Keputusan Kewangan PETRONAS 2010

UCAPAN YB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM DI DEWAN RAKYAT

PENDAHULUAN

  • PETRONAS mengumumkan keputusan kewangan dan operasinya bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2010 pada 1 Julai yang lepas.
  • Secara keseluruhannya, kita mengakui kesukaran PETRONAS untuk mengekalkan prestasi kewangannya seperti tahun-tahun yang lepas di dalam keadaan pasaran dunia yang terkesan kerana kemelesetan ekonomi di Amerika Syarikat dan benua Eropah pada tahun lepas.
  • Oleh itu, penurunan perolehan PETRONAS sebanyak 18.1% kepada RM216.4 bilion sudah pun dijangka. Begitu juga dengan penurunan keuntungan sebelum cukai sebanyak 23.2% kepada RM40.3 billion, berbanding tahun sebelumnya yang berjumlah RM52.5 bilion[1].
  • Mengambil kira cabaran yang dihadapi PETRONAS untuk bersaing di peringkat dunia dan perubahan pasaran yang dialami industri minyak dan gas, seluruh warga PETRONAS wajar menerima pujian atas usaha mereka mengekalkan prestasi yang membanggakan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2010.
  • Pun begitu, terdapat beberapa perkara khusus yang perlu diberi perhatian berhubung keputusan kewangan dan hala tuju PETRONAS. Organisasi ini merupakan nadi kepada Perbendaharaan negara, maka banyak matlamat ekonomi negara berhubungkait dengan kedudukan kewangan dan strategi yang diambil PETRONAS.

KEBERGANTUNGAN KEPADA PETRONAS

  • PETRONAS merupakan penyumbang terbesar kepada sumber pendapatan kerajaan. Tanpa sumbangan dari PETRONAS dan industri minyak dan gas di Malaysia, defisit belanjawan negara sudah pun mencecah paras 15.1% pada tahun 2009.
2005 2006 2007 2008 2009
Nota 1[2]

Dengan hasil minyak

3.6 3.3 3.2 4.8 7.4
Nota 2[3]

Tanpa hasil minyak

6.8 8.6 8.8 11.7 15.1

Jadual 1: Defisit belanjawan negara

  • Akibat kegagalan Barisan Nasional menjana ekonomi, saban tahun PETRONAS dibebankan dengan tanggungjawab menanggung perbelanjaan boros kerajaan tatkala sumbangan industri-industri lain makin berkurangan.
  • Bagi tahun berakhir 31 Disember 2009, PETRONAS menyumbang RM70.9 bilion kepada kerajaan dalam pelbagai bentuk bayaran seperti royalti, dividen, cukai pendapatan, duti dan lain-lain. Ia menurun sedikit berbanding 2008 disebabkan cukai pendapatan PETRONAS yang lebih rendah akibat harga minyak yang jatuh.
  • Walau bagaimana pun, kebergantungan kepada PETRONAS semakin meruncing kerana tidak ada tanda-tanda Barisan Nasional berniat untuk mengurangkan tekanan kewangan terhadap PETRONAS.
  • Jadual 2 dan Jadual 3[4] menunjukkan darjah kebergantungan kerajaan kepada PETRONAS berasaskan dua penilaian, iaitu peratus sumbangan PETRONAS kepada pendapatan negara dan peratus sumbangan PETRONAS berbanding keuntungannya bagi tahun 2005 hingga 2010.
2005 2006 2007 2008 2009 2010
Bayaran PETRONAS kepada kerajaan

(RM bilion)

31.2 41.7 52.3 67.6 74.0 57.6
Peratus sumbangan PETRONAS kepada pendapatan kerajaan[5] (%) 28.7 34.4 35.4 44.0 44.9 Tidak dinyatakan

Jadual 2: Peratus sumbangan PETRONAS kepada pendapatan negara, berasaskan tahun kewangan

2005 2006 2007 2008 2009 2010
Bayaran PETRONAS kepada kerajaan

(RM bilion)

31.2 41.7 52.3 67.6 74.0 57.6
Keuntungan sebelum cukai (RM bilion) 58.0 70.2 76.3 95.5 89.1 67.3
Peratus sumbangan PETRONAS berbanding keuntungan (%) 53.4 59.4 68.5 70.8 83.1 85.6

