri sebelum ini adalah samar-samar. Pada masa beliau terus menyatakan komitmen untuk melaksanakan GST, beliau tidak pula menetapkan tarikh pelaksanaan GST. Walaupun Barisan Nasional mengumumkan satu lagi tumpuan keberhasilan negara iaitu untuk mengurangkan kos sara hidup, sehingga sekarang Perdana Menteri tidak menghuraikan pelan pelaksanaan GST walaupun ia akan mempunyai kesan besar kepada kos sara hidup.

Oleh yang demikian, KEADILAN menyeru Barisan Nasional supaya menjelaskan pendiriannya mengenai pelaksanaan GST termasuklah tarikh pelaksanaan sebelum pilihanraya umum ke-13 (PRU13) diadakan, untuk membolehkan rakyat membuat keputusan yang telus dan tepat. Di kebanyakan negara-negara yang telah melaksanakan GST, isu ini telah dibawa menjadi isu utama pilihanraya dan keputusan pilihanraya menjadi referendum sama ada rakyat mempersetujui pelaksanaan GST atau tidak. Sewajarnya PRU13 juga digunakan sebagai referendum kepada GST untuk mengambil kira pandangan rakyat mengenai pelaksanaan cukai baru ini.

Pendirian KEADILAN mengenai GST adalah jelas.

KEADILAN tidak menolak GST sebagai satu kaedah percukaian, tetapi mempertikaikan kesesuaian pelaksanaannya pada ketika hanya 1.7 juta rakyat Malaysia dianggarkan layak membayar cukai pendapatan. Sebahagian besar rakyat Malaysia tergolong di dalam kategori yang dikecualikan dari membayar cukai pendapatan kerana gaji yang rendah.

Di negara-negara yang telah melaksanakan GST, cukai ini diperkenalkan sebagai ganti kepada cukai pendapatan. Kadar cukai pendapatan diturunkan serta merta apabila GST diperkenalkan, lantas rakyat tidak mengalami bebanan cukai tambahan kerana sumbangan cukai dari rakyat hanya dialihkan dari cukai pendapatan kepada GST.

Sekiranya GST dilaksanakan di Malaysia dalam masa terdekat, 10 juta rakyat Malaysia yang selama ini tidak layak membayar cukai terpaksa menanggung bebanan cukai baru. Ini akan menambah beban mereka yang terpaksa berdepan dengan persoalan gaji yang rendah, inflasi yang meningkat dan bebanan cukai yang baru.

Oleh sebab itu, KEADILAN berpandangan bahawa tumpuan sepatutnya diberikan kepada usaha-usaha melonjakkan pendapatan rakyat melalui campur tangan terus kerajaan. Apabila taraf pendapatan rakyat telah dilonjakkan, barulah saiz kumpulan pembayar cukai dapat dibesarkan dan memberi ruang untuk GST dilaksanakan.

Pelaksanaan GST akan memberi kesan kepada semua rakyat Malaysia dan sewajarnya menjadi isu besar PRU13. Rakyat berhak mendapat pengesahan dari Perdana Menteri sama ada dengan mengundi Barisan Nasional dalam PRU13, adakah itu bermakna mereka juga turut mengundi untuk membayar cukai baru?

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI

27 SEPTEMBER 2011

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.