Manifesto Generasi Reformasi: Kebersamaan, Keberkesanan, Ketrampilan

Reformasi adalah satu proses. Dizaman yang berbeza ia mengambil nama dan bentuk yang berbeza. Reformasi adalah satu kelangsungan, sudah menjadi resam manusia mencari yang benar, menolak yang batil dan berusaha mencari penambaikan.

1998 akan tetap kekal sebagai batu surat utama dalam sejarah moden Malaysia meledaknya semangat rakyat menuntut keadilan dan menolak penyelewengan penguasa. Ratusan ribu rakyat Malaysia yang turun membanjiri jalan-jalan pada tahun itu membuka mata masyarakat keseluruhannya bahawa sudah terlalu lama penyelewengan dan pembodohan rakyat dibenarkan berleluasa.

Reformasi 1998 menjunjung kebersamaan. Dalam ratusan ribu yang setia dengan rapat umum, si penjaja duduk di sebelah jurutera, guru memimpin pesara, adik didokong surirumah, pegawai bank bersalaman dengan si penghutang tegar disebelah! Roh reformasi yang meruntuhkan strata kaum, agama dan duniawi sesama kita membawa kita bersama-sama menuntut yang adil, menolak yang zalim.

Proses reformasi berterusan dengan tertubuhnya Parti Keadilan Nasional. Jiwa reformasi yang membuak-buak disusun melalui struktur hingga ke ceruk desa dan pinggir bandar. Reformis kini sudah berjawatan politik, maka semangat tidak gentar dijalan diterjemahkan untuk membina organisasi politik dan sosial di desa dan pinggir bandar. Roh reformasi yang menyuntik kebersamaan sesama kita, mengajar kita keberkesanan organisasi dalam meneruskan proses reformasi. Hanya organisasi yang berkesan dapat membawa mesej pembaharuan kepada rakyat.

Sedekad berlalu dan gelombang kedua sekali lagi mengingatkan massa bahawa reformasi itu satu proses. Kekecewaan 1999, keperitan 2004 dijawab dengan kejutan 2008. Roh reformasi yang meniupkan kebersamaan, membina keberkesanan organisasi akhirnya berjaya menonjolkan satu barisan kepimpinan yang berketrampilan yang diterima rakyat.

Reformasi adalah satu proses. Satu generasi telah hidup dengan suka duka dan roh reformasi. Generasi reformasi ini pelbagai latar belakangnya, umurnya, gayanya, miripnya. Berbeza semuanya tetapi disatukan oleh satu roh yang akan terus kekal, untuk mencari yang benar dan menolak yang zalim.

Kini kita diambang peringkat yang seterusnya. Cabarannya lain dan bentuknya berbeza – tetapi jangan kita tinggalkan roh reformasi yang menjunjung kebersamaan, menekankan keberkesanan dan menampilkan ketrampilan kepada rakyat!

Cabaran Kita Generasi Reformasi

  • Menggamit imaginasi dan kepercayaan 4.6 juta pengundi muda yang akan menentukan kerusi Putrajaya dalam PRU13
  • Meneruskan idealisme anak muda yang menjadi tulang belakang tercetusnya reformasi 1998 walaupun dalam suasana, bentuk dan gaya yang berbeza
  • Membina kekuatan moral dan ketrampilan, yang berpaksikan ilmu untuk menjadi generasi yang layak mewarisi tampuk pemerintahan negara ini
  • Mengukuhkan organisasi parti supaya keseluruhan 160,000 kekuatan AMK dapat digemblengkan untuk menterjemahkan perjuangan dan idealisme

Landasan Kita Ke Putrajaya

  • Imej dan pendekatan AMK perlu berorientasikan kehendak pengundi muda di luar, maka AMK perlu mengangkat isu-isu mendesak anak muda ke peringkat nasional, supaya kita bercakap bahasa mereka. Isu-isu ini termasuklah kos sara hidup yang melambung, gaji dan kerjaya yang tidak berkualiti, kaedah pembiayaan pendidikan PTPTN yang menekan orang muda, perumahan berkualiti, keterbukaan politik dan budaya serta kebebasan internet.
  • Mengukuhkan organisasi dengan membina kekuatan dari bawah ke atas supaya kita dapat bergerak dan menyampaikan mesej dengan berkesan kepada rakyat. Tumpuan khusus kepada melengkapkan jentera di semua medan tempur supaya kekuatan organisasi menggunakan keseluruhan keahlian parti.
  • Membina barisan pimpinan pelapis yang teguh dengan idealisme perjuangan, mahir dengan ilmu politik dan siasah supaya tanggungjawab membawa perubahan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

7 Program Strategik Menyuntik Dinamism

1)      Penubuhan Koperasi AMK sebagai tapak kewangan, sasaran modal awal RM200,000

2)      Jentera PRU13 di 100 kerusi sasaran digerakkan menjelang Februari 2011

3)      Penubuhan Skuad Komunikasi AMK, sasaran 1,000 orang untuk menang perang media baru

4)      Penubuhan Biro Mobilisasi untuk meningkatkan keberkesanan mobilisasi anggota

5)      Kenalpasti dan latih 200 pimpinan AMK bertaraf nasional

6)      Mengakar-umbikan gerak kerja AMK melalui konsep inkubator program

7)      Memutihkan dan melengkapkan senarai keahlian

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.