Jadual 3: Peratus sumbangan PETRONAS berbanding keuntungannya, berasaskan tahun kewangan

  • Hakikatnya, kerajaan telah mencekik PETRONAS sehabis-habisnya sehinggakan pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2010, 85.6% dari keuntungannya diserahkan bulat-bulat kepada kerajaan.
  • Kerajaan tidak boleh menafikan bahawa kekuatan kewangan PETRONAS telah dan sedang disalahgunakan untuk membiayai projek-projek dan perbelanjaan yang tidak melonjakkan kedudukan ekonomi negara, kerana angka-angka kewangan PETRONAS secara jelas menunjukkan bahawa rompakan besar-besaran ke atas dana PETRONAS sedang berlaku.
  • Tindakan Perdana Menteri menuntut bayaran dividen sebanyak RM30 bilion, dalam keadaan pasaran minyak yang lemah berbanding sebelumnya dan keuntungan PETRONAS yang lebih rendah, membuktikan Barisan Nasional tidak ada iltizam politik untuk menghentikan ketagihan kebergantungan kepada dana PETRONAS.
  • Ini mempunyai dua kesan utama kepada ekonomi negara.
  • Pertama – sasaran untuk mengurangkan kebergantungan kepada PETRONAS seperti yang diumumkan di dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) adalah tidak lebih dari cakap-cakap kosong sahaja. Kalau paras kebergantungan itu kian memuncak saban tahun dan tiada langkah yang khusus yang diumumkan untuk menghentikan ketagihan itu, mana mungkin sasaran yang bercita-cita tinggi itu dicapai menjelang 2015?
  • Kesan kedua adalah lebih membimbangkan. Tekanan kewangan terhadap PETRONAS menyebabkan keupayaannya untuk bersaing di peringkat global, dengan melaburkan kembali sebahagian dari keuntungannya, akan terbantut.
  • Berdasarkan kepada pola pembayaran kepada kerajaan, PETRONAS akan berhadapan dengan keadaan yang mana ia perlu menggunakan rezab tunainya untuk membayar dividen kepada kerajaan pada masa hadapan.
  • Jika pasaran minyak antarabangsa kekal pada kedudukan ini dan struktur kos industri juga tidak berubah, pembayaran dividen yang tinggi seperti ini akan menyebabkan tuntutan bayaran oleh kerajaan melebihi keuntungan PETRONAS.
  • Keadaan ini tidak ubah seperti pepatah Melayu umpama jatuh ditimpa tangga. Kedudukan kewangan PETRONAS akan terus lemah dan ini menyekat kemampuannya untuk mendapatkan blok carigali yang baru, apatah lagi membuat pelaburan untuk mengeluarkan minyak baru.
  • Perdana Menteri dan Jemaah Menteri perlu mentelaah industri minyak dan gas untuk memahami betapa runcingnya kedudukan PETRONAS gara-gara kerakusan kerajaan.
  • Saya ingin memetik hujah-hujah yang dikemukakan oleh Jeroen van der Veer, Ketua Pegawai Eksekutif Shell di dalam satu pertemuan dengan pelabur-pelabur mengenai langkah-langkah yang diambil oleh Shell dalam mengekalkan keberdayasaingan syarikat itu menghadapi suasana ekonomi yang bergolak[6].
  • Beliau menggunakan satu penanda aras yang biasa digunakan di dalam industri minyak dan gas, iaitu nisbah pelaburan semula (reinvestment ratio). Nisbah ini mengukur setakat mana syarikat-syarikat minyak melaburkan semula dananya untuk menggantikan rezab minyak yang telah digunakan.
  • Menurut beliau, Shell meletakkan penekanan mencapai nisbah pelaburan semula yang tinggi untuk kekal berada di hadapan berbanding pesaingnya. Nisbah pelaburan semula Shell adalah antara yang tertinggi di dunia pada taham 75% (lihat Rajah 4).

