Saya berkesempatan untuk turun padang bersama-sama rakan-rakan dari AMK sekitar Ampang, Gombak dan Pandan untuk membentangkan manifesto dan pelan rancangan 7 perkara yang ingin kami tekankan. Program Jelajah di Ampang ini adalah yang pertama dari 19 program serupa menjelajah Malaysia sehingga akhir Oktober 2010.
Saya mengambil sedikit risiko dengan menganjurkan program jelajah ini. Budaya berpolitik, baik dalam Keadilan sekali pun, setakat ini nampak lebih selesa dengan kempen-kempen bersembunyi. Pada pemerhatian saya, setakat ini lebih banyak masa dan tenaga ditumpukan untuk bertemu dengan pimpinan peringkat cabang atau AMK Cabang untuk meyakinkan mereka, seterusnya berharap pimpinan ini akan meyakinkan anggota di peringkat akar umbi.
Kaedah ini baik dan sangat berkesan, cuma saya ingin mencuba sedikit kelainan dengan menguji potensi 90% anggota yang tidak begitu aktif selama ini. Jadi usaha kumpulan kami lebih tertumpu kepada menghubungi terus anggota-anggota ini dan cuba meyakinkan mereka untuk turun menyertai program jelajah.
Sasaran saya mudah – jika kami berjaya menyuntik semangat kepada anggota yang sebelum ini tidak aktif untuk turun menyertai program parti sempena pemilihan ini, kami sudah membantu sedikit sebanyak menguatkan organisasi parti.
Sebab itu saya ambil sedikit masa semasa program di Ampang untuk menerangkan bahawa proses yang berjalan sepanjang pemilihan, adalah sama penting dengan keputusan pemilihan nanti. Melalui program jelajah yang menjemput semua calon turun padang berbahas dan menerangkan visi masing-masing, secara tidak langsung kita mencungkil lebih banyak bakat kepimpinan baru untuk diketengahkan.
Begitu juga dengan visi yang dibentangkan oleh setiap calon – sudah pasti ada pelbagai visi yang praktikal dan boleh dilaksanakan, tidak kiralah siapa yang akan menang nanti.
Proses percambahan idea dan mencungkil bakat baru ini, disamping menyuburkan amalan demokrasi dan berbahas dengan sihat di dalam AMK – adalah satu matlamat utama kami sepanjang tempoh berkempen.
Alhamdulillah semuanya berjalan baik. Ada beberapa soalan yang ditanyakan yang saya kira perlu diberi perhatian, termasuklah keluhan anggota dari masyarakat India yang merasakan AMK tidak begitu pentingkan program dan kebajikan untuk mereka.
Program selepas ini akan menjelajah ke 18 tempat di seluruh Malaysia untuk bertemu anggota dan menerangkan manifesto Generasi Reformasi.