  • Berapa nisbah pelaburan semula PETRONAS? Paras tertinggi yang dicapai iaitu 35.7% adalah pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2009 pada kala harga minyak memuncak, kemudian turun semula. Sepanjang 5 tahun yang lepas, nisbah pelaburan semula PETRONAS adalah sangat rendah berbanding nisbah purata yang diamalkan oleh pesaing-pesaing globalnya.
2005 2006 2007 2008 2009 2010
Aliran tunai bebas/

Free cash flow

(USD billion)

19,800 25,279 28,747 34,509 35,841 37,785
Perbelajaan kapital/ Capital expenditure

(USD billion)

4,566 4,920 5,992 8,550 12,808 10,719
Nisbah pelaburan semula/ Reinvestment ratio

(%)

23.1% 19.5% 20.8% 24.8% 35.7% 28.4%

Jadual 5: Nisbah pelaburan semula PETRONAS bagi tahun kewangan 2005 hingga 2010[7]

  • Adalah jelas bahawa amalan memerah keringat PETRONAS untuk mengisi temolok kroni melalui projek dan perbelanjaan yang tidak memanfaatkan rakyat wajib dihentikan serta-merta.
  • Ketagihan dan kebergantungan kepada PETRONAS sudah pun diterima umum sebagai penyakit utama pentadbiran ekonomi di negara ini.
  • Ketagihan yang menggila sehinggakan 86% keuntungan PETRONAS diambil oleh kerajaan akan membunuh PETRONAS suatu hari nanti.
  • Dimanakah pertimbangan Perdana Menteri sehinggakan keadaan ini boleh terus berlaku? Sedangkan amanah yang dipikul meletakkan tanggungjawab kepada Perdana Menteri untuk memastikan PETRONAS diwariskan kepada generasi akan datang dalam kedudukan yang lebih baik dari sekarang.

PERTUKARAN MENDADAK STRATEGI

  • Saya mengambil pendekatan terbuka dengan perlantikan kepimpinan baru di PETRONAS, baik di peringkat eksekutif mahu pun Lembaga Pengarahnya.
  • Sudah tentu kita berkongsi keperitan Tan Sri Hassan sebagai tokoh yang umpama sudah habis madu sepah dibuang, walau pun beliau mengabdikan diri membina PETRONAS sekian lama.
  • Cara beliau digantikan banyak menimbulkan persoalan, seolah-olah tidak ada lagi kesantunan dan budi bahasa yang diamalkan mereka yang bergelar pemimpin negara.
  • Namun, yang lebih merisaukan adalah kenyataan dan tindakan yang dibuat oleh kepimpinan baru PETRONAS yang nyata, memperlekehkan keputusan-keputusan yang diambil oleh Tan Sri Hassan sebelum ini.
  • CEO baru PETRONAS, Datuk Shamsul Azhar Abbas pernah membuat kenyataan yang diertikan bahawa pengurusan lama di bawah Tan Sri Hassan Marican adalah “one man show”[8]. Itu adalah pendapat beliau dan kita menghormati pendapat beliau.
  • Tetapi, apabila PETRONAS mengumumkan perubahan besar dari segi strategi dan pendekatan operasinya untuk mengalihkan fokus pelaburan kembali ke dalam negara, ini membimbangkan banyak pihak[9].
  • Ada beberapa sebab yang perlu dihalusi kenapa pertukaran mendadak ini dikhuatiri akan menjejaskan lagi kedudukan PETRONAS dan memberi ruang kepada campur tangan politik untuk merompak dana PETRONAS.
  • Saban tahun kita berbangga dengan keupayaan PETRONAS menjayakan operasi luar negaranya, sehinggakan sumbangan operasi luar negara lebih besar dari hasil dalam negara sejak tahun 2008.
  • Strategi yang telah difikirkan semasak-masaknya dan dilaksanakan dengan teliti sejak tahun 1991 ini, telah membuahkan hasil yang dinikmati bersama oleh rakyat Malaysia.
  • Banyak tindakan-tindakan pelaburan dan strategik PETRONAS mengambil kira fokusnya untuk membina nama di persada antarabangsa – sebab itu PETRONAS memilih untuk bersama-sama pasukan Formula 1 Mercedes dan bukannya pasukan 1Malaysia! Mercedes ada nilai antarabangsa, 1Malaysia belum tentu laku di Malaysia pun.
  • Kita juga sedar bahawa rezab minyak dan gas di negara kita juga semakin berkurangan. Yang masih ada adalah rezab-rezab marginal (marginal fields) yang menelan belanja yang besar untuk dibangunkan, sedangkan pulangannya tidak seberapa.
  • Sebab itu, kebelakangan ini kita lihat portfolio rezab minyak dan gas di Malaysia semakin cenderong kepada rezab-rezab di perairan dalam (deepwater) dan rezab gas berkarbon dioksida tinggi (high cardon dioxide gas reserves).
  • Pada tahun 2010, 22.6%[10] dari rezab keseluruhan Malaysia adalah dari perairan dalam dan 14.5% dari rezab gas mempunyai kandungan karbon dioksida yang tinggi.
  • Apa makna semua ini?
  • Kualiti rezab yang kita ada adalah tidak sebaik rezab-rezab yang ada di tempat-tempat lain, kerana aktiviti carigali telah dijalankan buat sekian lama. Akibatnya, kos untuk mengeluarkan minyak dari rezab-rezab ini adalah berkali-kali ganda lebih mahal berbanding dengan kos mengeluarkan minyak di Iraq, Iran atau pun Sudan.
  • Perkiraan ekonominya mudah – jika kita ada RM1 bilion untuk dilaburkan, apakah kita akan memilih pelaburan yang kosnya tinggi dan pulangan tidak seberapa, atau kita meneruskan strategi antarabangsa yang telah dibuktikan kejayaan setakat ini?
  • Kalau pun kepimpinan baru PETRONAS memberi alasan bahawa pulangan dari operasi antarabangsa tidak memenuhi jangkaan, strategi meluaskan operasi di peringkat antarabangsa perlu dinilai melangkaui aspek kewangan semata-mata.
  • Hakikatnya rezab yang ada di Malaysia semakin berkurangan dan akan habis pada suatu ketika nanti. Di negara-negara lain masih ada rezab-rezab besar yang boleh diterokai dan seterusnya akan menjamin bekalan minyak negara pada masa akan datang.
  • Pada ketika syarikat-syarikat lain di seluruh negara berlumba-lumba mendapatkan rezab ini sehingga membelanjakan 75% dari keuntungan mereka untuk membeli rezab baru[11], PETRONAS adalah satu-satunya syarikat besar dunia yang mengambil pendekatan bertentangan – balik kampung tanam jagung.
  • Jika keadaan ini berterusan, kita berdepan dengan keadaan PETRONAS tidak mempunyai rezab luar negara yang mencukupi untuk menggantikan rezab dalam negara, kerana kebanyakan rezab-rezab itu telah dibeli pesaing-pesaingnya.
  • Sebab itu saya tidak yakin ini adalah strategi yang dinilai dengan semasak-masaknya oleh kepimpinan baru PETRONAS. Mereka yang faham dengan urus tadbir PETRONAS di bawah kepimpinan lama, faham bahawa proses menilai satu-satu strategi memakan masa yang lama, bukannya 3 bulan.
  • Pertukaran strategi ini berbaur campur tangan dari Putrajaya.
  • Pada tahun kewangan 2009, perbelanjaan kapital PETRONAS adalah sebanyak RM44 bilion dan menurun kepada RM37 bilion bagi tahun kewangan 2010.
  • Di samping itu, PETRONAS juga menanggung kos operasi. Anggaran perbelanjaan kapital dan kos operasi bagi perniagaan carigalinya dijangkakan berjumlah RM40 bilion setiap tahun dan dibahagikan secara saksama di antara projek luar negara dan projek dalam negara.
  • Oleh sebab itu, saya menuntut Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengawal selia PETRONAS, agar berterus terang. Beliau perlu mengakui bahawa penukaran mendadak strategi PETRONAS ini ada kena mengena dengan cubaan mewujudkan kontrak yang tidak ada nilai ekonomi untuk diagihkan kepada kroni-kroni.
  • Saya telah terangkan bahawa rezab-rezab yang ada di negara kita adalah kurang bermutu dan kos pembangunannya adalah lebih tinggi.
  • Tetapi rezab-rezab ini juga dilihat sebagai lubuk emas oleh kroni-kroni kerana motif mereka bukanlah keuntungan kepada PETRONAS dan rakyat, tetapi untuk merompak dana PETRONAS secara besar-besaran.
  • Saya juga difahamkan bahawa sebahagian besar dari rezab-rezab kurang bermutu yang akan dibangunkan ini dimiliki sepenuhnya oleh PETRONAS. Sebelum ini, ia tidak dibangunkan atas dasar kurang faedah kewangannya.
  • Jadi, jika rezab-rezab ini dibangunkan, yang akan menanggung kerugian sepenuhnya adalah PETRONAS. Yang akan kaya raya adalah kroni-kroni yang diberikan kontrak-kontrak ini.
  • Putrajaya tidak boleh campur tangan dalam urusan pemberian kontrak bagi rezab-rezab luar negara kerana ada wakil kerajaan asing di dalam lembaga tender yang dikendalikan PETRONAS.
  • Tetapi bagi rezab-rezab dalam negara yang dimiliki sepenuhnya oleh PETRONAS, yang ada hanyalah wakil-wakil PETRONAS sahaja.
  • Saya telah pun timbulkan kebimbangan ini semasa membahaskan Rancangan Malaysia Kesepuluh agar dana PETRONAS tidak diselewengkan oleh syarikat-syarikat milik kroni seperti Scomi, Kenchana dan SapuraCrest.
  • Kali ini, kita minta sekali lagi Perdana Menteri untuk berterus terang dan berjanji dengan rakyat Malaysia, di Dewan Rakyat ini, bahawa pertukaran strategi secara mendadak ini tidak ada kena mengena dengan usaha mencekik PETRONAS dengan lebih teruk.

SUBSIDI GAS IPP YANG MEMBEBANKAN

  • Saya ingin menyentuh sedikit mengenai langkah kerajaan secara berterusan memberikan subsidi gas kepada penjana bebas (IPP), pada ketika keuntungan PETRONAS merosot dan kedudukan kewangan negara semakin parah.
  • Bagi tahun kewangan berakhir 2010, PETRONAS menanggung kos subsidi gas sebanyak RM18.9 bilion. Satu pertiga dari subsidi itu terus ke poket IPP.
  • Lebih mengejutkan, PETRONAS juga terpaksa menanggung kos mengimport gas pada harga yang lebih mahal dari blok Natuna dan JDA untuk memenuhi penggunaan gas di Semenanjung Malaysia.
  • Kesan buruknya berganda dan yang menjadi mangsa adalah rakyat Malaysia. Kos subsidi meningkat apabila kuantiti gas yang diimport meningkat. Pada masa yang sama, hasil jualan gas yang lebih tinggi oleh blok JDA di luar pesisir Kelantan tidak pula dinikmati oleh rakyat Kelantan kerana zalimnya Barisan Nasional menidakkan hak rakyat Kelantan.
  • Kebejatan ini perlu dihentikan. Sebab itu saya alu-alukan langkah untuk  memperkenalkan liberalisasi harga ke pasaran gas supaya kita dapat mengurangkan kos subsidi yang ditanggung PETRONAS.
  • Namun, saya juga tidak terkejut bahawa langkah liberalisasi harga gas itu, hanya dihadkan kepada industri bukan penjana tenaga sahaja.
  • Sedangkan pihak yang paling banyak menikmati keuntungan dari subsidi ini adalah penjana bebas.
  • Liberalisasi harga gas yang hanya dihadkan kepada industri bukan tenaga boleh menaikkan kadar inflasi, kerana sebahagian besar industri ini terdiri dari industri kecil dan sederhana yang membekalkan barangan harian kepada rakyat.
  • Maka, saya mohon kerajaan menukar pendekatan dengan menarik subsidi dari penjana bebas terlebih dahulu, sebelum memperluaskan liberalisasi tersebut ke industri bukan tenaga.
  • Hanya dengan cara ini kita dapat menjamin sedikit keadilan kepada rakyat, walau pun kita tidak dapat mengembalikan berbilion ringgit wang rakyat dalam bentuk subsidi yang dicurahkan kepada penjana bebas sebelum ini.

PENUTUP

  • Perkara-perkara yang ditimbulkan tidak harus dipandang enteng dan diperlekehkan kerana ia melibatkan kepentingan negara.
  • Beberapa tindakan kerajaan dan kepimpinan baru PETRONAS secara jelas membelakangkan pendekatan berhemah dan bijaksana yang telah dilaksanakan oleh PETRONAS sejak sekian lama.
  • Strategi yang kukuh dan terbukti berhasil inilah, yang memungkinkan tabiat boros dan buruk pimpinan negara terpaksa ditanggung oleh dana PETRONAS sekian lama.
  • Kini, ada tanda-tanda bahawa kerakusan itu tidak mencukupi. Kaedah menekan PETRONAS membayar dividen yang terlampau tinggi sudah tidak memadai untuk menanggung ketamakan pihak yang berkepentingan, maka PETRONAS dipaksa mengubah strateginya agar kontrak-kontrak boleh dianugerahkan secara terus kepada kroni.
  • Campur tangan ini perlu diawasi dan ditentang dengan sehebatnya. Budaya urus tadbir yang baik dan berkesan, hasil peninggalan Tan Sri Hassan Marican perlu dipertahankan kerana PETRONAS adalah terlalu berharga untuk dikucar-kacirkan oleh Barisan Nasional.

YB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM

Ketua Pembangkang


[1] Keputusan Kewangan & Operasi PETRONAS bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2010, www.petronas.com.my

[2] Nota 1: Defisit belanjawan keseluruhan (% KDNK pada harga semasa) [Sumber:Bank Pembangunan Asia]

[3] Nota 2: Defisit belanjawan keseluruhan tanpa hasil minyak (% KDNK pada harga semasa) [Sumber: Laporan IMF]

[4] Berdasarkan laporan kewangan dan prestasi PETRONAS bagi tahun 2005 hingga 2010

[5] Peratus sumbangan adalah berdasarkan tahun kalendar berakhir 31 Disember

[6] Jeroen van der Veer: Building New Heartlands, Managing Recession Challenges, 17 Mac 2009

[7] Untuk perbandingan, aset tunai dan pelaburan telah digunapakai sebagai aliran tunai bebas berdasarkan keputusan kewangan PETRONAS bagi tahun-tahun berakhir 31 Mac 2005 hingga 31 Mac 2010.

[8] “PETRONAS Appoints 4 New Executive VPs”, Business Times, 5 Jun 2010

[9] “PETRONAS To Cut Foreign Exploration”, Reuters, 5 Jun 2010

[10] Keputusan Kewangan & Operasi PETRONAS bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2010, www.petronas.com.my

[11] “Finding New Oil Gets Ever More Expensice”, Financial Times, 23 September 2009

6 thoughts on “Keputusan Kewangan PETRONAS 2010”

  1. The u-turn by Petronas is purposely done to increase the money spend in the country. Now the cronies are queuing at Petronas door getting all kind of Petronas project. Company such as Kenchana, Carimin,Target Energy etc.are getting billions worth of projects without any tender. The real problem is this company are incapable company, they cant deliver the projects on time which in turn will retard Petronas planning and earning. If this activity go on Petronas will end up just like any other GLC. Can Malaysia afford this?

  2. apa yang menarik tentang ucapan Ketua Pembangkang ialah Rompakan dan Mencekik Wang Petronas oleh Kerajaan.Apakah iostilah ini boleh diguna pakai dan apakah logiknya perkataan ini digunakan sedemikian rupa.Jelas ketidak kepuasan hati yang sengaja telah berlaku dan cuba menyerlahkan soal diri yang p[ernah duduk sebagai TPM / Menteri Kewangan tidak sebegitu rupa dengan apa yang berlaku kini dipihak kerajaan.Petronas adalah sebuah Syarikat Seratus Peratus milik Kerajaan dan tiada individu atau syakikat lain sebagai pemegang sahamnya. Jadi adalah wajar walau seratus peratus keuntungan Petronas digunakan oleh Kerajaan untuk projek pembangunan dan sebagainya tidak menjadi persoalan kerana ianya bertujuan untuk rakyat dan hak untuk rakyat.Apakah keuntungan ini telah memasuki poket kepimpinan kerajaan BN. Tentu tidak sama sekali dan apa yang dilakukan oleh kerajaan mengiukut peraturan dan saluran yang betul. Cuba semak berapa pula bonus serta kemudahan termasuk gaji kakitangan Petronas kal;au hendak dibandingkan dengan kakitang lain disektor awam atau GLC lain sedangkan kelulusan yang ada pada kakitangan Petronas adalah sama. Ini bermakna kerajaan sangat menhargai sumbangan serta peranan semua dalam warga Petronas sebagai penyumbang utma akaun kerajaan untuk dikembalaikan pada rakyat.Jadi apa yang diharapkan Ketua Pembangkang perlu rasional dalam hal ini dan ianya lebih kepada provokasi politik untuk menarik simpati sokonganm rakyat diluar dewan tanpa mengira bahawa rakyat telah diperjudiskan oleh Ketua Pembangkang. Ingatlah roda tidak berhenti sepanjang masa adakalanya diatas adakalanya dibawah. Jadi apakah apabila kita kini diparas bawah kita lupa bahawa kita pernah bermahrajalela semasa duduk diatas. kal;au pun kita ingin kembalai duduk diatas jangan pula dipaksa roda itu berpusing secara paksaan kelak akan patah roda tyersebut dan semua yang menaiki roda ini akan tersungkur jatuh tanpa ada belas kesian. Tapi mungkin ini yang diharapkan oleh Ketua Pembangkang seperti kata ppepatah melayu alang-alang menyeluk perkasam biar sampai kepangkal lengan sedang tang hancur dik kerana perkasam tadi.

    1. bangang ko ni Esa iz,petronas 100% milik kerajaan?kerajaan sekarang ni siapa yang bagi mandat?kakitangan petronas dapat bonus besar tiap2 tahun,sebab diorang pun kerja kuat,itu kita tidak pertikaikan.Tetapi keuntungan yang dijana petronas yang berbilion tadi,hasilnya patut dinikmati rakyat secara keseluruhannya,cuba saudara bagi fakta…rakyat marhain mcm saudara dan saya ni,apa faedah yang dapat kita kecapi?kalau ada pun mungkin kecil sangat,keduanya,walaupun kerajaan hari ini dengan angkuh mengumumkan kita menuju negara maju dan sebagainya,tetapi bebanan harian rakyat sangat sangat sangat sangat tinggi.Tidak sedarkah saudara,20 tahun lalu ratio pendapatan mak ayah kita dengan perbelanjan harian pada masa itu?bandingkan pula 10 tahun yang dulu…..Dan cuba hayati apa yang berlaku hari ini.Tidakkah saudara terfikir,jika cara pentadbiran kerajaan hari ini masih kekal untuk 15-20 tahun kedepan,alamatnya….kita rakyat malaysia hanya bekerja untuk bawa balik makanan untuk anak isteri supaya tidak kebuluran….itu jer..semua orang cari duit utk makan,ketenangan untuk hidup mengingati tuhan,bermasyarakat rasanya sudah terhakis pada masa itu,jadilah kita negara yang tiada lagi rahmat dari tuhan,moral rakyatnya yang terhilang serta hidup mengenang sejarah yang kita adalah sebuah negara yang sepatutnya menjadi sangat baik pada hari ini.

    2. 1) PETRONAS bukan milik kerajaan.
      2) Company lain untung buat melabur balek, so tros bekembang bukan nak suap kat kerajaan
      3) Yes ada byk company kroni tgh buat projek kat PETRONAS and they are totally incapable.
      4) Be one of PETRONAS engineer only then you can say sumthing about our bonus, salary etc. Trust me

  3. hello Esa sorry to say but your comment is showing your mentality and your mentality is not quite good. I guess you are one of the BN supporters that supports just for money without vision etc.

  4. god day Esa…cuba jangan salahkan “Gaji atau Bonus” kakitangan petronas.Sebab tak bijak anda memasukkan sebab diaorang pun bekerja sama dengan anda.satu lagi,risiko bekerja dalam oil and gas and chemical industri nie tidak sama dengan keadaan di dunia luar.bahaya ada setiap saat.ada ke tak anda mengkaji dah berapa orang pekerja petronas mendapat cancel?cuba fikir sedalamnya sebelum anda menyeluarkan statement tersebut…cuba fikir sebelum menulis….anda sebenarnya seorang yang bijak.jangan jadikan anda seorang yang dungu dan anda harus mengkaji sedalamnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.

Ahli Parlimen Pandan dan Naib Presiden/Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat || Member of Parliament for Pandan, Vice President/Secretary General of Justice Party